Categories
NASIONAL

Anwar : Mampu Tawan Putrajaya Dengan Politik Bersih

TANJONG KARANG, 28 OKT – Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya Pakatan Rakyat (PR) mampu menawan Putrajaya dengan permainan politik bersih tanpa perlu mengikut rentak budaya kotor Umno-BN.

Bercakap dihadapan 400 orang penduduk pada majlis Jelajah Merdeka Rakyat di Dun Permatang, Anwar berkata, kemenangan secara matang itu lebih signifikan daripada menggunakan budaya fitnah dan penindasan.

“Saya tidak datang untuk mencerca Najib, Rosmah dan Umno.

“Saya nak menang rakyat bangkit menolak rasuah dan fitnah,” katanya.

Jelasnya meskipun Umno-BN menguasai seluruh jentera kerajaan termasuk media, namun hakikatnya mereka terus merasa goyah memandangkan sehingga kini banyak isu yang gagal dipertahankan melainkan memburukkan PR.

Beliau menambah, apa yang penting, rakyat jangan terkeliru dengan dakyah yang dimainkan media yang terus-menerus memutarbelitkan fakta sebenar.

“Sebab apa dia (Najib) takut? Dia punyai televisyen, jentera dan wang kerana dia ada rasuah.

“Sebab itu dia tidak mampu jawab,” ujarnya lagi di Warung Nasi Ambeng Ibu, Kampung Sungai Gulang-gulang Tanjong Karang.

Anwar sekali lagi mengulangi ikrar beliau untuk menurunkan harga minyak dalam tempoh 24 jam selepas PR menawan Putrajaya selain membatalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) beserta hutangnya.

Jelajah Merdeka Rakyat turut disertai Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tiba pada jam 12.30 tengahari bersama rombongan dengan menaiki bas Jelajah Merdeka Rakyat sambil diiringi motosikal berkuasa besar.

Turut hadir, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei, Adun Kota Alam Shah, M Manoharan dan Penyelaras DUN Permatang, Yahaya Saari.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Orang Macam Saya Tidak Jual(Aset PKNS), Tapi Orang Macam Noh Jual, Kata Abdul Khalid

TANJONG KARANG, 28 OKT – Dengan semangat ‘Nasi Ambeng’ menyambut rombongan Jelajah Merdeka Rakyat yang tiba di Parlimen Tanjong Karang sebentar tadi.

Hampir 400 orang penduduk sekitar DUN Permatang kelihatan gembira dan teruja apabila dapat melihat lebih dekat pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Kesempatan ini digunakan sebaik mungkin oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membidas hujah serangan yang dilemparkan oleh Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sebelum ini.

Dengan nada tegas, Abdul Khalid menafikan beliau selaku ketua pentadbiran negeri sanggup untuk menjual aset negeri terutama melibatkan beberapa bangunan yang dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) seperti yang dibangkitkan Noh minggu lalu.

Secara sinis Abdul Khalid menyatakan, individu sepertinya tidak sanggup untuk melakukan perkara tersebut namun beliau ‘tidak menolak kemungkinan’ pemimpin rakus seperti Noh Omar ‘mungkin’ sanggup bertindak sedemikian.

‘Saya nak jual PKNS? Orang macam saya tidak jual, tapi orang macam dia (Noh) (mungkin) jual. Saya letak aset itu betul-betul.

“Saya sudah susun harta biar diurus dengan baik. Keuntungan itu boleh diserahkan kepada rakyat,” katanya yang juga anak jati Kuala Selangor.

Minggu lalu, Noh menyatakan pada satu sidang media di Parlimen beliau mempunyai ‘dokumen’ yang menyatakan Kerajaan Selangor akan menjual beberapa kompleks perniagaan milik PKNS.

Selain Abdul Khalid, pihak PKNS turut mengeluarkan kenyataan bagi menafikan perkara berkenaan.

Dalam majlis sama, Abdul Khalid turut menyeru rakyat memberikan peluang kepada PR membawa perubahan kepada negara dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Jelasnya, sistem pentadbiran telus yang diamalkan PR dibuktikan berdasarkan peningkatan rizab simpanan melalui hasil pembentangan Laporan Ketua Audit Negara.

Beliau menambah, sudah tiba masanya rakyat memberikan peluang kepada Umno-BN untuk menjadi pembangkang dan PR akan terus menjaga semua kaum terutamanya bangsa Melayu.

“Saya nak beritahu, Umno-BN kata, PKR dan PR apabila menang, orang Melayu akan ditinggalkan, dibiarkan dan hilang kekuatan.

“Saya nak beritahu menteri, (Noh Omar) saya boleh ajar Menteri Pertanian mengira.

“Kalau (Noh) kerja 10 tahun belum tentu cakap tolong orang Melayu. Tidak patut dia (Umno-BN) cakap kita membelakangi orang Melayu.

“Orang Melayu akan berjaya kalau tidak ada rasuah dan bersikap amanah.

“RM700 juta kita bagi pada rakyat Selangor, RM500 juta untuk orang Melayu,” ujar beliau lagi.

Abdul Khalid dan rombongan tiba pada jam 12.30 tengahari menaiki bas Jelajah Merdeka Rakyat sambil diiringi motosikal berkuasa besar.

Sebelum itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba pada jam 12.15 tengahari disambut dengan laungan ‘Reformasi’ serta persembahan pencak silat.

Turut hadir, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Penyelaras DUN Permatang, Yahaya Saari.