PETALING JAYA, 19 APRIL : Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) didakwa mendaftar pemilih biasa sebagai pengundi pos tanpa pengetahuan mereka bagi PRU13 ini, kata Bendahari Agung PKR, William Leong Jee Keen.
William memperoleh bukti di mana beberapa warganegara Malaysia yang menuntut di Taiwan didaftarkan sebagai pengundi pos biarpun sebelum ini mereka mendaftar sebagai pengundi biasa atau tidak pernah mendaftar sebagai pengundi.
Beliau yakin bukan sekadar tiga kes sepertimana didedahkan hari ini tetapi banyak lagi kes lain di mana pihak tertentu membuat pendaftaran secara sulit demi kepentingan politik Umno-BN.
“Ini menunjukkan bahawa pilihanraya ini (PRU13) amat kotor yang akan dihadapi. Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) perlu memberi penjelasan mengenainya.
“Kita menyatakan tindakan diambil adalah tindakan pengecut oleh kerajaan Umno-BN,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Pada hari ini, tiga kes yang didedahkan itu adalah Ho Kin Khee, 30; We Lay Buan, 30; dan Liew Chern, 26, yang sebelum ini menuntut di Taiwan didaftarkan sebagai pengundi pos bagi PRU13 ini.
William mendakwa dalam kes pendaftaran tanpa pengetahuan individu sebenar, beliau berkata pihak tertentu akan menggunakan identiti-identiti tersebut untuk mengundi pada
Mei 5 kelak.
Beliau menyarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersikap adil dan menyerahkan hak rakyat negara ini menentukan masa depan mereka di dalam pilhanraya.
“Jika benar dia percaya kepada demokrasi dan mengatakan kerajaan Umno-BN sudah berubah dengan segala program transformasi, dia mesti bertindak serta merta bagi memastikan semua pengundi ini diberikan hak mereka,” ujarnya.
Salah seorang mangsa, Ho Kin Khee menjelaskan dia pernah mendaftar sebagai pengundi di Subang Jaya pada 2010 namun terkejut apabila mendapati dia didaftarkan sebagai pengundi pos bila pulang ke tanahair.
“Saya tidak pernah mengisi borang untuk membuang undi secara pos. Adakah saya perlu pulang ke Taiwan untuk mengundi.
“Saya mendaftar sebagai pengundi biasa pada 2010 tetapi keliru dengan jawapan SPR iaitu saya didaftarkan sebagai pengundi pos pada Februari 2008 menerusi Kedutaan Malaysia di Taiwan,” ujarnya.
Penyandang bagi DUN Rawang, Gan Pei Nei berkata, SPR sepatutnya berkecuali dalam perkara ini dan menjalankan pilihanraya secara adil dan bersih.
“Nampaknya ada pihak tertentu melakukan pendaftaran ini secara berkelompok.
“Sebelum ini banyak kes telah dibangkitkan dan nampaknya tiada tindakan drastik daripada SPR untuk menyakinkan orang awam bahawa pilihanraya umum kali ini akan bersih dan telus.