Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air Selangor gerakkan 29 lori tangki ke kawasan terjejas

SHAH ALAM, 6 APRIL: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggerakkan 29 lori tangki air ke kawasan terjejas susulan kerja penggantian injap pada jajaran paip air mentah di Empangan Klang Gates.

Ketua Komunikasi Korporat Elina Baseri berkata pihaknya memberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis serta upacara pengebumian.

“Air Selangor turut menyediakan kemudahan pembelian air kepada pihak industri atau pelanggan komersial dengan membuat pembayaran di kaunter khidmat pelanggan.

“Pelanggan perlu menyediakan kenderaan atau lori tangki yang disewa sendiri. Pengambilan air boleh dilakukan di dua stesen di Jalan TPP 5/17, Taman Perindustrian Puchong 5/17 dan stor Air Selangor Hulu Langat, Seksyen 13, Jalan P/4 Bandar Baru Bangi,” katanya dalam kenyataan.

Elina menambah pusat khidmat setempat turut dibuka bersebelahan padang bola Hospital Kuala Lumpur dan kawasan letak kenderaan My Capital, Jalan Jejawi, Bangsar bagi memudahkan pengguna membuat aduan serta berhubung terus dengan pegawai khidmat pelanggan.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerja penggantian injap yang bermula jam 9 pagi tadi dijangka selesai jam 9 malam ini manakala loji dan sistem agihan akan distabilkan sebelum bekalan air disalur kepada pengguna.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas secara berperingkat dan berbeza bergantung jarak lokasi premis pengguna serta tekanan air pada sistem agihan,” katanya.

Sebelum ini, agensi memaklumkan 58 kawasan membabitkan Gombak dan Kuala Lumpur mengalami gangguan air berjadual antara 48 hingga 68 jam bermula hari ini berikutan kerja penyelenggaraan beberapa aset utamanya tahun ini.

Pengguna boleh melayari https://www.airselangor.com/scheduled-water-supply-disruption-notice/ bagi mendapatkan maklumat lanjut atau menerusi media komunikasi rasmi Air Selangor.

Antaranya aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram serta laman sesawang http://www.airselangor.com.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham jelaskan isu pekerja asing pakai gelang kuarantin

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Dua gambar menunjukkan pekerja warga asing masih berada di kawasan pembinaan dengan memakai gelang merah jambu yang tular baru-baru ini sebenarnya adalah pekerja yang melalui saringan pengawasan Covid-19 di tapak binaan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan individu terbabit diberikan gelang merah jambu bagi mengelakkan mereka daripada keluar dari tapak binaan.

“Tetapi mereka masih boleh bergerak di dalam tapak binaan kerana ianya saringan pengawasan bukan saringan kontak rapat. Pihak pemaju telah diminta untuk memastikan kesemua yang disaring berada dalam kawasan tapak binaan.

Dua orang pengawal keselamatan diletak di pintu masuk tapak bina dan pihak polis IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Wangsa Maju juga melakukan pemantauan setiap hari,” katanya dalam catatan yang dimuat naik dalam akaun laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dr Noor Hisham berkata seramai 264 daripada 273 orang yang disaring adalah melalui saringan pengawasan tapak binaan dan mereka berada di dalam kawasan pembinaan berkenaan.

Selain itu Dr Noor Hisham memberitahu pemaju terbabit juga dinasihatkan untuk melakukan kerja nyahkuman.

Katanya lagi, pada 13 Nov hingga 15 Nov lepas, pemaju berkenaan memberhentikan operasi sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan dan nyah cemar sehingga keputusan saringan diperoleh pada 15 Nov.

“Release order (perintah pelepasan) dan pemotongan gelang merah jambu dilakukan pada 15 Nov 2020, jam 11am (pagi) di tapak bina berkenaan. Hasil saringan terdapat satu kes positif sahaja tetapi kes ini tidak tinggal di tapak binaan, tetapi menetap di luar tapak binaan,” katanya.

Beliau memberitahu terdapat lapan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 terbabit yang masih menjalani tempoh kuarantin iaitu dari 7 Nov hingga 20 Nov, sementara kesemua pekerja lain yang dikesan negatif diberikan (perintah) pelepasan pada 15 Nov.

-BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pelancaran Jelajah #BantahTPPA & #AntiObama Malam Ini di Taman Melati, Wangsa Maju

Backdrop Jelajah

Selepas berakhirnya siri jelajah #Black505 yang menyaksikan beberapa kemuncak perhimpunan pada pertengahan Jun lalu, suasana perlawanan antara rakyat yang ditindas dan kerajaan zalim dilihat sejuk tidak bermaya. Di atas kesuraman ini juga, kesempatan diambil oleh pemerintah untuk terus menekan rakyat menyedari asakan dari rakyat sudah mulai perlahan.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tidak memandang ringan situasi ini lantas membawa perlawanan baru untuk rakyat bersatu melawan penindasan. Suasana ceramah umum yang selama ini menjadi medan penyebaran maklumat akan dihidupkan semula.

Maka bermula hari ini, SAMM bersama rakan sekutu akan menjengah ke seluruh negara dalam satu siri jelajah mobilisasi menentang perjanjian TPPA dan membantah kehadiran Presiden Obama ke Kuala Lumpur pada 10-11 Oktober ini. Siri jelajah juga akan dipanaskan dengan beberapa isu semasa termasuklah isu kesan kenaikkan harga petrol dan pemenjaraan 13 pejuang demokrasi.

Jelajah #BantahTPPA dan #BantahObamaKLCC anjuran SAMM, SMM dengan kerjasama Badan Bertindak Bantah TPPA yang dibarisi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) akan merentasi 13 lokasi di seluruh tanahair sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur dalam satu pentas kemuncak yang mungkin mempertemukan dua tokoh terbesar tanahair. Jelajah ini juga akan memastikan orang ramai dari seluruh negara akan bergerak dan sampai ke Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2013 demi satu perhimpunan di KLCC ‘menyambut’ Presiden Amerika, Barrack Obama dengan cara tersendiri.

Aksi pelancaran Jelajah #BantahTPPA akan berlangsung malam ini di Taman Melati, Wangsa Maju dianjurkan oleh SAMM Wilayah yang diketuai oleh sdr Azmir Hj Mustaffa dengan kerjasama PKR Wangsa Maju.

Pentas pelancaran akan digegarkan oleh YB Tian Chua, Dr Hatta Ramli, che’GuBard, Hishamuddin Rais, wakil mahasiswa Safwan Anang dan Adam Adli. Turut hadir di pentas adalah wakil NGO #BantahTPPA antaranya Nizam Mahshar (MTEM), Cikgu Azmi (MAPIM), Syed Ibrahim (IKRAM), Azlan Awang (Blindspot), Sivarajan (JERIT), Anas (Blindspot).

SAMM menjemput seluruh warga kota untuk hadir bersama menghadam maklumat mengenai bahana perjanjian TPPA dan isu semasa yang menghangat. Pesta kesedaran akan terangkan semula biarpun sekadar berbentuk ceramah sebagai pemula, ia cukup menjadikan api kemarahan rakyat dinyalakan sebaiknya. Cukuplah waktu rehat, kini tiba masanya bersama menggerak massa menyelamatkan tanahair.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

 

TPPA 2

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

KDEB Sangkal Dakwaan Ahli Akademik Selangor Boleh Kawal Syabas

syabas-AIR1

SHAH ALAM 14 JAN: Pengaruh Kerajaan Selangor di dalam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) terhad kepada perwakilan dalam lembaga pengarah sahaja syarikat itu sahaja dan bukan di dalam operasi harian Syabas.

Ini dapat dilihat apabila pada Julai tahun lepas, Syabas mencadangkan catuan air di seluruh Lembah Klang dan Selangor tanpa persetujuan dan pengetahuan Kerajaan Selangor, kata Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

KDEB adalah sebuah syarikat berkaitan Kerajaan Negeri yang memiliki pegangan saham 30 peratus di dalam Syabas.

Dalam satu kenyataan hari ini, presiden KDEB Suhaimi Kamaralzaman membidas dakwaan seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), bahawa Kerajaan Negeri cuba menutup kelemahannya menangani isu air.

Pensyarah itu, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri mendakwa Syabas dibawah kendalian kerajaan negeri dan Selangor cuba menutup fakta seolah-olah ia tidak mempunyai kepentingan di dalam Syabas.

Suhaimi berkata, kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan harian, peralatan dan sistem pengagihan bekalan air dilaksanakan oleh pengurusan Syabas yang telah dilantik oleh pemegang saham majoriti iaitu Puncak Niaga Holdings Berhad.

“Pengaruh Kerajaan Negeri terhad dalam pengurusan Syabas boleh terlihat apabila pengurusan Syabas mencadangkan pencatuan air pada bulan Julai 2012 yang telah diputuskan oleh pengurusan Syabas tanpa merujuk Lembaga Pengarah terlebih dahulu,” jelas Suhaimi.

Kuasa terhad Kerajaan Selangor di dalam Syabas adalah antara sebab ia mahu mengambilalih industri air daripada Syabas kerana mendakwa syarikat itu gagal melaksanakan tugasnya sebagai syarikat pengedar air terawat di Selangor.

Ini dibuktikan apabila lima pam air di rumah pam Wangsa Maju rosak akibat tidak diselenggara dengan sempurna sejak awal tahun lepas dan menyebabkan lebih 500,000 penduduk di 90 kawasan di Gombak dan Ampang mengalami gangguan bekalan air.

Dalam pada itu, wakil Kerajaan Negeri dalam lembaga pengarah Syabas akan menuntut penjelasan daripada pengurusan Syabas serta pelan tindakan untuk penyelenggaraan sempurna bagi mencegah kejadian seperti itu berulang.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Air Negeri Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi juga telah memantau Syabas setiap hari terutamanya bagi pelan tindakan dan pemulihan air.

Jawatankuasa tersebut dan juga wakil KDEB juga telah meminta penjelasan daripada Syabas mengenai kegagalan dan penyelesaian jangka pendek dan panjang mengenai isu ini.

“Mereka ini telah dipertanggungjawabkan bagi mempastikan semua pelan tindakan dilaksanakan dengan pantas dan efisien,” kata Suhaimi lagi.

Categories
NASIONAL

Pejabat PKR Wangsa Maju Di Pecah Masuk

WANGSA MAJU, 27 FEB: Pejabat Penyelaras PKR Wangsa Maju, Datuk Dr Tan Kee Kwong telah di pecah masuk mereka yang tidak bertanggungjawan yang dipercayai dilakukan malam tadi.
Hal ini disedari Pengarah pilihanraya PKR Wangsa Maju, Mohd Hamdi Said ketika mula memasuki pejabat berkenaan pada jam 11 pagi tadi.

Menurut Mohd Hamdi, pintu masuk pejabat tersebut telah di cungkil manakala pagar luar pejabat telah dipecahkan.

“Selain itu kami mendapati 2 buah komputer, kamera serta beberapa dokumen juga diambil serta tunai sebanyak RM750 juga hilang.” jelas beliau yang juga Ketua AMK Selangor.

Sehubungan itu satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Wangsa Maju pada jam 12 tengah hari.

Sebelum itu menurut Mohd Hamdi, Datuk Dr Tan juga ada memaklumkan terdapat usaha cubaan memecah masuk ke pejabat tersebut pada malam Ahad lalu tetapi tidak berjaya.