Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Vivian ziarah pusara, hadiah kemenangan kepada bapa

SANDAKAN, 12 MEI: Anggota Parlimen Sandakan yang baharu dipilih semalam, Vivian Wong Shir Yee memulakan pagi pertama sebagai wakil rakyat, mengotakan janjinya untuk menziarahi pusara bapanya mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang menganggap kemenangannya semalam sebagai hadiah buat bapanya.

Vivian ditemani ibunya, Datin Florence Chong Mee Fook dan anggota keluarga lain serta rombongan DAP Sandakan, melawat pusara mendiang bapanya di Perkuburan Kristian Sandakan di sini.

Beliau dan rombongan menundukkan kepala di hadapan pusara bapanya sebagai tanda hormat kepada mendiang atas khidmatnya kepada rakyat ketika menjadi anggota Parlimen Sandakan selama dua penggal.

Suasana menjadi pilu apabila Vivian sukar menahan airmatanya daripada mengalir ketika meletakkan jambangan bunga di atas pusara bapanya.

Anak bongsu daripada empat beradik itu mendedikasikan kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan itu untuk mendiang bapanya atas bimbingan mendiang dalam arena politik.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong berikutan kematian Stephen akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu di Kota Kinabalu.

Semalam, Vivian diisytiharkan anggota Parlimen Sandakan yang baharu dengan undi majoriti yang besar iaitu 11,521 mengatasi undi majoriti yang diraih bapanya sebanyak 10,098 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas.

Beliau menewaskan pencabar terdekatnya Datuk Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah dan tiga calon Bebas iaitu Hamzah Abdullah, Chia Siew Yung dan Sulaiman Abdul Samat.

– BERNAMA

Foto Sumber: Vivian Wong Facebook

Categories
NASIONAL

Kemenangan Vivian tunjukkan rakyat masih sokong PH – Anwar

SANDAKAN, 12 MEI: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemenangan Vivian Wong daripada DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan jelas menunjukkan rakyat masih memberi sokongan dan dukungan padu kepada Pakatan Harapan (PH).

Namun, Anwar berkata kepimpinan PH tidak boleh merasa selesa dengan kemenangan Vivian, sebaliknya perlu terus bekerja keras bagi memastikan taraf ekonomi rakyat terus terbela di setiap peringkat.

“Selain itu, pimpinan PH juga dinasihatkan agar menggerakkan segala usaha membantu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam merealisasikan tujuh teras strategik bagi mencapai matlamat ‘Kemakmuran Bersama’ yang diumumkan sewaktu Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Anwar, anggota Parlimen Port Dickson, turut mengucapkan tahniah kepada Vivian kerana diberi mandat oleh rakyat di Sandakan untuk menjadi wakil rakyat mereka.

“Saya yakin beliau mampu menggalas tanggungjawab ini dengan baik seperti mana yang dilakukan mendiang bapanya (Datuk Stephen Wong Tien Fatt),” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Sandakan contoh terbaik – SPR

SANDAKAN, 11 MEI: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan sebagai contoh terbaik PRK yang diadakan sepanjang tempoh memegang jawatan sebagai pengerusi badan berkecuali itu.

Beliau berkata, perkara itu dilihat berdasarkan kelancaran proses PRK itu berlangsung, selain aspek ketenteraman awam dan disiplin tinggi yang ditunjukkan para penyokong parti politik, calon bertanding serta pengundi.

“Mereka amat berdisiplin, menghormati undang-undang dan peraturan Pilihan Raya, saya rasa ini contoh pilihan raya yang amat baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan bagi PRK Sandakan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua di sini, malam ini.

Mengulas mengenai penyusutan peratus pengundi keluar mengundi, Azhar berkata itu adalah perkara biasa.

“Peratusan yang keluar mengundi hari ini, 54.4 peratus bersamaan 21,595 pengundi, selalunya memang (pengundi) akan berkurangan daripada Pilihan Raya Umum,” katanya yang menjangka faktor pengurangan berkemungkinan disebabkan ramai pengundi bekerja di luar kawasan sekali gus tidak dapat balik.

Sebelum itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Hamsan Awang Supain mengumumkan calon DAP Vivian Wong Shir Yee menang dengan majoriti 11,521 undi.

SANDAKAN, 11 Mei — Calon DAP Vivian Wong Shir Yee (tengah) mengangkat tangan tanda gembira selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan kemenangan beliau dengan undi 16,012 dan majoriti 11, 521 di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua malam ini-fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Vivan memperoleh 16,012 undi berbanding pencabar terdekat iaitu Datuk Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah yang meraih 4,491 undi.

Kemenangan Vivian itu turut melebihi majoriti bapanya mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, penyandang kerusi parlimen itu, yang mendapat majoriti 10,098 pada PRU ke-14.

Pada 28 Mac lalu, Stephen meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Vivian dedikasi kemenangan kepada mendiang bapa

SANDAKAN, 11 MEI: Anggota Parlimen Sandakan baharu, Vivian Wong Shir Yee mendedikasikan kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan kepada mendiang bapanya Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang meninggal dunia pada 28 Mac lalu.

Untuk itu, beliau akan menziarahi kubur bapanya esok bagi menghargai pengorbanan bapanya mendidiknya menjadi seorang insan berjiwa rakyat.

“Saya berterima kasih kepada bapa saya yang telah mempersiapkan diri saya menjadi ahli politik dan menjadikan saya sebagai wanita muda yang berhati waja.

“Kemenangan saya bukan hanya untuk saya, tetapi juga untuk mendiang bapa saya dan keluarga saya, dan yang paling penting, rakyat Sandakan,” katanya selepas diisytiharkan pemenang PRK Sandakan di sini malam ini.

SANDAKAN, 11 Mei — MENANG… Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan kemenangan Calon DAP Vivian Wong ShIr Yee dengan undi 16,012 dan majoriti 11, 521 di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua malam ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Vivian berkata, beliau terharu dengan kesungguhan dan dedikasi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkempen untuknya tanpa mengenal cuaca panas mahupun hujan lebat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kemenangan Vivian merupakan hadiah ulangtahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan dan kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah.

Katanya, kemenangannya akan menyuntik semangat kepada kerajaan untuk bekerja lebih keras lagi demi rakyat dan negara.

Sementara itu, ibu Vivian iaitu Datin Florence Chong berkata kemenangan anaknya itu telah mengubati deritanya selepas kehilangan Stephen akibat serangan jantung.

“Kemenangan Vivian menunjukkan Sandakan masih begitu menghormati mendiang suami saya sehingga menyokong anak kami,” katanya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan bahawa kemenangan Vivian Wong menunjukkan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) di Putrajaya dan negeri Sabah dibawah pimpinan parti Warisan.

Beliau berkata ia menunjukkan rakyat mahukan Malaysia Baharu, Sabah Baharu dan Sandakan Baharu.

“Ia juga penolakan kempen “malu apa bossku” yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri dan rakyat mahukan kerajaan yang bersih,” katanya.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata ,kemenangan itu akan membawa perubahan kepada Sandakan.

Pemangku Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri berkata, beliau bersama Wong akan berusaha melaksanakan janji bagi memajukan Sandakan.

Dalam pada itu, Benita Wong Shing Yee, 38, kakak kepada Vivian Wong melahirkan penghargaan kepada pengundi Sandakan yang menaruh kepercayaan kepada adiknya.

Namun dalam kemenangan itu, beliau masih merindukan mendiang bapanya yang juga penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

“Terima kasih kepada penduduk Sandakan yang menyokong Vivian dan memberi peluang dia berkhidmat kepada Sandakan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Vivian Wong mengundi di SK Muhibbah

SANDAKAN, 11 Mei (Bernama) — Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee, 30, tiba pada 8.09 pagi di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Muhibbah di sini, pagi ini.

Anak kepada penyandang kerusi Parlimen Sandakan, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt itu memakai baju kemeja berwarna putih kelihatan ceria melangkah masuk ke pusat mengundi.

Para media yang menanti ketibaannya tidak melepaskan peluang untuk merakam detik beliau mencelup jari warna biru sebagai tanda telah menunaikan tanggungjawab.

Pagi ini seawal 7.30 pagi, pengundi saluran satu dan dua di SK Muhibbah terlebih dahulu memulakan proses pengundian.

Keadaan cuaca pula cerah walaupun malam tadi cuaca hujan dan pada pagi proses pengundian berjalan lancar.

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong, yang menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

-BERNAMA