Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan digesa batal cadangan tabika elit, elak perpaduan retak

SHAH ALAM, 1 OKT: Kerajaan Persekutuan digesa menolak cadangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi mewujudkan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) elit kerana ia melebarkan kesenjangan di antara golongan berpendapatan rendah (B40) dan tinggi (T20) yang boleh meretakkan perpaduan.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tabika elit tersebut bertentangan dengan aspirasi pendemokrasian pendidikan awal kanak-kanak.

“Aspirasi pendemokrasian pendidikan awal kanak-kanak dipelopori sebelum ini dengan rancangan menggabungkan institusi-institusi pendidikan awal kanak-kanak melalui penubuhan satu jawatankuasa khas.

“Rancangan ini (penggabungan) dimaklumkan kepada Dewan Rakyat pada November 2018 bahawa Kabinet meluluskan pembentukan jawatankuasa khas yang berperanan mengawal selia secara bersepadu penubuhan dan operasi institusi pendidikan awal kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pendidikan awal kanak-kanak (ECD) penting kerana ia merupakan asas kritikal pembangunan dan kejayaan.

Wan Azizah berkata menurut WHO, wawasan strategik dalam pendidikan awal kanak-kanak perlu menitik beratkan kualiti persekitaran membina termasuk pendekatan hidup dan pendidikan melibatkan ibu bapa, penjaga, keluarga dan masyarakat.

“WHO berpendapat Kerajaan dan masyarakat sivil harus bekerjasama dengan keluarga bagi menyediakan akses saksama kanak-kanak kepada persekitaran berkualiti lagi membina,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Berlaku adil ahli parlimen bawa isu rakyat, hentikan intimidasi politik – Dr Wan Azizah

SHAH ALAM, 17 JUN: Pihak berkuasa perlu berlaku adil sementara Kerajaan Persekutuan tidak melakukan intimidasi politik terhadap ahli parlimen yang menyuarakan isu rakyat, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dipanggil memberikan keterangan kepada polis semalam berhubung persoalan mengenai perkembangan Pelan Strategi Menangani Perkahwinan Bawah Umur di Twitter baru-baru ini.

“Adakah salah bagi Hannah Yeoh, mantan Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang turut sama merangka pelan strategik tersebut menanyakan mengenai status dan kemajuan pelan tersebut kepada Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff selaku Timbalan Menteri merangkap Ahli Parlimen Rantau Panjang memandangkan Kelantan juga salah sebuah negeri yang telah menolak usaha menaikkan had umur perkahwinan ini?” kata ahli parlimen Pandan dalam kenyataan hari ini.

Pelan strategi yang dilancarkan pada 16 Januari lalu merupakan langkah dirangka kementerian mencari penyelesaian isu ini kerana urusan perkahwinan orang Islam berada dalam bidang kuasa Negeri.

Terdapat tujuh negeri yang tidak bersetuju terhadap draf pindaan Akta Undang-Indang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) yang menetapkan umur minimum perkahwinan wanita kepada 18 tahun.

Antara negeri berkenaan adalah Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan Kedah dan termasuk Kelantan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu dalaman KEADILAN tidak jejas pentadbiran negara – Wan Azizah

PUTRAJAYA, 25 JUL: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pengurusan pentadbiran negara tidak tergugat dengan masalah politik dalaman yang melanda Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ketika ini.

Beliau berkata, berbeza pandangan adalah lumrah dalam politik namun, tetap bersatu dalam hal membabitkan pemulihan negara.

“Parti politik ini memang begitu, tidak semua akan sama pandangan, tapi kita bersatu. Dalam soal (pentadbiran) negara pula, tidak ada apa-apa yang tergugat, apa yang kita mahu ada kesatuan untuk memulihkan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (Piiacuf) 2019 di sini, hari ini.

Beliau mengulas, sama ada pertembungan antara pasukan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam isu video intim Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu boleh menjejaskan pentadbiran negara.

Dr Wan Azizah, yang juga Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, turut menegaskan bahawa tidak timbul isu dua kem dalam PKR kerana anggota parti tetap memberi sepenuh sokongan kepada presiden parti.

Berhubung gesaan anggota parti yang mahu Pengerusi KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador Mubarak dikenakan tindakan disiplin ekoran membuat tuduhan jelek kepada Mohamed Azmin, Dr Wan Azizah berkata perkara itu akan diteliti Lembaga Disiplin Parti.

Semalam, Lembaga Disiplin KEADILAN memaklumkan akan memanggil beberapa individu termasuk Farhash bagi membuat penjelasan berhubung ungkapan jelek yang dibuatnya terhadap Mohamed Azmin sejurus dibebaskan dari tahanan polis, pada Selasa.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan pandang serius kematian Orang Asli di Kuala Koh

KUALA LUMPUR, 9 Jun : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan memandang serius isu kematian dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

Beliau berkata, dakwaan bahawa kematian melibatkan suku kaum Batek itu disebabkan pencemaran kolam sumber air akan disiasat dengan teliti.

Pihak berkuasa, katanya, akan melihat kegiatan perlombongan dan pembalakan di sekitar kawasan itu untuk memastikan segala prosedur berkaitan alam sekitar dipatuhi.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat jika mendapati kematian disebabkan oleh pencemaran sumber air Orang Asli,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Wan Azizah seterusnya berkata kerajaan juga akan mengkaji dasar-dasar alam sekitar berhubung aktiviti pembalakan dan perlombongan terutama berkaitan masalah yang dihadapi Orang Asli.

“Penguatkuasaan lebih ketat dan dasar pencegahan adalah antara beberapa langkah yang akan diambil perhatian,” kata Timbalan Perdana Menteri, yang sedih mendengar mengenai kematian itu.

“Saya akan sentiasa mendoakan keluarga mangsa yang terkorban dan mereka yang sedang menjalani rawatan,” kata Dr Wan Azizah. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Wan Azizah ketuai delegasi ke Persidangan Kemuncak Islam

 

MAKKAH, 30 Mei: Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Kemuncak Islam (Persidangan OIC) Sesi ke-14 di Arab Saudi pada 31 Mei.

Timbalan Perdana Menteri, yang akan diiringi Menteri Hal Ehwal Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta para pegawai dari pejabatnya dan Kementerian Hal Ehwal Luar.

Persidangan itu, yang bertemakan ‘Makkah Al-Mukarramah Summit: Hand in Hand toward the Future’, akan didahului dengan Mesyuarat Para Pegawai kanan pada 27 Mei dan Mesyuarat Menteri Luar majlis berkenaan pada 29 Mei.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Luar berkata persidangan kemuncak itu dijangka membincangkan dengan mendalam isu politik, ekonomi dan sosio-budaya yang mempengaruhi Ummah,

Mesyuarat itu akan menyentuh mengenai Pelan Tindakan Sepuluh Tahun OIC 2016-2925 dengan matlamat menghadapi cabaran yang dihadapi Ummah.

Persidangan itu juga dijangka menerima pakai tiga dokumen iaitu Final Communique of the 14th OIC Summit, the Resolution on the cause of Palestine dan Al-Quds Al-Sharif and Makkah Declaration.

Sebagai anggota pengasas OIC, Malaysia komited dalam menyokong OIC dalam mempromosi pembangunan dan kesejahteraan Ummah. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

TPM: Kerajaan dalam kajian gubal Akta Pembaziran Makanan

SERDANG, 2 DIS: Akta Pembaziran Makanan akan digubal selepas kajian teliti mengenai keperluannya selesai dilaksanakan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata kewujudan akta itu dilihat penting dalam usaha kerajaan mengelak tabiat pembaziran makanan dalam kalangan rakyat.

“Purata seorang rakyat Malaysia membuang hampir satu kilogram makanan setiap hari memerlukan perhatian khusus oleh pihak berkepentingan.

“Bagi tujuan itu, kerajaan sedang mengkaji dengan teliti dari pelbagai sudut keperluan menggubal akta tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di sini hari ini.

Majlis penutupan pameran ekspo pertanian terbesar di Asia Tenggara di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini yang bermula sejak 22 Nov lepas itu turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Dr Wan Azizah berkata melalui akta tersebut, masyarakat secara tidak langsung akan terdidik dalam menghargai dan mengelak tabiat pembaziran makanan.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk mengenakan denda ke atas pelanggan di hotel dan restoran yang membazirkan makanan.

Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga akan melaksanakan ‘Program Food Bank Malaysia’ bagi menangani isu pembaziran makanan di pusat membeli-belah.

Dr Wan Azizah berkata program bakal dilaksanakan di seluruh negara bermula awal tahun hadapan itu akan menyaksikan lebihan makanan diperoleh daripada pasar raya besar seperti roti, sayur dan buah-buahan diagih kepada mereka yang memerlukan.

“Dengan mengurangkan tabiat pembaziran makanan, saya pasti secara tidak langsung ia dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Azizah: Jadi pembela dan pejuang kepada rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 NOV: Parti KEADILAN perlu terus berfungsi sebagai pejuang dan pembela rakyat sekali gus, dirasai kehadiran oleh rakyat.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan pejuang reformis juga perlu berbeza dari rejim yang ditentang sebelum ini.

Katanya, pendekatan dan amalan perlu mempunyai kelainan dan dilihat lebih baik dari dulu.

“Jangan sampai rakyat menempelak..’ah..sama saja dengan yang dulu,”.. jika ini berlaku sungguh malang perjuangan dan pengorbanan kita selama ini.

“Buktikan kita lebih baik, buktikan keputusan rakyat menyokong kita adalah tepat, buktikan kita mampu melaksanakan amanah dengan berkesan dan rakyat merasai kehadiran setiap kita dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan dasarnya di Kongres Nasional KEADILAN Ke-13, yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Wan Azizah berkata, ahli parti juga perlu segera menghadiri inisiatif yang dapat mensejahterakan rakyat, membudayakan reformasi pemikiran ke arah rakyat yang berdikari.

Bukan itu sahaja, katanya, KEADILAN perlu terus terpahat dalam jiwa dan sanubari rakyat Malaysia.

“Parti Keadilan Rakyat, sebagai pejuang dan pembela nasib rakyat mesti dirasai kehadirannya oleh rakyat. Parti kita ini tidak cukup sekadar dihadirkan di tengah-tengah rakyat melalui lambang atau bendera atau gambar seperti dalam kempen sebelum ini.

“Kita perlu menghadirkan ‘isinya’. Parti kita adalah parti yang harus hadir di tengah masyarakat dan terpahat di dalam jiwa dan sanubari rakyat. Hadir dan merasai denyut nadi rakyat.

“Memaknai parti membawa maksud bahawa parti harus dilihat dan dirasai memberi khidmat kepada rakyat,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Wan Azizah: Yang menang tahniah, yang kalah jangan disisih

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 NOV: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan tahniah kepada bakal saf kepimpinan baru bagi sesi 2018-2021.

Wan Azizah berkata, beliau berharap supaya barisan kepimpinan baru tidak menyisihkan mereka yang kalah pada Pemilihan KEADILAN 2018 lalu.

“Yang menang jalankan tanggungjawab sebaik mungkin dan yang kalah jangan disisihkan.

“Inilah keluarga besar kita, KEADILAN adalah keluarga yang unik di mana ada orang Cina, India, Melayu, Kadazan, Iban dan semua kaum bersama di dalam naungan KEADILAN,” katanya.

Wan Azizah berkata, pimpinan tertinggi selepas ini wajar menekankan aspek tarbiyah, displin dan pendidikan politik.

Katanya, langkah ini bagi menjamin anggota KEADILAN setiap peringkat kekal utuh dengan semangat perjuangan dan menjadikan parti itu disegani kawan serta digeruni lawan.

Categories
NASIONAL

Hargai reformis 1998, santuni pengorbanan mereka seadilnya

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 NOV: Ahli KEADILAN disarankan mengiktiraf dan menghargai reformis yang berjuang sejak 1998.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ramai reformis tidak mendapat pangkat atau ganjaran, namun terus bertungkus lumus berjuang untuk parti itu.

“Mereka hilang kerja akibat dibuang dan dipecat, mereka yang jatuh muflis akibat gagal membayar hutang membiayai perjuangan, cedera dipukul, dihina, dicaci, disiksa, dilokap, dan pelbagai penderitaan dialami.

“Mereka tidak mendapat ganjaran jauh sekali menjadi wakil rakyat atau menteri. Namun mereka tegar berdiri menyatakan hak kepada pemimpin yang rakus dan zalim.

“Hari ini, selepas parti menang menjadi kerajaan pun mereka tetap kembali ke kampung, desa dan warung bertungkus lumus berjuang untuk meneruskan hidup, justeru, layanilah mereka seadilnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan dasarnya di Kongres Nasional KEADILAN Ke 13, yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Dr Azizah turut membaca pantun resmi padi supaya diikuti ahli KEADILAN.

Beliau turut menyoroti tahun kesediaan parti berkenaan ketika tahun 2014, untuk diteladani dan tidak diulangi semula.

Katanya, ketika menghampiri Pilihan Raya Umum (PRU), terdapat ahli yang mengkhianati parti bahkan menyerang sehingga beliau keseorangan dalam parlimen.

“Ada yang berputus asa dengan politik tetapi lebih menyedihkan mereka menyertai lawan dan menyerang kita. Ketika itu, kita benar-benar kenal siapa sahabat, siapa opportunis.

“Meskipun kita belum sampai ke tahap pengorbanan yang membawa kepada terkorban nyawa, namun penahanan, pemenjaraan, penghinaan serta segala kesusahan, lalui agenda reformasi bersama-sama.

“Saya ingin nasihatkan kepada semua anggota, sayangilah parti ini ketika senang dan susah,” katanya.

Categories
NASIONAL

Air mata Wan Azizah tumpah kenang ranjau perjuangan 20 tahun Reformasi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 NOV: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak tidak dapat menyembunyikan perasaan sayu tatkala menyingkap kembali kepayahan dan kepiluan dalam perjuangan ditempohi selama lebih 20 tahun lalu.

Suasana sayu ini jelas dilihat apabila beliau mengalirkan air mata ketika mengimbas kembali pahit getir liku perjalanan yang dilaluinya.

Wan Azizah menyifatkan beliau merentasi tiga fasa perjuangan yang setiap satunya mempunyai cabarannya tersendiri.

Fasa terbabit adalah, 1998 hingga Mac 2004 yang disifatkannya sebagai zaman penuh semangat berkobar di mana bermulanya gerakan reformasi dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan sebagai tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam tempoh itu, Wan Azizah turut mengimbas kembali detik suaminya tampil di mahkamah dengan mata lebam dan dijatuhkan hukuman penjara enam tahun pada 14 Februari 1999 yang terkenal dengan peristiwa ‘Black 14’

Fasa kedua pula, Mac 2004-September 2004 yang disifatkannya sebagai enam bulan yang getir, sunyi dan sepi.

“Saya benar-benar merasai kesunyian yang amat sangat di mana Barisan Alternatif (BA) musnah, kita kalah teruk dalam Pilihanraya dengan hanya Permatang Pauh menjadi penyelamat maruah parti.

“Hampir semua hilang membawa diri masing-masing yang tinggal hanyalah beberapa orang penyokong setia yang taat mendatangi rumah kami tanpa jemu dan penat sementara sebahagian pimpinan isytihar keluar parti kembali kepada Umno dan menyerang KEADILAN.

“Masa itu dunia terasa gelap tiada lagi teriakan reformasi,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional KEADILAN Ke-13 di IDCC di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, masih terdapat beberapa teman masih setia menziarahi beliau di kediamannya, di Bukit Damansara.

Manakala fasa ketiga disifatkan sebagai zaman fitnah dalaman di antara Februari 2015 hingga 9 Mei 2018 (PRU-14) lalu.

Wan Azizah berkata, dalam tempoh itu beliau merasa sedih, pilu, dihampakan dan dihina dengan pelbagai tohmahan seperti gelaran Istana Bukit Segambut, parti anak beranak dan sebagainya.

Beliau bagaimanapun redha dengan ketentuan Ilahi dan yakin setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Wan Azizah: Genggam erat idealisme dan agenda reformasi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 NOV: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan ahli dan kepimpinan parti supaya pangkat, kuasa dan harta tidak mengaburi asas perjuangan serta dasar parti.

Katanya, kekuasaan dan kedudukan yang dimiliki ketika ini adalah kerana perjuangan setiap anggota di bawah, bukan kekuatan seorang dua sahaja.

Beliau berkata, idealisme dan agenda reformasi perlu digenggam erat, diteruskan dan dimantapkan.

“Jangan lupa kita adalah parti reformis. Kita berjuang membela hak dan menentang yang batil. Kita tentang kemungkaran dan kita mengajak kepada kebaikan.

“Kita lawan kezaliman dan kita tegakkan keadilan, kita bela mereka yang lemah dan kita santuni mereka yang gagah. Kita yang lahir dari perjuangan, keringat dan air mata rakyat di jalanan, kita bukan lahir dengan hamparan permaidani indah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan dasarnya di Kongres Nasional KEADILAN Ke-13, yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Dr Azizah berkata ketika di awal perjuangan reformasi, tiada tokoh besar menyertai parti itu, namun ahli parti tetap gagah berjuang kerana keyakinan kepada agenda perjuangan.

Justeru, beliau berkata, ahli parti tidak seharusnya meremehkan agenda reformasi dan mengakibatkan perjuangan tanpa idealisme hancur.

“Saya inginkan setiap dari kita mengakhiri kehidupan kita dengan kebaikan. Ingat lah ada mata yang memerhati setiap tingkah dan laku kita, dalam gelap dan terang.

“Pemimpin yang baik adalah yang paling takutkan sumpahan rakyat dan bencikan maksiat.

“Kita berjuang kerana kebenaran dan keadilan, tiap titik peluh mengalir, tiap air mata menitis, tiap sen dibelanja, tiap saat kita korbankan untuk perjuangan hanyalah kerana idealisme perjuangan, bukan kerana pemimpin tertentu, pangkat, kedudukan atau harta benda,” katanya.

Categories
NASIONAL

TPM: Pasaraya, peruncitan, perhotelan diharap sertai Program Bank Makanan

KOTA BHARU, 4 NOV: Kerajaan mahu lebih banyak pasaraya, peruncitan dan perhotelan di seluruh negara dapat menyertai program Bank Makanan Malaysia untuk membantu golongan yang memerlukan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata program itu akan dilaksanakan melalui dua fasa iaitu fasa pertama melalui pelaksanaan projek perintis yang dimulakan pada Ogos sehingga Disember 2018.

“Manakala fasa kedua iaitu pelaksanaan lebih menyeluruh di seluruh negara yang dijangka bermula pada bulan Januari tahun hadapan,” katanya ketika berucap melancarkan Projek Perintis Program Bank Makanan Malaysia peringkat Kelantan di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dr Wan Azizah berkata objektif program itu bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan berbentuk makanan dan juga untuk mengatasi pembaziran makanan yang masih elok dan boleh digunakan.

“Kerajaan amat mengutamakan usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat terutama sekali golongan kurang berkemampuan yang berada pada paras garis kemiskinan,

“Golongan ini perlu diberikan bantuan bagi mendapatkan akses bekalan makanan kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan dan menjimatkan wang perbelanjaan mereka ke atas pembelian makanan dan wang tersebut boleh digunakan untuk kegunaan lain yang lebih penting,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata golongan sasar bagi program itu adalah penerima terdiri daripada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM930 sebulan.

“Berdasarkan maklumat yang diterima melalui eKasih terdapat seramai 186,394 ketua isi rumah yang berada dalam paras kemiskinan di seluruh negara,” katanya.

SUMBER: BERNAMA