Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita bujang atas 30 tahun perlu mahir memimpin, lancar urusan harian

SHAH ALAM, 29 NOV: Wanita bujang berusia 30 tahun ke atas yang belum mendirikan rumah tangga memerlukan kemahiran kepimpinan supaya urusan harian berjalan lancar.

Pengarah Operasi BaitulJannah Wan Nuradila Huda Wan Zaidon berkata perkara sama ditekankan kepada ibu tunggal agar mampu menjadi pemimpin untuk diri sendiri, tempat kerja dan mendidik anak.

“Kemahiran kepimpinan meliputi ekonomi, politik dan sosial amat penting bagi seseorang dalam membuat keputusan kehidupan seharian dengan tepat sekali gus melancarkan urusan sendiri serta semua pihak.

“Walaupun lumrahnya lelaki adalah pemimpin, namun dalam keadaan tertentu wanita perlu tampil ke hadapan untuk menjadi pemimpin,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) yang ditubuhkan Kerajaan Selangor menjadi medium terbaik untuk menggilap kemahiran kepimpinan wanita di peringkat akar umbi.

“Alangkah bagusnya jika semua wanita boleh melibatkan diri dalam program disediakan Kerajaan Negeri. Penglibatan golongan ini membolehkan mereka membantu sesama mereka.

“Apabila ada ahli politik wanita atau seseorang wanita dalam sesebuah organisasi mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi secara automatik kaum wanita tidak akan terabai,” katanya.

Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM5.03 juta untuk Wanita Berdaya Selangor (WBS) bagi memperkasa wanita dalam pelbagai bidang di negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana berkenaan turut digunakan untuk Pusat Wanita Berdaya (PWB) di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan AKW bagi melatih kepimpinan akar umbi.