Categories
AGENDA NASIONAL

Keperluan WiFi dalam pesawat umpama oksigen – CEO AirAsia

KUALA LUMPUR, 20 OKT: AirAsia merupakan contoh syarikat yang memanfaatkan teknologi pengubah dan digital bagi meningkatkan pendapatan sampingannya, termasuk perkhidmatan WiFi dalam pesawat yang dijangka mewujudkan pasaran global bernilai US$130 bilion menjelang 2035 seperti dinyatakan oleh London School of Economics.

Malah, AirAsia merupakan perintis syarikat penerbangan tambang rendah yang menawarkan perkhidmatan WiFi dalam pesawat di rantau ini.

“Pada masa ini, lebih kurang 50 peratus daripada pesawat kami (di Malaysia) mempunyai kapasiti untuk menawarkan kemudahan WiFi tersebut. Kami turut menjangkakan WiFi akan dipasang dalam semua pesawat AirAsia Malaysia pada 2020 dan akan diperluaskan kepada semua syarikat lain AirAsia selepas itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Riad Asmat kepada Bernama, baru-baru ini.

Menurutnya, usaha itu juga selaras langkah AirAsia memenuhi permintaan para pelanggannya.

“WiFi ini umpama oksigen. Lazimnya sebaik sahaja anda mengambil tempat, perkara pertama yang ditanya adalah jika tempat itu mempunyai kemudahan WiFi dan ia semakin mendapat tarikan dalam sektor penerbangan,” katanya.

Beliau berkata, bagi operasi Malaysia, kesemua penerbangan itu memakan masa dalam lingkungan 1-4 jam.

“Dalam ekosistem WiFi AirAsia misalnya, kami ada hiburan, kemudahan (beli-belah) e-kedai, majalah dalam penerbangan secara digital serta hiburan tertentu untuk kanak-kanak. Selain meningkatkan pengalaman para penumpang, perkhidmatan ini juga membolehkan mereka berhubung dengan orang tersayang walaupun di udara.

“Ekosistem perkhidmatan WiFi AirAsia (bagi hiburan kanak-kanak, e-kedai dan majalah) adalah percuma namun bayaran akan dikenakan apabila anda mahu menggunakan media sosial atau melakukan kerja. Saya percaya kadar (caj) yang kami kenakan adalah kompetitif sepertimana syarikat penerbangan lain di sekitar rantau ini,” katanya.

Tinjauan ke atas perkhidmatan itu mendapati pelan WiFi tersebut dalam lingkungan RM9 sehingga RM58 dengan pelan paling asas menawarkan 10MB manakala pelan 200MB pula disifatkan terbaik bagi tujuan melayari internet.

Menurut Riad, lebih 30 peratus penumpang AirAsia telah menggunakan perkhidmatan WiFi AirAsia dan angka itu dijangka mencecah 50 peratus tidak lama lagi.

Jelasnya, AirAsia juga banyak menggabungkan perkhidmatannya dalam ekosistem WiFi yang disifatkan beliau dapat membantu daripada mengurangkan kos menerusi penjimatan bahan api.

“Apabila satu-satu pesawat itu dilengkapi kemudahan WiFi, maka majalah fizikal dalam penerbangan tidak lagi diperlukan dan ini merupakan satu penjimatan,” katanya.

Menurutnya, ini penting kerana walaupun majalah itu dihasilkan dalam kertas paling ringan pun, ia tidak dapat menyamai langkah penawaran sepenuhnya dalam bentuk digital yang mampu menjimatkan dari segi beban muatan yang dibawa pesawat.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan perkhidmatan WiFi itu sebagai amat penting untuk perniagaan AirAsia yang “merupakan perkara utama untuk menerima dan melaksanakan teknologi.”

Menurutnya, setakat ini sumbangan WiFi kepada pendapatan sampingan keseluruhan syarikat itu masih kecil namun beliau yakin dengan potensinya dari segi menjana perolehan.

“Potensi pertumbuhannya adalah besar kerana apabila semua pesawat menawarkan khidmat itu, para penumpang akan bergantung kepada keperluan tersebut. Sudah pasti ada manfaat perniagaan secara langsung atau tidak, terutamanya apabila penumpang melayari dan membuat pembelian menerusi kemudahan e-kedai OURSHOP kami,” katanya merujuk kepada platform e-dagang AirAsia itu.

Bagaimanapun, Riad mengakui bagi memastikan perkhidmatan itu memberi impak ketara terhadap pendapatan sampingan syarikat, ia perlu kekal menarik dan syarikat itu sentiasa meninjau untuk mendapatkan pembabitan lebih banyak pihak penyedia kandungan.

Pada masa ini, AirAsia menggunakan platform berkelajuan tinggi Ka-band yang menawarkan aspek kesalinghubungan melangkaui jalur lebar, menyokong video masa sebenar, pengstriman muzik dan sebagainya.

Baru-baru ini, satu tinjauan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang mewakili kira-kira 290 syarikat penerbangan dengan 82 peratus trafik udara global, mendedahkan bahawa 53 peratus penumpang atau responden mengakui kepentingan penyediaan WiFi tersebut.

Kepentingan itu paling ketara atau tertinggi di Afrika (71 peratus), Amerika Selatan (68 peratus) dan Timur Tengah (67 peratus) manakala terendah di Eropah (44 peratus) dan Amerika Utara (49 peratus).

Tinjauan Penumpang Global 2019 itu berdasarkan kepada 10,877 maklum balas penumpang di 166 negara.

“Oleh kerana sambungan WiFi ini terus memberi impak langsung kepada pengalaman perjalanan secara menyeluruh, maka langkah pesawat menawarkan penggunaan teknologi WiFi dalam pesawat akan ini terus menjadi cara berkesan untuk syarikat penerbangan menonjolkan kelebihan tawaran produk masing-masing,” kata persatuan itu.

Dalam pada itu, Riad berkata, selain WiFi, terdapat potensi besar untuk meningkatkan pendapatan sampingan menerusi segmen perniagaan kargonya – Teleport yang merupakan syarikat kumpulan penerbangan kargo kedua terbesar di Asia Tenggara dari segi kapasiti selepas Singapore Airlines Cargo, setakat Julai 2019 sebagaimana dinyatakan oleh pihak Centre for Aviation.

“Kami hanya memanfaatkan kira-kira 15 peratus daripada ruang kargo dalam pesawat yang mana dianggarkan 40 peratus daripada pendapatan itu dijana daripada sambungan menerusi rangkaian kami,” katanya.

Ia menyumbang prolehan kira-kira RM206 juta bagi tahun kewangan 2018 dan berada di landasan untuk mencatat kira-kira RM400 juta bagi tahun kewangan 2019.

“Pihak kami juga telah melabur dalam aspek teknologi dengan sasaran untuk memastikan penghantaran pada hari sama ke mana-mana destinasi dalam Asia Tenggara. Ini turut bergantung kepada lapangan terbang yang menjadi nadi kapasiti itu,” katanya.

Atas alasan itu, kata Riad, AirAsia melihat pertumbuhan lebih besar dalam perniagaan bungkusan kecil.

“Ini merupakan (sumber) keuntungan dan perniagaan e-dagang itu sahaja merupakan satu hakikat (dari segi potensi),” katanya.

– BERNAMA