Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Kebenaran teman wanita bersalin tertakluk syarat, situasi semasa Covid-19

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Kebenaran bagi suami atau waris terdekat menemani isteri atau ibu hamil semasa proses kelahiran anak di wad bersalin hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) telah berkuat kuasa sejak Oktober 2021.

Bagaimanapun, KKM menerusi perkongsian dalam laman Facebook rasminya, memaklumkan kebenaran itu tertakluk kepada syarat-syarat tertentu dan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut KKM, polisi serta garis panduan itu bersifat dinamik bergantung kepada situasi COVID-19 semasa dan pelaksanaannya di hospital tertakluk kepada situasi serta kapasiti atau kekangan tertentu bagi memastikan aspek penjagaan rawatan pesakit, keselamatan pesakit serta petugas kesihatan diutamakan.

“KKM sangat prihatin dan teliti dalam pelaksanaan polisi ini bagi memastikan wanita hamil serta bayi baru lahir terjaga kerana mereka adalah golongan yang berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19,” menurut perkongsian itu.

Orang ramai dinasihati agar menyemak dengan hospital terdekat mengenai polisi kebenaran menemani isteri di wad bersalin.

Bagi suami atau ahli keluarga yang ingin menemani ibu hamil bersalin di hospital, mereka perlu melengkapkan vaksinasi COVID-19 iaitu 14 hari selepas menerima dos kedua vaksin Pfizer, Sinovac serta Astra Zeneca atau 28 hari selepas menerima vaksin CanSino dan Johnson & Johnson.

Selain itu, mereka juga perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 dalam tempoh 72 jam dan membawa keputusan ujian ke hospital atau membeli kit ujian kendiri dan menjalani ujian pengesanan di tempat saringan yang disediakan di hospital.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lagi kluster baharu di Sabah babit wanita bersalin

SHAH ALAM, 17 SEPT: Satu lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Semporna, Sabah membabitkan wanita tempatan ketika saringan kemasukan ke Hospital Tawau bagi kelahiran pramatang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif, satu lagi kes dikesan daripada kluster berkenaan.

“Kes merupakan pegawai perubatan yang merawat wanita berusia 32 tahun berkenaan.

“Sehingga hari ini, 118 individu disaring dalam kluster ini dan dua dikesan positif dan 116 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Foto: Facebook Noor Hisham Abdullah

Beliau berkata langkah pencegahan seperti proses nyahkuman dan pembersihan dijalankan di lokasi yang dikenal pasti.

“Punca jangkitan masih di dalam siasatan dan aktiviti mengawal penularan jangkitan bagi kluster ini giat dijalankan di lapangan.”