Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia X beri amaran waspada WhatsApp palsu berkait bayaran

KUALA LUMPUR, 27 JAN: AirAsia X memberi amaran kepada orang awam mengenai mesej penipuan melalui aplikasi WhatsApp yang melibatkan AirAsia X atau syarikat berkaitannya, meminta penerima untuk membuat bayaran ke dalam akaun yang dikatakan milik salah sebuah syarikat pengurusan kredit.

Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia X ingin menekankan bahawa syarikat dan kakitangannya sama sekali tidak mempunyai penglibatan dengan amalan penipuan ini dan tidak pernah melakukan permintaan sedemikian.

“AirAsia X tidak berkomunikasi dengan para tetamunya melalui mana-mana aplikasi sembang seperti WhatsApp,” katanya.

Menurutnya, AirAsia X dan AirAsia tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan berikutan penipuan itu yang tidak melibatkan kakitangan rasmi syarikat.

Bagaimanapun katanya, AirAsia X tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau kumpulan yang menggunakan jenama AirAsia X atau Airasia untuk melakukan penipuan atau kecurian identiti.

Tambahnya, orang ramai boleh berhubung dengan AirAsia melalui saluran komunikasi rasminya di Twitter di www.twitter.com/airasia, Instagram di www.instagram.com/airasia dan Facebook di www.facebook.com/airasia.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Dapatkan bil air menerusi WhatsApp – Air Selangor

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Pelanggan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) kini boleh menerima bil air melalui aplikasi WhatsApp, jika mereka memilih untuk berbuat demikian.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Abdul Halem Mat Som berkata pelanggan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya boleh mendaftar untuk perkhidmatan e-Bil yang bermula pada 1 April, atau mengemas kini maklumat mereka di laman sesawang http://update.airselangor.com untuk menetapkan kaedah penerimaan bil melalui WhatsApp.

“Pelanggan yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan WhatsApp perlu memastikan nombor telefon yang didaftarkan di laman web ini adalah betul dan boleh menerima mesej melalui WhatsApp.

“Untuk maklumat lanjut dan bantuan mengenai bekalan air, pelanggan boleh menghubungi kami di talian 15300, WhatsApp di 019-2800919 atau 019-2816793, media sosial (Facebook, Twitter dan Instagram) dan laman web Air Selangor (www.airselangor.com),” Katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Air Selangor juga menggalakkan pelanggan untuk memuat turun aplikasi Air Selangor di telefon pintar mereka melalui aplikasi AppStore atau GooglePlay untuk maklumat mengenai bekalan air atau untuk semakan bil air.

Pelaksanaan e-Bil adalah selaras dengan program transformasi Air Selangor untuk bergerak ke arah perkhidmatan digital dengan pelanggan kini dapat menerima bil air dengan lebih pantas dan mudah sama ada melalui e-mel atau dengan mengakses aplikasi Air Selangor.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI GLOBAL

WhatsApp mula kenakan caj kepada perniagaan

SAN FRANCISCO/BENGALURU 2 OGOS: Perkhidmatan WhatsApp milik Facebook Inc akan mula mengenakan caj kepada perniagaan yang menghantar mesej pemasaran dan khidmat pelanggan.

Ia sebahagian usaha jenama utama pengendali rangkaian sosial itu berdepan penggunaan dan pertumbuhan pendapatan yang semakin perlahan.

Mesej akan dikenakan caj pada kadar tetap bagi setiap penghantaran, bermula daripada 0.5 cent hingga sembilan sen setiap mesej bergantung kepada negara, kata WhatsApp.

Facebook sedang meninjau pelbagai kaedah untuk menjana hasil daripada perkhidmatan WhatsApp ketika ia berdepan kenaikan kos kerana berbelanja besar untuk meningkatkan tahap keselamatan peribadi serta menangani kebimbangan terhadap ketagihan media sosial.

WhatsApp, yang mempunyai kira-kira 1.5 bilion pengguna berkata, pemilik perniagaan boleh menggunakan WhatsApp Business API untuk menghantar pemberitahuan seperti pengesahan penghantaran, peringatan temu janji dan tiket acara.

WhatsApp menjelaskan ia mengenakan caj premium berbanding kadar SMS.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

WhatsApp janji bertindak isu mesej palsu di India

NEW DELHI 5 JUL: WhatsApp berkata semalam, ia ‘terkejut’ dengan rentetan pembunuhan tanpa undang-undang di India dicetuskan khabar angin palsu dikongsi dalam platformnya ketika kerajaan menuduh perkhidmatan mesej itu tidak bertanggungjawab.

Lebih 20 orang terbunuh di India dalam tempoh dua bulan lalu, menurut laporan media selepas khabar angin disebarkan di telefon pintar mengenai penculik kanak-kanak, pencuri dan pemangsa seksual.

Serangan itu, biasanya menyasar orang luar, menyebabkan pihak berkuasa bergelut melancarkan tindakan berkesan, dengan kempen kesedaran dan amaran awam yang memiliki kesan terhad.

Satu kenyataan tegas dikeluarkan Kementerian Elektronik dan Teknologi Maklumat lewat kelmarin menyatakan ‘bantahan mendalam’ terhadap pengurusan kanan WhatsApp berhubung ‘mesej tidak bertanggungjawab dan mencetuskan huru-hara.’

“Kerajaan juga menyampaikan dengan jelas bahawa WhatsApp perlu mengambil tindakan segera menamatkan ancaman ini,” katanya.

Dalam sepucuk surat kepada kerajaan India, WhatsApp berkata, ia ‘sangat peduli terhadap keselamatan rakyat’ dan mengambil langkah menghalang penyebaran berita palsu dan penipuan.’

“Kami terkejut dengan tindakan buruk keganasan dan mahu bertindak balas segera terhadap isu amat penting ditimbulkan anda,” kata WhatsApp dalam surat dilihat AFP.

Syarikat berkata, ia sedang bekerja dengan penyelidik India untuk memahami lebih jelas masalah itu dan memperkenalkan perubahan dikatakan dapat mengurangkan penyebaran mesej tidak dikehendaki.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Pengasas WhatsApp umum undur diri

GLOBAL 13 SEPT: Brian Acton, pengasas bersama aplikasi WhatsApp yang kini dimiliki Facebook Inc mengumumkan untuk mengundur diri daripada syarikat rangkaian mesej tersebut.

Beliau mengumumkan perkara itu melalui satu kenyataan di Facebook pada Selasa, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Acton berkata beliau mengundur diri kerana mahu memulakan sebuah yayasan baharu.

Sebelum ini, Acton meluangkan masa sembilan tahun bersama WhatsApp yang dibeli Facebook pada 2014 secara tunai dan dalam bentuk saham bernilai AS$19 juta(RM79.8 billion).

Brian-ActonGraduan lulusan Standford itu mengasaskan WhatsApp bersama dengan rakannya, Jan Koum dari Ukraine pada 2009.

Kedua-duanya sebelum ini pernah berkhidmat bersama Yahoo sebelum memutuskan untuk mewujudkan aplikasi WhatsApp.

=EZY=

Categories
NASIONAL SELANGOR

Aset Selangor diselia dengan baik-FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 25092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Semua aset-aset negeri akan ditadbir urus dengan berkesan bagi menghasilkan keuntungan untuk Kerajaan Negeri. Keuntungan ini, tegas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, akan disalurkan untuk program-program pro-rakyat seperti Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

2. Data polis menunjukkan indeks jenayah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkurangan sebanyak 245.28 kes bagi setiap 100,000 penduduk antara Januari hingga Ogos berbanding tempoh sama tahun lalu.

3. Orang ramai kini boleh berkomunikasi secara terus dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan ahli majlis kawasan masing-masing menerusi aplikasi mesej tidak berbayar, WhatsApp.