Categories
AGENSI SELANGOR

Kes dera kanak-kanak antara aduan diterima talian SELamat

SHAH ALAM, 16 NOV: Empat daripada 10 aduan diterima melalui talian khas SELamat membabitkan keganasan rumah tangga termasuk satu kes penderaan kanak-kanak.

Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) berkata kes dera itu dirujuk kepada polis untuk tindakan lanjut manakala selebihnya diberi kaunseling.

“Kes keganasan rumah tangga dirujuk ke kaunselor kerana mangsa mahu menyelamatkan perkahwinan. Enam lagi panggilan melibatkan agensi kerajaan, vaksin dan operasi talian,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki.

SELamat yang dibangunkan khusus untuk aduan keganasan rumah tangga beroperasi sejak 3 November lalu dengan menghubungi talian 03-64195027.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas tersebut, sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0.

Talian berkenaan yang beroperasi 24 jam dikendalikan kakitangan WBS bersama kumpulan sukarelawan.

Pada 30 Ogos, Kerajaan Negeri turut melancarkan Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) bagi membantu orang ramai meluahkan tekanan yang dihadapi terutama dalam mendepani pandemik.

Categories
AGENSI SELANGOR

Produk dipasar Hasil Suri Selangor laris sejak PKP

SHAH ALAM, 23 JULAI: Produk hasil tangan wanita yang dipasar menerusi platform Hasil Suri Selangor (HaSSel) laris dijual sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) berkata produk seperti makanan dan perhiasan mendapat sambutan sehingga laman sesawangnya terpaksa ditutup sementara untuk menambah stok.

“Laman sesawang ini dijangka beroperasi semula dalam waktu terdekat bagi membolehkan masyarakat membelinya,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki kepada SelangorKini.

Beliau berkata selain memberi peluang memasarkan produk pihaknya juga menggalakkan usahawan membeli bahan mentah secara dalam talian.

“Kita sedar terdapat kekangan sepanjang PKP namun mereka dinasihat menggunakan medium tersebut untuk mendapatkan bahan berkaitan untuk menghasilkan produk jualan seterusnya berada dalam pasaran,” katanya.

HaSSel merupakan landasan bagi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) wanita memperkenalkan produk bagi tujuan komersial.

Ia adalah inisiatif Kerajaan Negeri memperkasakan golongan terbabit di Selangor terutamanya mereka mempunyai masalah daripada segi sosio ekonomi.