Categories
AGENSI SELANGOR

Kes dera kanak-kanak, keganasan rumah tangga antara 30 aduan ketika banjir

SHAH ALAM, 2 JAN: Sebanyak 30 aduan termasuk kes dera dan keganasan rumah tangga diterima menerusi talian SELamat dalam tempoh banjir dan pascabanjir setakat 30 Disember lalu.

Tanpa memperinci kes berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) Siti Kamariah Ahmad Subki menjelaskan panggilan membabitkan kes dera diterima daripada jiran mangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS), Siti Kamariah Ahmad Subki memegang plakad ‘Hentikan Keganasan Terhadap Wanita’ sempena pelancaran talian khas SELamat
di Perbadanan Perpustakan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam pada 22 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ada kes kanak-kanak melarikan diri ketika banjir kerana didera bapa. Bagi kes penderaan, ia dirujuk kepada Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC).

“Ada juga kes tertekan akibat kejadian banjir dan kes ini telah pun berjaya diselamatkan,” katanya sambil menambah kes keganasan rumah tangga juga ada diterima.

Siti Kamariah berkata pihaknya juga ada menerima panggilan daripada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) yang meminta dos penggalak lantaran bimbang dijangkiti Covid-19.

Dibangunkan untuk aduan keganasan rumah tangga, talian SELamat beroperasi 24 jam sejak 3 November menerusi talian 03-64195027 yang dikendalikan kakitangan Wanita Berdaya Selangor dan sukarelawan terlatih.

Pada 9 Jun 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana RM100,000 untuk membangunkan talian tersebut, sebahagian inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kelas jahitan lampin guna semula bantu wanita jana pendapatan

PUCHONG, 15 DIS: Wanita Berdaya Selangor (WBS) giat menganjurkan kelas jahitan lampin guna semula bagi membantu kaum hawa menjana pendapatan.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata inisiatif itu juga bagi membantu individu kurang berkemampuan untuk membeli lampin pakai buang.

“Inisiatif ini dilaksana bukan kerana Kerajaan Negeri kedekut duit tetapi kita memikirkan kesan jangka masa panjang iaitu untuk memastikan kelestarian alam sekitar.

“Sekiranya ada mana-mana wanita yang berminat untuk sertai kelas ini boleh memohon menerusi penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) di pusat khidmat masyarakat berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program pemberian bantuan susu dan lampin pakai buang kepada penerima kurang berkemampuan (B40) di Dewan Serbaguna MPSJ Kampung Seri Aman di sini hari ini.

Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif WBS Siti Kamariah Ahmad Subki berkata inisiatif itu bukan bertujuan memonopoli mana-mana pihak sebaliknya mahu lebih ramai wanita mempunyai pendapatan sendiri.

“Mereka boleh jahit dan jual pula kepada jiran atau komuniti sekitar…sekiranya peserta ini tiada mesin jahit kita juga menyediakan pusat jahitan di PWB terpilih dan boleh menjahit di sana,” katanya.

Menurutnya, inisiatif itu dijalankan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), Athena Empowers yang menawarkan kemahiran menjahit lampin kanak-kanak dan dewasa serta tuala wanita.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Pengurusan Pusat Berdaya Wanita ditambah baik

SHAH ALAM, 6 DIS: Beberapa penambahbaikan dilaksana pengurusan Pusat Wanita Berdaya (PWB) selepas diambil alih Wanita Berdaya Selangor (WBS) Sdn Bhd pada Mei lalu.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata tambah baik itu termasuk urusan pembayaran vendor, elaun, kertas kerja dan pengurusan dokumentasi.

“Kertas kerja sebelum ini dihantar secara fizikal, kini menggunakan emel. Namun, laporan program masih perlu dihantar secara fizikal atas tuntutan peraturan kewangan.

“Pembayaran vendor dilakukan melalui invois sebelum program dijalankan manakala elaun dibayar setiap bulan tanpa perlu laporan program dan prestasi kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan wakil rakyat Balakong Wong Siew Ki mengenai penambahbaikan PWB pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Menurut Dr Siti Mariah, PWB juga menerima peruntukan maksimum RM3,200 sebulan untuk lapan program dibawah pentadbiran WBS.

“Peruntukan ini boleh diguna untuk tujuan mencetak bahan, elaun ahli jawatankuasa dan pusingan program akan datang tanpa perlu mengemukakan resit,” katanya.

PWB pada awal penubuhannya diletakkan di bawah pentadbiran Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan pejabat EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Pengurusan PWB kemudian diambil alih oleh WBS yang diletakkan di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI pada Mei lalu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Belanjawan 2022: WBS harap bantuan kepada ibu tunggal terkesan pandemik

SHAH ALAM, 11 NOV: Belanjawan 2022 diharap dapat memberi tumpuan khusus dalam membantu golongan ibu tunggal, kata Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS).

Siti Kamariah Ahmad Subki berkata berdasarkan kaji selidik pihaknya mendapati sebanyak 25 peratus golongan itu terkesan pandemik Covid-19.

“Saya berharap belanjawan nanti dapat tumpukan bantuan kepada golongan ibu tunggal, berikan bantuan khusus untuk mereka bagi meringankan beban,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 8 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi sesi taklimat Belanjawan 2022 memaklumkan semua ADN dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaannya.

Malah, Belanjawan 2022 juga melibatkan wakil rakyat pembangkang dan bebas dalam membincangkan intipati belanjawan yang lebih konstruktif demi manfaat rakyat.

Pembentangan Belanjawan Selangor akan dilaksanakan pada 26 November ini dan dibahas dalam tempoh seminggu sebelum diluluskan pada Disember.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Talian khas SELamat mula terima aduan kes keganasan rumah tangga

SHAH ALAM, 5 NOV: Talian khas SELamat mula menerima aduan berhubung keganasan rumah tangga sejak beroperasi Isnin lalu.

Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) berkata pihaknya merujuk kepada polis dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk tindakan lanjut.

“WBS bergerak dalam model kolaborasi dan satu ekosistem iaitu jika pemanggil memerlukan intervensi tambahan akan dirujuk kepada rakan kerjasama seperti jabatan Kerajaan Negeri, polis atau NGO bergantung kepada kes.

“Selain keganasan rumah tangga, kes lain diterima berkaitan pemberian vaksin dan bantuan Kerajaan Negeri,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki kepada SelangorKini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga mengadakan mesyuarat bersama Pertubuhan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) Malaysia berhubung perkhidmatan kaunseling.

“Kita kerjasama untuk merujuk kepakaran mereka dalam khidmat kaunseling sekiranya pemanggil memerlukan intervensi psikologi,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas tersebut.

Peruntukan itu terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta yang bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Talian khas tangani keganasan rumah tangga mula operasi 1 Nov

SHAH ALAM, 27 OKT: Talian khas aduan bagi menangani isu keganasan rumah tangga di negeri ini yang dinamakan sebagai SELamat akan beroperasi pada 1 November.

Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) berkata mangsa yang ingin mendapatkan bantuan boleh menghubungi talian 03-64195027, beroperasi sepanjang 24 jam.

“Talian rasmi ini bertindak sebagai pertolongan cemas mangsa keganasan rumah tangga sebelum mereka mendapatkan bantuan susulan.

“Selain itu, talian ini dikendalikan kakitangan WBS bersama sokongan kumpulan sukarelawan,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki kepada SelangorKini.

Tambah beliau, perasmian talian ini dirasmikan EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas tersebut.

Peruntukan itu terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta yang bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Masak ala kadar, tidak sedap punca ramai isteri dikasari suami

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kegagalan isteri menghidangkan juadah enak kepada suami antara aduan kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan di Selangor sepanjang Januari hingga September tahun lalu.

Meskipun kedengaran seperti tidak masuk akal namun rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor mendapati 20 hingga 30 peratus daripada 254 kes keganasan rumah tangga yang diadu membabitkan isu berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) Siti Kamariah Ahmad Subki berkata kekurangan bekalan makanan menjadi punca kebiadaban itu berlaku berikutan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ada kes diterima apabila si suami mengamuk sehingga sanggup membaling pinggan ke arah si isteri gara-gara makanan yang dimasak tidak sedap dan ala kadar dengan hanya berlaukkan telur goreng.

“Memang tidak logik si suami berbuat demikian sedangkan mereka yang sepatutnya bertanggungjawab memberi makan dan minum kepada ahli keluarga. Oleh kerana terdesak serta kelaparan, dia (suami) tahu marah sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata aduan sampingan lain yang turut dilapor membabitkan masalah kewangan, dibelenggu hutang tinggi, kehilangan pekerjaan dan kesukaran memohon bantuan disediakan kerajaan.

“Kita mengenal pasti majoriti mereka yang membuat aduan berkaitan tidak memiliki tahap pendidikan tinggi. Mungkin ia biasa bagi kita, tetapi menjadi masalah besar buat mereka,” katanya lagi.