Categories
SELANGOR

Waqf Airlines tawar khidmat umrah dan haji sambil berwakaf

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 19 JAN: Waqf Airlines menawarkan perkhidmatan menunaikan umrah dan haji sambil berwakaf di bawah pengurusan Air Riths Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dan Eco Riths Travel & Tour Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Rithsman Mohamed, berkata Waqf Airlines merupakan salah satu usaha medan dakwah untuk membantu umat Islam khususnya yang berpendapatan rendah.

Waqf Airlines“Antara objektif kita adalah untuk memberi peluang kepada jemaah yang kurang berkemampuan dapat menunaikan umrah atau haji dengan menyediakan landasan khusus perkhidmatan penerbangan.

“Dengan wujudnya Waqf Airlines kita mengharapkan kerjasama dari pelbagai pihak untuk membantu umat Islam ke tanah suci,” katanya sewaktu Majlis Kesyukuran Waqf Airlines, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Abu Bakar Yang, berkata ia juga salah satu usaha dapat meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan wakaf sebagai pemangkin ekonomi.

“Wakaf merupakan tulang belakang yang dalam membantu meningkatkan dalam pembangunan ekonomi umat Islam.

“Ia akan memberi manfaat yang besar kepada ekonomi negara dan masyarakat Islam khususnya kerana ia merupakan 100 peratus milik bumiputra,” katanya.

Waqf Airlines mendapat kelulusan ESP (East Service Permit) pada 14 Januari dan dijangka bakal dilaksanakan dalam waktu yang terdekat.

EZY