Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wad hospital terbakar, 30 pesakit dipindah

SHAH ALAM, 11 OKT: Seramai 30 pesakit dua wad di Hospital Pantai di Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang dipindahkan susulan kebakaran malam tadi.

Seramai 20 kakitangan hospital terbabit turut dipindahkan namun tiada mangsa cedera dilaporkan, maklum pengarah bomba Selangor.

Norazam Khamis berkata seramai 13 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 11.38 malam.

“Bomba yang tiba di lokasi pada jam 11.42 malam mendapati kebakaran melibatkan bilik bernombor A60 dan A61, namun telah dikosongkan.

“Pasukan bomba menggunakan konsep ‘receo’ iaitu membuat kerja menyelamat, memindahkan pesakit dan kerja pemadaman,” katanya.

Beliau berkata api berjaya dikawal 10 minit kemudian dan operasi ditamatkan jam 12.57 pagi manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Katil makin terhad walaupun hanya 2.1 peratus kes kategori tiga hingga lima

SHAH ALAM, 18 JULAI: Kapasiti katil di wad dan unit rawatan rapi (ICU) kini semakin terhad meskipun hanya 2.1 peratus kes dilaporkan hari ini berada pada kategori tiga, empat dan lima.

Ketua pengarah kesihatan berkata pesakit kategori berkenaan masih perlu dirawat di ICU dan wad selain menyeru orang awam agar terlindung daripada jangkitan Covid-19.

“Tempoh masa yang lama diperlukan bagi kes kategori tiga hingga lima di wad dan ICU, hal ini mengakibatkan kapasiti katil yang sememangnya terhad kian hari menjadi semakin penuh dan sesak.

“Ini secara tidak langsung akan terus membebankan sistem kesihatan terutamanya di ICU, hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC),” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan bagi kes kategori lima, mereka perlukan purata tempoh jagaan di ICU selama 21 hari diikuti kategori empat (14 hari) manakala kategori tiga memerlukan penjagaan dan pemerhatian di hospital terutama pesakit berisiko tinggi.