Categories
AGENDA EKONOMI

Pertumbuhan pasaran baharu susut 3.5 peratus – Moody’s

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Kos ekonomi krisis akibat Covid-19 di tengah-tengah penutupan ekonomi global, tidak termasuk China terkumpul dengan cepat, dengan ekonomi pasaran baharu diunjurkan mencatat pertumbuhan -3.5 peratus pada 2020, turun dari jangkaan 3.2 peratus sebelumnya berlakunya wabak tersebut.

Ekonomi China dijangka tumbuh satu peratus pada 2020.

Dalam satu kenyataan, Moody’s Investors Service berkata ia menjangkakan ekonomi negara maju G-20, sebagai satu kumpulan, akan merosot sebanyak 5.8 peratus pada 2020. Walaupun dengan pemulihan secara beransur-ansur, pertumbuhan sebenar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 di kebanyakan negara maju dijangka dapat berada di bawah tahap sebelum berlakunya penularan COVID-19 (coronavirus).

“Penguncupan aktiviti ekonomi pada suku kedua menjadi teruk dan pemulihan keseluruhan pada separuh kedua tahun ini berlaku secara beransur-ansur.

“Pemulihan juga mungkin tidak sama di semua sektor kerana kebimbangan jangkitan mengubah tingkah laku pengguna walaupun sekatan aktiviti perniagaan dan mobiliti ditarik balik,” kata Naib Presiden Moody, Madhavi Bokil.

Beliau berkata perbelanjaan dalam aktiviti ekonomi yang memerlukan hubungan manusia yang tinggi seperti makan di luar, pergi ke pawagam, perjalanan udara dan menggunakan pelbagai pengangkutan, tidak mungkin menjadi normal sepenuhnya sehingga kadar jangkitan turun ke tahap yang sangat rendah atau vaksin atau rawatan yang berkesan tersedia untuk virus tersebut.

“Banyak perniagaan berusaha untuk kekal bertahan dalam keadaan ini, dan akhirnya beberapa perniagaan ditutup tanpa mengambil kira sokongan dasar terhadap ekonomi,” katanya.

Permintaan terhadap minyak secara beransur-ansur meningkat pada separuh kedua tahun ini seiring dengan pelonggaran langkah-langkah penjarakan sosial. Bagaimanapun, peningkatan permintaan ini, digabungkan dengan had penyimpanan, menunjukkan bahawa pengeluaran inventori akan menjadi perlahan.

Hasilnya, Moody’s menjangkakan harga minyak akan kekal rendah, dengan purata Brent US$35 setong (US $ 1 = RM4.35) dan kontrak untuk West Texas Intermediate (WTI) tahun ini ialah pada harga US$30 setong.

Madhavi berkata harga Brent dan WTI masing-masing naik hingga secara purata US$45 dan $40 setong, pada tahun 2021, kerana peningkatan aktiviti ekonomi secara beransur-ansur.

Penutupan yang lebih lama atau berulang akan merosakkan ekonomi sebenar, yang berpotensi mencetuskan krisis kewangan. Dalam senario seperti itu, kejutan ekonomi akan menghasilkan krisis kewangan jauh lebih buruk daripada pengalaman krisis kewangan global, dari segi skala.

Ketidaksamaan yang semakin meningkat, kerana bahagian yang paling lemah mengalami kejutan, akan menyebabkan ketidakpuasan sosial dan ketidakstablian politik, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka rendah 4.3620/3720 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Ringgit mencatatkan prestasi berbeza berbanding kenaikan semalam untuk dibuka rendah hari ini susulan kebimbangan yang timbul semula mengenai kesan ekonomi akibat Covid-19, walaupun harga minyak mentah global kembali meningkat.

Pada 9.01 pagi, unit tempatan susut 70 mata asas ke 4.3620/3720 berbanding dolar AS dari 4.3550/3650 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu lagi sehingga 12 Mei telah mencetuskan kegelisahan dalam kalangan pelabur, kerana mereka bimbang ia boleh mempengaruhi aktiviti ekonomi negara.

“Kebimbangan mengenai kemungkinan gelombang kedua Covid-19 juga menjejaskan minat risiko daam pasaran,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mengumumkan PKP, yang akan berakhir pada 28 April, telah dilanjutkan dua minggu lagi hingga 12 Mei, 2020.

Ia merupakan kali ketiga PKP, yang dikuatkuasakan mulai 18 Mac, dilanjutkan dalam usaha negara memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia, malah perdana menteri tidak menolak kemungkinan PKP dilanjutkan lagi selepas 12 Mei.

Dalam pada itu, penurunan ringgit telah dihadkan oleh harga minyak mentah yang lebih baik dengan penanda aras global, Brent naik 2.48 peratus kepada US$21.86 setong pada 9.36 pagi, sementara penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) meningkat 2.79 peratus kepada US$16.96 setong.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata dengan disokong oleh pakej rangsangan ekonomi China dan harga komoditi dijangkakan meningkat semula pada suku ketiga 2020, ringgit diunjurkan menutup dagangan minggu ini dengan prestasi lebih positif.

Pada pembukaan, unit tempatan didagangkan rendah berbanding mata wang utama.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0578/0659 daripada 3.0559/0640 ketika ditutup semalam dan rendah berbanding yen kepada 4.0494/0598 daripada 4.0466/0571.

Ringgit lemah berbanding pound Britain kepada 5.3879/4012 daripada 5.3784/3921 semalam serta turun berbanding euro kepada 4.6961/7073 daripada 4.6912/7037.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Harga minyak dunia menjunam 30 peratus

MOSCOW, 9 MAC: Harga minyak mentah dunia menurun lebih 30 peratus pada Isnin, susulan kegagalan pengeluar minyak Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mencapai kesepakatan mengenai pemotongan pengeluaran minyak yang lebih besar, lapor agensi berita Sputnik.

Sehingga 04:41 GMT, harga minyak mentah Brent untuk penghantaran Mei turun 28.69 peratus – kepada US$32.28 setong. Nilai niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pada April pula berkurangan 31.35 peratus kepada US$28.33 setong.

OPEC yang diketuai Arab Saudi telah mengadakan perjanjian mengenai pengurangan pengeluaran sejak 2016 dengan negara sekutu yang bukan merupakan negara anggota, diketuai Rusia.

Pada Jumaat OPEC dan pakatan pengeluarnya, dipanggil OPEC+, mengadakan mesyuarat di Vienna untuk membincangkan mengenai perkara itu.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat, OPEC+ bersetuju untuk menstabilkan pasaran minyak, tanpa menyentuh mengenai pemotongan pengeluaran.

-BERNAMA