Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Vaksinasi meningkat, elak rebak jangkitan di sekolah

HULU KELANG, 18 OKT: Peningkatan kadar vaksinasi penduduk negara ini diharap mampu mengelak penularan wabak Covid-19 di sekolah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) masih perlu dijaga bagi memastikan keselamatan warga sekolah terjamin.

“Kita kekal kepada jadual diberikan (pembukaan institusi pendidikan) dan pastikan vaksinasi menjadi asas. Kalau vaksinasi tidak selesai, kita tidak akan mampu menampung atau menangani masalah perebakan.

“Pada masa sama, SOP kena diambil perhatian kerana semasa pembukaan sekolah dulu berlaku perebakan disebabkan kegagalan (patuh) SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat tapak Balai Polis Taman Melawati di sini semalam.

Sementara itu, Amirudin berkata bilangan guru di negeri ini yang enggan menerima suntikan pelalian amat kecil.

“Terlalu kecil… tapi kita akan ambil tindakan, kalau tak (ia) akan jadi barah kepada masyarakat,” katanya lagi.

Semalam, Kementerian Pendidikan memaklumkan pengoperasian institusi pendidikan mengikut ketetapan fasa empat pelan pemulihan negara (PPN) bagi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka akan berkuat kuasa mulai 1 November.

Kementerian terbabit sebelum ini memutuskan apabila negeri beralih ke fasa PPN seterusnya, semua institusi pendidikan di negeri berkenaan perlu beroperasi mengikut ketetapan fasa baharu selepas dua minggu dari tarikh peralihan fasa.

 

Categories
ADN SELANGOR

Kes Covid-19 tinggi, ADN gesa ujian bersasar buat warga Seri Kembangan

SHAH ALAM, 30 JUN: Saringan Covid-19 secara besar-besaran perlu dijalankan kerajaan terhadap penduduk di Seri Kembangan susulan kebimbangan jangkitan harian wabak.

Ahli Dewan Negerinya Ean Yong Hian Wah berkata usaha mengesan jangkitan awal harus disegerakan bagi mengelak situasi lebih parah termasuk kes kematian.

“Pusat khidmat saya masih terima laporan kes positif setiap hari. Kami risau wabak bertambah serius sekiranya langkah proaktif tidak diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mengikut maklumat, lebih kurang 40 penduduk Seri Kembangan meninggal dunia di Hospital Serdang sejak lebih setahun pandemik melanda,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau turut kesal dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang sepatutnya berada di barisan hadapan dalam mengurus isu pandemik selain menjaga keselamatan rakyat, namun gagal berbuat demikian.

Pada 25 Jun, Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang mengambil inisiatif menjalankan program Saringan Komuniti secara bersasar di Stadium MBSJ Serdang Jaya berikutan rantaian jangkitan Covid-19 sukar diputuskan.

Seramai 683 individu berjaya disaring menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dengan 86 daripadanya disyaki positif wabak.