Categories
GLOBAL

Trump pertimbang Jim Webb ganti Mattis

WASHINGTON, 4 JAN: Pentadbiran Presiden, Donald Trump sedang mempertimbangkan seorang bekas senator Demokrat, Jim Webb, sebagai setiausaha pertahanan baru, lapor The New York Times, semalam.

Akhbar yang memetik sumber yang enggan didedahkan itu berkata, Naib Presiden Mike Pence dan pemangku ketua kakitangan Rumah Putih, Mick Mulvey sudah bersemuka dengan Webb yang juga bekas setiausaha angkatan Tentera Laut di bawah pentadbiran Presiden Ronald Reagan.

Sumber itu berkata, seorang pegawai kanan Jabatan Pertahanan mengesahkan bahawa Webb kini sedang diperkatakan di Rumah Putih, memetik Berita Harian Online.

Webb, 72, adalah seorang veteran perang Vietnam, penulis 10 buku, wartawan dan pembuat filem, lapor REUTERS.

Terdahulu, Jim Mattis meletak jawatan pada 1 Januari lalu iaitu sehari sebelum Trump mengatakan bahawa beliau memecat bekas setiausaha pertahanannya itu.

Mattis meletak jawatan selepas Trump membuat keputusan mengejut dengan mengundurkan semua tentera AS di Syria dan sebahagian daripada 14,000 anggota yang kini berkhidmat, di Afghanistan.

Bekas eksekutif syarikat Boeing Co, Patrick Shanahan, yang juga timbalan Mattis, memangku tugas itu, ketika ini.