Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Negara raih RM2.7 juta acara lelongan wang kertas Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Acara Lelongan ke-13 Wang Kertas Malaysia Siri Keempat dengan Nombor Siri Khas pada 13-20 November lepas berjaya meraih sejumlah RM2.7 juta daripada bidaan oleh kalangan pengumpul dari serata dunia.

Penganjur acara tersebut, MNP Auctioneers (Central) Sdn Bhd berkata pembida mengemukakan bidaan masing-masing secara dalam talian sebelum dikumpulkan bagi acara secara langsung pada hari terakhir yang menyaksikan mereka saling bersaing di bawah kendalian jurulelong.

“Bidaan itu turut disaksikan sendiri oleh penonton global menerusi laman sesawang best2bid.com dengan kesemua 267 wang kertas Malaysia dalam nilai RM1, RM5, RM10, RM50 dan RM100 dibida serta dijual pada paras 10-30 kali lebih tinggi daripada harga awal.

“Wang kertas RM5 merupakan antara yang paling diminati dengan dua wang kertas tersebut yang memaparkan awalan nama Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dilelong 30 kali melebihi nilai asal masing-masing iaitu pada RM61,000 dan RM68,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusannya Stephen Soon berkata selaku platform bidaan terbabit, pihaknya amat gembira dengan sambutan memberangsangkan terhadap acara itu yang turut disertai oleh pembida dari United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Pihak kami membuat pilihan tepat dengan menjalankan lelongan secara dalam talian kerana ia terbukti dapat menjangkaui lebih banyak pembida serta memudahkan mereka untuk bersaing mendapatkan wang kertas eksklusif ini,” katanya.

Beliau berkata, syarikat tersebut akan meneruskan penganjuran lebih banyak acara lelongan wang kertas eksklusif di masa akan datang selain bekerjasama erat dengan BNM dan pihak best2bid bagi menambah baik pengalaman peminat wang kertas tersebut.

Menurutnya, ini juga sejajar dengan minat serta permintaan berterusan terhadap wang kertas Malaysia.

– BERNAMA

 

 

 

 

Categories
AGENDA GLOBAL PILIHAN MINGGUAN

Covid-19 mampu hidup 28 hari pada permukaan kaca

SHAH ALAM, 12 OKT: Virus Covid-19 boleh hidup pada permukaan wang kertas, kaca dan keluli tahan karat sehingga 28 hari, lebih lama berbanding virus selsema.

Hasil kajian oleh CSIRO, badan penyelidik Australia, mendapati virus SARS-COV-2 tetap menular di permukaan licin seperti skrin telefon bimbit pada suhu 20 darjah Celsius, lapor Reuters.

Kajian yang diterbitkan dalam Virology Journal turut membandingkan virus Influenza A yang dapat bertahan di permukaan selama 17 hari.

“Menentukan berapa lama virus itu dapat bertahan membantu kita untuk meramal dan mengurangkan penyebarannya dalam melindungi penduduk negara ini,” kata Ketua Eksekutif CSIRO Larry Marshall dalam kenyataan.

Penyelidikan itu melibatkan pengeringan virus pada lendir buatan di pelbagai permukaan dengan sampel diambil daripada pesakit Covid-19 dan diekstrak setelah sebulan.

Eksperimen yang dilakukan di persekitaran makmal terkawal pada suhu antara 20 hingga 40 darjah Celsius turut menunjukkan ketahanan virus menurun apabila suhu meningkat.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wang kertas negara bebas lemak khinzir

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Wang kertas negara bebas daripada lemak haiwan dan tidak mengandungi unsur lemak khinzir, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

“Wang RM1 dan RM5 ini guna polimer sebab ia lebih tahan empat kali ganda berbanding wang kertas biasa. Wang kertas tidak mengandungi mana-mana unsur lemak khinzir seperti yang didakwa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Senator Sabani Mat pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Mata Wang 2019 di Dewan Negara semalam.

Jelasnya, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mendapat laporan terperinci daripada makmal bebas yang mengesahkan tiada sebarang unsur lemak haiwan dalam wang polimer.

Amiruddin berkata, perkara tersebut juga telah dirujuk kepada Majlis Penasihat Syariah BNM yang bersetuju dengan penilaian bahawa wang polimer bebas daripada unsur lemak haiwan dan boleh digunakan tanpa was-was.

Dewan Negara kemudian meluluskan RUU berkenaan.

Selain itu, turut diluluskan enam lagi RUU di bawah Kementerian Kewangan iaitu RUU Kewangan 2019, RUU Cukai Pendapatan (Pindaan) 2019, RUU Petroleum (Cukai Pendapatan) (Pindaan) 2019, RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2019, RUU Bank Negara Malaysia (Pindaan) 2019 dan RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (Pindaan) 2019.

Dalam pada itu, Amiruddin berkata, RUU Kewangan 2019 bertujuan meminda antaranya Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949 dan Akta Kewangan 2018.

“Bagi melaksanakan keputusan kerajaan berkenaan penambahbaikan pentadbiran cukai, ia memerlukan pindaan akta-akta berkaitan,” katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung hari ini.

– BERNAMA