Categories
SELANGOR

Maulidur Rasul Bukan Sekadar Berarak

SHAH ALAM 2 FEB : Perarakan sempena Maulidur Rasul tidak boleh dijadikan kayu ukur kecintaan kepada Rasulullah dan bukan jalan terbaik untuk menyambutnya justeru bagi menghindari taqlid buta yang diamal dalam masyarakat, maka, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memberi kefahaman melalui program-program ilmiah yang disusun melalui masjid dan surau.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Yaakob Sapari berkata cara sebenar memperingati Rasulullah adalah melalui penghayatan mengenai syariat dari sudut akhlaq, sahsiah, budaya, perundangan, pendidikan dan lain-lain

“Kerana rata-rata masyarakat hanya memahami ‘kulit’ berbanding ‘isi’. Apa tujuan perarakan tersebut? Adakah dengan perarakan dengan berpakaian berwarna-warni yang disertai selawat beramai-ramai, mengibarkan pelbagai cogan kata pujian di sepanduk-sepanduk itu mampu memperingatkan kita kepada Baginda Rasul junjungan?,” ujar Yaakob.

Menurut beliau, menjelang Rabiu’awwal, menjadi kemestian di mana umat Islam akan menyambut hari tersebut dengan pelbagai cara dan gaya. Lazimnya, di desa dan kampung, sambutan diadakan dengan majlis berzanji dan membaca rawi. Semua sanak saudara, rakan-taulan dijemput bersama-sama menghadiri majlis tersebut. Pastinya ia sesuatu yang cukup bermakna.

Di bandar pula, umumnya mengetahui bahawa sambutan Maulidir Rasul ini, pasti bertambah meriah dengan disertai perarakan. Ribuan manusia akan berarak dari satu tempat ke tempat yang lain dalam suasana yang begitu menggembirakan. Dalam hal ini, baik muda mahupun tua, semuanya bersemangat untuk tidak melepaskan peluang turut serta dalam perarakan tersebut.

“Persoalannya, mengapa majlis berzanji dan perarakan ini diadakan sempena maulid nabi? Mengikut sejarah, sememangnya budaya ini tidak pernah disambut pada zaman Rasulullah. Mana tidaknya, ketika Rasulullah masih hidup persoalan agama diselesaikan oleh baginda sekaligus berlaku proses menyempurnakan agama ketika itu,” kata beliau.

Menurut Yaakob (gambar), hanya pada zaman Fatimiyyah, setelah berlalu tempoh yang panjang di kala umat Islam mula melonggarkan ajaran agama, maka timbul idea dari pemimpin-pemimpin Islam ketika itu untuk mengadakan hari-hari tertentu bagi mengajak umat Islam kembali memahami ajaran agama. Dalam kaitan ini, maka memperingati hari Israk dan Mikraj, sambutan Maulidur Rasul dan sebagainya telah diadakan.

Oleh yang demikian, hari-hari penting dalam Islam kini telah disambut dengan pelbagai cara antaranya dengan mengadakan ceramah, kuliah, seminar, perarakan dan pelbagai lagi.

“Cuma, wajarkah sambutan Maulidur Rasul itu disambut dengan perarakan besar-besaran sehingga menelan belanja begitu besar bagi menghadapinya? Dua tahun lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang enggan mengadakan perarakan Maulidur Rasul. Hal ini menimbulkan kekecohan dalam masyarakat sehingga ramai yang mengkritik dan tidak kurang juga yang memuji,” kata beliau lagi.

Tambah Yaakob, beliau mengajak masyarakat melihat sambutan Maulidur Rasul dalam kerangka yang lebih besar dengan menumpukan aspek penghayatan syariah dalam kehidupan.

” Mengapa sehingga kini, penghayatan dalam semua elemen tadi tidak dipraktikkan? Walhal, ini adalah sunnah (ikutan) yang diajar oleh Baginda Nabi.

“Jika penghayatan syariat ini masih kabur dalam pengamalan masyarakat, maka tidak hairanlah seandainya rasuah, salah guna kuasa dan pelbagai penyelewengan masih berlaku sekarang ini,” katanya.

Justeru ujar Yaakob, majlis bacaan kitab sirah, seperti kitab Syamaail Muhammad karangan Imam Tarmizi, yang mengisahkan secara mendalam tentang hal keperibadian Rasulullah sewajarnya diadakan.

“Ia bagi memberi kefahaman sebenar kepada Umat Islam agar mereka lebih mencintai Rasulullah dan mengambil pengajaran dari perjuangan Baginda melalui pendekatan pendidikan berbanding perarakan semata-mata yang wajar dijauhi.

Categories
SELANGOR

Kutipan Dari Pasir Terus Meningkat Tanpa Monopoli Konsortium

SHAH ALAM 25 JAN : Hasil perolehan dari perlombongan pasir Selangor terus mencatatkan peningkatan dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) apabila kutipan bagi tahun 2011 mencecah RM16 juta.

Ini berikutan kejayaan kerajaan Selangor menyelesaikan hampir 90 peratus kes kecurian pasir di negeri ini pada tahun lepas kata Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari.

Keuntungan kerajaan Selangor dari kegiatan perlombongan pasir meningkat selepas PR mengambil alih pentabiran dari Umno-BN daripada RM2.9 juta pada tahun 2007 ke RM6.3 juta pada tahun 2008.

Hasil kutipan pada tahun 2009 berjumlah sebanyak RM5.4 juta sebelum meningkat kepada RM10.3 juta pada enam bulan pertama tahun 2010.

Yaakop berkata peningkatan tersebut adalah bukti kukuh pentabiran PR komited dalam memastikan sumber negeri diurustadbir dengan telus dan amanah berbanding di bawah pentadbiran Umno-BN.

“Secara keseluruhannya keadaan kecurian pasir di negeri ini terkawal. Kawasan-kawasan sungai kita sudah uruskan.

“Kawasan tanah kerajaan sudah diuruskan oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), kawasan persendirian yang berskala besar kita sudah lesenkan. Ada beberapa kawasan kecil namun terkawal.”

Jelas beliau, semua perkara mengenai laporan ini sudah diaudit dan dimasukkan dalam akaun kerajaan negeri.

Yaakob berkata peningkatan hasil kutipan pasir adalah kerana pentadbiran PR menukar sistem pemberian permit melombong secara tander terbuka.

Pada zaman Umno-BN, permit perlombongan pasir diberikan terus kepada sebuah konsortium.

“Sebelum kerajaan Pakatan Rakyat, semasa BN ada konsortium yang menguruskan pasir. Tetapi selepas kita mengambil alih kerajaan semuanya ditanderkan. Tidak ada Konsortium Melayu Selangor. Boleh semak dengan semua operator kerana mereka dapat melalui tander.

“Konsortium minta semuanya diserahkan kepadanya untuk diuruskan. Tidak boleh, itu zaman BN. Dalam Pakatan rakyat kita tanderkan semua sekali,” katanya.