Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong, Permaisuri ucap Selamat Hari Wesak, rai kebiasaan baharu

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan ucapan Hari Wesak kepada semua penganut agama Buddha di negara ini.

Baginda berdua bertitah penularan wabak Covid-19 bukan sahaja membawa cabaran baharu kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan kepercayaan, malah turut mewujudkan suasana baharu dalam kehidupan harian.

“Semoga hari yang bermakna kepada penganut agama Buddha ini disambut dengan kebiasaan baharu dan dengan mengutamakan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.

“Bersabarlah menghadapi cabaran ini dan marilah bersama memainkan peranan membantu memerangi wabak Covid-19,” menurut baginda berdua dalam hantaran akaun Instagram Istana Negara hari ini.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Peruntuk RM6 juta penuhi keperluan rumah ibadat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 MEI: Kerajaan Negeri memperuntukkanRM6 juta bagi bantuan kewangan kepada rumah ibadat selain Islam di Selangor, pada tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peruntukan itu meliputi Tokong, Kuil, Gereja dan Gudwara yang diselaraskan di bawah Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam.

Katanya, Kerajaan Negeri juga sedar dan prihatin dengan keperluan serta cabaran dihadapi masyarakat agama Buddha.

“Keperluan masyarakat agama Buddha terutama daripada segi keperluan tanah dan prasarana rumah ibadat meningkat sejak 40 tahun kebelakangan ini disebabkan peningkatan penganut.

“Ini juga termasuk peningkatan anak-anak muda yang menyertai program keagamaan, pendidikan dan kebajikan keagamaan yang diuruskan pertubuhan-pertubuhan agama Buddha di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor Tahun 2019, di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian; EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau serta Pengerusi Selangor Buddhist Development Committee, Loka Ng Sai Kai.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, sejak 2008, Kerajaan Negeri menubuhkan sebuah Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam yang turut dianggotai wakil-wakil daripada pertubuhan agama selain Islam termasuk agama Buddha.

“Jawatankuasa ini bermesyuarat sekurang-kurangnya enam kali setahun bagi membincangkan dan menyelesaikan perkara-perkara berkaitan permohonan tanah serta hal ehwal berkaitan rumah ibadat selain Islam supaya ia dapat diuruskan dengan lebih efisyen serta berkesan.

“Kerajaan Negeri juga memberi peruntukan kepada pelbagai pertubuhan agama untuk membaik pulih rumah-rumah ibadat dan menjalankan aktiviti keagamaan masyarakat selain Islam,” katanya.

Categories
SELANGOR

Contohi Selangor sambut Hari Wesak secara rasmi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 3 JUN: Komitmen Kerajaan Selangor menganjurkan perayaan Hari Wesak secara rasmi perlu dijadikan contoh untuk negeri lain.

Pengerusi Pertubuhan Kemajuan Agama Budha Selangor, Loka Ng Sai Kai berkata, Selangor telah mencipta sejarah apabila menjadi negeri peneraju menganjurkan sambutan Hari Wesak di peringkat negeri pada 2011.

Katanya, perkara itu tidak pernah dilaksanakan di mana-mana negeri mahupun diperingkat persekutuan.

“Perayaan Wesak tidak pernah disambut secara rasmi sehinggalah Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat mengukir sejarah menjadi negeri pertama yang menyambutnya secara rasmi.

“Dengan kelahiran Malaysia baharu, kami berharap kerajaan negeri lain yang mendapat mandat di bawah pentadbiran Pakatan Harapan akan mencontohi Selangor dalam menjalankan dasar dan program seperti ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian ketika program Sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor 2018, di Dewan Jubli Perak, malam tadi.

Ia merupakan penganjuran kali ke lapan dilaksanakan yang disertai lebih 40 persatuan agama buddha dari dalam dan luar negara.

Loke Ng Sai Kai berkata, sambutan kali itu lebih meriah diwarnai persembahan tarian dan nyanyian kebudayaan dari negara luar seperti Thailand, Sri Lanka dan Jepun.

“Dari dalam Malaysia, turut hadir beberapa kumpulan yang agak popular antaranya Sutra Foundatioon Artists yang dibimbing oleh Dato’ Ramli Ibrahim.

“Sehubungan itu, kami berharap negeri lain turut dapat melaksanakannya sebagai penghormatan kepada masyarakat buddha yang merupakan agama kedua terbesar di negara ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam peringkat negeri untuk menyelaras perkara berkaitan permohonan tapak tanah untuk rumah ibadat.

MB luang masa sambut Hari Wesak bersama penduduk Cheras

SINOPSIS

Dalam kesibukan jadual hariannya sebagai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkesempatan hadir ke majlis pengagihan barang keperluan kepada warga kurang berkemampuan sempena Hari Wesak baru-baru ini.

Beliau menyampaikan sumbangan barang keperluan kepada kira-kira 70 orang warga kurang bernasib baik bertempat di Pertubuhan Penganut Buddha, Taman Ikan Emas, Cheras.

http://tv.selangorku.com