Categories
EXCO SELANGOR

Wau kapal bakal diangkat wau rasmi Selangor

SHAH ALAM, 25 NOV: Wau kapal yang melambangkan identiti Selangor bakal diangkat sebagai wau rasmi negeri ini, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah berkata permainan itu yang kaya dengan tradisi wajar diingati masyarakat terutama belia apatah lagi ia dimainkan sejak turun-temurun.

“Seperti wau bulan yang sinonim dengan Kelantan, kita juga mahu mengkomersialkan wau kapal supaya lebih dikenali di Selangor dan tidak lenyap ditelan zaman.

“Kita akan angkat wau kapal untuk dijadikan wau rasmi dan kekal sebagai wadah budaya bangsa selain dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya kepada Selangorkini.

Wakil rakyat Tanjung Sepat berkata pertandingan wau kapal peringkat negeri akan dianjurkan secara besar-besaran tahun depan bagi mempopularkan permainan itu.

Borhan menjelaskan cadangan itu susulan pertandingan Wau Tegak Lajak Kapal Selangor anjuran Dewan Undangan Negerinya (DUN), baru-baru ini menerima lebih 800 penyertaan.

“Selain melibatkan peserta masyarakat setempat, kita juga menerima banyak penyertaan dari daerah lain seperti Klang dan Shah Alam,” katanya lagi.

Categories
EXCO SELANGOR

Hasil kraf wau kapal mini, kekalkan tradisi negeri

KUALA LANGAT, 20 FEB: Wau kapal mini Selangor berasaskan piuter antara produk kraftangan yang bakal diketengahkan supaya tidak lenyap ditelan zaman.

EXCO kebudayaan dan warisan berkata seni lambang kemegahan rakyat negeri ini juga akan ditempatkan di lokasi pelancongan bersejarah atau muzium.

“Saya akan bincang dan beri pandangan untuk pastikan pembuat wau kapal mengeluarkan cenderamata mini bagi menjaga khazanah warisan bangsa,” kata Borhan Aman Shah pada program Kita Ke Kampung di Kampung Sungai Buaya semalam.

Dalam pada itu, beliau berbangga dengan Muskhan Kastudi atau Wak yang masih giat menghasilkan permainan tradisional demi memenuhi permintaan pelanggan.

Menurut Borhan, pembuat wau kapal veteran berusia 62 tahun itu menerima tempahan dari dalam dan luar negeri sejak berkecimpung dalam bidang tersebut puluhan tahun lalu.

“Saya teruja masih ada yang boleh buat wau kapal seperti Wak dan berharap generasi muda mewarisi seni ini supaya ia tidak pupus begitu sahaja,” katanya lagi.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk mohon kawasan lapang terbangkan wau kapal

JERAM, 12 JULAI: Kelayangan Cagat/Tegak Kampung Bukit Kuching Tengah berharap Kerajaan Negeri menyediakan kawasan lapang untuk permainan wau kapal.

Naib Presidennya Mohd Nazri Abdul Samad berkata penduduk terpaksa berlatih dan bermain di padang Sekolah Menengah Kampung Bukit Kuching atau kebun yang baru dibersihkan.

“Permainan ini memerlukan lokasi yang besar. Contohnya jika ada pertandingan, sebulan sebelum itu kami siapkan jentera (layang-layang) dan perlu berlatih.

“Kami tiada masalah menempah padang sekolah, cuma kalau ada lokasi khusus lebih baik,” katanya kepada SelangorKini yang turut memaklumkan wau kapal berjaya menarik minat belia walaupun pernah ‘sunyi’ selama 15 tahun.

Permainan tradisional itu kini dipelopori generasi ketiga sejak diperkenalkan di Selangor pada tahun 70-an dengan identiti bentuk kapal di bahagian bawah.

Lokasi terdekat untuk pertandingan dibuat di Kampung Bukit Kuching Hilir dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.

Categories
SELANGOR

Wau Kapal mampu buka peluang ekonomi anak muda

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LANGAT, 31 JULAI: Pertandingan Wau Kapal Terbuka Selangor 2016 anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) berlangsung meriah dengan penyertaan 400 pemain Wau Kapal dari seluruh Malaysia.

Penganjuran pertama kali ini mempertandingkan dua kategori utama, Wau Kapal Moden dan Wau Kapal Tradisi selain memperkenalkan satu kategori baru, Pakaian Tradisional Tercantik bagi peserta bertanding.

Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi , Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata Wau Kapal merupakan antara identiti kesenian Negeri Selangor yang perlu dikekalkan.

“Kita menganjurkan pertandingan ini dengan harapan supaya identiti (wau kapal) disebar luas sebagai promosi kepada rakyat Selangor.

IMG_1531“Kalau Kelantan ada Wau Bulan, kita (Selangor) ada Wau Kapal.

“Promosi dibuat kepada anak muda kerana kita mahu identiti Wau Kapal ini kekal seperti kata pepatah tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas,” katanya.

Ahmad Yunus yang juga Pengerusi PADAT berkata, Wau Kapal ini mampu menjana ekonomi anak muda memandangkan seni pembuatannya mempunyai keunikan tersendiri.

Justeru, beliau mengharapkan anak muda mengambil peluang mengembangkan lagi kemahiran dan bakat mencipta Wau Kapal untuk dipasarkan.

“Apabila sudah ditetapkan sebagai identiti Selangor, Wau Kapal ini boleh dijadikan sebagai cenderahati untuk dijual bagi menambahkan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, pertandingan seperti ini akan mula dipromosikan ke setiap daerah menerusi Karnival Kampungku Kesayanganku (3K).

JOHAN WAUPertandingan yang bermula sejak awal pagi Padang Awam Batu 7, Kampung Sijangkang, Kuala Langat menyaksikan pelayang dari Tanjung Sepat, Mohd Faizal Jarudi membawa pulang hadiah berjumlah RM1,000 selaku Juara Kategori Wau Kapal Moden di Udara.

Beliau mengenepikan cabaran sengit dari dua peserta lain, Mohd Zulkeffli Supian dan Mispan dalam perlawanan akhir.

Mohd Faizal yang lebih dikenali sebagai Ejal mengakui tuah memihak kepadanya untuk bergelar juara meskipun berlaku sedikit kontroversi di penghujung saingan.

“Alhamdulillah segalanya selesai selepas perbincangan tambahan pula kita bersaing antara kawan-kawan.

“Mungkin ini rezeki saya untuk menang yang ditentukan Allah SWT,” katanya yang sudah lebih 10 tahun bermain Wau Kapal.

EZY