Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar lancar memoir Jejak-Jejak Pencerahan Umat karya Dr Muhammad Nur Manuty

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pengkisahan dalam buku memoir Jejak-Jejak Pencerahan Umat tulisan Prof. Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dapat memberikan kefahaman tentang erti perjuangan Islam.

Pengerusi Pakatan HARAPAN berkata memoir sahabatnya sejak dari dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu mengimbas sejarah dalam dunia dakwah, akademik dan politik.

Beliau berkata, sumbangan bekas Presiden ABIM itu amat besar dalam menggerakkan dakwah yang berpangkal pada asas ilmu dan ruh perjuangan.

“Jemaah yang berkembang sejak dari tahun 60-an sehingga sekarang nyata masih subur dengan ilmu dan akhlak.

“Saya sentiasa bersyukur kerana dikelilingi oleh mutiara dan para cendekiawan yang sentiasa menasihati dan tidak segan silu dalam mengkritik saya,” kata Anwar dalam Twitternya selepas melancarkan buku tersebut di Bangi semalam.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Dr. Azizah Wan Ismail dan Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor, Prof Dato’ Dr Mohammed Redzwan Othman.

Anwar turut memberikan kata penghantar dalam buku setebal hampir 500 muka surat itu.

Buku memoir Jejak-Jejak Pencerahan Umat tulisan Dr. Muhammad Nur Manuty. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Memoir terbitan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) itu merakamkan kisah perjalanan Muhammad Nur dalam bidang dakwah, pendidikan dan politik.

Ia berfokus kepada gagasan islah dan tajdid Islam yang marak di tanah air mulai dekad 70-an.

Penulis yang kini Presiden Kolej Dar al-Hikmah terlibat dalam proses tersebut setelah menerima pendidikan Islam formal dan tidak formal di dalam dan di luar negara.

Penulis aktif dalam PKPIM, ABIM dan Wadah, antara tiga gerakan dakwah penting yang telah memberi sumbangan bermakna dan tersendiri terhadap proses yang melahirkan fenomena ‘kebangkitan Islam’ di Malaysia.

Buku yang memuatkan 10 bab itu turut mengisahkan perjalanan penulis memperjuangkan nilai-nilai universalisme Islam menerusi jalur Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang bersifat majmuk bangsa dan agama.

Muhammad Nur, 72,  yang berasal dari Batu Kurau, Perak pernah menjadi calon KEADILAN pada Pilihan Raya Umum ke-13 di kerusi Parlimen Bagan Serai namun tewas tipis.

Beliau sebelum ini turut dipilih oleh Dewan Undangan Negeri Selangor bagi menjadi Senator dari 2015 hingga 2018.

Lulusan Kolej Islam Malaya ini pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

 

 

 

Categories
NASIONAL

10 NGO Islam Gesa Rakyat Tolak Politik Lucah, Samseng Dan Rasuah

politik lucah 01

SHAH ALAM, 12 APRIL : 10 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam utama negara ini menggesa rakyat menolak sama sekali amalan politik lucah yang cuba dijadikan sebagai alat untuk mencari populariti politik dalam jangka pendek.

Dalam kenyataan media bersama itu NGO-NGO Islam memandang berat perbuatan mencipta video lucah, mempertontonkan bahan-bahan tersebut serta melakukan pertuduhan zina ke atas seseorang sewenang-wenangnya di khalayak ramai.

“Umat Islam perlu mengelakkan implikasi ini dengan menolak amalan politik keji ini serta tidak bersubahat mengembangkan mana-mana dakyah berkaitan dalam mana-mana saluran media,” kata kenyataan media bersama itu.

NGO-NGO Islam itu juga menyatakan pendirian agar umat Islam di negara ini rakyat menolak budaya politik fitnah dalam amalan demokrasi di negara ini.

“Walaupun demokrasi membuka ruang seluas-luasnya untuk semua warga mengekspresikan pandangan serta kritikan, demokrasi tidak seharusnya dicemari dengan amalan fitnah yang keji serta akan hanya mencemarkan kehormatan dan kesucian akal fikiran manusiawi.

“Seharusnya rakyat ditampilkan dengan pilihan politik secara sihat berupa manifesto serta hujah-hujah politik yang rasional serta memenuhi tuntutan asasi rakyat,” kata mereka.

Mereka juga menyeru umat Islam untuk menolak sekeras-kerasnya amalan rasuah serta peras ugut daripada dikenakan ke atas rakyat.

“Kami khuatir amalan rasuah dan peras ugut ini akan terus membelenggu umat Islam dalam ikatan kemiskinan sekiranya ia terus berleluasa.

“Amalan-amalan tersebut adalah bentuk penjajahan baru yang menafikan hak para pengundi untuk mendapatkan apa yang terbaik ke atas diri mereka,” kata mereka.

NGO-NGO tersebut terdiri daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kumpulan PRIHATIN, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Persatuan Hafiz Malaysia (PAHAM) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).

Turut sama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Ulama? Malaysia (PUM), Sekretariat Himpunan Ulama? Rantau Asia (SHURA), Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).

Categories
SELANGOR

MB : Tolak Agenda Pembodohan Rakyat

MB Pencerdasan Rakyat 01

SHAH ALAM, 10 MAC : Rakyat negara ini perlu dibangunkan sehingga mampu memiliki kecerdasan akal yang tinggi dan mempunyai daya fikir yang tajam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kualiti ini penting untuk menghasilkan masyarakat yang mampu menyumbang idea dan formula bagi menyelesaikan pelbagai masalah kronik yang dihadapi oleh masyarakat dan negara.

“Kita menolak pembodohan rakyat dengan mengangkat pembijakan atau pencerdasan rakyat,” kata Abdul Khalid.

Ujarnya, sesetengah elit pemerintah tidak begitu senang dengan meningkatnya kesedaran dan kercerdasan masyarakat yang dilihatnya suatu ancaman kepada kekuasaan mereka.

“Lantas berjalanlah projek pembodohan ini di tengah-tengah umat bermula dengan ‘pasungan’ pemikiran di sekolah dan universiti serta berterusan sehingga ke pejabat dan ruang awam.

“Dengan ‘kebodohan’ ini maka saat-saat keruntuhan satu-satu tamadun sudah menjadi suatu yang tidak boleh dielakkan,” kata Abdul Khalid.

MB Pencerdasan Rakyat 02Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Konvensyen Pencerdasan Rakyat dan Pelancaran Akademi Pendidikan Kewarganegaraan dan Demokrasi yang diadakan di Dewan Kompleks Belia Dan Kebudayaan Seksyen 7 di sini.

Abdul Khalid berkata, usaha mewujudkan Akademi Pendidikan Dan Demokrasi itu perlu dipuji kerana ia bertujuan untuk membangun masyarakat dari segi kesedaran dan pemikiran masih belum dibuat secara bersungguh-sungguh dan holistik.

“Banyak pihak telah menubuhkan ‘think tank’ yang bermotifkan politik di mana ia hanya untuk memenuhi kepentingan politik sempit dan hanya untuk mempertahan kuasa mereka.

“Maka kehadiran akademi ini amatlah penting terutama ketika kita menghadapi cabaran yang semakin meningkat dari dalam dan luar.

“Ia juga diharap dapat membantu meluruskan kembali penyimpangan ketara yang terjadi dalam amalan demokrasi kita,” kata Abdul Khalid.

Akedemi itu diwujudkan dengan matlamat menggerakkan agenda pendidikan kewarganegaraan dan pemasyarakatan nilai demokrasi yang berteraskan ajaran Islam bersumberkan tamadun Melayu dan budaya pelbagai kaum di negara ini.

Ia berfungsi sebagai pusat penyelidikan, pendidikan dan latihan dalam bidang untuk memberi kefahaman erti demokrasi, mekanisme pilihan raya dan membincangkan isu politik, siasah shariyyah dan kewarganegaraan.

Turut hadir dalam majlis itu, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Datuk Dr Siddiq Fadhil dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abd Manan.

Kira-kira 2,000 orang hadir dalam program itu yang bertemakan ‘Memimpin Kesedaran Rakyat Memartabat Karomah Insaniah’.