Categories
AGENDA NASIONAL

Pelbagai usaha dirangka tangani ancaman siber

PUTRAJAYA, 11 FEB: Kerajaan giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani ancaman dan jenayah siber termasuk mengukuhkan prasarana keselamatan siber dan mengawal selia ekosistem komunikasi dan multimedia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Pelan Strategik Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) 2019-2023 diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran rakyat mengenai penggunaan peranti digital secara berhemah.

Dr Wan Azizah berkata Projek Rintis Pensijilan Profesional Modular Keselamatan Siber pula diperkenalkan bagi meningkatkan dan memperkukuhkan golongan berkemahiran dalam bidang keselamatan siber dan Industri 4.0.

“Dengan wujudnya projek ini, sedikit sebanyak ia dapat menaik taraf kompetensi pengamal keselamatan siber sedia ada, memupuk golongan profesional keselamatan siber berwibawa yang baharu serta meningkatkan daya saing dalam mempertahankan keselamatan siber negara,” katanya pada Hari Keselamatan Internet (SID) 2020 – Edisi Malaysia di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata kebergantungan kepada teknologi membawa kepada pelbagai cabaran baharu termasuk elemen keselamatan siber.

“Kini jenayah siber, keganasan siber dan peperangan siber yang berlaku di alam maya juga mempunyai impak yang besar di alam fizikal, yang boleh menggugat keharmonian dan keselamatan negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Kerajaan sedar naratif politik semasa

PUTRAJAYA, 29 OGOS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan sedar mengenai naratif politik semasa yang menyaksikan rakyat mengharapkan sesuatu luar biasa dilakukan dalam memenuhi harapan masyarakat.

“Itu memang biasa dalam apa-apa situasi dan bagi kita kemenangan yang dicapai juga merupakan satu kejutan.

“Apabila sudah mengambil alih kerajaan, barulah kami dapat tahu realiti sebenar bagaimana situasi dana dan hutang yang dimiliki negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Wacana Ilmu Sri Satria: Politik Melayu Islam Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah akur kekurangan pengalaman pentadbiran yang dimiliki anggota Kabinet sekarang kecuali Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaksa mereka mendepani naratif semasa politik dalam keadaan mencabar.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan terus belajar serta mengambil kira semua aspek dan yakin pada akhirnya harapan rakyat boleh ditunaikan.

“Ini kali pertama kita (Malaysia) mengubah kerajaan, jadi berikan kami peluang dan masa untuk melaksanakan apa yang dihasratkan rakyat,” katanya.

Berkenaan sama ada kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN)sedia menghadapi PRU-15 jika mengambil kira naratif semasa politik tanah air, Dr Wan Azizah berkata, ia masih awal untuk diperkatakan kerana tempoh untuk pilihan raya umum diadakan masih jauh.

Mengenai piagam UMNO-PAS yang akan dimeterai pada 14 September ini, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerjasama itu hanyalah satu perjanjian politik atas kepentingan parti politik berkenaan semata-mata, bukannya mencerminkan aspirasi rakyat.

Ia nyata berbeza dengan PAKATAN yang mahu melakukan yang lebih baik melibatkan aspirasi rakyat keseluruhannya, katanya.

Wacana Ilmu Sri Satria hari ini menampilkan Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berlangsung di Sri Satria, kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Sandakan sangkal dakwaan sokongan PAKATAN merosot – Azizah

SERDANG, 12 MEI: Kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan membuktikan dakwaan pihak tertentu bahawa sokongan rakyat kepada PAKATAN semakin merosot adalah tidak benar, kata Presiden PAKATAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kemenangan PAKATAN di PRK Sandakan adalah hasil daripada kerjasama dan sokongan yang baik daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Ini menunjukkan memang merosotlah apa-apa hujah yang yang mengatakan sokongan rakyat kepada PAKATAN makin menurun,” katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Jururawat Antarabangsa di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini hari ini.

Keputusan PRK Parlimen Sandakan semalam menyaksikan DAP mempertahankan kerusi itu selepas calonnya Vivian Wong Shir Yee, 30, menewaskan empat pencabarnya dengan majoriti 11,521 undi selepas mendapat 16,012 undi.

– BERNAMA

Categories
AGAMA NASIONAL

Jadikan pengajaran Rasulullah sebagai model terbaik Malaysia baharu

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru umat Islam di negara ini untuk saling mendengar suara dan pandangan antara satu sama lain, dengan menjadikan ibrah (pengajaran) Nabi Muhammad SAW sebagai model terbaik dalam membina Malaysia baharu.

Timbalan Perdana Menteri berkata selain itu, mereka juga perlu meraikan persamaan serta bertolak ansur dalam perkara yang berbeza.

“Menjadikan baginda Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan atau model hidup seseorang manusia tidak pernah merugikan. Baginda telah menunjukkan contoh teladan terbaik sama ada sebagai seorang lelaki, suami, bapa, guru, pemimpin, panglima perang, diplomat dan lain-lain lagi.

“Rasullah SAW sentiasa berpandangan jauh dan dalam masa yang sama tidak lupa berfikir mencari yang terbaik bagi umat baginda dalam isu-isu semasa yang berlaku di sepanjang hayat baginda,” katanya dalam perutusan bersempena sambutan Maulidur Rasul 1440H.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul pada kali ini, Timbalan Perdana Menteri turut mengajak umat Islam untuk bersama-sama membuat sedikit anjakan paradigma dalam mengamalkan ajaran Rasulullah SAW agar ia tidak hanya berlegar dalam konteks amalan kendiri sahaja.

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, umat Islam turut dinasihati untuk meletakkan azam dalam jiwa agar ajaran baginda disebarluaskan kepada seluruh manusia sejagat.

Timbalan Perdana Menteri berkata sungguhpun terdapat pihak yang cuba menafi, menyaingi dan menandingi ajaran baginda dengan memberi ajaran alternatif, namun ia tetap unggul dan utuh sebagai yang terbaik serta menyeluruh kerana ajaran baginda adalah berasaskan wahyu serta bukan sekadar satu ideologi dan pemikiran semata-mata.

“Dilihat daripada ajaran, bimbingan, suruhan, larangan dan teladan yang telah baginda tunjukkan semuanya menyelamatkan manusia daripada kehancuran sama ada kepada diri, masyarakat atau dunia sejagat,” jelasnya.

Dr Wan Azizah turut menyeru umat Islam melakukan pengisian yang bermanfaat dan berguna dalam suasana sambutan Maulidur Rasul 1440H agar kita dapat meningkatkan kefahaman dan ibrah daripada sirah dan sunnah baginda Rasulullah.

“Justeru, janganlah usaha ini hanya pada musim Maulidur Rasul sahaja bahkan untuk sepanjang hayat kita sebagai umat. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1440H,” tambahnya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Insentif KWSP untuk suri rumah dilaksana mulai 15 Ogos

KUALA LUMPUR 8 OGOS: Program Sukarela Insentif (SURI), yang membolehkan surirumah peluang menikmati sekuriti sosial yang berkualiti dan meningkatkan sekuriti pendapatan akan dilaksanakan dalam tiga fasa, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, fasa satu akan bermula minggu hadapan pada 15 Ogos di mana anggota SURI boleh menyimpan minimum RM5 sebulan dalam akaun KWSP masing-masing dan kerajaan pula akan menyumbang RM40 sebulan.

“Buat permulaan, kumpulan sasaran bagi fasa satu terdiri daripada para surirumah kepada ketua isi rumah. Sasaran ketua isi rumah ialah lelaki berkahwin (bagi setiap isteri-isteri), ibu tunggal dan janda yang berdaftar dengan e-Kasih.

“Kerajaan berhasrat memastikan kebajikan orang ramai. Bagaimanapun, setiap rakyat perlu menunjukkan kesungguhan untuk meningkatkan taraf hidup, Sumbangan minimum RM5 setiap bulan di bawah program ini mewakilkan komitmen daripada orang ramai dan pada masa sama menyemai sifat suka menabung untuk masa hadapan mereka,” katanya hari ini.

Dalam ucapannya pada Persidangan Sekuriti Sosial Antarabangsa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2018, Dr Wan Azizah berkata sumbangan kerajaan itu akan dinaikkan kepada RM50 pada fasa kedua insentif itu, di mana sejumlah RM10 akan diagihkan untuk perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO).

Dr Wan Azizah berkata, bagaimanapun, sebagai perlindungan di bawah PERKESO buat masa sekarang ia tidak diperluaskan kepada surirumah, kerana terdapat keperluan untuk membuat beberapa perubahan undang-undang bagi membolehkan fasa kedua boleh dilancarkan awal tahun hadapan.

Beliau berkata, program berkenaan akan dilanjutkan pula ke fasa ketiga di mana dua peratus daripada sumbangan KWSP suami akan dimasukkan dalam akaun isteri.

“Untuk sampai ke fasa ketiga ini akan mengambil masa kerana ia memerlukan pindaan dilaksanakan terhadap Akta KWSP 1991. Kita masih meninjau beberapa pilihan untuk tujuan ini, dengan mengambil kira beberapa faktor kewangan dan bukan kewangan,” katanya dan menambah bahawa kerajaan berharap dapat melancarkan fasa itu awal 2020.

Beliau berkata, insentif berkenaan adalah sebahagian daripada 10 Janji Pakatan Harapan dan yang kerajaan mampu penuhi janji itu dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata, menerusi perkongsian strategik dengan KWSP dan PERKESO, kerajaan berharap dapat melihat lebih ramai wanita di negara ini mendapat perlindungan sosial dan sekuriti pendapatan yang mereka layak terima dan bagi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan dengan kehormatan sepanjang usia emas mereka.

“Apa yang penting ialah mempelajari daripada kesilapan lepas dan memperkenalkan dasar berkesan yang boleh bertindak balas kepada keadaan ekonomi, penyelesaian bukan sahaja kepada kesan daripada keadaan semasa malahan bagi menguatkan persediaan menghadapi masa hadapan,” katanya.

Persidangan dua hari itu bertemakan “A Better Tomorrow” memberi peluang yang lebih kepada KWSP untuk menimba kepakaran daripada sejagat dari segi pertumbuhan dan kesejahteraan dunia, di samping memperbaiki kehidupan menerusi pengurusan pelaburan dan kekayaan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PERKESO serah bayaran Faedah Pengurusan Jenazah waris Allahyarhamah Siti Nur Ies’Mawida Ismail

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan bayaran Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM2,000 kepada suami Allahyarhamah Siti Nur Ies’Mawida Ismail, Mohd Hafiz Mohd Kassim yang meninggal dunia dalam kejadian gempa bumi ketika mendaki Gunung Rinjani, Lombok.

Menurutnya, majlis itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia supaya mengetahui hak mereka sebagai pekerja melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

“Allahyarhamah memenuhi syarat dan kelayakan Skim Keilatan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi melayakkan warisnya, iaitu suami beliau sebagai penerima Pencen Penakat untuk sepanjang hayatnya dan juga bayaran Faedah Pengurusan Jenazah.

“Setiap majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja bertanggungjawab memastikan perusahaan mereka didaftar dan pekerja dicarumkan,” katanya.

 

Wan Azizah berkata, terdapat 740,000 majikan berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tetapi hanya 435,000 majikan aktif dengan PERKESO.

Majlis penyerahan dilakukan di pejabatnya, aras 3 Bangunan Parlimen sambil disaksikan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Azman Aziz Mohamad.

Menerusi Pencen Penakat, Mohd Hafiz akan menerima RM863 setiap bulan sepanjang hayatnya.

Beliau yang ditemui pada sidang media mengucapkan terima kasih atas keprihatinan semua pihak dan memaklumkan sumbangan ini akan dimanfaatkan keluarga Allahyarhamah.

 

Mohd Hafiz yang mendirikan rumah tangga bersama Siti Nur Ies’Mawida Ismail pada Jun 2013 berkata, beliau tidak menemani Allahyarhamah isterinya ke Lombok kerana ada urusan kerja namun sempat berpesan supaya menjaga diri sepanjang berada di sana.

Sementara ibu Allahyarhamah Siti Nur Ies’Mawida, Mazinah Mahmood berkata beliau masih terkejut diatas kehilangan anak keduanya yang sepatutnya pulang pada 1 Ogos lalu namun redha dengan ketentuan Ilahi.

 

Categories
NASIONAL

Caruman KWSP satu penghargaan kepada isteri

SHAH ALAM 30 JUL: Kerajaan melihat tawaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh suami untuk suri rumah termasuk tambahan caruman RM50 oleh kerajaan sebagai satu penghargaan kepada golongan berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata selama ini, nasib golongan suri rumah diibaratkan seperti ‘kurang terbela’ sedangkan mereka adalah sokongan kuat dalam kehidupan sebuah keluarga.

“Mungkin ada daripada golongan ini menghadapi masalah tidak dijangka dalam kehidupan mereka maka caruman oleh pihak suami ditambah dana caruman oleh kerajaan boleh menjadi simpanan untuk membantu mereka.

“Pengalaman saya membesar dengan ibu yang terpaksa bekerja keras demi pendidikan anak memberi signal bahawa golongan suri rumah harus diberi penghargaan seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis selawat dan cukur jambul anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Darul Wardah dan NGO Amani di Masjid An-Naim, Jalan Kebun di sini, Ahad.

Pada 18 Julai lepas, Dr Wan Azizah dilaporkan berkata penambahan dana RM50 yang dicarum dalam KWSP hanya tertakluk kepada suri rumah yang juga isteri pertama sahaja.

Inisiatif itu dilihat sebagai persediaan perlindungan masa hadapan isteri dan caruman berkenaan dijangka dapat jadi tabungan bagi menyiapkan suri rumah jika menghadapi apa-apa kemungkinan yang tidak diingini untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Caruman KWSP untuk isteri adalah antara tawaran manifesto 100 hari kerajaan Pakatan Harapan, dijangka bermula dengan sumbangan sukarela yang kemudiannya akan diwajibkan setelah pindaan kepada Akta KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dilaksana.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan pandang serius masalah penyakit mental

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 JUN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memandang serius dengan masalah penyakit mental di negara ini yang kurang mendapat perhatian.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, masalah terbabit perlu diketengahkan dan perlu diatasi segera.

“Masalah ini perlu diketengahkan serta diberi perhatian yang serius, jangan hanya apabila berlaku sesuatu tragedi sehingga mengorbankan nyawa termasuk kanak-kanak, baharu kita nak bertindak.

“Kita perlu mengatasinya daripada peringkat akar umbi lagi dan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perumahan perlu bekerjasama kerana persekitaran juga menjadi penyumbang kepada masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes seorang ibu yang mengelar leher anak bongsunya berusia 19 bulan di FELDA Jengka 13, Maran minggu lalu dipercayai berpunca daripada masalah kemurungan.

Pada masa sama, Wan Azizah berkata berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bilangan kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak di negara ini dilaporkan meningkat hampir setiap tahun.

Katanya, terdapat 4,453 kes bagi tahun 2015 dan jumlah itu meningkat sebanyak 529 kes kepada 4,982 kes pada tahun 2016 manakala sebanyak 5,422 kes dilaporkan pada tahun lalu.

“Penganiayaan dan penderaan kanak-kanak perlu dilihat sebagai pelanggaran hak kanak-kanak dan menjadi tanggungjawab semua untuk membendungnya daripada terus berlaku demi kepentingan dan keselamatan mereka pada setiap masa,” katanya.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Dakwaan Dr Idris disabotaj saat akhir hanya isu peribadi – Presiden KEADILAN

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 19 JUN: Dakwaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad mengenai perlantikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dilantik tanpa restu adalah tidak berasas.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pemilihan Amirudin telah dibuat dan dipersetujui sebulat suara oleh semua pucuk kepimpinan.

“Tidak ada masalah sebenarnya, jika ada sekalipun itu hanyalah pandangan peribadinya (Idris),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan selama sejam dengan Amirudin di pejabatnya Putrajaya.

Pagi tadi Idris mendakwa beliau merupakan satu-satunya calon dipersetujui oleh empat komponen parti Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk menjadi Dato’ Menteri Besar Selangor.

=EZY=

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kecam tindakan AS iktiraf Baitulmaqdis ibu kota Israel

Dunia digemparkan pengumuman Donald J Trump, Presiden Amerika Syarikat, bahawa AS akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Pemindahan ini bermaksud AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Pengumuman ini yang dilakukan dengan begitu angkuh ini merupakan satu tindakan provokasi yang bakal mengancam kestabilan bukan sahaja di rantau Timur Tengah, malah kesannya akan disaksikan di seluruh dunia Islam.

Malaysia wajib mengecam tindakan AS ini, memandangkan ia mengenepikan harapan rakyat Palestin untuk menjadikan Baitulmaqdis ibu negara Palestin.

Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak juga perlu segera menghubungi rakan baik beliau, Presiden Trump, untuk merekodkan kecaman Malaysia terhadap langkah AS ini.

Saya juga akan memohon Yang DiPertua Dewan Rakyat untuk memanggil satu sidang Parlimen tergempar untuk membahaskan usul khas mengecam tindakan AS ini.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang, Parlimen Malaysia
7 Disember 2017

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan Alternatif 2018 Pakatan ganti dasar lapuk dan usang BN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Pembentangan Belanjawan Alternatif 2018 oleh Pakatan Harapan memperlihatkan keupayaan gabungan itu untuk menggantikan dasar-dasar usang dan lapuk pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kepelbagaian inisiatif baru di bawah pentadbiran Pakatan mampu memulihkan negara daripada kepincangan dasar-dasar ekonomi dan kewangan negara oleh Umno Barisan Nasional.

Beliau berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi langkah berkebajikan yang disifatkan mampu memberi manfaat jangka panjang kepada seluruh masyarakat Malaysia.

“Kita memulakan usaha pembentangan Belanjawan Alternatif ini pada 2011, semenjak dipimpin mantan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selama lapan tahun berturut-turut, kita kekal beriltizam menyedia dan membentangkan belanjawan alternatif pembangkang yang merupakan penerusan amalan yang tidak pernah berlaku sebelumnya (unprecedented) dalam dunia demokrasi khasnya bagi negara-negara Komanwel.

“Belanjawan Alternatif 2018 ini bertindak sebagai peringatan kepada Umno-BN bahawa kami Pakatan Harapan lebih bersedia dengan idea-idea fiskal, kewangan dan ekonomi yang jauh lebih baik bagi mengurus dan membangunkan Malaysia,” katanya semasa Peluncuran Belanjawan Alternatif 2018 Pakatan di sini, hari ini.

Wan Azizah berkata, Belanjawan Alternatif 2018 ini menggariskan strategi dan tindakan jangka pendek yang perlu diberi tumpuan sekali gus mampu menjadi asas Pakatan Harapan berperanan aktif di dalam perbahasan Dewan Rakyat.

Sementara itu, antara tumpuan pembentangan itu adalah :

1. Pakatan Harapan bertekad menghapuskan rasuah dan pembaziran. Langkah ini dijangka akan menyelamatkan dana awam yang dianggarkan sebanyak RM20 bilion.

2. Penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi membolehkan rakyat tidak lagi terbeban dengan pelaksanaan cukai rakus berkenaan.

3. Kerajaan Pakatan Harapan juga akan menghapuskan tol jalan raya di Malaysia. Penghapusan tol ini akan dilaksanakan menerusi pembelian balik konsesi oleh kerajaan Pakatan Harapan secara berperingkat.

4. Pakatan Harapan bersetuju untuk meningkatkan kadar royalti minyak di negeri Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak pada kadar 20 peratus.

5. Pakatan Harapan juga memberi jaminan bahawa pendidikan awam adalah percuma kepada semua rakyat Malaysia yang berkelayakan merangkumi universiti awam.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Rakyat perlu lakukan ‘sesuatu’, ubah negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 15 OKT: Pembentukan negara demokrasi dan dipimpin kerajaan bebas rasuah boleh dilaksanakan sekiranya rakyat bersatu menolak kepimpinan kleptokrasi.

Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, rakyat perlu bijak menjalankan tanggungjawab untuk memilih pimpinan yang mengamalkan prinsip keadilan dan amanah.

“Negara kita ini tanggungjawab kita bersama. Rakyat perlu lakukan sesuatu untuk diri kita dan negara.

“Tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban, semuanya mahukan kebaikan dan kitalah yang menetukan masa depan negara ini secara bersama.

“‘Turun ke pilihan raya dan undi Pakatan Harapan,” katanya ketika berucap pada himpunan anjuran Pakatan Harapan (HARAPAN), di Padang Timur Petaling Jaya, malam tadi.

Himpunan yang mengambil slogan antikleptokrasi – Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi dianjurkan bagi memberi pendedahkan kepada umum terhadap amalan salahguna kuasa di peringkat Putrajaya.

Penganjurannya juga signifikan susulan reaksi Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam perkembangan itu, himpunan berkenaan menyaksikan ribuan masyarakat dari seluruh negara yang mula berkumpul sejak jam 4.00 petang, semalam.

Sebagai simbolik kepada penolakan amalan kleptokrasi, peserta himpunan yang hadir turut melafazkan Ikrar Padang Timur dan mengangkat pelbagai sepanduk seperti Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi, Bebas Anwar dan melaungkan kata keramat, Reformasi.

Terdahulu, istilah kleptokrasi merujuk kepada sebuah pentadbiran yang dikuasai pemimpin yang mengamalkan amalan rasuah dan penyelewengan.

=EZY=