Categories
AGENDA NASIONAL

Omicron: Laluan lengkap vaksin Malaysia-Singapura ditangguh sementara

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura digantung sementara mulai esok hingga 20 Jan 2022, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya, keputusan dibuat dengan mengambil kira laporan Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Dis lepas berhubung kejadian satu kluster tempatan Covid-19 yang melibatkan tiga kes positif termasuk kemungkinan varian Omicron.

“Hasil ujian lanjut yang dijalankan mendapati dua daripadanya menunjukkan kemungkinan varian Omicron sementara keputusan bagi lain-lain kes masih lagi belum selesai. Ketiga-tiga kes ini tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi pengembara yang sudah memiliki tiket perjalanan VTL melalui darat dan udara serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan boleh meneruskan perjalanan di bawah inisiatif berkenaan.

Menjelas lanjut, beliau berkata inisiatif VTL ini akan dibuka semula pada 21 Jan 2022 selepas penilaian risiko dibuat berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara.

“Bagaimanapun, kuota tiket yang dijual akan dikurangkan daripada kuota sedia ada,” katanya sambil menambah maklumat lanjut berhubung arahan penggantungan sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif VTL itu boleh dirujuk kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi VTL Udara dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi VTL Darat.

Dalam pada itu, Khairy menyarankan semua pengembara supaya bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dengan melakukan ujian pengesan Covid-19 kendiri secara berkala.

Pada 29 Nov lepas, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk memulakan inisiatif VTL melalui perjalanan udara dan darat antara kedua-dua negara kepada para pengembara yang menerima dos lengkap vaksin Covid-19.

Melalui kemudahan ini, pengembara tidak perlu menjalani tempoh kuarantin wajib apabila tiba di destinasi, namun masih tertakluk kepada keperluan untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum berlepas dan semasa ketibaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes pertama Covid-19 VTL Malaysia-Singapura dikesan

SHAH ALAM, 29 NOV: Satu kes positif Covid-19 dikesan di pintu masuk Malaysia pada hari pertama Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata maklumat itu diterima pagi tadi daripada pintu masuk antarabangsa Tambak Johor, iaitu satu kes positif dari ujian RTK-Antigen yang dikesan ketika ujian saringan semasa ketibaan.

“Perkara ini sedang disemak melalui ujian pengesahan secara RT-PCR. Kita hendak uji melalui RT-PCR bagi mengesahkan keputusan ujian yang dibuat melalui RTK-Antigen,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Petugas Covid-19 Institut Kesihatan Negara di sini hari ini.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru kini sedang membuat penilaian risiko terhadap penumpang bas yang bersama individu dikesan positif tersebut, sama ada mereka diperlukan menjalani kuarantin dan sebagainya.

“Walaupun ada satu kes saya tidak menganggap ini sebagai satu yang boleh menggagalkan VTL ini sebaliknya adalah satu contoh bagaimana ujian saringan pra-ketibaan dan saringan semasa ketibaan serta semua adalah langkah pencegahan perlu kita adakan. Bukan bermaksud kita kena batalkan VTL kerana satu kes (positif).

“Akan ada kes-kes positif, tapi yang penting adalah dari segi keupayaan dan keperluan diagnosis kita serta penilaian risiko yang dibuat PKD apabila kes seperti ini berlaku,” katanya.

Khairy berkata hari ini adalah hari penting kepada Malaysia dan Singapura, jiran paling hampir kepada kedua-dua negara untuk membuka sempadan dengan selamat.

“Petang nanti apabila kita dah ada maklumat lanjut, kita akan keluarkan kenyataan mengenai status VTL yang bermula hari ini,” katanya.

– BERNAMA