Categories
NASIONAL

Wanita PKR lancar petisyen tuntut BR1M suri rumah

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 JAN: Wanita PKR melancarkan petisyen di seluruh negara bagi menuntut skim Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) oleh Kerajaan Persekutuan diagihkan kepada suri rumah, sempena tahun baharu 2015.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, pemberian itu wajar memandangkan wanita memainkan peranan utama dalam membuat keputusan terhadap perbelanjaan isi rumah.

Katanya, Wanita PKR juga berhasrat untuk merekrut lebih ramai wanita untuk menyertai parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu.

wan azizah pakatan harapan wanita 02“Menjadi harapan dengan meningkatnya penyertaan wanita dalam politik akan menjadi wakil kepada suara 52 peratus pengundi wanita yang mengundi di negara ini.

“Saya ingin menegaskan walaupun masih banyak perkara yang harus dilaksanakan, Wanita PKR berikrar untuk terus menegakkan agenda wanita iaitu kuota 30 peratus yang dipinda dan dimasukkan ke dalam perlembagaan parti tahun ini,” katanya dalam perutusan tahun baharu.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan takziah kepada hampir 250,000 orang yang terjejas akibat banjir dan ahli keluarga serta rakan penumpang anak kapal pesawat Air Asia QZ8501.

Mengulas pengurusan bencana, beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang menggesa Kerajaan Persekutuan bersikap lebih serius dan bertanggungjawab.

zuraida speech oren 01“Kerajaan perlu menyediakan bantuan dan kebajikan kepada mangsa banjir Malaysia yang memerlukan bantuan dan bukannya menyibukkan diri bermain golf atau pembungkusan semula barangan kepada mangsa banjir dengan menampal logo BN dan mengambil gambar untuk tujuan publisiti.

“Sebuah kerajaan yang bagus adalah prihatin mendahulukan kepentingan rakyat. PR akan berusaha untuk memberikan Malaysia sebuah pentadbiran kerajaan yang lebih baik,” katanya.

-NFN-

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Wanita PKR terbabit secara langsung kumpul bantuan mangsa banjir

Oleh: ZURAIDA KAMARUDDIN

Tahun 2014 telah tiba di penghujungnya, dengan ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan bencana alam paling dasyat pernah terjadi di dalam sejarah Malaysia yang melibatkan hampir 250,000 rakyat Malaysia terjejas oleh banjir di seluruh negara. Ucapan takziah juga  buat ahli keluarga serta rakan-rakan dan penumpang anak kapal pesawat QZ8501.

Perasaan sedih dan simpati menggamit hati saya apabila satu demi satu peristiwa yang  tidak diingini telah menimpa negara ini. Marilah kita terus berdoa agar kesusahan yang menimpa mereka yang terlibat diberikan kekuatan dan dipermudahkan urusan.  InsyaAllah.

Sehubungan dengan itu, Wanita Keadilan kini terlibat secara penuh dalam pengumpulan dan pengagihan barang bantuan kepada mangsa banjir melalui Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (PANTAS) di bawah Kerajaan Selangor. Selain itu, di atas keprihatinan Dato’ Menteri Besar Selangor YAB Mohamed Azmin Ali telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta kepada Kerajaan Kelantan dan RM100 ribu masing-masing untuk Perak, Pahang dan Terengganu sebagai bantuan kepada mangsa banjir di negeri tersebut.

Melihat kepada keadaan ekonomi negara ini pula, nilai mata wang Ringgit yang semakin menurun adalah ditahap yang sangat membimbangkan. Dalam tinjauan yang sama, terutamanya dengan peningkatan inflasi dan pasaran yang semakin menurun, serta hutang perbelanjaan isi rumah yang melonjak tinggi dan pengaliran keluar wang haram yang tidak terkawal, haruslah dibendung dengan kadar segera. Memerangi isu rasuah dan pengawalan pengeluaran wang haram perlu menjadi fokus utama bagi mengatasi masalah-masalah tersebut.

Daripada isu-isu perkauman dan agama terus dimainkan di mata rakyat, adalah baiknya masalah ekonomi negara ditumpukan. Saya percaya isu-isu ini menjadi ledakan umum yang disengajakan sebagai salah satu cara untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada permasalahan lebih penting.

Pada tahun 2014, saya telah dihalang sebanyak dua kali daripada memasuki Sarawak tanpa alasan kukuh diberikan. Tan Sri Adenan Satem perlu lebih matang dan professional dalam membenarkan pimpinan-pimpinan dari parti pembangkang untuk memasuki Sarawak tanpa sekatan. Dipetik dari kenyataan The Star mengatakan Sarawak telah mengetatkan peraturan imigresen dan akan meningkatkan penelitian pelawat dari Semenanjung bagi tujuan mengelakkan extrimism agama dan perkauman dari memasuki Sarawak. Ini mungkin bertujujuan bagi menyekat extrimis seperti Ridzuan Tee dan Ibrahim Ali yang lantang dalam mempromosikan pandangan mereka terhadap isu-isu perkauman dan agama. Namun yang demikian, amat mengecewakan apabila tidak dinyatakan sebab-sebab bagi pemimpin pembangkang yang tidak dibenarkan masuk ke negeri tersebut.

Pada tahun ini juga, Wanita Keadilan telah melancarkan petisyen di seluruh negara bahawasanya sebahagian daripada BR1M wajar diagihkan kepada suri rumah. Ini adalah kerana wanita memainkan peranan utama dalam membuat keputusan terhadap perbelanjaan isi rumah.

Selain itu juga, Wanita Keadilan telah melancarkan satu lagi kempen bagi merekrut ramai lagi wanita untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat. Menjadi harapan dengan meningkatnya penyertaan wanita dalam politik akan menjadi wakil kepada suara 52% pengundi wanita yang mengundi di negara ini.

Saya ingin menegaskan bahawa walaupun masih banyak perkara yang harus dilaksanakan, Wanita Keadilan berikrar untuk terus menegakkan agenda wanita iaitu kuota 30% yang telah dipinda dan dimasukkan ke dalam perlembagaan parti tahun ini.

Akhir sekali, saya menyeru kepada Kerajaan Persekutuan untuk menjadi lebih serius dalam menyediakan bantuan dan kebajikan kepada mangsa-mangsa banjir  Malaysia yang memerlukan bantuan pada masa ini dan bukannya menyibukkan  diri bermain golf atau pembungkusan semula barangan kepada mangsa banjir dengan menampal logo BN dan mengambil gambar untuk tujuan publisiti.

Sebuah kerajaan yang bagus adalah kerajaan yang prihatin mendahulukan kepentingan rakyat. Pakatan Rakyat akan berusaha untuk memberikan Malaysia sebuah pentadbiran kerajaan yang lebih baik. InsyaAllah.

Selamat Tahun Baru diucapkan buat semua. Semoga tahun 2015 akan menjadi tahun yang lebih baik dari sebelumnya.

 # Zuraida Kamaruddin adalah Ahli Parlimen Ampang merangkap Ketua Wanita PKR

Categories
NASIONAL

Zuraida: Wanita Perlu Peka Isu Semasa

Wanita kongres 2

PETALING JAYA 24 MEI : Ketua Wanita PKR menyeru semua kompenan wanita parti itu lebih peka dengan isu semasa dan mampu berhujah diperingkat akar umbi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 14 akan datang.

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun Pilihan Raya Umum Ke 13 baru berlalu, tetapi gerak kerja pilihan raya akan datang harus dipersiapkan kini.

“Kita mahu wanita lebih peka dengan isu semasa supaya kita dapat mendedahkan kepada rakyat tentang penyelewengan yang dilakukan oleh pihak lawan,” katanya dalam ucapan dasar Kongres Nasional ke 9 di Dewan Sivil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini.

Beliau turut mahu Wanita PKR terus menjadi komposisi penting dalam parti seterusnya mempersiapkan diri menjadi model kepada pemberdayaan wanita seluruh negara.

Dalam pada itu, Zuraida meminta budaya meminggirkan calon wanita seperti yang dilakukan Umno-BN perlu dihakis dalam PKR.

Katanya, sewajarnya Wanita PKR tidak menjadi seperti wanita Umno-BN yang masih lagi ditakuk lama dan gagal mengetengahkan secukupnya calon wanita walaupun sudah 50 tahun bertapak di negara ini.

Wanita kongres 1

Ini berbeza dengan PKR, kerana ada wanita PKR berjaya menjadi Pengarah Pilihan Raya, Wakil Calon, Pengurus Kempen dan Ketua Daerah Mengundi.

Dalam PRU13, Wanita PKR berjaya di tiga kerusi Parlimen (27.3 peratus) daripada 11 kerusi yang ditandingi.

Manakala, berjaya meraih lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (42.1 peratus) daripada 18 kerusi yang ditandingi.

Bagaimanapun, berdasarkan kerusi yang dimenangi, Wanita PKR masih belum berjaya memenuhi kuota 30 peratus penglibatan wanita di peringkat pusat, negeri dan organisasi parti.

Justeru, Zuraida berharap supaya pimpinan pusat parti mempertimbangkan seberapa ramai calon wanita masa depan.