Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belia manfaat program Undi 18, bawa perubahan dalam politik

SHAH ALAM, 14 NOV: Golongan belia perlu mengambil tahu perkembangan politik supaya dapat membawa perubahan dan idealisme baharu kepada negara, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peranan golongan tersebut dalam dunia politik penting supaya mereka menjadi sebahagian daripada penentu dasar negara antaranya melibatkan ekonomi dan pendidikan.

“Tidak salah kalau minat artis dan sukan tetapi harus ada keseimbangan pada tanggungjawab kerana orang politik yang menentukan setiap dasar.

“Sekiranya mengambil pendirian mengurangkan minat dalam politik, kita menyerahkan kuasa kepada orang sedemikian dan kemudian mengeluh sedangkan kita sendiri yang membiarkannya,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media pada program TownHall Undi 18 Wacana Pemicuan Undi 18 Selangor yang turut dihadiri EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman di Dewan Jubli Perak semalam.

Tambah Ahli Parlimen Port Dickson, golongan belia wajar memanfaatkan ruang diberikan Kerajaan Selangor menganjurkan program seperti itu yang memberi pencerahan berkaitan dunia politik.

“Saya cadang inisiatif ini dibawa ke setiap daerah dan melibatkan pemimpin belia dan orang muda. Saya tak percaya kalau anak muda diberi pendedahan dia akan buat tidak tahu sahaja,” katanya.