Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Bantuan banjir RM1,000 negeri mula diagih

SHAH ALAM, 28 DIS: Kerajaan Selangor hari ini mula mengagihkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada mangsa banjir di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif di bawah Bantuan Selangor Bangkit (BSB) itu disalur sehari lebih awal bagi membolehkan penduduk terjejas membeli barang keperluan dengan segera.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengarahkan bantuan RM10,000 kepada waris mangsa terkorban dalam bencana banjir melanda negeri ini pada 18 Disember lalu diagih segera mulai esok.

Beliau menganggar bantuan itu memberi manfaat kepada 30,000 orang dengan jumlahnya dimuktamad dengan memadankan data kerajaan pusat dan agensi seperti Lembaga Zakat Selangor.

“Kalau ikut jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) dianggarkan seramai 9,000 keluarga layak.

“Data Zakat Selangor pula 30,000, kita akan padankan semua data untuk pastikan semua yang layak menerima bantuan,” katanya selepas menyerahkan bantuan RM1,000 kepada mangsa banjir di Dewan MBSA Paya Jaras Tengah di sini hari ini.

Seramai 67 orang dari sekitar Paya Jaras menjadi kumpulan pertama penerima BSB. Seramai 55 penerima sebelum ini ditempatkan di PPS Dewan MBSA Paya Jaras manakala 12 lagi di PPS Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak.

Turut diagihkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 sumbangan kerajaan pusat.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban.

Sumbangan RM1,000 turut diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke PPS berwarta, swasta serta individu yang kekal di rumah.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.