Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sukarelawan Selangor pastikan misi bantuan mangsa bencana di Yan lancar

YAN BESAR, 2 SEPT: Misi bantuan Sukarelawan Selangor (SERVE) membuat perancangan rapi bagi memastikan kelancaran bantuan kepada penduduk Yan, Kedah yang terjejas akibat fenomena kepala air minggu lalu.

Ketua misi bantuan Ahmad Danish Hairudin berkata pihaknya menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Yan supaya bantuan sampai kepada penduduk selain sumbangan diberi bertepatan dengan keperluan mangsa bencana.

“Kita telah pergi ke dua kampung iaitu Titi Teras dan Kampung Teroi dalam mengagihkan bantuan bakul makanan, keperluan beribadah dan set dapur.

“Selain itu kita menerima maklumat mengatakan penduduk memerlukan air bersih kerana di sini amat terhad. Oleh itu kita membawa sebanyak 1,000 botol air (lima liter setiap satu) untuk diberikan kepada penduduk,” katanya ketika ditemui pada Misi Bantuan Kerajaan Selangor di Yan, Kedah.

Sukarelawan Selangor (SERVE) Awalluddin Shariff. 

Sementara itu, sukarelawan Awalluddin Shariff, 33, berkata beliau teruja kerana dapat menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana fenomena kepala air yang melanda penduduk pada 18 Ogos.

“Ini merupakan misi kedua dan bagi saya kali ini berbeza kerana bantuan kemanusiaan dalam waktu PKP dan untuk bertemu penduduk amat terhad selain perlu kekal menjaga SOP.

“Rata-rata penduduk menghargai kehadiran sukarelawan dan berterima kasih dengan bantuan. Mereka juga mengajak kami singgah ke rumah tetapi terpaksa menolak bagi mengelakkan penularan Covid-19,” katanya.

SERVE adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan terbuka kepada individu berusia 36 tahun ke atas dan berbanding PeBS yang mengehadkan kelayakan umur individu berusia 18 hingga 35 tahun.