Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki warga emas korban kedua bah di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 1 MAC: Banjir di Terengganu meragut nyawa kedua apabila seorang lelaki warga emas ditemukan lemas kira-kira 50 meter dari Balai Polis Pasir Gajah, Chukai pada 10.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata Rahim Deraman, 69, dipercayai lemas semasa mengharungi air banjir, sebelum ditemukan dalam keadaan terapung di sebuah parit oleh orang kampung.

“Mangsa yang berasal dari Kampung Pasir Gajah di Chukai tinggal seorang diri di rumah kerana lima anaknya tinggal di luar.

“Semasa banjir semalam, seorang anak mangsa menghubungi jiran meminta tolong untuk melihatkan keadaan ayahnya. Namun mangsa gagal dikesan dan disedari hilang selepas waktu Maghrib,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata kawasan mangsa ditemui itu dinaiki air sedalam dua meter.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut, katanya.

Semalam, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun menjadi korban pertama banjir di Terengganu setelah ditemukan lemas berhampiran rumahnya di Kampung Cheneh Baru di Kemaman kira-kira 3 petang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penerima Sinovac, individu 60 tahun ke atas perlu dos penggalak sebelum 31 Mac

SHAH ALAM, 24 FEB: Kementerian Kesihatan hari ini setuju melanjutkan tempoh masa bagi penerima vaksin Sinovac berumur 18 tahun ke atas untuk memperoleh dos penggalak kepada 31 Mac ini.

Sebelum ini, individu terbabit perlu mendapatkan dos penggalak sebelum 28 Februari bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap mereka.

Ia turut membabitkan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang sudah menerima semua jenis vaksin.

“Mulai 1 April status vaksinasi lengkap akan ditukar kepada tidak lengkap sekiranya masih belum mendapat dos penggalak,” kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada sidang media di Putrajaya hari ini.

 

Categories
ADN SELANGOR

Warga emas rosak saraf kaki, tidur luar kedai dobi dibantu ADN Kampung Tunku

SHAH ALAM, 24 FEB: Nasib seorang warga emas yang hidup dalam kedaifan hingga terpaksa tidur di luar kedai dobi di SS2 Petaling Jaya mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku.

Menurut Lim Yi Wei, gelandangan berusia 62 tahun itu dibawa ke Rumah Orang-Orang Tua Seri Setia di Kampung Baru Sungai Way kelmarin supaya mendapat penjagaan rapi.

Beliau berkata warga emas itu turut dibawa membuat saringan ujian pantas antigen (RTK) dan polimerase masa nyata (PCR) sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kami juga mendapati beliau mengalami kerosakan saraf pada kaki menyebabkan pergerakannya tersentak-sentak dan tidak stabil. Kami menyewa sebuah bilik di hotel bajet untuknya.

“Selepas disahkan negatif Covid-19, kami membawanya pula untuk menjalani ujian darah dan air kencing,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Yi Wei menambah lelaki terbabit kemudian dibawa ke pusat pemberian vaksin di Paradigm Mall bagi mendapatkan suntikan dos penggalak.

“Semasa memapah pakcik ke klinik dan lokasi-lokasi lain, saya terkenang mendiang datuk dan nenek saya. Semoga pakcik hidup lebih baik bawah penjagaan warga Sungai Way,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

70 peratus warga emas terima dos penggalak setakat 16 Jan

SHAH ALAM, 17 JAN: Lebih 70 peratus warga emas telah menerima suntikan dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah itu melibatkan golongan tersebut di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak daripada 9,364,326 penduduk berusia 18 tahun ke atas di seluruh negara yang melengkapkan vaksinasi itu.

Menurutnya, warga emas 60 tahun ke atas telah menerima dos lengkap selepas tempoh tiga bulan daripada dos terakhir, layak menerima dos penggalak.

Sehubungan itu, perkhidmatan vaksinasi secara terus (walk-in) kepada mereka di Lembah Klang ditawarkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang beroperasi setiap hari kecuali cuti umum adalah seperti berikut:

1. PPV World Trade Centre, Kuala Lumpur (2 petang hingga 8 malam)
2. PPV Axiata Arena, Bukit Jalil (2 petang hingga 8 malam)
3. PPV Ideal Convention Centre, Shah Alam (2 petang hingga 8 malam)
4. Soka Gakkai, Klang (12 tengah hari hingga 4 petang)

Tambahnya, PPV ‘offside’ di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak akan turut dilaksanakan perkhidmatan sama mulai 24 Januari ini dengan senarai lengkap pusat tersebut akan diumumkan ProtectHealth Corporation.

“Warga emas yang ingin hadir secara terus (walk-in) adalah dimohon agar mempunyai sijil vaksinasi digital lengkap di dalam MySejahtera bagi melancarkan proses itu.

“KKM juga ingin memaklumkan buat masa ini, janji temu di PPV Integrasi di Lembah Klang diberikan kepada individu telah menerima dos lengkap AstraZeneca atau Sinovac untuk diberikan dos penggalak vaksin AstraZeneca,” katanya.

Kementerian itu juga menjelaskan vaksin Pfizer akan dibekalkan di PPV tersebut khususnya bagi individu tertentu seperti ibu hamil telah menerima janji temu atau mereka yang mempunyai kontraindikasi terhadap vaksin AstraZeneca.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasangan warga emas dipapah harungi banjir di Kampung Padang Jawa

KLANG, 20 DIS: Pasangan  warga emas terpaksa dipapah ketika mengharung banjir bagi berikutan air melimpahi rumahnya di Kampung Padang Jawa di sini pada Sabtu lalu.

Syed Kamaruddin Syed Doh, 68, bersama isteri dipapah anak dan menantunya selama 15 minit meredah air sebelum mereka diselamatkan sukarelawan bersampan.

“Saya jalan perlahan sebab sudah tua. Memang tidak larat. Anak menantu tolong papah dari rumah,” katanya kepada Selangorkini di pusat pemindahan sementara di Sekolah Rendah Agama Padang Jawa di sini hari ini.

Beliau mulanya menyangka banjir pada Jumaat mula reda sebaliknya paras air naik mendadak hingga cecah dada pada keesokannya, lebih-lebih lagi rumahnya di tepi sungai.

“Sehari sebelum itu air sudah naik tetapi surut semula. Baru bersihkan rumah tiba-tiba hujan sepanjang hari.

“Pada Sabtu, banjir sekali lagi. Kali ini, lebih besar sampai tidak sempat selamatkan barang-barang,” katanya yang kini tinggal sehelai sepinggang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas, individu berpenyakit disaran elak ke luar negara

PUTRAJAYA, 1 DIS: Warga emas dan individu dengan komorbiditi disaran tidak membuat perjalanan ke luar negara buat masa ini dan mengelakkan kawasan awam yang sesak susulan kewujudan varian Omicron yang membimbangkan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin turut menasihati rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara untuk sentiasa mematuhi amalan keselamatan Covid-19 terutamanya ke negara yang masih tidak melaporkan kewujudan varian berkenaan dan negara yang disenarai berisiko tinggi.

“Di Eropah contohnya, semakin longgar (tatacara operasi piawai Covid-19), warganegara Malaysia yang ingin ke destinasi luar disaran terus mematuhi peringatan Kementerian Kesihatan (KKM) walaupun berada di luar negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengenai perkembangan dos penggalak, hairy berkata kehadiran untuk menerima dos penggalak menunjukkan perkembangan baik biarpun pada awalnya kehadiran janji temu tidak memberangsangkan.

Namun Khairy berkata ada warga emas yang telah menerima vaksin Sinovac sebagai vaksin asal tidak hadir janji temu bagi dos penggalak.

“Diharap mereka segera dapat menerima dos penggalak, lebih-lebih lagi dengan perkembangan varian Omicron kini,” katanya.

Berdasarkan data KKM melalui laman COVIDNOW, jumlah kumulatif dos penggalak kini sebanyak 2,457,510.

Khairy berkata kementerian juga dalam proses memuktamadkan sistem mengesan tanda-tanda awal peningkatan kes Covid-19 dalam negara, selain mengemas kini Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan dari semasa ke semasa seiring dengan perkembangan varian Omicron.

Mengenai penemuan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) tentang kemunculan varian Omicron, Khairy berkata institut itu akan terus menerima data mengenai penjujukan genom dari negara lain mengenai varian itu.

“Jadi, dengan penjujukan genom ini, kita akan dapat mengesan Omicron dengan cepat melalui ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan membolehkan kita memberikan diagnosis yang lebih baik,” katanya.

– BERNAMA

 

 

Categories
JENAYAH

Wanita warga emas maut dikelar anak lelaki

GURUN, 10 Nov: Seorang wanita warga emas maut dipercayai dikelar anak lelakinya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Batu 5, Jalan Jeniang dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 7.30 pagi tadi dan pemeriksaan di rumah itu menemukan mayat Sarah Jon, 70, dalam keadaan terlentang di ruang tamu dengan kesan kelar sepanjang kira-kira 12.7 sentimeter pada leher.

“Terdapat sedikit kecederaan pada tangan kanan dan telinga kiri mangsa (Sarah) dipercayai akibat dipukul dengan senjata tumpul. Kita turut menjumpai beberapa peralatan menghisap dadah dan sejumlah baki dadah di tepi pintu masuk (rumah),” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Adzli berkata wanita berkenaan dan anak lelakinya berusia 31 tahun serta mempunyai rekod masalah mental itu tinggal berdua di rumah tersebut sejak 10 tahun lepas.

Beliau berkata pihaknya percaya kejadian itu berlaku antara pukul 6.30 dan 7 pagi tadi dan anak lelaki mangsa kemudian bertindak keluar ke Jalan Gurun-Jeniang, kira-kira satu kilometer dari rumah tersebut sebelum maut dilanggar lori yang melalui jalan berkenaan.

Menurut Adzli pihaknya belum menemukan senjata yang disyaki digunakan dalam kejadian itu namun percaya perbuatan itu menggunakan pisau tumpul.

Beliau berkata pihaknya menggerakkan Unit Anjing Pengesan untuk mencari senjata itu di sekitar kawasan rumah mangsa dan lokasi anaknya dilanggar lori.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, berlaku pertengkaran antara wanita dan anak lelakinya itu malam tadi yang dipercayai berpunca daripada desakan anaknya untuk membeli dadah.

“Adik mangsa yang tinggal berdekatan rumah mangsa memaklumkan dia terdengar pertengkaran selepas Isyak malam tadi,” katanya.

Kata beliau kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh itu dianggap selesai memandangkan anak lelaki mangsa sudah meninggal dunia dalam kemalangan itu.

Namun katanya polis akan meneruskan siasatan sekiranya terdapat maklumat baharu berkaitan kejadian itu.

Beliau berkata mayat wanita dan anak lelakinya itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak empat tahun parah ditikam jiran warga emas

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Polis menahan seorang lelaki warga emas disyaki menikam seorang kanak-kanak lelaki dengan menggunakan pisau dalam kejadian di kawasan taman permainan rumah pangsa di Jalan Loke Yew di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya dalam kenyataan hari ini berkata suspek berumur 80-an menikam mangsa berumur empat tahun yang juga jirannya itu di perut dan paha sehingga cedera parah.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat kejadian terbabit pada 5.39 petang, dan bergegas ke tempat kejadian sebelum mendapati mangsa telah dibawa oleh keluarganya ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menerima rawatan lanjut.

“Polis pada masa sama menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati lelaki terlibat dikesan menyembunyikan diri di sebuah unit rumah pangsa.

“Berdasarkan siasatan lanjut mendapati individu itu mempunyai rekod rawatan psikiatri dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya,” katanya.

Noor Dellhan berkata kes berkenaan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Warga emas, OKU Pandan Indah dapat barang dapur sempena Deepavali

SHAH ALAM, 1 NOV: Seramai 150 penduduk sekitar Pandan Jaya dan Pandan Indah menerima bantuan bakul makanan dan wang tunai sempena sambutan Deepavali Khamis ini.

Sumbangan yang diagihkan semalam mengandungi makanan asas seperti beras, tepung dan gula bernilai RM100 setiap satu, maklum wakil rakyatnya Ir Izham Hashim.

“Penerima meliputi keluarga berpendapatan rendah, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban terutama bagi masyarakat India yang akan menyambut perayaan Deepavali tidak lama lagi,” katanya menerusi Facebook.

Lebih 8,000 penduduk sekitar Pandan Indah yang terkesan akibat Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan dibantu menerusi agihan bakul makanan sejak Disember tahun lalu.

Ir Izham berkata sebanyak 1,000 bakul makanan diedar setiap bulan oleh pusat khidmatnya dengan peruntukan RM50 setiap satu.

Turut diagihkan ialah 500 tablet dan 200 komputer riba bagi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Utama dos penggalak kepada golongan berisiko dijangkiti wabak

KLANG, 24 OKT: Penerima vaksin jenis Sinovac di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) boleh mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Comirnaty (Pfizer-BioNTech), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari bagaimanapun mencadangkan pemberian dos penggalak itu diberi kepada golongan rentan, warga emas dan petugas barisan hadapan yang berdepan risiko jangkitan wabak.

Menurutnya, kesan sampingan mungkin membabitkan kelompok awal penerima vaksin tetapi data di luar negara menunjukkan keberkesanan mencapai sehingga 87 peratus dan penggunaannya turut disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka yang ingin dos penggalak boleh dapatkan secara percuma di program suntikan yang dilaksanakan kerajaan pusat, setiap vaksin mempunyai selang waktu sehingga enam bulan sebelum keberkesanannya berkurang.

“KKM putus untuk beri kepada penerima Sinovac, tetapi bagi saya lebih baik suntik golongan rentan, warga emas, doktor dan barisan hadapan terlebih dahulu,” katanya selepas meninjau hari pertama Selvax Remaja di Dewan Serbanguna Majlis Perbandaran Klang Pandamaran Jaya di sini, hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas maut di pusat jagaan akibat Covid-19, bukan vaksin

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Kematian seorang wanita warga emas yang tinggal di sebuah rumah penjagaan di sini disebabkan positif Covid-19, kata Pengarah Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya Datuk Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh.

Beliau berkata wanita berusia 78 tahun itu disahkan positif pada 6 September iaitu hari keenam selepas menerima dos kedua vaksin pada 1 September, manakala dos pertama pada 8 Jun.

Berikutan positif terhadap jangkitan itu, Dr Param Jeeth Singh berkata wanita itu telah dirujuk oleh Pakar Perubatan Geriatrik ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk dirawat pada 7 September sebelum meninggal dunia di hospital tersebut pada 12 September.

Beliau berkata Pakar Perubatan Geriatrik merujuk wanita itu ke HRC kerana wanita tersebut termasuk dalam golongan berisiko tinggi disebabkan umurnya telah melebihi 60 tahun selain mempunyai komorbid dan jangkitan Covid-19 kategori tiga.

“Selain wanita itu, terdapat tujuh lagi penghuni rumah jagaan itu yang dirujuk dan dimasukkan ke HRC untuk rawatan lanjut pada 7 September.

“Wanita itu dirawat di HRC iaitu hospital merawat Covid-19 yang dikhaskan untuk warga emas. Namun demikian, keadaan kesihatannya didapati semakin merosot akibat komplikasi jangkitan Covid-19 dan telah meninggal dunia pada 12 September,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu sebagai merujuk video tular menerusi media sosial berhubung kematian wanita berkenaan yang dipercayai dirakam anak wanita itu dengan mendakwa ia akibat kesan sampingan selepas menerima dos kedua vaksinasi Covid-19.

Dr Param Jeeth Singh berkata kes Covid-19 di rumah jagaan itu bermula apabila seorang daripada pekerjanya menunjukkan gejala dan ujian Covid-19 menunjukkannya positif pada 4 September.

Pada 5 September, seorang penghuni di rumah jagaan berkenaan yang berusia 87 tahun dan tiada sejarah vaksinasi Covid-19 pula meninggal dunia.

“Pejabat Kesihatan Cheras dimaklumkan perkara ini pada 6 September dan siasatan lanjut serta pengesanan kes telah mengenal pasti 11 kes dalam kalangan penghuni dengan tiga orang daripadanya tidak pernah menerima vaksin manakala empat kes dalam kalangan pekerja.

“Kluster yang diisytihar pada 10 September ini melaporkan dua kematian dalam kalangan penghuninya iaitu seorang warga emas yang tidak menerima vaksin dan seorang lagi adalah wanita itu,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 177,000 warga emas dijangkiti Covid-19 setakat 30 September

SHAH ALAM, 2 OKT: Seramai 177,220 atau 7.9 peratus warga emas dijangkiti Covid-19 sejak wabak melanda negara sehingga 30 September lalu.

Ketua pengarah kesihatan berkata dalam tempoh sama, sebanyak 106 kluster membabitkan golongan itu dilaporkan dengan 3,598 kes positif dan 220 kematian.

“Sebanyak 14,248 atau 56.6 peratus kes kematian melibatkan warga emas dilaporkan sehingga minggu epidemiologi ke-38 tahun ini.

“Bagaimanapun, trend ini mula menunjukkan penurunan selaras dengan pelaksanaan program imunisasi Covid-19 kebangsaan (PICK) 2021,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Untuk rekod, seramai 3,148,438 warga emas lengkap divaksin dan 3,365,443 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos pelalian setakat 29 September.

Dr Noor Hisham turut menyarankan warga emas mendapatkan vaksin awal berikutan individu berusia 60 tahun ke atas lebih berisiko dijangkiti wabak berbanding golongan lain.

Menurutnya, jangkitan bertambah teruk sekiranya warga emas mempunyai komorbiditi seperti penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik dan barah.

“Proses penyembuhan juga lebih perlahan dan rumit, jadi warga emas disaran mendapatkan vaksin awal kerana kajian menunjukkan ia selamat serta kesan sampingan sangat rendah,” katanya.