Categories
AGENDA NASIONAL

Video tiba-tiba tular, peniaga risau nasi dagang tidak cukup

SHAH ALAM, 11 JAN: Seorang peniaga nasi dagang ikan aya atau ikan tongkol tidak menyangka video dokumentari berdurasi 10 minit memaparkan kisah perniagaannya yang tular menerusi Facebook beberapa hari lepas menjadikan nasi dagangnya yang dijual menggunakan motosikal roda tiga ‘diserbu’ peminat juadah tradisional negeri Terengganu itu.

Muhammad Khairul Nizam Mamat, 43, berkata hal itu disedarinya sejak Jumaat lepas apabila melihat orang ramai beratur panjang kira-kira 100 meter seawal 6 pagi di kawasan Persiaran Alam Perdana, Bandar Puncak Alam untuk mendapatkan juadah berkenaan walaupun perniagaannya mula beroperasi sekitar 7 pagi.

“Saya terkejut pada pagi itu (Jumaat), tiba-tiba orang ramai datang dan siap beratur tunggu saya yang baru nak pasang payung dan sebagainya. Masuk 7.30 pagi ke atas, orang semakin ramai beratur. Saya memang cemas sebab risau makanan tidak cukup memandangkan orang beratur panjang dan lama untuk dapatkan makanan.

“Bila semak balik, rupanya video dokumentari sebuah produksi yang saya jalani penggambaran sebelum ini tular. Saya terkejut sebab video tersebut asalnya bukan untuk mempromosikan perniagaan saya sebaliknya untuk memaparkan macam mana seseorang yang ‘jatuh’ ketika COVID-19 melanda negara, bangun kembali mulakan kehidupan,” katanya yang ditemui Bernama di sini hari ini.

Muhammad Khairul Nizam yang merupakan anak jati Kampung Tengkawang, Kuala Berang berkata susulan tular, beliau kini perlu menambah sukatan beras basmati untuk menghasilkan nasi dagang tersebut hingga 10 kali ganda sehari berbanding kira-kira lima hingga lapan kilogram sehari ketika mula menceburi perniagaan itu pada November lepas.

“Sekarang kami masak nasi dagang hingga 50 kilogram beras sehari untuk memenuhi permintaan yang tiba-tiba mendadak ini. Disebabkan itu, empat adik lelaki yang menetap di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang serta ibu saya dari kampung datang membantu untuk menghasilkan nasi yang agak banyak sebab saya hanya berniaga seorang diri,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata dalam masa terdekat ini beliau belum menggajikan pekerja kerana masih dibantu adik ketiga, Muhammad Firdaus Mamat, 38, yang turut berniaga nasi dagang di kawasan Seri Kembangan dan adik bongsunya, Muhammad Khairul Aiman, 20.

Menurut Muhammad Khairul Nizam, beliau akan memohon lesen penjaja tepi jalan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam masa terdekat dan jika nasi dagangnya terus mendapat sambutan menggalakkan, beliau bercadang membuka dua lagi gerai di Selangor dengan satu daripadanya di Puchong yang akan diusahakan seorang adiknya.

Ditanya mengapa jualan nasi dagang menjadi pilihannya, Muhammad Khairul Nizam berkata kesukaran untuk mendapatkan juadah yang asli seperti didapati di kampung halamannya antara sebab beliau berniaga selain turut menjual nasi lemak ikan tongkol.

Katanya proses penyediaan dan memasak nasi yang agak kompleks antara sebab nasi dagang Terengganu sukar didapati malah bahan untuk menghasilkan kari ikan tongkol juga kebanyakannya terdapat di negeri itu.

“Itu antara sebab saya pilih juadah ini (nasi dagang) untuk dijual di sini. Memang majoriti pembeli juga dari pantai timur Semenanjung khususnya Terengganu. Ramai yang kata (respons) bila makan teringat pada kampung. Alhamdulillah orang suka.

“Tidak kurang juga kecaman sebab apabila tular, orang meletakkan harapan yang tinggi pada masakan kita tetapi kita boleh belajar daripada teguran dan cuba baiki mana yang kurang,” katanya yang pernah bekerja sebagai cef di sebuah hotel lima bintang di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Muhammad Khairul Nizam berkata hanya ‘bermodalkan’ masakan juadah tradisional kampung halamannya dan sebuah motosikal roda tiga bukan penghalang untuk beliau berniaga.

Jelasnya ia dibuktikan oleh Muhammad Firdaus yang terlebih dahulu menggunakan resipi nasi dagang ibunya untuk berniaga di sekitar Seri Kembangan sejak enam tahun lepas dan sehingga kini masih mendapat permintaan pelanggan.

“Adik saya adalah idola dan menguatkan semangat saya untuk berniaga bermula dari bawah. Memang ada yang memperlekeh bila saya putuskan untuk berhenti kerja dan menjual nasi dagang. Alhamdulillah, yang penting keluarga terutama adik-adik sokong apa yang saya buat walaupun kami jauh dari kampung halaman,” katanya yang merupakan anak sulung daripada sembilan beradik.

— BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Calon akhir Ikon Agro Selangor dinilai juri awam mulai hari ini

SHAH ALAM, 22 NOV: Video lapan usahawan yang disenarai pendek sebagai calon akhir Ikon Agro Selangor 2021 akan dimuat naik hari ini.

EXCO Industri Asas Tani memaklumkan video berkenaan akan dinilai dan diberi pemarkahan juri awam selama seminggu.

“Esok (hari ini) kita akan muat naik video lapan finalis pada saluran YouTube Agro Selangor untuk pemarkahan juri awam selama seminggu,” kata Ir Izham Hashim ketika dihubungi SelangorKini.

Lapan usahawan yang disenarai pendek ialah Muhammad Fathullah Janal (penternakan), Sri Sutesh Chelladurai (tanaman)dan She Cheng Siang (tanaman).

Selain itu, Siti Nurul Aisyah Zakariah (akuakultur), Chia Boon San (agropelancongan), Cheng Poh Guat (tanaman), Hasbullah (ternakan) dan Affendi Zainuddin (tanaman).

Edisi kedua penganjuran Ikon Agro Selangor menawarkan hadiah wang tunai RM10,000, bantuan kelengkapan pertanian dan sijil.

Peserta dinilai mengikut penggunaan teknologi moden dan pengeluaran hasil yang menyumbang 70 peratus markah manakala baki ditentukan menerusi undian video di YouTube.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis kesan sekumpulan lelaki didakwa pukul warga asing

KUALA LUMPUR 4 MEI: Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki yang didakwa memukul seorang lelaki warga asing dalam kejadian di kawasan kaki lima Jalan Alam Jaya 19, Taman Alam Jaya, Batu 9 Cheras, Kajang, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata kejadian itu dipercayai berlaku pada kira-kira 2.30 petang dan dirakam dalam sebuah video yang berdurasi selama seminit 21 saat.

Katanya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah melihat video yang tular ini dan melakukan siasatan ekoran dipercayai tempat kejadian merupakan kawasan di bawah pentadbiran IPD Kajang.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian yang tular ini melibatkan mangsa seorang lelaki dipercayai warga asing yang dipukul sekumpulan lelaki tempatan dikenali dengan nama Yusuf Azmi, Abang Ali dan beberapa orang pengikutnya yang belum dikenal pasti.

“Kejadian yang tular ini jelas merupakan satu kekerasan jenayah yang boleh disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan ia mengganggu-gugat serta mendatangkan kekacauan terhadap ketenteraman awam kerana berlaku di kawasan awam yang terbuka,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, penelitian ke atas video itu juga mendapati, kumpulan lelaki tempatan berkenaan telah melanggar beberapa tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul serta tidak menjaga penjarakan fizikal.

“Berdasarkan video yang tular ini, kes telah diklasifikasi di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, bolehlah dihukum penjara dua tahun atau dikenakan denda ataupun kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau menambah, bagi kesalahan melanggar SOP PKPB, kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seskyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Mohd Zaid berkata mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai polis terdekat atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, ASP Mohd Radzee Jamudi, di talian 019-665 5811.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Polis kesan dua lagi video baharu promosi judi, tiga individu ditahan

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Tiga termasuk dua wanita ditahan berhubung pembikinan dua lagi video iklan lagu raya yang mempromosi kegiatan perjudian secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata kesemua suspek rakyat tempatan berusia 21 hingga 42 tahun itu ditahan di sekitar ibu kota selepas polis mengesan dua video baharu masing-masing berdurasi 30 saat dan 48 saat yang mempromosikan perjudian secara dalam talian, semalam.

Setakat ini, katanya polis telah menerima dua laporan berhubung perkara itu.

“Kesemua suspek akan direman hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan perjudian dan pembikinan video itu.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi video tersebut malah perbuatan sedemikian bukan sahaja salah mengikut undang-undang tetapi boleh mendatangkan keresahan dan kegusaran awam,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Malaysia kutuk video ubah lirik lagu hina Indonesia

JAKARTA, 28 DIS: Malaysia mengutuk keras tindakan provokasi negatif yang cuba menjejaskan hubungan Malaysia-Indonesia menerusi satu video yang menghina Indonesia.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan malam tadi menegaskan pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat video yang tular berkenaan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengambil maklum akan sebuah video yang didakwa dimuat naik oleh warganegara Malaysia dan didakwa memperlekahkan dan menghina Indonesia.

“Sekiranya video itu didapati dimuat naik oleh warganegara Malaysia, tindakan tegas akan dikenakan berlandaskan undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.

Satu video, dimuat naik dua minggu lepas oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komentar di laman YouTube My Asean pada ruangan komen, memaparkan lagu kebangsaan Indonesia disunting liriknya yang menghina negara Indonesia.

Video di ruang komen di YouTube berkenaan telah dipadamkan, namun video itu dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain dan ditularkan di platform media sosial lain di Indonesia, yang menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis buka kertas siasatan kes video tular

 

PUTRAJAYA, 13 JUN: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Menurutnya, polis setakat ini menerima satu laporan berhubung kes video yang tular di media sosial itu.

“Tindakan akan diambil sebagaimana laporan polis dibuat bagi apa jua isu. Kita jalankan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata polis akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ditanya sama ada individu yang terlibat dalam video boleh dikenakan tindakan, Abdul Hamid berkata: “Dalam proses siasatan (individu berkenaan) boleh dipanggil, boleh tidak dipanggil. Kita panggil mana yang berkenaan. Kes masih dalam siasatan.”

Abdul Hamid juga berkata, orang yang mengedar video berkenaan boleh diambil tindakan.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkannya dalam video lucah.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

20,000 pengguna kongsi video wartawan Amerika kecam Zionist

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 17 JULAI: Video seorang wartawan warganegara Amerika Syarikat yang berang dengan tindakan kejam tentera Israel melakukan serangan ke atas wilayah Gaza di Palestin mendapat perhatian seluruh dunia terutama di laman sosial.

Sehingga kini, dianggarkan lebih 20,000 pengguna laman sosial Facebook berkongsi video berkenaan secara peribadi di akaun masing-masing dengan harapan ia akan ditonton lebih banyak pihak.

Abby-MartinPaparan video berdurasi tiga minit dalam program Russia Today (RT) itu menunjukkan Abby Martin, 30 secara terbuka menyatakan kekesalannya terhadap insiden yang berlaku di Gaza selain menyelar media arus perdana yang hanya melaporkan maklumat dari sebelah pihak sahaja.

Abby atau nama sebenarnya Abigail Suzanne Martin turut menempelak kerajaan Amerika Syarikat kerana menyokong serangan itu yang berkata organisasi pengganas dari Gaza yang memulakannya dengan sengaja untuk mencederakan orang awam di Israel.

Malah kenyataan dari Setiausaha Akhbar White House, Josh Earnest itu berkata pihaknya menghargai panggilan secara terbuka oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk “bertindak secara bertanggungjawab”.

“Apakah yang dimaksudkan dengan “bertindak secara bertanggungjawab?” Saya pasti berada di alam dongeng kerana bagi saya hukuman terhadap seluruh penduduk Gaza bertentangan dengan “bertindak secara bertanggungjawab” yang dimaksudkan Netanyahu.

“Hanya dalam tempoh 24 jam, tentera Israel sudah membuat serangan udara ke atas 160 kawasan di Gaza dengan 560 kawasan telah dibom sehingga kini.

“Kerajaan Amerika boleh terus mengatakan hak Israel untuk mempertahankan negara, tetapi lihatlah peningkatan jumlah korban di Gaza, di mana tiada seorang pun warga Israel yang terkorban dari serangan roket Hamas,” kata Abby sinis.

Beliau dengan tegas mengutuk serangan yang berlaku dan meningatkan media antarabangsa supaya tidak memberi gambaran kitaran keganasan yang sama terhadap kedua-dua pihak.

Abby berkata hakikatnya pihak Israel adalah penjajah yang menindas, manakala Palestin adalah mangsa yang dijajah dan ditindas.

“Saya rasa sakit hati melihat sahabat Palestin yang kehilangan ahli keluarga dan sahabat handai setiap kali Israel menyerang orang yang tidak bersalah.

“Adakah merobohkan rumah, membuat tangkapan besar-besaran dan mengebom orang awam dikatakan sebagai “bertindak secara bertanggungjawab?”

“Saya fikir berapa ramai pula orang yang akan mati untuk mentakrifkan tindakan yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya lagi.

Tentera zionis Israel terus melakukan penindasan terhadap warga Palestin dengan melancarkan kempen memburu Ahli Parlimen Palestin (PLC) dan ahli akademik di Tebing Barat.

Sehingga kini dilaporkan seramai 36 ahli parlimen Palestin berada dalam tahanan penjara Israel.

Israel melakukan serangan pembunuhan ke atas jalur Gaza sejak Isnin minggu lalu yang mengakibatkan lebih 170 rakyat Palestin syahid, majoritinya orang awam, wanita dan kanak-kanak.

EZY

Categories
NASIONAL

‘Ma lai saile’ bermakna ‘kuda datang dengan hebatnya’ tapi Umno terjemah lain

Oleh Nazli Ibrahim

SHAH ALAM 16 FEB: Orang Melayu dinasihatI tidak mudah mempercayai propaganda pihak tertentu yang memutar belit terjemahan video ONEderful-Malaysia terbitan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, perkataan ‘malai saile’ yang disebut dalam rakaman bermakna ‘kuda datang dengan hebatnya’ dan tidak menyentuh kaum Melayu di negara ini.

“‘Ma’ maknanya ‘kuda’, ‘lai’ maknanya ‘datang’, ‘saile’ bermakna ‘dengan hebatnya’ menjadikan terjemahannya ‘kuda datang dengan hebatnya’ kerana Tahun Baru Cina kali ini, tahun kuda tetapi Umno terjemah lain.

“Orang Umno mahu ajar cakap Cina kepada orang Cina. Bila Cina beritahu tak betul, tak nak dengar. Macam dia lebih tahu dari orang Cina,” katanya pada sidang media di pejabatnya, baru-baru ini.

imagesMalah, Khalid juga difahamkan jika perkataan ‘ma lai’ diterjemah ke bahasa Melayu, ia memberi makna ‘Melayu itu hebat’.

“Kalau pun nak terjemahkan ‘malai’ itu Melayu, ‘ma lai saile’ bermakna ‘Melayu itu hebat’. Kalau orang Melayu, Cina akan sebut ‘Malai ren’ sebab setiap orang mereka akan tambah ‘ren’. Malai ren maknanya ‘orang Melayu’,” katanya.

Beliau menyifatkan Umno tiada modal politik hingga memainkan apa jua isu khususnya perkauman, kemudian membuat laporan polis di sana sini, selain membuat provokasi lain.

“Ini semua kerja gila dan inilah yang saya sebut, Umno merosakkan Melayu. Memalukan, menjatuhkan maruah Melayu.

– FZL

MB:Tiada pemberhentian kakitangan SYABAS

Sinopsis

FOKUS Untuk 087112013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Tidak ada pemberhentian kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) jika proses pengambilalihan syarikat konsesi itu berjaya diselesaikan, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

2. Kerajaan negeri bakal membangunkan semula sungai Klang termasuk pembersihan dan penaiktarafan akan dimulakan, pada Mac 2014.

3. Kerajaan Pusat didakwa terus bersikap boros apabila berbelanja hampir RM182 juta setahun untuk kos bahan api dan penyelenggaraan tujuh buah pesawat eksekutif (VVIP) dalam setiap urusan rasmi kerajaan.

4. Sistem pesanan ringkas (SMS) ‘menyeru’ pengundi memilih PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sebagai ‘tiket ke syurga’ sebenarnya bukan dihantar jentera pilihan raya PAS tetapi sebaliknya dihantar Barisan Nasional (BN).

5. Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak beretika dua pemimpin PKR dari Sabah yang bertindak meninggalkan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu, baru-baru ini.

Kerajaan Selangor sedia jadi ‘orang tengah’ antara nelayan dan Kerajaan Pusat

Sinopsis

FOKUS Untuk 06112013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan Selangor akan terus membantu nasib golongan nelayan yang terjejas ekoran penguatkuasaan baru Kerajaan Pusat dengan berusaha mengadakan pertemuan antara kedua belah pihak.

2. Isu mogok nelayan di seluruh negara wajar diselesaikan dengan kadar segera Kerajaan Pusat demi kebaikan rakyat dan golongan nelayan, tegas Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.

3. Sebanyak 1,000 wisel diedarkan kepada orang awam oleh wanita DAP Selangor bagi membendung jenayah ragut dan rompak di sekitar pasar borong Seri Kembangan, di sini, baru-baru ini.Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersiap sedia dengan menjalankan kerja-kerja pembersihan terutama longkang besar dan kolam tadahan banjir untuk berhadapan bencana alam terutama banjir.

4. Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengakui Selangor menjadi pilihan sebagai ‘destinasi’ utama kegiatan jenayah seperti kes tembakan dan gejala sosial lain yang dipercayai berpunca daripada kepadatan penduduk.

5. Peniaga di Medan Selera Prima Dua, di sini, dinasihatkan supaya mementingkan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan dan minuman selain mematuhi peraturan yang ditetapkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

6. Pasangan suami isteri, Mohd Dawam Dollah dan Noraisah Hassan dianugerahkan Tokoh Keluarga Mithali dalam Majlis Ambang Hijrah dan Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1435H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.