Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Malaysia giat usaha bawa pulang rakyat terkandas

SHAH ALAM, 22 MAC: Wisma Putra bertungkus-lumus untuk segera membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara berikutan penularan Covid-19, kata menteri luar negeri.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata walaupun langkah tersebut tidak dipersetujui segelintir pihak, namun beliau menegaskan mereka juga mempunyai hak sebagai warga Malaysia.

“Saya mengingatkan mereka yang dibawa pulang apabila tiba di Malaysia nanti, patuhilah Perintah Kawalan Pergerakan. Pastikan diri juga dikuarantin selama 14 hari. Biarpun agak membebankan, namun langkah ini penting bagi menghentikan penularan Covid-19.

“Kerajaan dan Wisma Putra telah membantu saudari saudari untuk pulang. Jadi, saya harap saudara saudari boleh menjadi rakyat yang bertangunggjawab,” tulisnya melalui hantaran di Facebook.

Hishammuddin berkata pihaknya juga sentiasa berkomunikasi dengan beberapa negara lain antaranya China, Indonesia dan Singapura bagi mendapatkan maklumat serta bantuan memerangi Covid-19.

“Keakraban inilah yang membuatkan China tanpa ragu memberi topeng mulut dan hidung, cecair pembasmi kuman dan kelengkapan ujian Covid-19 serta kelengkapan keselamatan untuk mereka yang memerlukan.

“Wisma Putra juga bekerjasama rapat dengan Indonesia bagi mengenal pasti rakyat Malaysia yang menghadiri perhimpunan tabligh di sana dan berhubung dengan Singapura untuk membantu rakyat kita yang bekerja di sana,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Wisma Putra: 11 rakyat Malaysia di luar negara dijangkiti Covid-19

SHAH ALAM, 13 MAC: Wisma Putra mengenal pasti seramai 11 rakyat Malaysia di luar negara yang dijangkiti Covid-19, kata menteri luar.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata jumlah tersebut membabitkan sembilan orang di Singapura, manakala dua di Jepun.

“Dua rakyat Malaysia yang berada di Singapura dibenarkan keluar sementara tujuh lagi masih dirawat, manakala dua rakyat Malaysia di Jepun sudah pulang ke negara ini.

“Wisma Putra melalui perwakilan Malaysia sentiasa mengemas kini rekod rakyat kita yang berada di negara yang terjejas dengan wabak ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hishammuddin turut mengingatkan rakyat Malaysia di luar negara untuk mendaftar dengan kedutaan bagi memudahkan proses pemantauan serta tindakan susulan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia sambut baik perbicaraan suspek tembak MH17

PUTRAJAYA, 7 MAC: Malaysia menyambut baik perbicaraan terhadap empat suspek kes menembak jatuh pesawat MH17 Malaysia Airlines di Mahkamah Daerah The Hague, di Belanda yang bermula pada Isnin (9 Mac).

Wisma Putra berkata langkah itu amat penting dalam usaha untuk mengetahui kebenaran dan memberikan keadilan kepada mangsa tragedi pesawat MH17 yang berlaku pada 17 Julai 2014.

“Dengan bermulanya perbicaraan di mahkamah, kita diingatkan akan tragedi tidak berperikemanusiaan yang meragut nyawa 298 orang, termasuk 43 penumpang dan kru pesawat MH17 yang merupakan rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut kementerian itu, Malaysia menekankan betapa pentingnya proses yang berwibawa dan telus, berdasarkan kedaulatan undang-undang dalam menegakkan keadilan.

“Sebagai ahli Pasukan Jawatankuasa Bersama (JIT), Malaysia kekal komited terhadap proses kehakiman dan penyiasatan.

“Malaysia menggesa semua negara dan pelakunya untuk memberikan kerjasama penuh dalam penyiasatan menurut Resolusi 2166 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2014),” katanya.

Wisma Putra berkata Malaysia akan memantau rapat prosiding mahkamah itu nanti.

“Ingatan dan doa kami sentiasa bersama-sama mangsa dan keluarga serta orang tersayang mereka yang bersedih,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia sedia sertai Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Malaysia bersedia untuk menyertai Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) ke-13 yang akan diadakan di Phnom Penh, Kemboja pada November ini.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan Malaysia mengulangi komitmennya untuk menyumbang secara aktif dalam proses ASEM bagi menangani cabaran global hari ini dan masa hadapan sambil mengekalkan dan meningkatkan hubungan yang saling menguntungkan.

“Hari ini, Malaysia memperingati ulang tahun ke-24 proses ASEM dan berbangga bersama 53 rakan ASEM dalam sambutan Hari ASEM.

“Sejak penubuhannya pada 1996, ASEM terus memainkan peranannya sebagai platform unik untuk kerjasama dan integrasi antara Asia dengan Eropah dalam politik, ekonomi dan sosiobudaya,” menurut kenyataan itu.

Sidang kemuncak dua tahun sekali itu akan diadakan dari 16 hingga 17 Nov dengan tema ‘Strengthening Multilateralism for Shared Growth’.

Kenyataan itu menambah, rakan kongsi ASEM harus memanfaatkan potensi dan kekuatan kedua-dua benua dalam membina masa hadapan yang lebih stabil dan makmur.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wisma Putra: Tangguh sementara perjalanan ke Arab Saudi

PUTRAJAYA, 27 FEB: Rakyat Malaysia dinasihat menangguhkan sementara perjalanan ke Arab Saudi bagi tujuan umrah, ziarah dan pelancongan susulan langkah negara itu menggantung sementara kemasukan warganegara asing termasuk dari Malaysia berikutan wabak Covid-19.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata ia bagi mengelakkan sebarang kesulitan setelah pengesahan rasmi berhubung perkara itu diterima daripada Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur hari ini.

“Pihak Berkuasa Arab Saudi mengambil langkah ini bagi mencegah, mengawal dan menghapuskan penularan wabak Covid-19. Kerajaan Arab Saudi menegaskan bahawa langkah-langkah itu adalah bersifat sementara dan tertakluk kepada penilaian berterusan oleh pihak berkuasa negara berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, kerajaan Arab Saudi telah membuat keputusan untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menggantung sementara kemasukan warganegara asing ke negara itu bagi tujuan umrah di Makkah dan ziarah ke Masjid Nabawi di Madinah.

“ …juga menghentikan kemasukan ke Arab Saudi oleh pengunjung dengan visa pelancong dari negara mengalami wabak COVID-19, berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi. Menurut Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang dimaksudkan,” katanya.

Wisma Putra berkata pihaknya serta Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung perkara itu.

“Rakyat Malaysia di Arab Saudi yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada rakyat Malaysia terjejas akibat gempa bumi di Turki

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat gempa bumi di Wilayah Van, Turki dan Azerbaijan Barat, Iran, kelmarin menurut satu kenyataan Wisma Putra.

Wisma Putra berkata pihaknya sedang memantau perkembangan gempa bumi bersaiz 5.7 pada skala Richter di kawasan terbabit.

Menurut kenyataan itu setakat ini gempa bumi berkenaan mengorbankan sembilan nyawa dan menyebabkan kecederaan kepada lebih 40 orang di kedua-dua wilayah.

“Wisma Putra menzahirkan takziah dan simpati kepada kerajaan serta rakyat Turki dan Iran, terutamanya mereka yang terjejas akibat gempa bumi itu.

Malaysia bersama rakyat Turki dan Iran dalam menghadapi masa yang sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Wisma Putra berkata rakyat Malaysia yang memerlukan pertolongan konsul dinasihatkan menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Turki dan Tehran, Iran menerusi e-mel di [email protected] (Ankara) and [email protected] (Tehran).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wisma Putra dapatkan penjelasan duta isu sumbangan Masjid Al-Aqsa

PUTRAJAYA, 20 FEB: Wisma Putra telah mendapatkan penjelasan daripada Duta Besar Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali berhubung isu sumbangan untuk Masjid Al-Aqsa, Palestin.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata satu pertemuan dengan Duta Besar Palestin itu telah diadakan hari ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu tersebut.

Menurut Wisma Putra, Duta Besar Palestin itu berkata kenyataannya dibuat berdasarkan rekod daripada pihak pengurusan Masjid Al-Aqsa sejak 2018.

“Walau bagaimanapun, beliau tidak dapat membuktikan sama ada kutipan derma telah dibuat khusus untuk disalurkan kepada Jabatan Wakaf Masjid Al-Aqsa yang diuruskan oleh kerajaan Jordan,” kata Wisma Putra.

Walid pada 18 Februari dilaporkan berkata sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin untuk pembangunan dan pembebasan Masjid al-Aqsa tidak sampai kepada Jabatan Wakaf Baitulmaqdis yang ditadbir oleh Kementerian Wakaf Jordan.

Susulan itu, sepuluh badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam kerja kebajikan rakyat Palestin dilaporkan menuntut duta negara berkenaan memohon maaf berikutan kenyataannya itu. Malah, mereka juga mendesak Walid menarik balik kenyataan itu jika tidak dapat memberikan bukti.

Wisma Putra dalam pada itu berkata ia turut mengambil maklum kenyataan NGO yang antara lain menyatakan dana kutipan rakyat Malaysia dan bantuan kepada rakyat Palestin disalurkan terus melalui rakan-rakan NGO masing-masing di Palestin.

Sumbangan itu turut melibatkan bantuan kepada penduduk Palestin di sekitar Masjid Al-Aqsa terutama pada bulan Ramadan.

“Kementerian Luar (Wisma Putra) menyokong dan menghargai usaha-usaha murni yang telah dilaksanakan oleh badan-badan bukan kerajaan di Malaysia dalam menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat Palestin yang meliputi bantuan kewangan, makanan, perubatan, pendidikan dan lain-lain,” katanya.

Wisma Putra berkata ia mempunyai hubungan baik dengan beberapa NGO dan sentiasa memudah cara serta membantu usaha mereka dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.

Kementerian Luar itu juga menggalakkan badan bukan kerajaan yang lain untuk turut mendapatkan kerjasama kementerian bagi melestarikan bantuan dari Malaysia untuk rakyat Palestin, katanya.

“Kerajaan dan rakyat Malaysia menyokong kuat perjuangan rakyat Palestin untuk mendapat kebebasan dan mencapai kemerdekaan.

“Malaysia akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang masih dijajah dan ditindas oleh rejim Israel di wilayah-wilayah Palestin di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis, dan juga Semenanjung Gaza,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wisma Putra: Pejabat kedutaan Malaysia di China terus beroperasi

PUTRAJAYA, 7 FEB: Pejabat kedutaan dan konsulat Malaysia di China akan terus memberi bantuan khidmat konsular kepada rakyat Malaysia dan akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negara itu susulan penularan koronavirus 2019 di republik tersebut.

Wisma Putra berkata keputusan kerajaan membawa pulang kakitangan Wisma Putra yang tidak berkeperluan dan anggota keluarga mereka dibuat sebagai sebahagian daripada persediaan kerajaan dalam menangani jangkitan itu.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Wisma Putra berkata keputusan itu juga dibuat bagi mengurangkan risiko pendedahan kakitangan Malaysia dan ahli keluarga mereka kepada virus tersebut.

“Ini semestinya diharapkan dari mana-mana kerajaan yang bertanggungjawab menghadapi situasi krisis akibat bencana buatan manusia atau alam semula jadi.

“Dalam konteks ini juga, proses pemulangan rakyat Malaysia dari Wuhan baru-baru ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama penuh pihak berkuasa berkaitan di China,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata dalam semangat yang sama, kerajaan juga mungkin perlu menasihatkan rakyat Malaysia lain untuk kembali ke tanah air secara sukarela sekiranya keadaan memerlukan dengan mengambil kira usaha pihak berkuasa China membendung wabak itu.
 
Ia berkata sebarang usaha kerajaan Malaysia akan dilaksanakan secara rundingan dan kerjasama dengan kerajaan China.

Wisma Putra menegaskan bahawa penghantaran pulang rakyat Malaysia dari negara itu  tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang menjangkaui apa yang sebenarnya dihasratkan iaitu memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Kementerian itu berkata kerajaan yakin dengan persediaan dan kemampuan negara China dalam menangani wabak tersebut serta menegaskan pintu negara sentiasa dibuka untuk pelawat dari China kecuali dari kawasan Wuhan dan sekitarnya yang dikatakan pusat penyebaran virus berkenaan.

Selain pejabat kedutaan di Beijing, Malaysia juga mempunyai konsulat di Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai dan Xi’an, selain Taipei dengan jumlah pegawai Wisma Putra seramai 34 orang dan 77 orang tanggungan. 

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Rakyat Malaysia dinasihat elak kunjungi Wuhan

PUTRAJAYA, 23 JAN: Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya mengelak daripada melakukan perjalanan tidak penting ke Wuhan, China serta lain-lain kawasan yang mungkin terjejas dengan penularan jangkitan koronavirus.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata rakyat Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan di kawasan berkenaan dinasihatkan supaya memberikan keutamaan tertinggi kepada aspek kesihatan serta keselamatan diri masing-masing dengan mengambil langkah berjaga-jaga, di samping mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Nasihat perjalanan itu dikeluarkan susulan keputusan pihak berkuasa China menyekat sebarang perjalanan keluar dari Wuhan berkuat kuasa Khamis (23 Januari), di samping keputusan beberapa syarikat penerbangan menggantung operasi penerbangan mereka di Wuhan sehingga notis selanjutnya.

Wisma Putra berkata rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan dan perkhidmatan konsular boleh menghubungi pejabat diplomatik Malaysia terdekat, dari senarai berikut:

1) Pejabat Kedutaan Malaysia in Beijing: https://www.kln.gov.my/web/chn_beijing/home

2) Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou: https://www.kln.gov.my/web/chn_guangzhou/home

3) Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong: https://www.kln.gov.my/web/chn_hong-kong/home

4) Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming: https://www.kln.gov.my/web/chn_kunming/home

5) Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Nanning: https://www.kln.gov.my/web/chn_nanning/home

6) Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai: https://www.kln.gov.my/web/chn_shanghai/home

7) Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Xi’an: https://www.kln.gov.my/web/chn_xian/home

8) Malaysian Friendship & Trade Centre, Taipei: https://www.kln.gov.my/web/twn_taipei/home

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiga penuntut Malaysia cedera dalam rompakan di Afrika Selatan

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Tiga penuntut Malaysia di University of Newcastle cedera dalam insiden rompakan di Newcastle, Durban, Afrika Selatan pada Jumaat.

Wisma Putra menerusi kenyataan malam ini memaklumkan dalam kejadian itu, seorang mangsa telah ditembak di bahagian kaki manakala dua lagi ditikam.

“Kesemua mangsa telah dikejarkan ke hospital tempatan untuk menerima rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria sedang memantau keadaan terkini kesemua mangsa dan akan menghulurkan bantuan sewajarnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Letusan gunung berapi: Rakyat Malaysia kritikal

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Seorang rakyat Malaysia cedera parah dalam insiden letusan gunung berapi di White Island, New Zealand, semalam.

Wisma Putra mengesahkan mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Christchurch.

“Bagaimanapun, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington masih belum menerima maklumat lanjut berhubung seorang warganegara Malaysia yang dilaporkan terkorban sebelum ini,” menurut Wisma Putra dalam kenyataan hari ini.

Mereka yang terjejas atau berada di tempat kejadian disarankan supaya menghubungi Suruhanjaya Tinggi di talian +64-4385 2439 / +64-4801 5659 / +64-210 440 188 (Kecemasan) atau e-mel [email protected].

Ledakan gunung berapi yang berlaku di White Island, yang juga dikenali sebagai Whakaari, 48 kilometer dari North Island New Zealand, meletuskan abu dan wap besar di udara ketika sekumpulan pelancong mengunjungi pulau itu.

Setakat ini pihak berkuasa tempatan telah mengesahkan lapan individu hilang manakala enam maut dan lebih 30 cedera dalam kejadian yang berlaku pada 2.11 petang waktu tempatan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga rakyat Malaysia maut kemalangan di New Zealand

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Tiga rakyat Malaysia maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan jalan raya di Kaikōura, New Zealand pada Jumaat, waktu tempatan.

Wisma Putra ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian berkenaan dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand sedang mendapatkan maklumat mangsa yang terlibat.

Sementara itu, portal Polis New Zealand melaporkan tiga individu meninggal dunia akibat kemalangan yang melibatkan kereta dan trak pada jam 3.10 petang, waktu tempatan.

Laporan itu menyatakan, seorang individu mengalami kecederaan kritikal manakala tiga yang lain mengalami kecederaan sederhana dan serius. Helikopter telah digunakan untuk membantu membawa mangsa yang cedera ke hospital.

Portal berita yang lain menyifatkan kemalangan itu sebagai “tragedi yang dahsyat” bagi semua yang terlibat apabila dua kru bomba Kaikōura terpaksa menggunakan peralatan memotong kenderaan untuk mengeluarkan penumpang daripada kereta.

Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan.

– BERNAMA