Categories
AGENDA NASIONAL

Kawasan pelancongan air terjun di Yan tidak selamat dikunjungi

SHAH ALAM, 24 OKT: Kawasan pelancongan air terjun di Titi Hayun, Batu Hampar dan Sungai Perigi dekat Yan belum selamat dikunjungi orang ramai.

Exco kerja raya dan bekalan air Kedah berkata ia berikutan struktur muka buminya yang berubah akibat bencana pada 18 Ogos lalu, lapor Berita Harian.

Susulan itu, Datuk Suraya Yaacob menggesa pembinaan empangan sabo di kaki Gunung Jerai perlu disegerakan sebagai pengganti penampan semula jadi seperti pokok dan batu.

“Empangan sabo mampu bertindak melambatkan pergerakan air dari Gunung Jerai, seterusnya mengurangkan kemusnahan sekitar kaki gunung dan kawasan yang didiami penduduk.

“Justeru kita menggesa kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) agar mempercepatkan pembinaan empangan sabo berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian 18 Ogos lalu, enam orang terkorban dalam kejadian banjir ekoran fenomena kepala air dari Gunung Jerai.

Sebanyak 800 rumah di sekitar Yan dan 200 rumah di Tupah, Kuala Muda terjejas akibat kejadian tersebut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sukarelawan Selangor agih bantuan makanan, kelengkapan ibadah kepada penduduk Yan

YAN BESAR, 1 SEPT: Sebanyak 1,200 bakul makanan diagih oleh Sukarelawan Selangor (SERVE) kepada penduduk di Yan, Kedah dalam misi bantuan mangsa bencana fenomena kepala air.

EXCO Pembangunan Generasi Muda berkata seramai 50 sukarelawan digerakkan bagi menyertai misi bantuan selama tiga hari bermula semalam.

Mohd Khairuddin Othman memaklumkan misi bantuan tidak hanya memfokuskan agihan sumbangan makanan tetapi juga keperluan ibadah seperti telekung, sejadah dan set barangan dapur.

“Walaupun belum dilancar tetapi SERVE sudah digerakkan ke Yan, Kedah bagi membantu penduduk di sana yang perlukan bantuan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Secara keseluruhan, misi pertama SERVE berjaya dan boleh beri A+ kerana semua mereka berdikari dalam memberi khidmat kepada mangsa bencana,” katanya ketika ditemui pada Misi Bantuan Kerajaan Selangor di Yan, Kedah.

Pada 18 Ogos daerah Yan dilanda banjir kilat dipercayai akibat fenomena kepala air dari kawasan air terjun di kaki Gunung Jerai sehingga memusnahkan beberapa kediaman dan meragut enam nyawa penduduk sekitar kawasan terbabit.

Susulan itu, pada 29 Ogos,  ahli SERVE digerakkan ke Yan, Kedah bagi membantu mangsa bencana fenomena kepala air selaras dengan tema Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin.

SERVE adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan terbuka kepada individu berusia 36 tahun ke atas dan berbanding PeBS yang mengehadkan kelayakan umur individu berusia 18 hingga 35 tahun.

Kerajaan Selangor menyasarkan 2,800 ahli atau 50 ahli di setiap 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini manakala pada tahun hadapan sasaran 5,600 ahli atau 100 orang di seluruh DUN.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tidak sangka Selangor hulur bantuan, waris mangsa banjir lumpur terharu

YAN BESAR, 1 SEPT: Waris mangsa banjir lumpur akibat fenonema kepala air pada 18 Ogos lalu tidak menyangka menerima sumbangan wang tunai dan keperluan harian daripada Kerajaan Selangor.

Mohamad Firdaus Zainol, 36, berkata beliau dihubungi pejabat daerah memaklumkan ibunya akan menerima sumbangan yang diberikan sendiri Dato’ Menteri Besar Selangor yang mengadakan lawatan ke kawasan air terjun Titi Hayun.

Waris mangsa terkorban Mohamad Firdaus Zainol. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

“Saya rasa syukur dan terharu pemimpin Selangor sanggup datang ke sini. Alhamdulillah kerana sumbangan ini boleh digunakan untuk keperluan ibu,” katanya yang hadir menerima sumbangan mewakili ibunya.

Menceritakan kejadian, Mohamad Firdaus berkata orang tuanya menetap di Sungai Petani tetapi ketika kejadian ayah pergi ke kebun yang terletak di kawasan air terjun.

“Ayah ada memaklumkan bahawa pulang lewat sedikit kerana air deras tetapi sehingga malam masih tidak belum pulang ke rumah,” katanya.

Suri rumah Nahra Siza Murhaban, 46, berkata beliau bersyukur apabila mendapat sumbangan wang tunai dan keperluan harian daripada Kerajaan Selangor yang membantu mengurangkan beban.

“Saya dan anak-anak bergantung sepenuhnya dengan arwah suami dan sudah pasti kehilangannya amat dirasai kerana hilang sumber pendapatan.

“Namun walaupun arwah suami telah tiada, saya perlu kuat untuk menyara tiga anak yang berusia 14 hingga tujuh tahun,” katanya.

Amirudin ketika mengadakan lawatan menyampaikan sumbangan kepada waris enam mangsa yang terkorban akibat bencana berkenaan.

Beliau turut menyumbang bantuan RM100,000 kepada Kerajaan Kedah bagi membantu mangsa banjir lumpur akibat fenonema kepala air pada 18 Ogos.

Sebanyak 800 rumah di sekitar Yan dan 200 rumah di Tupah, Kuala Muda terjejas akibat kejadian tersebut.
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sukarelawan Selangor digerakkan ke Yan, bantu mangsa bencana

SHAH ALAM, 29 OGOS: Hampir 50 Sukarelawan Selangor (SERVE) digerakkan ke Yan, Kedah hari ini bagi membantu mangsa bencana fenomena kepala air.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata misi bantuan itu selaras dengan tema Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin.

“SERVE terdiri dalam kalangan belia malahan Perdana Menteri baharu (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) juga telah menekankan peranan belia dalam kerajaan baharu ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada media selepas gimik pelepasan misi bantuan Kerajaan Negeri melalui Sukarelawan Selangor (SERVE) di Dataran Shah Alam pada 29 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Oleh itu, Kerajaan Negeri menyambut baik dan ini salah satu inisiatif kita bagi menyokong tema Hari Kebangsaan. Semoga bantuan ini mampu meringankan beban mangsa bencana tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program pelepasan peserta SERVE Misi Bantuan Kerajaan Selangor di Dataran Shah Alam pada jam 5 petang di sini hari ini.

Beliau menjelaskan misi selama tiga hari itu turut disertai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang akan tiba pada Selasa ini bagi penyerahan cek bantuan kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor.

Pada 18 Ogos daerah Yan dilanda banjir kilat dipercayai akibat fenomena kepala air dari kawasan air terjun di kaki Gunung Jerai sehingga memusnahkan beberapa kediaman dan meragut enam nyawa penduduk sekitar kawasan terbabit.

Pada masa sama, Mohd Khairuddin mengalu-alukan belia menyertai SERVE dan ia boleh dimohon menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) berhampiran.

SERVE terbuka kepada individu berusia 36 tahun ke atas dan ia adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang mengehadkan kelayakan umur individu berusia 18 hingga 35 tahun.

Kerajaan Selangor menyasarkan 2,800 ahli atau 50 ahli di setiap 56 DUN pada tahun ini manakala pada tahun hadapan sasaran 5,600 ahli atau 100 orang di seluruh DUN.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jalur Gemilang teguh berkibar biarpun rumah masih berlumpur

YAN, 28 OGOS: Di sebuah rumah papan dua tingkat di Jalan Masjid, Pekan Yan, kelihatan seorang lelaki begitu tekun memerhati sebuah jentera berat yang sedang menyodok lapisan lumpur hampir kering di halaman rumahnya yang turut “dihiasi” beberapa lembaran Jalur Gemilang.

Biarpun masih terkesima dengan bencana banjir yang berlaku ekoran fenomena kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos lepas sehingga dianggap sebagai “tsunami kecil” dalam kalangan penduduk, pesara tentera Rosli Mohamad, 51, masih lagi mampu mengukir senyuman.

Manakan tidak, “harta paling berharga” buat seluruh rakyat Malaysia iaitu Jalur Gemilang sedikit pun tidak mengalami sebarang kerosakan akibat bencana itu, walhal air banjir ketika itu sangat deras sehingga mampu merosakkan bumbung zink rumahnya serta beberapa perkakas elektrik lain.

Tambah istimewa lagi, warnanya juga tidak luntur dan tidak disaluti lumpur mahupun kotoran sebagaimana yang boleh dilihat kesan lumpur pada setiap rumah di Jalan Masjid.

“Memang tiap-tiap tahun, saya pasang bendera sempena Hari Kebangsaan dan untuk tahun ini, saya dah pasang sebelum banjir lagi. Bila berlaku banjir, Alhamdulillah bendera saya tak rosak walaupun air banjir masuk ke dalam rumah.

“Tetapi, barang elektrik, perabot semuanya rosak. Rumah juga penuh dengan lumpur, tapi saya bersyukur kerana saya dan keluarga selamat serta keadaan rumah pun tak banyak rosak,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang kini bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah berkata banjir yang berlaku sangat pantas sehingga dia dan keluarganya tidak sempat untuk menyelamatkan barang di dalam rumahnya namun bersyukur apabila bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak tiba tidak putus-putus sejak minggu lepas.

Baginya, pelbagai bantuan yang dihulurkan kepada keluarganya dan penduduk di situ sama ada berbentuk makanan mahupun membersihkan rumah adalah harga keharmonian yang dinikmati hasil kemerdekaan negara selama ini apabila masyarakat pelbagai bangsa sanggup datang dari jauh untuk bersama-sama membantu biarpun dalam situasi pandemik.

“Kami sekeluarga dan penduduk di sini sangat menghargai bantuan diterima. Inilah nikmat perpaduan yang dirasai. Kerana itu, bagi saya pengibaran Jalur Gemilang dan menghiaskan rumah dengannya merupakan sedikit inisiatif yang saya lakukan bagi menyahut seruan kerajaan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme.

“Kita seharusnya bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang dan walau apa jua keadaan sama ada ditimpa musibah seperti apa yang berlaku kepada kami iaitu banjir, ia tidak seharusnya mematahkan semangat untuk mengibarkan bendera negara terutamanya sepanjang tempoh sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.

Mengulas mengenai semangat patriotisme Rosli, Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata ia wajar dicontohi memandangkan ketika ini didapati tidak ramai yang mengambil inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang di rumah mahupun kenderaan mereka.

Beliau berkata semangat patriotisme Rosli yang tidak luntur menyambut Hari Kebangsaan biarpun ditimpa musibah besar adalah jelas memaparkan rasa bersyukurnya kepada keamanan dan apa yang dinikmati hasil daripada kemerdekaan negara.

“Musibah ini mengajar mereka untuk lebih menghargai dengan apa yang mereka ada. Ini merupakan satu tanda kesyukuran dan semangat mengibarkan bendera di kala musim pandemik dan ditimpa musibah wajar dicontohi ramai pihak.

“Biarpun ada menyatakan rasa cinta kepada negara tidak semestinya mengibarkan bendera, namun apabila kita bercakap mengenai rasa cinta, ia mesti dizahirkan dan mengibarkan bendera merupakan antara satu cara menzahirkan patriotisme kita kepada negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir dukacita tragedi banjir sekitar Gunung Jerai

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi banjir susulan fenomena kepala air berlaku di sekitar kawasan Gunung Jerai di Yan, Kedah, yang meragut empat nyawa setakat ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga empat mangsa terbabit dan berharap seluruh keluarga bersabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.

“Seri Paduka turut menzahirkan harapan dan berdoa agar tiga lagi mangsa yang dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun dapat ditemukan dan diselamatkan dengan segera,” kata Ahmad Fadil.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut merakamkan setinggi penghargaan kepada semua anggota agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa, termasuk penduduk terjejas akibat banjir berkenaan.

Seri Paduka turut menasihati penduduk di kawasan terbabit supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta berpindah ke pusat pemindahan dengan segera sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa tempatan.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menyeru kerajaan dan badan bukan kerajaan supaya menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terkesan akibat bencana berkenaan.

Fenomena kepala air yang mencetuskan banjir di sekitar Yan dilaporkan berlaku pada kira-kira 5 petang, Rabu lepas dan setakat ini telah meragut empat nyawa.

Menurut kenyataan itu, antara lokasi terbabit banjir adalah kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

Dilaporkan bagi daerah Yan yang terjejas akibat banjir dan fenomena kepala air itu, dua Pusat Pemindahan Sementara  (PPS) telah dibuka iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Yan manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi dibuka untuk menempatkan mangsa positif Covid-19 dan individu yang dikuarantin.

Kedua-dua penempatan berkenaan bagaimanapun dipantau rapi oleh semua agensi berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Semalam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dilapor berkata kerajaan negeri mengisytiharkan daerah Yan dan Kuala Muda sebagai Kawasan Bencana Tahap 1 berdasarkan Arahan Tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Daerah Yan, Kuala Muda diisytihar Kawasan Bencana Tahap 1

ALOR SETAR, 19 OGOS: Kerajaan Kedah mengisytiharkan daerah Yan dan Kuala Muda sebagai Kawasan Bencana Tahap 1 berdasarkan Arahan Tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata sehubungan itu semua agensi kerajaan dan badan berkanun yang berkaitan dengan pengurusan operasi bencana kini sedang mengambil pelbagai langkah bagi memastikan musibah yang melanda dapat ditangani dengan berkesan.

“Pihak swasta dan juga badan-badan sukarela yang mahu membantu akan diberikan latihan mencukupi di bawah penyelarasan MKN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arahan MKN No. 20 merujuk mengenai dasar dan mekanisme pengurusan bencana secara lebih menyeluruh meliputi peringkat sebelum, semasa dan selepas sesuatu kejadian bencana.

Pengurusan dan pengendalian kejadian bencana di kawasan yang dikategorikan sebagai Tahap 1 ditangani oleh agensi-agensi yang terlibat di dalam pengurusan bencana di peringkat daerah, sama ada tanpa bantuan luar atau dengan bantuan luar yang terhad.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri akan berusaha sebaik mungkin dan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memulihkan keadaan dan kehidupan penduduk terjejas akibat banjir yang berlaku ekoran fenomena kepala air di kawasan sekitar Gunung Jerai, petang semalam.

“Meskipun kita sedang bergelut dengan musibah, saya ingin mengingatkan orang ramai terutama mereka yang terbabit, para petugas kerajaan dan juga sukarelawan yang turun membantu di lapangan agar sentiasa menjaga diri kerana ancaman Covid-19 masih berlegar di persekitaran kita,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Fenomena kepala air di Yan: Tiga maut, tiga masih hilang

ALOR SETAR, 19 OGOS: Tiga mangsa ditemukan maut di beberapa lokasi di sekitar kawasan Gunung Jerai di Yan, yang dilanda banjir susulan fenomena kepala air pada petang Rabu.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata setakat operasi pada 1 pagi ini, tiga lagi mangsa dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun.

“Ketiga-tiga mangsa (yang maut) adalah lelaki, dengan satu mangsa ditemukan di tanah runtuh jalan naik ke Gunung Jerai dan dikenal pasti sebagai Shahruzi Mohamad, berumur 53 tahun.

“Jenazah sudah diturunkan dan operasi (mencari dan menyelamat) akan disambung lagi kemudian,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp awal pagi ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat telah ditamatkan sebentar tadi dan akan bersambung semula 7 pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, antara lokasi terlibat banjir selepas kejadian kepala air itu ialah kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

-BERNAMA