Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Parlimen: Usul bahas untuk ungkai Ordinan Darurat dibawa ke sidang akan datang

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Usul bagi membahas dan meluluskan ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan Ordinan-ordinan Darurat akan dibawa ke persidangan akan datang.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

“Saya memohon usul Perdana Menteri berkenaan pengungkaian Ordinan-ordinan darurat nombor 13 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-usul hari ini dibawa ke mesyuarat akan datang juga,” katanya di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, antara ordinan terlibat ialah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.

Selain itu, Wan Junaidi berkata mengikut Peraturan Mesyuarat 62, lapan rang undang-undang untuk bacaan kali kedua dan ketiga yang tersenarai di nombor 5 hingga 12 dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini turut akan dibawa ke mesyuarat akan datang.

Ia melibatkan Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020; Rang Undang-Undang Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020; Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020; Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 dan Rang Undang-Undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2021.

Turut dibawa ke persidangan akan datang ialah Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021; Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 serta Rang Undang-Undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Beri kenyataan tidak masuk akal, Timbalan Menteri Dalam Negeri ‘jahil’ undang-undang

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 MAC: Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran menyifatkat Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi  Tuanku Jaafar sebagai ‘jahil’ undang-undang kerana tidak memahami peruntukan undang-undang berkenaan larangan masuk ke Sarawak.

Katanya, waalupun kuasa larangan itu diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri melalui Perjanjian Malaysia 1963 tetapi ia perlu digunakan  menurut peruntukan Akta Imigresen 1959 palang 63.

“Ini menunjukkan beliau jahil undang-undang. Walaupun kuasa itu diberi tetapi ia perlu digunakan menurut Peruntukan Akta Imigresen 1959 palang 63.

surendran“Menurut Seksyen 67 Akta Imigresen, seseorang daripada Semenanjung tidak boleh dilarang atas sebab politik atau jika mereka hendak pergi (masuk Sarawak) untuk menjalankan aktiviti politik. Seksyen 67 jelas membawa maksud Kerajaan Sarawak dengan jelas melanggar undang-undang,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Surendran berkata, Wan Junaidi harus membaca undang-undang dan meminta nasihat peruntukan Akta Imigresen sebelum mengeluarkan kenyataan akhbar yang tidak masuk akal dan memalukan kerajaan.

Memetik laporan BERNAMA, Wan Junaidi dalam kenyataannya menyatakan Kerajaan Sarawak tidak melanggar sebarang peruntukan undang-undang ketika menghalang tiga pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) memasuki negeri itu.

wan-junaidiHal itu kerana tindakan berkenaan selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri menerusi Perjanjian Malaysia 1963 dan Kerajaan Negeri diberi hak mengurus hal ehwal imigresen sendiri.

Pada 25 Mac lalu, tiga pemimpin kanan PKR iaitu Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Pengarah Strategi Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dihalang masuk ke Sarawak.

-NFN-