Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Sukan SEA: Peraturan kuarantin dimuktamad April

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Peserta Sukan SEA Hanoi 2021 mungkin perlu menunggu sehingga akhir April untuk mendapatkan garis panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan Covid-19 yang muktamad, berdasarkan kepada situasi semasa menjelang temasya sukan itu.

Memandangkan virus itu terus ‘berkembang dan melonjak pantas’, penganjur dijangka mengeluarkan SOP muktamad serta langkah pencegahan hanya tiga minggu sebelum bermula sukan itu, yang dijadualkan 12 hingga 23 Mei, dengan lebih banyak maklumat akan disediakan.

Dengan kira-kira 10,000 atlet dan pegawai dijangka bertanding dalam 40 sukan yang terdiri daripada 526 acara dalam sukan dwitahunan yang tertunda lebih setahun akibat pandemik Covid-19 itu, penganjur kini menetapkan pertandingan akan diteruskan walaupun terdapat kes yang disahkan serta lonjakan bilangan kes harian baru-baru ini.

Naib pengerusi Jawatankuasa Kecil Perubatan dan Anti-Doping Sukan SEA ke-31 Nguyen Van Phu berkata berdasarkan cadangan semasa Kementerian Kesihatan Vietnam (MOH), tiada kuarantin diperlukan semasa ketibaan untuk peserta, namun mereka perlu mematuhi peraturan ‘gelembung sukan’.

“Semua orang mesti diuji negatif sebelum ketibaan dan selepas tiba di Vietnam. Jadi sama ada kumpulan kecil atau besar, ia adalah kumpulan negatif (Covid-19). Mereka perlu mengikut pengangkutan yang disediakan untuk perjalanan, yang dikhususkan hanya antara penginapan ke tempat latihan dan pertandingan.

“Bagi kes positif, mereka akan diasingkan dan dikehendaki melakukan ujian susulan sehingga diuji negatif semula, manakala kontak rapat akan dipantau dan diuji secara berterusan,” katanya semasa sidang media antarabangsa pertama Sukan SEA Vietnam di Hanoi secara fizikal dan maya hari ini.

Nguyen berkata jawatankuasa penganjur telah meminta semua wilayah dan hotel terlibat dengan temasya itu, menyediakan bilik tambahan untuk tujuan pengasingan, dan pertandingan mungkin diadakan dengan jumlah penonton yang terhad atau tanpa penonton, berdasarkan situasi Covid-19.

Sementara itu Timbalan Ketua Jawatankuasa Kecil Penerangan dan Komunikasi Le Thi Hoang Yen berkata semua temu bual media fizikal dibenarkan buat masa ini selaras dengan keperluan persekutuan sukan, namun sekiranya situasi Covid-19 bertambah buruk semasa temasya itu, ia akan dijalankan secara dalam talian.

“Kami juga tidak mengehadkan bilangan wartawan asing di sini, kami mahu lebih ramai orang mengetahui tentang temasya itu, tetapi perlu mendapatkan kelulusan yang diperlukan (seperti visa untuk negara bukan ASEAN) dan semua peserta akan mempunyai lorong khusus di lapangan terbang,” katanya. .

Beliau berkata penganjur akan memberikan butiran lanjut mengenai isu asas berkaitan penginapan, pengangkutan dan perubatan selepas dimuktamadkan semasa mesyuarat Chef-de Mission (CDM) kedua pada 18 Mac, yang diadakan bersama-sama dengan pelancaran majlis kiraan detik dan larian obor.

Majlis perasmian dijadualkan pada pukul 8 malam (9 malam waktu Malaysia) pada 12 Mei di Stadium Nasional My Dinh, manakala majlis penutup di Istana Olahraga Hanoi pada masa yang sama pada 23 Mei.

Menurut laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Vietnam telah merekodkan 69,128 kes Covid-19 dalam tempoh 24 jam yang lepas dan dengan lebih tiga juta kes kumulatif.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Vietnam buka semula laluan udara buat 20 negara termasuk Malaysia

HANOI, 22 FEB: Vietnam setakat ini membuka semula laluan udara antarabangsanya kepada 20 negara dan wilayah, kata seorang pegawai pengangkutan.

Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), 20 laluan udara antarabangsa yang dibuka semula ialah Kemboja, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Filipina, Qatar, Singapura, Taiwan, Thailand, Turki, United Emiriah Arab Bersatu, Laos, China, Perancis, Jerman, United Kingdom, Australia, Rusia dan Amerika Syarikat.

Lapan lagi laluan udara yang belum dibuka semula ialah Brunei, India, Indonesia, Myanmar, Macau, Finland, Itali dan Switzerland, lapor VNA memetik Pengarah Jabatan Pengangkutan di Kementerian Pengangkutan Tran Bao Ngoc, pada sidang media hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala AFF: Malaysia tewas dengan Vietnam 0-3

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Hasrat Malaysia mara ke separuh akhir lebih awal disekat Vietnam, selepas tewas 0-3 pada aksi ketiga Kumpulan B Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Stadium Bishan, Singapura malam ini.

Kegagalan menyesuaikan diri dengan cepat terhadap intensiti tinggi permainan menghukum pasukan negara, apabila dibolosi dua gol dalam tempoh empat minit pada pertengahan babak pertamam sebelum Vietnam melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada penghujung perlawanan.

Keputusan itu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah skuad kebangsaan bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe pada kempen itu, selepas merakam kemenangan ke atas Kemboja dan Laos pada dua aksi pertama.

Kekalahan di tangan penyandang juara itu juga menggugat peluang pasukan negara menempatkan diri ke pusingan empat pasukan terbaik, apabila jatuh ke kedudukan ketiga dalam saingan Kumpulan B dengan Vietnam kini di tempat kedua manakala Indonesia sebagai pendahulu.

Ia juga kekalahan keenam Malaysia kepada Vietnam dalam tujuh pertemuan terakhir dan kekalahan kelima buat Cheng Hoe berdepan skuad Naga Emas itu sejak membimbing pasukan negara pada 2017.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Harimau Malaya tewas tipis 1-2 kepada Vietnam

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Skuad Harimau Malaya terpaksa menempuh laluan kelayakan yang lebih panjang ke Piala Asia 2023 apabila tewas tipis 1-2 kepada Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal pagi ini.

Kekalahan keempat Malaysia dalam lima pertemuan menentang Vietnam sejak Park Hang-seo mengambil alih pasukan itu pada 2017, menyaksikan Malaysia hilang peluang untuk menduduki dua tempat teratas dalam Kumpulan G.

Daripada lapan kumpulan, hanya pasukan di tempat teratas dan empat pasukan terbaik di tempat kedua akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022, sekali gus layak secara automatik ke Piala Asia, manakala pasukan lain terpaksa menempuhi satu lagi pusingan kelayakan ke Piala Asia.

Pada aksi hari ini, keputusan ketua jurulatih negara Tan Cheng Hoe yang meletakkan gandingan Brendan Gan dan Muhammad Syafiq Ahmad di tengah, dilihat mampu menguasai perlawanan pada babak pertama, namun gagal dalam mencabar gawang gol Vietnam.

Skuad Naga Emas itu memberi amaran awal menerusi serangan jarak jauh pemain pertahanan, Van Hau Doan pada minit ke-10, yang tersasar ke bahagian kanan gawang gol, manakala percubaan Hoang Duc Nyugen ditangkap kemas oleh Mohd Farizal Marlias.

Vietnam bagaimanapun, berjaya membuka tirai jaringan menerusi tandukan Nguyen Tien Linh pada minit ke-27, yang gagal dihalang oleh benteng pertahanan negara yang sedikit hilang fokus setelah tidak dapat mengawal bola selepas sepakan sudut pasukan lawan.

Tandukan deras Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-38, setelah menerima hantaran daripada Matthew Davies, berjaya dihalang oleh penjaga gol Vietnam Bui Tan Truong, manakala sepakan percuma Safawi Rasid juga berjaya ditampan keluar oleh penjaga gol veteran itu.

Bersambung babak kedua, Cheng Hoe, yang kehilangan bapanya Tan Chooi Siak, 95, semalam, membuat keputusan untuk menggantikan Syafiq dan Safawi dengan membawa masuk Nazmi Faiz Mansor dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

Penyerang naturalisai negara, Guilherme de Paula akhirnya membalas kepercayaan yang diletakkan ke atasnya, apabila menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti deras pada minit ke-72.

Terdahulu, pengadil Ryuji Sato menghadiahkan sepakan penalti selepas de Paula dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain pertahanan Vietnam.

Namun, keriangan skuad negara tidak kekal lama apabila Que Ngoc Hai meletakkan skuad kendalian Hang-seo sekali lagi di hadapan dengan melengkapkan sepakan penalti pada minit ke-82, setelah Brendan mengasari Nguyen Van Toan.

Ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut skuad Harimau Malaysia dalam kempen kelayakan itu, selepas diaibkan 0-4 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu.

Satu lagi aksi Kumpulan G menyaksikan UAE membelasah Indonesia 5-0.

Keputusan hari ini menyaksikan Vietnam, yang mengekalkan rekod tanpa kalah terus kekal di tangga teratas kumpulan dengan 17 mata selepas tujuh perlawanan, diikuti UAE (15 mata), Thailand (9), Malaysia (9) dan Indonesia (1).

Malaysia seterusnya akan beraksi menentang Thailand pada aksi terakhir kumpulan pada awal pagi Rabu, manakala Vietnam bakal berdepan cabaran UAE dalam penentuan juara kumpulan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: Vietnam sahkan Sukan SEA berlangsung seperti dijadual

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Vietnam mengesahkan Sukan SEA Ke-31 akan berlangsung seperti dijadualkan dari 21 Nov hingga 2 Dis tahun ini di Hanoi, kata Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

MOM berkata Vietnam mengesahkan perkara itu semasa mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) secara maya semalam di tengah-tengah pandemik Covid-19 sementara Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) yang menyertainya juga mengemas kini keadaan pandemik di negara masing-masing.

“Mesyuarat itu kemudian menugaskan Jawatankuasa Perubatan SEAGF untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Ke-31 Vietnam 2021 untuk menubuhkan langkah dan protokol terperinci Covid-19 untuk dilaksanakan pada Sukan SEA nanti,” kata MOM menerusi satu kenyataan di Facebook, malam tadi.

MOM menyatakan Mesyuarat Chef-de-Mission akan diadakan pada 15 Jun secara dalam talian, sementara buku panduan teknikal untuk semua 40 sukan yang sedia untuk diedarkan pada hari yang sama.

Mesyuarat maya itu juga akan menyaksikan NOC Kemboja membentangkan satu laporan ringkas persiapan penganjuran Sukan SEA ke-32, yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 16 Mei 2023, di Phnom Penh, Kemboja.

Kemboja merancang untuk menganjurkan 30 hingga 35 sukan pada edisi ke-32 temasya sukan serantau itu.

“Pejabat SEAGF akan menjadi tuan rumah mesyuarat bulanan untuk mengemas kini ahli NOC SEAGF mengenai perkembangan terkini Covid-19 dan bagi menerima laporan kemajuan daripada Jawatankuasa Penganjur edisi Ke-31 Sukan SEA Vietnam 2021 dan edisi Ke-32 Sukan SEA Kemboja 2023,” kata MOM.

MOM diwakili Presiden Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Setiausaha Agung Datuk Mohd Nazifuddin Najib dan Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Datuk Dr SS Cheema dalam mesyuarat dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif SEAGF Datuk Seri Chaiyapak Siriwat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Maritim tahan kapal kargo buang sisa minyak di perairan Selangor

LUMUT, 7 MAC: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal kargo yang disyaki membuang sisa minyak di perairan Selangor kira-kira 21.7 batu nautika timur laut Pulau Jarak dekat sini.

Pengarahnya, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata terdahulu, pesawat agensi itu memaklumkan rondaan di perairan perairan berkenaan dan mengesan tindakan kapal kargo yang mencurigakan sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada Maritim Malaysia Selangor.

Beliau berkata susulan maklumat itu, pihaknya melalui Kapal Maritim (KM) Gagah yang sedang melakukan rondaan segera ke lokasi terbabit untuk melakukan pintasan serta penggeledahan secara menyeluruh ke atas kapal tersebut pada kira-kira 12 tengah hari kelmarin.

“Kapal kargo tersebut dikatakan dalam perjalanan menghala ke utara dan telah memasuki perairan negeri Perak.

“Kapal berkenaan (yang) berdaftar di Haiphong, Vietnam (sedang) dalam perjalanan menuju ke Eropah dengan dikendalikan 22 kru warga Vietnam berumur lingkungan 30 hingga 65 tahun yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Shahrizan berkata kapal itu disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) dan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana membuang sisa minyak ke dalam laut.

Beliau berkata kapal itu bersama kesemua kru kini ditahan di ‘South East Point’ (SEP) perairan Pulau Pangkor bagi tujuan pengambilan sampel minyak oleh Jabatan Alam Sekitar Perak untuk siasatan lanjut.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan Sea: Prestasi pemain sepak takraw lebih penting banding usia

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menegaskan usia bukan ukuran, sebaliknya pencapaian semasa menjadi penanda aras untuk dipilih mewakili negara ke Sukan SEA 2021 di Vietnam.

Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail berkata pemain senior tetap menjadi keutamaan bagi membarisi skuad sepak takraw negara jika tiada atlet muda yang mampu menandingi prestasi mereka.

Ahmad menegaskan keputusannya itu bukan menidakkan cadangan dibuat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menyenaraikan atlet pelapis ke temasya dwitahunan itu, namun mengambil kira faktor pemain berpengalaman sebagai nadi utama pasukan.

“PSM setuju dengan pendirian siapa yang terbaik, mereka akan pergi ( Sukan SEA Vietnam). Mungkin atlet baru berumur 21 tahun atau lebih sikit. Kalau 25 tahun pun tiada masalah. Kami tidak kisah umur berapa. Hanya yang terbaik akan dipilih.

“Nak tahu siapa yang terbaik, kena ada kejohanan. Dari situ kita akan pilih siapa yang terbaik untuk dihantar ke Sukan SEA. Kita tidak mahu menidakkan bakat atlet sedia ada, disebabkan kriteria baru ini,” katanya, baru-baru ini.

Ahmad berkata perkara sama juga dilakukan musuh tradisi, Thailand, apabila pemain senior turut disenaraikan bagi memperkukuhkan kekuatan pasukan dalam misi mengekalkan pingat emas, di temasya dwitahunan itu.

“Kita lihat yang menjadi pencabar utama kepada kita ialah Thailand. Seluruh peminat tahu atlet mereka berusia dan berpengalaman. Itu antara sebab mengapa Thailand memonopoli sukan ini.

“Pemain Thailand sudah tujuh, lapan kali ke Sukan SEA dan Sukan Asia. Umur bukan ukuran dia, Ponchai (Ponchai Kaokaew) tahun ni dia 39 tahun, dan tahun ni saya dengar dia akan bermain lagi di Sukan SEA, dan mungkin ini yang terakhir.

“Kita kalah selama ini bukan dari segi kemahiran semata-mata, memang ada beza tapi ia lebih kepada mental. Mental tak kuat sebab kena jumpa pemain Thailand yang berpengalaman. Saya yakin dalam masa setahun dua ini, atlet Malaysia juga boleh berada di tahap itu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Vietnam bebas wabak 82 hari berturut-turut

HANOI, 7 JULAI: Vietnam berjaya mengekalkan sifar kes Covid-19 dalam kalangan komuniti selama 82 hari berturut-turut, menurut Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan untuk Pencegahan dan Pengawalannya.

Setakat ini, Vietnam merekodkan 369 kes jangkitan termasuk 229 kes import yang dikuarantin semasa tiba di negara ini, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Daripada jumlah itu 341 pesakit atau 92.4 peratus sudah sembuh dan tiada kematian dilaporkan.

Seramai 13,047 kontak pesakit atau mereka yang pulang dari kawasan dilanda wabak masih dikuarantin sama ada di hospital, pusat khas atau di rumah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Vietnam kekal rekod kes sifar baharu Covid-19 sejak 16 April

HANOI, 29 JUN: Sejak 16 April, Vietnam masih berjaya mengekalkan rekod sifar jangkitan baharu Covid-19 dalam komuniti tempatan menurut Jawatankuasa Pemandu untuk Pencegahan dan Kawalan COVID-19 pada Ahad, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Daripada 355 kes yang disahkan di Vietnam setakat ini 215 terdiri kes import dan dikuarantin semasa tiba di negara ini tanpa risiko penularan dalam kalangan masyarakat.

Seramai 9,048 kontak pesakit atau yang tiba dari wilayah terjejas wabak kini dikuarantin di seluruh negara termasuk 107 di hospital, 8,051 di pusat khas dan 890 di rumah.

Seramai 330 daripada 355 pesakit atau 93 peratus sudah pulih sepenuhnya dan kekal tiada kematian dilaporkan.

Sepuluh pesakit masih menjalani rawatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

62 hari Vietnam bebas tanpa kes baharu Covid-19

HANOI, 18 JUN: Vietnam masih berjaya mengekalkan sifar kes baharu Covid-19 untuk tempoh 62 hari berturut-turut menjadikan jumlah jangkitan di negara ini kekal 335 tanpa kematian, menurut Jawatankuasa Pemandu untuk Pencegahan dan Kawalan Covid-19.

Antara kes jangkitan itu membabitkan 195 kes import, yang dikuarantin semasa ketibaan, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Jumlah pesakit sembuh pula keseluruhannya seramai 325.

Daripada 10 kes disahkan yang masih menerima rawatan, empat diuji negatif untuk SARS-CoV-2, sekurang-kurangnya dua kali.

Seramai 7,250 kontak rapat pesakit atau mereka yang pernah mengunjungi kawasan terjejas wabak sedang dikuarantin di hopsital, pusat kuarantin dan di rumah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Vietnam bebas Covid-19 tiga minggu berturut-turut

HANOI, 7 MEI: Vietnam tidak melaporkan sebarang kes baharu Covid-19 dalam komuniti tempatan selama 21 hari berturut-turut dan jumlah kes kekal 271, kata Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan untuk Pencegahan dan Pengawalan Covid-19 hari ini.

Agensi berita Vietnam melaporkan daripada jumlah itu, 131 adalah kes import dan mereka yang dikuarantin ketika tiba di negara ini.

Setakat ini 232 pesakit atau 86 peratus sudah pulih.

Seramai 39 lagi masih dirawat di pusat rawatan kesihatan negeri dan wilayah, kebanyakannya berada dalam keadaan stabil.

Terdapat 20,942 orang dikuarantin buat masa ini, termasuk 169 di hospital, 6,469 di pusat kuarantin lain dan 14,304 lagi di rumah.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dr Mahathir mulakan lawatan ke Vietnam hari ini

HANOI, 27 OGOS: Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad yang memulakan lawatan tiga hari ke Vietnam hari ini disambut penuh penghormatan oleh negara republik sosialis itu dengan hamparan permaidani merah.

Dr Mahathir diberikan sambutan rasmi di Istana Presiden di mana ketibaan beliau dialu-alukan oleh Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc.

Dr Mahatahir memeriksa barisan penghormatan di mana lagu kebangsaaan Malaysia Negaraku dan lagu kebangsaan Vietnam didendangkan.

Kemudian, kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat terhad dan diikuti mesyuarat delegasi di pejabat perdana menteri.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan hubungan dua hala serta menggalakkan inisiatif kerjasama baharu dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan serta isu-isu serantau dan antarabangsa bagi mengukuhkan hubungan kedua-dua belah pihak.

Selepas perbincangan itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan majlis pertukaran surat bagi penubuhan Kumpulan Persahabatan Parlimen Malaysia-Vietnam dan diikuti oleh sidang media bersama.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Kemudian pada hari ini juga Dr Mahathir akan mengadakan dialog dengan ahli perniagaan Malaysia dan pelabur yang melibatkan sebanyak 27 syarikat Malaysia yang beroperasi di Vietnam.

Dr Mahathir tiba di Hanoi Isnin malam bagi lawatan rasminya ke Vietnam atas undangan rakan sejawatannnya Nguyen Xuan Phuc.

Kali terakhir Dr Mahathir melakukan lawatan kerja ke Vietnam ialah dalam tahun 1998 bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Vietnam terjalin sejak 1973.

Vietnam merupakan rakan kongsi ekonomi Malaysia yang penting. Malaysia dan Vietnam menyasarkan untuk mencapai nilai dagangan sebanyak US$15 bilion (RM63 bilion) tahun depan berbanding US$13.3 bilion (RM55.7 bilion) tahun lepas.

-BERNAMA