Categories
SELANGOR

Elizabeth Wong: Wanita Mampu jadi Peneraju Perubahan

SHAH ALAM , 8 MAC : Kaum wanita wajib menjadi peneraju perubahan besar di negara bagi mewujudkan Malaysia yang bebas dari rasuah, penyelewengan dan keganasan, tegas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar Negeri Selangor,Elizabeth Wong.

“Walaupun Hari Wanita Sedunia mula disambut lebih seratus tahun dahulu, pada tahun 2012, keadilan dan kesaksamaan bagi kaum wanita masih jauh lagi untuk dicapai.

“Tidak dapat dinafikan bahawa wanita pada hari ini telah menerajui banyak kejayaan.  Kaum wanita didapati dalam puncak pelbagai bidang, tidak kira perniagaan, profesional, ataupun politik.” kata Elizabeth dalam kenyataan medianya.

Menurut Elizabeth, Malaysia masih jauh di belakang berbanding dengan negara-negara jiran.  Di dalam Parlimen dan Dewan-Dewan Negeri di seluruh negara, kaum wanita masih tidak dapat mencecah 30 peratus kerusi.

“Walaupun populasi wanita hampir sama dengan lelaki, kami masih kurang diwakili dalam badan-badan berpengaruh, sama ada dalam sektor awam ataupun swasta.  Malang lagi, budaya menghina dan menindas wanita masih wujud dalam segelintir masyarakat, sama ada di rumah, pejabat atau pun di Parlimen.

“Oleh demikian, saya menyeru semua parti politik untuk mengutamakan calon-calon wanita dalam pilihanraya yang akan datang.  Bagilah kami peluang untuk membawa budaya politik baru yang bersih.

Saya juga berharap seramai mungkin akan turut sertai perhimpunan Wanita Suara Perubahan pada 2 petang, 18 Mac di Padang Astaka, Petaling Jaya.  Hanya dengan bersuara sebagai satu, kepentingan wanita akan diberi keutamaan yang sewajarnya,” ujar beliau yang juga Adun Bukit Lanjan.