Categories
ADN AGAMA AGENDA SELANGOR

92.24 peratus lot wakaf Mais dibangun untuk keagamaan, kebajikan

SHAH ALAM, 6 DIS : Sebanyak 92.24 peratus daripada 1,313 lot hartanah wakaf bawah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dibangunkan untuk institusi keagamaan, pendidikan dan kebajikan setakat Oktober lalu.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata tanah yang dikategori sebagai wakaf khas itu dibangunkan dengan mengikut niat pewakaf antaranya masjid, surau, tapak perkuburan, sekolah, pusat tahfiz, rumah anak yatim dan rumah warga emas.

Menurut Mohd Zawawi Ahmad Mughni sejumlah 6.69 peratus daripada hartanah wakaf itu juga dirancang untuk dimanfaatkan dengan cadangan projek pembangunan yang memberi nilai tambah dan meningkatkan ekonomi ummah.

“Ia seperti pembinaan perumahan, pembangunan komersial perniagaan serta pembangunan secara bercampur di tanah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan wakil rakyat Lembah Jaya Haniza Talha mengenai tanah wakaf pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurut Zawawi sejumlah 1.07 peratus hartanah wakaf tidak dapat dimanfaatkan adalah kerana keluasan yang kecil, berkongsi geran dan kurang memberi nilai ekonomi.

Beliau turut memaklumkan Mais merupakan Pemegang Amanah Tunggal harta wakaf mengikut Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 2015.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Teras serah bayaran dividen bernilai lebih RM100,000

SHAH ALAM, 28 OKT: Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) menyerahkan bayaran dividen, zakat perniagaan dan sumbangan wakaf bernilai RM116,550.25 semalam.

Dividen berjumlah RM53,550.25 diserahkan kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) manakala RM38,000 (Lembaga Zakat Selangor) dan RM25,000 (Perbadanan Wakaf Selangor).

“Teras merupakan agensi Mais yang berperanan membangun, mengurus dan mengawal pembangunan usahawan asnaf Selangor.

“Semoga Teras terus menjalankan tanggungjawab dengan baik dan menjadi contoh kepada agensi negeri ini,” menurut kenyataan Mais di Facebook.

Sementara itu, Mais memaklumkan Teras dengan kerjasama Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) memperuntuk RM1.4 juta untuk bantuan modal perniagaan kepada 651 usahawan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Setiap penerima bakal menerima suntikan modal sebanyak RM2,000, jelasnya.

Categories
AGAMA SELANGOR

Pusat Kecemerlangan Al-Quran Dunia konsep wakaf dibina di Bangi

SHAH ALAM, 27 OGOS: Pusat Kecemerlangan Al-Quran Dunia sebuah institusi yang diwujudkan khusus bagi memahami isi kandungan Al-Quran akan dibina di Seksyen 14, Bangi dekat sini, tahun depan.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata institusi itu bakal menempatkan bahan rujukan pelbagai bahasa mengenai Al-Quran dan agama Islam bagi membolehkan umat Islam dan juga penganut bukan Islam mengenali agama itu dengan lebih mendalam.

“Pembinaan pusat berkonsepkan wakaf itu akan mengambil masa dua tahun dari tempoh yang dirancang dan kita sekarang dalam proses untuk mereka bentuk bangunan di kawasan seluas satu setengah ekar itu.

“Apabila siap nanti, ia bukan sahaja boleh menjadi tempat umat Islam memahami Al-Quran dan agama Islam, tetapi sebagai lokasi untuk berdakwah selain menjadi pusat penyelidikan yang menawarkan bahan rujukan pelbagai bahasa,” katanya pada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bingkisan Program ‘Wakaf Al-Quran Buat Ummah’ di sini, hari ini.

Hussamuddin berkata program Wakaf al-Quran untuk Ummah fasa ketiga turut dilancarkan seiring program My #QuranTime yang bersiaran di TV Al Hijrah setiap hari.

“Bagi fasa ketiga ini, mana-mana individu yang ingin berwakaf boleh memberi sumbangan serendah RM10 atau RM500 bagi satu set Al-Quran.

“Melalui projek ini, masyarakat diberi landasan untuk mempraktikkan wakaf naskhah Al-Quran kepada barisan hadapan, pusat tumpuan komuniti dan mereka yang memerlukan, sebagai manfaat dengan menjunjung misi baca, faham dan amal Al-Quran,” katanya.

Hussamuddin berkata setakat ini pihaknya telah mengagihkan 114,795 naskhah wakaf al-Quran pada fasa pertama dan fasa kedua kepada petugas barisan hadapan serta di beberapa lokasi terpilih seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Wakaf Selangor terima kutipan RM350 juta sejak 2011

SHAH ALAM, 21 JULAI: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menerima kutipan wakaf berjumlah RM350 juta dari 2011 hingga 2019.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata kutipan itu diterima menerusi wakaf am, tunai dan khas yang diagihkan kepada beberapa kategori penerima.

“Sehingga 2018, RM142 juta disalurkan bagi pembinaan dan pembaikan masjid-masjid dan surau-surau, pembangunan sektor pendidikan serta projek-projek am, khas dan manfaat,” kata Dato’ Mohammad Yaacob kepada Selangorkini.

Beliau berkata PWS turut menyalurkan agihan fisabilillah kepada 43 institusi berjumlah RM1.276 juta.

Mohammad menjelaskan sumbangan itu digunakan bagi pembangunan aset kekal seperti membina dan menaik taraf bangunan, pemasangan karpet serta sistem siar raya.

“Institusi yang menerima sumbangan merangkumi masjid, surau dan sekolah sekitar Selangor,” katanya.

Tambahnya, agensi itu turut menyumbang kerusi roda kepada Hospital Sungai Buloh, pemasangan tangga bergerak di Masjid Negeri Shah Alam dan pembelian buku perpustakaan ke Pusat Pengajian Islam Oxford, United Kingdom.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengurus harta digesa teroka potensi ekonomi wakaf

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Pengurus harta wakaf dan pihak berkaitan pembangunan dan pentadbiran harta berkenaan digesa supaya lebih kreatif dalam meneroka potensi ekonomi penggunaan harta wakaf.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata ketika ini terdapat banyak tanah wakaf yang dilapor tidak dibangun dengan baik.

“Menurut Yayasan Wakaf Malaysia, hanya 12 peratus daripada hampir 31,000 hektar tanah wakaf telah dibangunkan, kebanyakannya bagi tujuan keagamaan seperti masjid, kubur, dan sekolah agama.

“Amat sedikit aset wakaf ini dibangun bagi tujuan sosio ekonomi yang lebih inklusif, seperti pusat perniagaan dan hab pengangkutan, yang boleh menjana pulangan bagi menyokong pembangunan ekonomi ummah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di majlis penyampaian anugerah dan pengiktirafan Persidangan Wakaf Global (GWC) 2019 di sini semalam.

Dr Wan Azizah berkata ketika ini kerangka kerja penyelarasan yang lebih efektif, tahap profesional yang lebih tinggi dan urus tadbir yang baik dalam pentadbiran wakaf Malaysia diperlukan bagi meraih keyakinan ramai dan membekalkan manfaat maksimum kepada ummah.

Beliau berkata ini kerana masih ada persepsi umum bahawa pengurusan institusi dan harta wakaf di seluruh dunia ketika ini amat buruk sekali, termasuk di Malaysia.

Menurutnya isu itu menjadi bertambah parah disebabkan kekurangan kerangka kerja perundangan yang efektif berhubung pentadbirannya , di samping urus tadbir yang buruk dan kurang telus.

Oleh itu dalam konteks Malaysia, katanya kerajaan telah menunjukkan keseriusan dalam menyokong pembangunan harta wakaf, terutama dari segi pembangunan kerangka kerja perundangan yang efektif dalam mengurus hal ehwal wakaf.

“Ketika ini lima negeri menampilkan enakmen tertentu mengenai wakaf menerusi Dewan Undangan Negeri masing-masing; terdiri daripada Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, dan Terengganu.

“Pada masa sama, kerajaan persekutuan sedang dalam proses mewujudkan akta wakaf bagi menyelaras pengurusan wakaf di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Terdahulu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fauziah Salleh selepas melancarkan GWC 2019, dilaporkan berkata deraf rang undang-undang berhubung Akta Wakaf akan mewujudkan mekanisma pengurusan wakaf yang lebih baik yang boleh dijadikan model bagi kerajaan negeri, yang akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini.

-BERNAMA

Categories
AGAMA EKONOMI

Sedeqah, wakaf perlu diperkukuhkan biayai aset berisiko

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Penggunaan elemen kewangan sosial Islam seperti sedekah dan wakaf sebagai pilihan baharu pembiayaan untuk aset berisiko seperti keperluan perniagaan syarikat pemula niaga perlu diperkukuhkan dan dirasmikan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Profesor Datuk Dr Mohd Azmi Omar, berkata walaupun persekitaran kewangan Islam Malaysia berkembang pesat, ia perlu melihat kepada segmen lain, iaitu kewangan sosial Islam.

Dengan kutipan zakat di seluruh dunia mencecah US$500 bilion setahun, sistem yang juga rukun Islam dalam soal berkaitan harta ini dicadangkan beberapa pihak supaya digunakan untuk membiayai aset berisiko seperti perniagaan pemula niaga Islam.

Mengulas mengenai cadangan itu, Azmi berkata, ia menimbulkan persoalan kerana ia tidak memenuhi kriteria lapan golongan asnaf menurut ajaran Islam.

Lapan asnaf berkenaan adalah fakir, miskin, amil, mualaf, hamba, mereka yang berhutang, mereka yang berjihad ke jalan Islam dan Ibnus Sabil (musafir yang kehabisan bekalan dalam perjalanan atau semasa memulakan perjalanan kerana Islam)

“Jika bantuan kewangan itu tidak memenuhi lapan kriteria penerima, zakat tidak boleh diagihkan (untuk membiayai aset berisiko). Kewangan sosial Islam adalah luas dan terdapat komponen lain yang boleh digunakan.

“Saya mencadangkan supaya digunakan sedekah dan infak atau wakaf untuk tujuan itu,” katanya kepada Bernama di luar Forum Kewangan Islam Global 2018, di sini.

Idea untuk menggunakan dana ini sudah diperkatakan di Malaysia sementara di beberapa negara, ia dikategorikan di bawah sektor keempat dan pengurusannya terletak di bawah institusi.

“Sebagai contoh, di Turki, terdapat hospital, sekolah dan kemudahan lain dibiayai oleh dana ini. Bagi Malaysia, kita masih di peringkat awal dan kita baru sahaja memulakan langkah terhadap wakaf korporat, itu sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, terdapat keperluan untuk melaksanakan teknologi baharu seperti blockchain ke dalam amalan kewangan sosial Islam bagi menangani isu berkaitan amanah, termasuk dalam pembayaran dan agihan zakat.

SUMBER: BERNAMA

Categories
AGAMA SELANGOR

Wakaf terus disemarak

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri bersetuju menyumbang kepada Tabung Wakaf Pembinaan Masjid Denai Alam sebanyak RM5 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif anak-anak kariah di Denai Alam yang menyumbang RM2 juta dan sektor swasta menyumbang RM12 juta turut dihargai.

“Wakaf adalah amalan dituntut dalam Islam dan merupakan tabung amanah berupaya memajukan masyarakat ke arah pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran di samping memberikan perkhidmatan kebajikan hasil daripada kekayaan ini.

“Sistem wakaf amat berkesan untuk menjamin prinsip pengagihan ekonomi adil dan boleh menyumbang kepada merapatkan jurang sosio ekonomi dalam masyarakat dan mengurangkan kemiskinan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Perbadanan Wakaf Selangor disaran mengambil langkah proaktif mempromosikan sistem wakaf selaras dengan tuntutan syariah dan Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 2015.

Katanya, anggota perkhidmatan awam, sektor swasta dan umat Islam turut digalak mendukung sistem wakaf.

“Mereka boleh membuat sumbangan kepada tabung wakaf diwujudkan Perbadanan Wakaf Selangor untuk pembangunan ekonomi termasuk pembinaan institusi Islam dan institusi pengajian Islam,” katanya.

=EZY=

Categories
AGAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin rasmi klinik bergerak Wakaf Selangor Muamalat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berangkat mencemar duli bagi melancarkan klinik bergerak Wakaf Selangor Muamalat (WSM) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, hari ini.

Turut serta, Pengerusi WSM, Tan Sri Dr Abd Rahman Arshad dan Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor, Dato’ Ramli Mahmud.

Klinik bergerak itu adalah kerjasama WSM dengan KPJ Healthcare Berhad, Hospital Antarabangsa Beacon serta pihak lain antaranya Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Perbadanan Wakaf Selangor.

SULTAN KLINIK WAKAF (2)Melalui kolaborasi itu, WSM akan menyediakan kenderaan diubah suai menjadi klinik bergerak, manakala pihak hospital menyediakan petugas dan ubat-ubatan.

Sejak ditubuhkan pada 2012, WSM sudah menubuhkan tiga klinik bergerak dengan dua daripadanya dengan kerjasama Hospital Pakar KPJ Damansara, Selangor dan KPJ Perdana, Kota Bharu, Kelantan.

Manakala sebuah lagi bersama Hospital Pakar Antarabangsa Beacon, Petaling Jaya.

“Sehingga kini, WSM menyumbang RM8.8 juta dalam bidang pendidikan dan kesihatan membabitkan bangunan sekolah, van dan projektor.

“Manakala bagi kesihatan adalah klinik bergerak, mesin dialisis, tangki simpanan nitrogem dan peralatan perubatan lain,” kata kenyataan medianya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Prosedur terlalu lama punca hartanah wakaf belum daftar MAIS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 DIS: Prosedur yang lama bagi pindah milik tanah wakaf daripada geran bersama kepada milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyebabkan hartanah wakaf belum didaftarkan atas nama MAIS.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Abu Bakar Yang berkata, prosedur terbabit merupakan salah satu sebab PWS ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 bagi pengurusan hartanah wakaf kurang memuaskan.

“Dalam maklum balas PWS pada September 2015, sebanyak 14 permohonan selesai dipindah milik dan 26 lagi masih belum diselesaikan kerana memerlukan tindakan PWS, pewakaf serta pejabat tanah dan daerah.

PERBADANAN WAKAF SELANGOR (PWS)“Proses penukaran hak milik kebanyakannya berlarutan sehingga enam bulan, oleh itu pengurusan hartanah tidak dapat dilakukan kerana masih milik pewakaf,” katanya di taklimat Jawantuakuasa Kira-Kira Wang Selangor (PAC), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, PWS sentiasa mencari mekanisme terbaik bagi menangani masalah itu secara efektif dan status terkini daripada 40 sampel audit itu hanya tinggal 14 tanah belum diselesaikan.

“Ia termasuk 12 daripadanya sudah diterima hak milik asal baru-baru ini dan kini dalam proses pindah milik ke atas nama MAIS.

“Manakala, satu lagi dalam tindakan penyerahan pemberi milikan kepada MAIS kepada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Sabak Bernam.

“Satu tanah lagi menjadi isu dengan PTD Sabak Bernam kerana tidak mengiktiraf proses pemberi milikan semula tanah yang diwakafkan individu kerana PTD itu mahu menjadikan tanah itu sebagai tanah kerajaan,” katanya.

Terdahulu, hasil pengauditan mendapati, data daftar hartanah wakaf tidak lengkap dan tidak kemas kini dengan 27.5 peratus hartanah wakaf masih belum didaftarkan hak milik MAIS.

Sebanyak 87.6 peratus daripada hartanah wakaf yang sudah didaftarkan sebagai hak milik MAIS tidak diwartakan, manakala 75.3 peratus masih belum dimanfaatkan.

Sementara itu, Pengerusi PAC, Ng Suee Lim berpuas hati dengan respon yang diberikan PWS dalam taklimat terbabit.

Beliau berharap, PWS mencari mekanisme yang baik bagi menyelesaikan isu itu dan objektif PWS untuk mengemaskini tanah wakaf di Selangor berjalan dengan baik.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tanah wakaf: Ada pihak ambil untung atas angin

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 DIS: Hanya 26 peratus tanah wakaf di Selangor boleh dibangunkan untuk projek pembangunan, setakat ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Abu Bakar Yang.

Beliau berkata, tujuh projek pembangunan di Klang yang terdiri daripada lima projek melalui anak syarikat PWS dan dua lagi melalui kerjasama pemaju luar.

“Manakala, 45.9 peratus tanah wakaf bagi niat khas iaitu pembinaan surau, masjid dan sekolah. “Selain itu, 14 peratus dikenal pasti tidak dapat dimanfaatkan kerana terlalu kecil dan tidak strategik.

PERBADANAN WAKAF SELANGOR (PWS)“Selebihnya merupakan tanah yang memerlukan pecahan sempadan,” katanya ketika ditemui di taklimat Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abu Bakar berkata, PWS kini dalam usaha menyelesaikan masalah tanah wakaf yang disalah guna sehingga mengambil keuntungan atas angin oleh beberapa pihak.

Katanya, beberapa siri perbincangan diadakan bagi mewujudkan perjanjian baru supaya masalah itu tidak lagi berlaku.

“PWS menyelesaikan perkara ini secara berhemah kerana ia membabitkan tanah wakaf. Namun, ada beberapa pihak menyalahgunakan tanah ini demi kepentingan diri sendiri.

“Kita akan menyelesaikan perkara ini dengan baik dan beberapa siri perbincangan diadakan dan masih berjalan,” katanya.

Tahun lalu, PWS merintis usaha membangunkan projek perumahan di atas tapak tanah yang diwakafkan di Seksyen 30, di sini, sejak 1972.

Projek tanah wakaf yang dibangunkan hanya lima peratus daripada 700 lot tanah yang diperuntukkan untuk dibuat masjid, surau, sekolah dan pusat tahfiz.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Rebut peluang berwakaf serendah RM5 sebulan

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 8 DIS : Penjawat awam disarankan mengambil peluang berwakaf meskipun dalam jumlah kecil, kata Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

Beliau berkata, wakaf kini boleh dilakukan melalui potongan gaji serendah RM5 sebulan dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

logo-mais-baru“Pelbagai kaedah diperkenalkan untuk melebar luaskan amalan wakaf dalam kalangan masyarakat Islam termasuk wakaf tunai dikenali sebagai Skim Infaq.

“Ini memberi peluang kepada semua masyarakat terutama penjawat awam untuk berwakaf,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kakitangan Kerajaan Selangor di Dewan Jubli Perak, semalam.

Pada masa sama, Mohamad Adzib turut meminta orang ramai supaya tidak terkeliru antara peranan MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Katanya meskipun kedua badan itu bertanggungjawab menguruskan hal ehwal agama Islam, namun ia mempunyai skop tugasan berbeza.

“MAIS bertanggungjawab dalam pembentukan dasar seperti pendidikan, tempat ibadah, pengurusan harta baitulmal, undang-undang Islam, mewartakan fatwa dan lain-lain.

“Sementara JAIS adalah jabatan yang menguatkuasakan undang-undang, peraturan dan ketetapan dibuat MAIS termasuk menggalakkan pemantapan aktiviti dan akhlak orang Islam melalui program,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Tanah wakaf Jalan Kebun dibangunkan tingkat nilai ekonomi

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 DIS: Pembangunan tanah wakaf untuk perumahan dijalankan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Jalan Kebun, di sini adalah projek perintis bagi pembangunan seterusnya.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata projek Taman Impinan Kasih itu adalah titik permulaan kepada pembangunan tanah wakaf lain dimiliki di Selangor.

Wakaf MAISKatanya, pembangunan kawasan terbabit dijalankan secara usahasama antara Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dan Nada Sepakat Corporation (M) Sdn Bhd (Nada Sepakat).

“Jika dahulu pemahaman masyarakat terhadap amalan berwakaf hanya sinonim dengan wakaf tanah kubur, masjid, surau dan sekolah agama sahaja namun dengan perubahan masa serta keadaan berlaku, MAIS memberi tanggungjawab kepada PWS untuk pembangunan itu.

“Ia bermatlamat untuk meningkatkan nilai ekonomi dan pelaburan harta tanah wakaf sedia ada di samping menjadikan institusi wakaf sebagai suatu instrumen dalam meningkatkan tahap sosio-ekonomi umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Pecah Tanah Wakaf Bagi Projek Pembangunan Perumahan antara PWS dan Nada Sepakat di sini, hari ini.

Mohamad Adzib berkata, MAIS sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf di Selangor berharap supaya harta tanah wakaf sedia ada dapat dimaksimakan manfaatnya dan ditambah nilai pelaburan supaya seiring dengan tanah konvensional lain.

Katanya, ia juga adalah selaras dengan hasrat DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang ingin melihat pengurusan wakaf diperkasa dan dibangunkan untuk ke maslahatan masyarakat Islam di negeri itu.

“MAIS berharap ia akan menjadi perintis ke arah pembangunan tanah wakaf lain di Selangor,” katanya.

Tanah seluas 2.844 ekar itu diwakafkan Almarhum Abdul Rahman Arshad pada 1972 untuk tujuan umum bagi manfaat Surau Al-Falah Telok Pulai, Klang.

EZY