Categories
AGENDA NASIONAL

Wisma Putra: Rakyat Malaysia terjejas banjir di Queensland dipindahkan

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengembara Malaysia dibenar masuk Filipina dengan sijil lengkap vaksinasi

PUTRAJAYA, 15 FEB: Pengembara dari Malaysia kini dibenarkan memasuki Filipina dengan bukti sijil vaksinasi lengkap dalam MySejahtera, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra).

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan ini berikutan kata sepakat yang dicapai antara kerajaan Malaysia dan Filipina pada Isnin untuk saling mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 secara timbal balas.

Selain itu pengembara dari Filipina turut dibenarkan memasuki Malaysia dengan bukti sijil vaksinasi lengkap dalam VaxcertPH.

“Kemasukan pengembara juga tertakluk kepada prosedur kuarantin semasa yang ditetapkan pihak berkuasa kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Persetujuan tersebut juga membolehkan Kedutaan Malaysia di Manila membantu tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino pada Ahad lepas untuk memasuki Filipina atas tujuan rasmi dan perniagaan.

Semalam, media melaporkan kesemua tujuh rakyat Malaysia terkandas di lapangan terbang berkenaan setelah dimaklumkan pihak berkuasa Filipina bahawa sijil vaksin digital Malaysia dalam aplikasi MySejahtera bukanlah bukti vaksinasi yang boleh diterima.

Bagaimanapun, kesemua mereka dibenarkan memasuki republik itu semalam hasil tindakan pantas Kedutaan Malaysia di Manila.

Menurut Wisma Putra pada dasarnya, kerajaan Malaysia mengiktiraf pengembara yang telah lengkap menerima vaksin yang diluluskan di bawah Senarai Kegunaan Kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau yang diluluskan pihak berkuasa negara-negara tertentu.

Bagaimanapun, pengiktirafan sijil digital vaksinasi MySejahtera adalah tertakluk kepada keputusan kerajaan-kerajaan negara lain.

“Malaysia dan Filipina juga sepakat untuk meneruskan kerjasama ke arah verifikasi ketulenan sijil vaksinasi Covid-19 kedua-dua negara secara dalam talian dengan sistem yang lebih selamat dan terjamin bagi memudahkan laluan kemasukan pengembara yang telah lengkap divaksinasi,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

55 jemaah umrah Malaysia positif Covid-19, jalani kuarantin di Mekah

SHAH ALAM, 30 DIS:  Kesemua 55 orang jemaah umrah dari Malaysia yang sedang menjalani kuarantin di Mekah, Arab Saudi kerana positif Covid-19 sejak Isnin lalu berada dalam keadaan baik.

Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah berkata jemaah terbabit tidak menunjukkan simpton Covid-19 yang teruk dan ditempatkan di bilik hotel berasingan.

Katanya pihak agensi pelancongan yang membawa jemaah umrah itu menyediakan makanan dan minuman tiga kali sehari selain menghantar ubat-ubatan.

“Ujian PCR seterusnya akan dilakukan dalam masa terdekat. Jemaah yang mendapat keputusan negatif akan terus dibeli tiket penerbangan untuk pulang ke Malaysia,” katanya kepada Selangorkini melalui Facebook hari ini.

Terdahulu Wisma Putra ketika dihubungi menyatakan pihaknya berhubung rapat dengan para jemaah umrah terbabit dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah menghantar pasukan bagi memberikan bantuan.

Sementara itu Pengarah Urusan In Saff Travel and Tours Sdn Bhd Mohd Fahmi Mohd Nawi dalam kenyataan berkata pihaknya mempunyai pasukan operasi khas di Arab Saudi yang menyantuni jemaah bermula hari pertama mereka menjalani kuarantin.

“Kami telah memaklumkan kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Arab Saudi berkenaan dengan isu ini pada 28 Disember dengan melampirkan maklumat jemaah seperti pasport, visa dan keputusan ujian PCR.

“Marilah sama-sama kita doakan agar jemaah kami sabar dan tabah serta cepat sembuh,” katanya.

Pada 28 Disember lalu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan Arab Saudi dimasukkan dalam 18 negara berisiko tinggi jangkitan varian Omicron.

Jemaah umrah yang pulang ke tanah air kini diwajibkan memakai peranti penjejak digital sepanjang tempoh kuarantin.

Sabtu lepas Kementerian Kesihatan mengumumkan sebanyak 62 kes varian Omicron dikesan di negara ini dengan 30 daripadanya membabitkan jemaah umrah.
Categories
AGENDA GLOBAL

Malaysia ulangi pendirian kutuk tindakan provokatif cemar Islam

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Kementerian Luar Negeri mengulangi pendirian Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan retorik dan provokatif yang mencemarkan nama baik agama Islam, sebagaimana yang telah disaksikan oleh dunia baru-baru ini dalam bentuk penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad S.A.W.

Menurut kenyataan kementerian itu, pendirian tersebut dizahirkan dalam pertemuan dengan Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Perancis di Kuala Lumpur yang dipanggil ke Wisma Putra hari ini.

“Malaysia komited untuk menegakkan kebebasan bersuara dan ekspresi sebagai hak asasi manusia selagi mana hak ini dilaksanakan dengan penuh hormat dan bertanggungjawab agar tidak berlawanan dan melanggar hak mereka yang lain,” demikian menurut kenyataan itu malam tadi.

Pada pertemuan itu juga Malaysia menyatakan kegusaran terhadap peningkatan ketegangan, ucapan berunsur kebencian dan fitnah terhadap Islam.

“Malaysia berpendapat bahawa ketegangan tersebut tidak akan membolehkan kehidupan bersama secara aman dengan semua agama,” kata kementerian itu.

Malaysia juga menekankan kepentingan inisiatif untuk mengurangkan dan menghapuskan Islamofobia di semua peringkat, dan dalam hal ini, Malaysia akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi meningkatkan rasa saling menghormati antara agama dan mencegah ekstremisme agama.

Menurut laporan media, pada 16 Oktober lalu seorang guru di pinggir kota Paris dipenggal kepalanya setelah menunjukkan beberapa karikatur Nabi Muhammad yang disiarkan dalam Charlie Hebdo kepada para pelajarnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia ulangi komitmen terus bekerjasama dengan PBB

PUTRAJAYA, 24 OKT: Malaysia memperbaharui komitmennya untuk terus bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan semua negara anggota, berasaskan prinsip saling menghormati dan berdasarkan undang-undang antarabangsa seperti yang termaktub dalam Piagam PBB.

Dalam satu kenyataan bersempena ulang tahun PBB ke-75 tahun hari ini, Kementerian Luar (Wisma Putra) menyatakan sebagai ahli institutsi antarabangsa itu sejak 1957, Malaysia kekal komited kepada tiga tunggak PBB, iaitu keamanan dan keselamatan, hak asasi manusia dan pembangunan.

“Malaysia juga nekad untuk terus berganding bahu dengan negara-negara anggota PBB yang lain dalam mendukung multilateralisme dan menggalakkan kerjasama sejagat di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Hari PBB merupakan sambutan tahunan bagi menandakan tarikh berkuat kuasanya Piagam PBB, yang membawa kepada penubuhan badan ini pada 1945.

Semasa Mesyuarat Tertinggi Perhimpunan Agung PBB bagi Meraikan Ulang Tahun ke-75 PBB pada bulan lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan komitmen Malaysia kepada PBB sebagai satu-satunya institusi antarabangsa yang dimiliki semua.

Wisma Putra menyatakan Mesyuarat Tertinggi tersebut menyaksikan penerimaan Deklarasi sempena Hari Peringatan Ulang Tahun ke-75 PBB oleh semua pemimpin negara anggota PBB, termasuk Malaysia.

“Deklarasi tersebut mengiktiraf keperluan multilateralisme dalam menangani cabaran global dan menyatakan kepentingan pelaksanaan Agenda Pembangunan Lestari 2030 (Agenda 2030).

“Malaysia memberikan keutamaan kepada Agenda 2030 yang diterapkan di dalam rancangan pembangunan negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Sehubungan ini, Wisma Putra menyatakan buat kali keduanya, Malaysia akan menyertai Voluntary National Review (VNR) pada Forum Politik Tertinggi bagi Pembangunan Lestari 2021.

Dalam menyokong pengukuhan keamanan dan keselamatan antarabangsa, kenyataan itu menyatakan Malaysia telah menyerahkan instrumen ratifikasi Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear pada 30 Sept 2020, sebagai bukti komitmen Malaysia terhadap penghapusan senjata nuklear.

“Selain itu, Malaysia telah menyertai 36 misi pengaman PBB sejak tahun 1960 yang melibatkan lebih dari 35,000 tentera pengaman sehingga kini,” menurut kenyataan itu lagi.

Tambah Wisma Putra lagi, Malaysia juga berbangga menjadi tuan rumah kepada hab Asia Pasifik bagi Depot Respons Kemanusiaan PBB bagi Program Makanan Sedunia PBB, yang telah memudah cara usaha masyarakat antarabangsa dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan dan bencana kepada negara-negara yang memerlukan, pada ketika dunia terus menghadapi cabaran baru akibat pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sembilan jemaah tabligh Malaysia pulang dari India

PUTRAJAYA, 24 OKT: Sembilan jemaah tabligh selamat tiba dari India semalam melalui penerbangan Air India Express, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Kamarudin berkata dua daripada mereka menaiki penerbangan Air India Express dari New Delhi, India dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.30 petang, manakala tujuh lagi menaiki penerbangan Air India Express dari Tiruchirappalli, India dan selamat tiba di KLIA pada pukul 6.58 petang.

“Dengan kepulangan sembilan ahli jemaah ini, Kementerian Luar berjaya membawa pulang seramai 170 daripada 189 orang ahli jemaah tabligh yang berada di India.

“Sebelum ini, seramai 161 jemaah tabligh rakyat Malaysia dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang dilaksanakan sejak Julai lepas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 berkata semua ahli jemaah tabligh yang pulang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di Stesyen Kuarantin, sejajar dengan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata sehingga hari ini, masih terdapat 19 ahli jemaah tabligh yang berada di India di mana daripada jumlah ini, 10 individu yang berada di New Delhi selesai menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan mahkamah, manakala baki sembilan yang lain masih menjalani prosedur perundangan di Bihar, India.

“Penyelarasan usaha membawa pulang mereka sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.

“Kementerian Luar memantau rapat perkembangan ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia di India dan berterusan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Luar juga akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudahcara urusan pulang baki 19 ahli jemaah tabligh yang masih berada di negara itu.

Kamarudin turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kementerian Kesihatan di atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan misi membawa pulang jemaah tabligh rakyat Malaysia di India.

“Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan India dalam membantu urusan kepulangan mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia bimbang keselamatan rantau Nagorno-Karabakh

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Malaysia menzahirkan rasa bimbang dengan tahap keselamatan yang semakin merosot di rantau Nagorno-Karabakh di Republik Azerbaijan susulan pertempuran sengit tentera terbaru, yang bermula sejak tiga hari lepas.

Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam berkata Malaysia menyuarakan rasa kesal dengan kehilangan banyak nyawa, termasuk orang awam disebabkan pertelingkahan itu.

Menurutnya Malaysia menyertai gesaan oleh komuniti antarabangsa supaya Republik Armenia dan Republik Azerbaijan mengambil langkah maksimum dalam membendung pertelingkahan dan mengambil langkah konkrit bagi mengurangkan ketegangan antara negara berjiran itu.

“Malaysia menggesa pihak yang berkenaan untuk memberi keutamaan kepada usaha menyelesaikan konflik secara aman menerusi dialog dan diplomasi,” katanya.

Menurut kenyataan itu Malaysia menyokong semua usaha bagi mencari penyelesaian secara aman mengikut lunas undang-undang antarabangsa, termasuk resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang berkaitan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

13 rakyat Malaysia di India selamat tiba di tanah air – Kamarudin

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Seramai 13 jemaah tabligh rakyat Malaysia yang terkandas di India selamat tiba di tanah air semalam menerusi penerbangan Air India Express, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata mereka merupakan kumpulan ketiga yang dibawa pulang membabitkan 12 jemaah tabligh di New Delhi yang menjalani proses perundangan serta seorang jemaah tabligh di Amravati, Maharashtra yang bebas daripada sebarang pertuduhan.

“Semua jemaah tabligh berkenaan telah menjalani ujian saringan Covid-19 setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan seterusnya dibawa menjalani proses kuarantin di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumpulan pertama membabitkan 62 jemaah tiba pada 18 Julai lalu sementara kumpulan kedua dengan 40 jemaah tiba pada 22 Julai.

Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 berkata sehingga hari ini masih terdapat 74 jemaah tabligh rakyat Malaysia yang berada di India.

“Daripada jumlah ini, 13 orang berada di New Delhi dan masih menunggu pelepasan dan kebenaran pulang daripada kerajaan India. Seramai 52 orang berada di beberapa wilayah di India (Bihar, Jharkand, Telangana, Tamil Nadu, Maharashtra) dan sedang menjalani proses perundangan.

“Sementara sembilan yang lain masih berada di Kolkata, Bengal Barat dan menanti prosedur perundangan seterusnya,” kata beliau.

Wisma Putra menerusi Perwakilan-Perwakilan Malaysia di India akan terus memantau secara berterusan perkembangan dan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya untuk memastikan kebajikan mereka terpelihara, katanya.

“Kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India juga akan dipergiatkan lagi dalam usaha memudah cara kepulangan mereka ke tanah air,” katanya

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wisma Putra terus usaha bawa pulang rakyat Malaysia di India

PUTRAJAYA, 18 JULAI: Wisma Putra dengan kerjasama Perwakilan Malaysia di India, akan terus menyelaraskan usaha membawa pulang secara berperingkat, baki jemaah tabligh yang masih berada di India, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, maklumat mengenai misi pulang jemaah tabligh yang seterusnya, akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Daripada 96 orang rakyat Malaysia yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, 62 merupakan sebahagian daripada jemaah tabligh yang telah terkandas di India, sejak Mac tahun ini,” katanya lagi.

Jelas Hishammuddin, jemaah tabligh yang pulang hari ini ditahan pihak berkuasa India, atas tuduhan menyalahgunakan visa lawatan sosial, bagi menjalankan aktiviti keagamaan.

“Bagaimanapun, sebahagian besar telah menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu,” katanya lagi.

Tambah beliau, baki 34 lagi rakyat Malaysia yang pulang pada hari ini, bukan anggota jemaah tabligh.

Kesemua 96 rakyat Malaysia mendarat di KLIA pada 6.31 pagi, menaiki pesawat Malindo Air OD02028 dari New Delhi bersama 11 krew penerbangan. Kesemua mereka dibawa ke Pusat Kuarantin di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Misi kemanusiaan membawa balik warga Malaysia dari New Delhi itu, diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama agensi berkaitan, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Hishammuddin turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan India, kerana telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada Perwakilan Malaysia di negara itu, dalam membantu rakyat Malaysia yang terkandas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia kutuk serangan pemberontak Houthi ke atas Arab Saudi

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan peluru berpandu dan dron oleh puak pemberontak Houthi di Yaman ke atas Arab Saudi sejak beberapa minggu yang lepas.

Wisma Putra berkata provokasi berterusan oleh Houthi adalah tidak produktif ke arah keamanan dan kestabilan di Yaman kerana tindakan pencerobohan selanjutnya hanya akan memburukkan lagi keadaan di negara itu.

“Selaras dengan sokongan Malaysia terhadap rayuan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 23 Mac 2020 mengenai gencatan senjata global di tengah-tengah pandemik Covid-19, Malaysia menggesa semua pihak di Yaman agar segera menamatkan provokasi ini,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Dengan kerjasama rakan kongsi serantau, inisiatif Malaysia melancarkan pernyataan sokongan kepada rayuan Setiausaha Agung menerima sokongan lebih 170 negara anggota PBB, negara pemerhati bukan anggota dan pemerhati pada 23 Jun.

Malaysia akan terus menggesa semua pihak untuk bekerja secara konstruktif bagi penyelesaian politik untuk keamanan kekal di Yaman, menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Diplomat asing tidak perlu lagi jalani kuarantin di pusat ditetapkan

PUTRAJAYA, 15 JUN: Semua diplomat asing tidak lagi perlu menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan namun mereka dikehendaki menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19 di negara asal mereka.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata semua dokumen berkaitan perlu diserahkan di pintu masuk negara, sebaik sahaja mereka tiba di Malaysia.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada satu laporan berita mengenai masalah perwakilan asing untuk kembali ke Malaysia disebabkan masalah kelulusan, kerana menurut laporan itu tiada pengecualian diberikan kepada ketua perwakilan asing, termasuk kepada duta besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Shirin Lakhdhir.

Laporan itu turut memaklumkan bahawa permohonan Jabatan Negara Amerika Syarikat kepada Wisma Putra supaya Lakhdhir dibenarkan menjalani tempoh kuarantin di kediamannya di Jalan Langgak Golf, tidak diluluskan.

Wisma Putra berkata kerajaan Malaysia mewajibkan semua individu yang tiba ke negara ini memuat turun dan menggunakan aplikasi “MySejahtera” yang akan membolehkan Kementerian Kesihatan memantau keadaan kesihatan penggunanya dan mengambil tindakan segera dalam memberikan rawatan yang diperlukan.

Menurutnya segala tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia dibuat berdasarkan kepada rundingan oleh pakar dan kata sepakat oleh pelbagai agensi yang berkaitan, khusus bagi menjaga kesihatan awam dan keselamatan negara.

“Keputusan-keputusan ini dibuat secara bersama sebagai usaha bagi mengawal penularan Covid-19 dan tidak seharusnya dilihat sebagai tindakan arbitrari atau diskriminasi, sebaliknya ditampilkan menerusi undang-undang serta peraturan yang telus dan jelas, terpakai untuk semua yang memasuki negara ini,” katanya.

“Dari segi kerjasama yang berkaitan dengan langkah-langkah membendung Covid-19, aspek berkaitan kelonggaran buat petugas diplomatik yang layak, pejabat perwakilan serta kediaman mereka, akan sentiasa dihormati, selagi ia tidak bertentangan dengan semangat Konvensyen Vienna dan Hubungan Diplomatik (VCDR) 1961,” tambahnya.

Pasal 41 (1) merujuk kepada penekanan terhadap peruntukan “tanpa mengurangi hak istimewa dan kekebalan mereka, adalah menjadi kewajiban semua yang menikmati hak istimewa dan kekebalan itu untuk menghormati undang-undang dan peraturan negara penerima”.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Wisma Putra: Tiada rakyat Malaysia terlibat rusuhan di AS

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Wisma Putra hari ini mengesahkan tiada laporan atau pemberitahuan rasmi diterima atas pembabitan rakyat Malaysia dalam siri rusuhan ganas di lebih 70 bandar di seluruh Amerika Syarikat (AS), berikutan kematian George Floyd pada 25 Mei.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata secara amnya, rakyat Malaysia dilaporkan selamat dan jauh daripada bahaya dan disarankan untuk terus mematuhi arahan keselamatan, termasuk perintah berkurung yang dikenakan pihak berkuasa tempatan AS dan berwaspada dalam memastikan keselamatan mereka.

“Perwakilan Malaysia di Washington D.C, New York dan Los Angeles memantau situasi ini dan sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia di Amerika Syarikat untuk berkongsi maklumat dan mendapatkan perkembangan terkini di lapangan.

“Warganegara Malaysia yang memerlukan bantuan konsular disarankan untuk menghubungi Perwakilan Malaysia di lokasi di atas dan terus tenang dengan sentiasa mengikuti perkembangan terkini melalui berita tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, mengenai rusuhan di AS, beliau berkata sebarang pendekatan yang mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan dan kehilangan harta benda serta perniagaan pasti tidak memberi manfaat kepada sesiapa.

“Selain itu tidak mematuhi norma baharu dalam jarakan sosial dan perhimpunan besar sangat membimbangkan, terutama ketika dunia memfokuskan usaha untuk memerangi penularan pandemik Covid-19.

“Malaysia berharap krisis rusuhan ini akan ditangani dengan cekap dalam cara yang aman dan mendesak semua pihak menggunakan pendekatan dialog untuk mencari penyelesaian yang berkekalan,” katanya.

-BERNAMA