Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan mungkin perluas haram jualan arak di kedai runcit, serbaneka

KOTA BHARU, 21 NOV: Kerajaan tidak menolak kemungkinan memperluaskan pengharaman jualan arak di kedai serbaneka dan kedai runcit di negeri selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan menerima komen positif daripada masyarakat merentasi kaum berhubung langkah itu yang dijangka dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bermula Oktober tahun depan.

“Hingga ke tarikh ini kita hanya mengehadkan pengharaman jualan arak ini di Wilayah Persekutuan, namun kita tidak menolak kemungkinan akan diperluaskan ke tempat-tempat lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Inspirasiku MyHaus di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan kunci rumah kepada ibu tunggal Rashidah Semail, 48, dari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata pihaknya juga menerima aduan daripada pekerja kedai serbaneka yang terpaksa menjual arak.

“Sebenarnya negara kita agak terkebelakang dari sudut pengawalan penjualan minuman keras ini dan jika kita tengok negara jiran kita seperti Singapura, undang-undang mereka lebih ketat dan ada had-had dan masa-masa tertentu.

“Bagaimanapun, ini permulaan yang sangat baik walaupun hanya dilaksanakan di Wilayah Persekutuan dahulu,” katanya, menambah langkah itu juga bukan agenda politik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu sempadan KL-Selangor antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Impak hasil promosi sawit oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di luar negara adalah antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu tersebut terkandung dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengenai impak utama promosi sawit di negara-negara yang pernah dilawati, kepada industri sawit negara.

Selain itu, Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) akan bertanya kepada kementerian sama mengenai langkah untuk menyelesaikan masalah kekurangan pekerja sektor perladangan komoditi akibat pemberhentian kemasukan pekerja asing susulan Covid-19.

Isu sempadan Wilayah Persekutuan dan Selangor pula dibangkitkan Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) yang meminta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan status terkini penyelesaian sempadan tersebut.

Perbahasan bagi Rang Undang-undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) 2020 turut dijadual bersambung hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Masjid, surau di WP dibenar tambah jemaah satu pertiga

SHAH ALAM, 11 JUN: Masjid dan surau di Wilayah Persekutuan berstatus zon hijau dibenar menambah bilangan jemaah kepada satu pertiga daripada keluasan dewan solat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata kebenaran tersebut akan dimulakan dengan solat Jumaat esok.

“Sebagai contoh, jika sebuah dewan solat mampu memuatkan 1,000 orang jemaah pada satu masa, maka bilangan yang dibenarkan adalah 333 orang buat masa ini.

“Kapasiti jemaah akan ditambah secara berperingkat dengan makluman dari semasa ke semasa atas nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Zulkifli berkata semua golongan dibenar menunaikan solat berjemaah termasuk warga emas dengan syarat mereka sihat.

“Bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, jemaah bergejala dan mereka yang menghidap penyakit kronik tidak dibenarkan hadir buat masa ini. Selain itu wanita dan mereka yang dalam keadaan musafir turut dibenarkan solat di masjid dan surau,” katanya.

Categories
AGAMA AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Solat Jumaat, berjemaah boleh dilaksana di WP mulai esok

SHAH ALAM 14 MEI: Solat Jumaat dan berjemaah boleh dilaksanakan di masjid, surau terpilih di Wilayah Persekutuan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) secara berperingkat mulai esok, kata Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal agama) berkata bilangan jemaah tidak kurang daripada tiga orang tidak termasuk imam dan tidak lebih daripada 30 orang.

“Perlu pastikan adanya kawalan daripada pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa agama negeri untuk mengawal keadaan.

“Saya berhubung dengan Ketua Polis Negara berhubung hal ini beliau bersetuju untuk memberi kerjasama penuh,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dipatuhi sepenuhnya.

“Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mengeluarkan garis panduan lebih terperinci untuk makluman,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Wilayah Persekutuan nadi ekonomi negara – Azmin

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya merupakan nadi yang menjana pertumbuhan negara ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam perutusan bersempena Hari Wilayah hari ini, beliau berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017 menunjukkan sumbangan Wilayah Persekutuan kepada ekonomi negara adalah sebanyak 13.5 peratus.

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pula menunjukkan penduduk Wilayah Persekutuan pada 2018 dianggarkan adalah seramai 1.98 juta orang.

“Matlamat Kuala Lumpur sebagai bandar raya komersial bertaraf antarabangsa dan kosmopolitan, Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Labuan sebagai pusat kewangan antarabangsa telah menjadikan Malaysia mampu bersaing dengan negara-negara yang pesat membangun maju,” katanya.

Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Februari setiap tahun bermula 1974 susulan pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya.

Selain itu, Mohamed Azmin turut mengingatkan agar masyarakat menunaikan tanggung jawab sosial dan nilai-nilai murni terhadap komuniti setempat bagi ​​​​​​​memastikan keharmonian dan pembangunan seimbang, khususnya bagi mereka yang menetap di kawasan bandar.

“Sehubungan itu, marilah kita bersama-sama merealisasikan impian dan menjadikan Wilayah Persekutuan terus berkembang pesat, mampan dan setanding dengan negara-negara maju lain,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Flasbmob Gergasi Menjelang Black505

flash mob jalan tun perak 18 jun 03

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Satu aktiviti ?flashmob? besar-besaran bakal diadakan esok menjelang Himpunan Blackout pada Sabtu, 22 Jun ini.

Aktiviti tersebut bakal diadakan sebelah petang bermula di pasaraya Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman dan berakhir di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLCAH), Jalan Maharajalela.

Perkara ini dimaklumkan oleh Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Wilayah Persekutuan, Azmir Mustafa.

“Flashmob besar-besaran ini dibuat pada Jumaat (21 Jun),” katanya kepada media semalam.

SPR tipu PRU 13 01

Sebelum itu hampir 15 orang anak muda mengadakan flashmob secara aman di hadapan Stesen LRT Masjid Jamek, Jalan Tun Perak.

Menurut Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Redzuan, flashmob ini bertindak sebagai mobalisasi menuju 22 Jun ini.

“Hari ini hanya satu aksi spontan yang berlaku di beberapa spot tertentu.

“Saya bagi jaminan selagi spot-spot ini tidak melebihi empat orang, tidak boleh ada tangkapan berlaku,” katanya sebelum flashmob bermula.

Flashmob hari ini berlangsung aman dan tidak ada sebarang kejadian tangkapan berlaku.