Categories
BUDAYA RENCANA

Pembaca yang tidak ingin menjadi hamba pengarang

Oleh Wan Nor Azriq

Ilustrasi FAHMI MUSTAFFA

 

SAYA kenal nama awak, saya boleh baca tulisan awak tanpa diberitahu siapa pengarangnya, saya boleh hidu emosi awak di setiap baris, setiap perenggan, setiap kata, dan setiap noktah, seperti Magneto boleh menghidu bau tulang Wolverine dari berbatu jaraknya, dan saya boleh cam nada rungutan, nada kebencian, nada cemburu awak, walaupun saya dikurung di dalam peti besi, atau direjam ke dalam tong air Houdini, atau ditanam bersama Dracula di bawah istananya, dan sudah tentu, saya boleh menjangka muslihat kepengarangan awak, saya boleh mengeringkan simpati awak sebelum air mata awak sempat menitis ke kertas atau papan kekunci, saya boleh menepis retorik awak seperti Lin Dan boleh menepis bulu tangkis Lee Chong Wei, saya boleh merungkai permainan alegori awak seolah-olah ia hanya bayang-bayang suram pada dinding gua Plato, dan dengan sangat mudah, saya boleh meludah keluar apa-apa metafora bungkam dan tawar yang awak ingin sumbat masuk ke dalam tekak pembaca-pembaca awak yang sebenarnya jauh lebih bijak dan matang daripada awak sangka.

Masa telah mengubah hubungan awak dan saya. Dulu awak bapa dan saya anak. Dulu awak guru dan saya murid. Dulu awak gunung dan saya sungai. Dulu awak api dan saya lalang. Dulu awak pimpin dan saya ikut. Dulu awak marah dan saya takut. Dulu awak berjuang dan saya berkorban. Dulu awak mulut dan saya telinga. Dulu awak makna dan saya pembayang. Dulu awak pujangga dan saya jelata.

Masa telah mengubah hubungan awak dan saya. Awak masih tua dan saya sudah dewasa. Awak masih berjalan dan saya sudah berlari. Awak masih mendengar black metal dan saya sudah mendengar Blackpink. Awak masih mengira jumlah jualan buku dan saya sudah mengira jumlah bacaan buku. Awak masih mengejar nama dan saya sudah membina nama. Awak masih menjual kata-kata dan saya sudah membeli fakta. Awak masih bermain emosi dan saya sudah menempa pengalaman. Awak masih di Malaysia dan saya sudah di merata dunia. Awak masih ingin membina khalayak dan saya sudah mencipta khalayak.

Gaya orang tua

Tulisan awak banyak, tapi tidak ada satu pun saya ingat. Tulisan awak mengikuti perkembangan isu semasa, tapi esoknya sudah basi dan boleh dibakul sampah bersama nasi lemak dan tulang ayam. Tulisan awak terbit di akhbar arus perdana, tapi hanya pak cik dan mak cik di kampung yang masih membaca akhbar. Tulisan awak terbit di syarikat penerbitan orang muda, tapi gaya penceritaan awak ialah gaya penceritaan orang tua. Tulisan awak ingin berfalsafah, tapi awak hanya sentuh di permukaan ideanya ibarat budak tadika yang baru nak belajar ikat kasut dan pakai sarung kaki. Tulisan awak menjerit dan meronta-ronta minta dipandang serius seolah-olah setiap kata-kata adalah ramalan akhir zaman, tapi suara yang membersit keluar daripada teks awak tidak lebih daripada bayang-bayang dan sisa kegeniusan pengarang muda lain yang lebih berbakat.

Awak cipta saya, saya cipta awak, kata Batman dalam filem Tim Burton pada tahun 1990. Tapi awak tidak pernah mencipta saya, walaupun segila mana dan sehebat mana pun angan-angan dalam kepala awak itu, percayalah, awak tidak mungkin mampu mencipta seorang pembaca seperti saya. Ketika awak baru nak mencari pemadam, saya sudah boleh membuat semua tulisan awak terpadam dengan sendirinya. Ketika awak baru bangun tidur pada waktu pagi, saya sudah boleh mentafsir sambil menguap semua isi kandungan mimpi awak semalam. Ketika awak baru merangkak-rangkak nak membaca Haruki Murakami, saya sudah belajar bahasa Jepun dan ulang membaca semua novel Murakami lebih daripada lima kali. Ketika awak baru nak belajar memahami nombor Fibonacci, saya sudah cipta roket di belakang rumah dan terbang ke bulan pergi dan balik. Ketika awak baru nak acah-acah petik gitar, saya sudah cipta 100 buah lagu untuk Teddy Park.

Awak bukan Sasterawan Negara, awak bukan Chairil Anwar, awak bukan A. Samad Said, awak bukan pewaris ASAS 50, awak bukan pemusnah ASAS 50, awak bukan seorang revolusi, awak bukan seorang pengkritik sosial, awak bukan seorang pemikir masyarakat, awak bukan cendekiawan meja kopi, awak bukan Kurt Cobain, awak bukan seniman garda depan, awak bukan George Orwell, awak bukan Bob Dylan, awak bukan Isaac Asimov, awak bukan Malcom X, awak bukan Muhammad Ali, awak bukan bekas banduan, awak bukan golongan tertindas, awak bukan mangsa keadaan, awak bukan genius, awak bukan pencipta.

Awak hanya seorang pengarang. Sama seperti saya hanya seorang pembaca. Tapi ada satu kebenaran yang pasti dan tidak mungkin boleh diubah sehingga hari kiamat — saya bukan pembaca awak.

Categories
BUDAYA RENCANA

Kerana bebola daging

Oleh Wan Nor Azriq

AMEERA Hanbali Jones menikam bebola daging dengan garpu dan bersedia untuk menyumbat bebola daging ke dalam mulutnya. Tetapi dia belum membalas komen peminat di Instagram. Tetapi dia belum membeli pencuci muka di Watson. Tetapi dia belum menonton video terbaru Zico di YouTube. Tetapi dia belum membeli pengecas bateri di Mac City. Tetapi dia belum like gambar kucing Adira Salahudi. Tetapi dia belum komen swafoto Cupcake Aisyah. Tetapi dia belum retweet kata-kata dorongan dan motivasi Yang Amat Mulia Tuanku Permaisuri.

Tetapi Ameera terlupa nak tanya Puteri Awani semalam di mana parti hari jadinya. Tetapi dia terlupa untuk rakam video TikTok di atas tangga eskelator. Tetapi dia terlupa untuk tangkap swafoto di depan cermin tandas. Tetapi dia terlupa minum pagi tadi susu kurma di atas meja dapur dan dia terlupa jenama susu kurma itu kerana secara peribadi dia tidak minum susu kurma atau susu pisang atau susu soya atau susu badam atau susu strawberi melainkan dia dibayar untuk minumnya.

Tetapi dia patut baca doa sebelum menyumbat bebola daging ke dalam mulutnya. Tetapi dia patut tengok orang di kiri dan kanan sebelum menyumbat bebola daging ke dalam mulutnya. Tetapi dia patut buat Instagram Live sebelum menyumbat bebola daging ke dalam mulutnya. Tetapi dia patut pakai gincu Marc Jacobs sebelum menyumbat bebola daging ke dalam mulutnya.

Tetapi kenapa Ameera selalu rasa gelisah? Tetapi kenapa kulit tangannya semakin gelap? Tetapi kenapa hidungnya sentiasa basah? Tetapi kenapa Kim Jonghyun bunuh diri? Tetapi kenapa Haziq main dengan lelaki lebih tua? Tetapi kenapa Sofia Jane pakai bikini dalam filem Harry Boy? Tetapi kenapa Ameera cepat marah? Tetapi kenapa dia rasa semua orang dengki dengannya di Twitter? Tetapi kenapa semua orang benci sangat PU Abu?

Tetapi Ameera tidak peduli kena kecam. Tetapi Ameera tidak peduli kena pulau. Tetapi Ameera tidak peduli kena block. Tetapi Ameera tidak peduli kena unfriend. Tetapi Ameera tidak peduli kena fitnah. Tetapi Ameera tidak peduli kena saman. Tetapi Ameera tidak peduli orang samakan pipinya dengan badak air dan punggung babi.

Tetapi rekod peperiksaan Ameera sentiasa cemerlang. Tetapi Ameera selalu pakai anak tudung dan sarung kaki panjang ke sekolah. Tetapi Ameera selalu galas beg sekolah di bawah tudung dan bukan atas tudung. Tetapi Ameera tidak pernah meninggalkan solat. Tetapi Ameera sentiasa membaca ayat kursi sebelum tidur. Tetapi Ameera masuk MRSM Pasir Salak. Tetapi Ameera couple dengan pelajar terbaik MCKK. Tetapi Ameera menangis di tapak tangan Fynn Jamal selepas konsert Maskara. Tetapi Ameera ulang baca lebih daripada sepuluh kali buku puisi Sofa Biru dan Bandaraya Bougainvilla.

Tetapi Ameera ingin melihat dunia. Tetapi dia ingin menaiki gondola di Venice. Tetapi dia ingin menaiki belon panas di Cappadocia. Tetapi dia ingin minum susu coklat bersama Ruhainies di Switzerland. Tetapi dia ingin melihat konsert Sehun dan SuperM. Tetapi dia ingin minum kopi arang di Jogja. Tetapi dia ingin berbulan madu bersama bakal suaminya di atas bumbung rumah di Santorini.

Tetapi baru semalam Ameera menonton video seorang rider Panda mati kena langgar lori simen di depan Times Square. Tetapi baru semalam dia menonton video seekor kucing mati dicampak ke dalam mesin basuh kedai dobi. Tetapi baru semalam dia menonton video seekor anjing mati ditembak di dalam sangkar. Tetapi baru semalam dia menonton video seorang perempuan Cina kena cabul oleh penunggang motosikal di Kota Bharu. Tetapi baru semalam dia menonton video tular seorang perempuan Melayu yang ditahan polis kerana tidak memakai coli. Tetapi baru semalam dia terlupa tutup gas dapur sebelum keluar rumah. Tetapi baru semalam dia pijak seekor lipas sampai mampus. Tetapi baru semalam dia teringat arwah bapanya yang mati tercekik biji buah cempedak.

Tetapi baru hari ini Ameera warnakan rambutnya hijau. Tetapi baru hari ini Ameera dan Lydia menyahut cabaran “Say So” di TikTok. Tetapi baru hari ini dia mute seorang rakan sekolah rendah di Twitter. Tetapi baru hari ini dia tahu San Francisco Coffee ialah syarikat tempatan. Tetapi baru hari ini dia tahu Singapura dulu sebahagian daripada Malaysia. Tetapi baru hari ini dia tahu mantan kekasihnya dari MCKK ialah homoseksual.

Tetapi bila kali terakhir dia memandang matahari? Tetapi bila kali terakhir dia tidur tanpa iPhone di bawah bantal? Tetapi bila kali terakhir dia keluar tengah malam untuk makan nasi lemak di Petaling Jaya? Tetapi bila kali terakhir dia minum teh tarik? Tetapi bila kali terakhir dia memeluk seseorang dengan jujur? Tetapi bila kali terakhir dia tidak bercakap dengan dirinya di dalam cermin? Tetapi bila kali terakhir dia membaca novel Fixi sehingga selesai?

Tetapi Ameera suka menerima hadiah. Tetapi Ameera suka meninggalkan komen di Instagram Sharifah Amani walaupun Sharifah Amani tidak pernah membalas komennya. Tetapi Ameera suka meratah sup tulang. Tetapi Ameera suka lelaki yang pakai subang dan kasut sukan. Tetapi Ameera suka filem yang boleh membuatnya menangis. Tetapi Ameera suka Putera Harry berkahwin dengan Meghan Markle.

Tetapi Ameera tidak suka Ernie berkahwin dengan Syamel. Tetapi Ameera tidak suka kawan-kawan lelakinya yang suka muzik Iqbal M. atau SXPH atau Couple atau Ramayan atau Satwo atau Bittersweet atau Countrywolves. Tetapi Ameera tidak suka hujan turun pada hari yang cerah. Tetapi Ameera tidak suka naik teksi dengan pemandu India. Tetapi Ameera tidak suka grafiti Fahmi Reza. Tetapi Ameera tidak suka lelaki yang muka mirip Jokowi atau Ustaz Idrus. Tetapi Ameera tidak suka lelaki yang lipat duit kertas di dalam dompet. Tetapi Ameera paling tidak suka lelaki bernama Rohaizat atau Fazilah atau Ghazali atau Zubir atau Zamri atau Mazlan atau Sazali.

Tetapi adakah bebola daging ini sebenarnya daging kuda? Tetapi adakah bebola daging ini sebenarnya halal? Tetapi adakah bebola daging ini akan membuat dunia lebih aman? Tetapi adakah bebola daging ini akan menyelamatkan alam sekitar? Tetapi adakah bebola daging ini akan membuat Ameera lebih kaya dan popular? Tetapi adakah bebola daging ini sedap daripada segala jenis bebola daging?

Tetapi kalau Ameera menyumbat bebola daging ini ke dalam mulutnya, adakah Ameera kekal menjadi Ameera, atau Ameera bertukar menjadi seketul bebola daging?