Categories
AGENDA NASIONAL

Agong berkenan serah sumbangan peribadi buat mangsa banjir di Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyerahkan sumbangan peribadi kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini.

Istana Negara menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya memaklumkan sumbangan berkenaan disampaikan oleh Juruiring Tentera Darat Baginda, Brigadier Jeneral Datuk Sharizan Wan Chik.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban mereka,” menurut kenyataan itu.

Semalam beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan penduduk yang terjejas terpaksa dipindahkan ke PPS.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong bersyukur, harap MoU kerajaan-PAKATAN akhiri kemelut politik

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan bahawa Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada Isnin, dapat mengakhiri kemelut politik dengan segera.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar semua Ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati serta bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

“Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa syukur dan sukacita dengan pendekatan bersejarah kerjasama rentas parti yang telah dimeterai melalui MoU Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September lepas.

“Seri Paduka mengulangi pandangan Baginda bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19,” kata Ahmad Fadil.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka menegaskan pemeteraian MoU itu juga selaras dengan pendirian Raja-Raja Melayu akan pentingnya pembentukan kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan cekap serta berhemah dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

“Oleh hal yang demikian, Seri Paduka menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung.

“Seri Paduka turut menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara,” katanya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa selari dengan kestabilan politik dan peningkatan kadar vaksinasi penduduk serta bantuan tambahan oleh kerajaan, proses pemulihan ekonomi negara dapat dipercepatkan yang mana faktor-faktor itu merupakan kunci kepada keyakinan semua pihak yang berkaitan dan para pelabur.

Sehubungan itu, Ahmad Fadil berkata Seri Paduka menegaskan kerajaan perlu mempercepatkan penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi daya saing negara.

Dalam pada itu, beliau berkata Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan hadapan dengan bersama berganding bahu berdisiplin mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan semua perintah yang telah ditetapkan kerajaan.

“Seri Paduka turut menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” kata Ahmad Fadil.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong: Jangan pertaruh nasib negara, rakyat demi agenda tertentu

SHAH ALAM, 13 SEPT: Yang di-Pertuan Agong mengingatkan ahli parlimen tidak meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan mencapai agenda tertentu, sebaliknya fokus memerangi Covid-19.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah negara belum bebas daripada wabak itu setelah lebih setahun, yang menjejaskan aspek kesihatan dan rakyat hilang mata pencarian.

Baginda turut bertitah menerima ratusan pucuk surat daripada rakyat yang merintih nasib dan berharap agar ada sinar bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan seperti biasa.

“Nasihat Beta kepada semua ahli-ahli yang berhormat, jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat beta sebagai taruhan dalam percaturan mencapai agenda tertentu.

“Beta menyeru kepada ahli-ahli berhormat sekali untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat Beta dan negara tanah tumpahnya darah kita,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menitipkan tiga rangkap pantun sebagai nasihat kepada ahli parlimen seperti berikut:

Dari Segamat ke Kota Tinggi,
Hajat mulanya ke Kuala Pahang,
Kepada Yang Berhormat ikhlaslah berbakti,
Tidaklah rakyat gusar dan bimbang.

Kalau memandang langit yang tinggi,
Jangan lupa rumput di bawah,
Bekerjalah Yang Berhormat sepenuh hati,
Martabatkan negara kembali bermaruah.

Rempah halia digaul dan diuli,
Buat ramuan nasi kebuli,
Sumpah setia ketaatan diberi,
Pertahankan negara dan ibu pertiwi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong nasihat selesai masalah secara demokrasi musyawarah

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan semua pihak supaya mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

Justeru, Seri Paduka menyambut baik keterbukaan kerajaan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk ahli parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.

“Beta turut menyambut baik dan amat menghargai usaha-usaha ke arah merealisasikan pendekatan baharu kerjasama dwipartisan antara semua pihak yang bakal membentuk landskap politik baharu dan membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

Menyifatkan kematangan seumpama itu didambakan seluruh rakyat, Al-Sultan Abdullah bertitah perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah ‘Keluarga Malaysia’, negara akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan.

“Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi biduk lalu kiambang bertaut, sesungguhnya yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menyeru semua Ahli Parlimen agar mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara yang terlalu lama dibelenggu isu kesihatan dan kemurungan ekonomi.

Seri Paduka bertitah sebarang bibit pertelingkahan hendaklah segera dihentikan supaya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu.

“Ratusan pucuk surat telah beta terima daripada rakyat beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.

“Nasihat beta kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu,” titah Seri Paduka.

Bersempena sambutan Hari Malaysia yang bakal dirai pada 16 September ini, Seri Paduka juga menyeru ahli parlimen dan seluruh rakyat untuk menghayati sejarah kemerdekaan dan pembentukan persekutuan Malaysia supaya sentiasa mempunyai asas patriotisme dan semangat cintakan negara yang tinggi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri zahir takziah pemergian Tun Sakaran

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai yang meninggal dunia hari ini.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada masyarakat dan negara.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik di Facebook.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Sakaran yang berasal dari Semporna berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah kelapan bermula 1 Jan 1995 hingga 31 Dis 2002 dan sebelum itu pernah menjadi Ketua Menteri Sabah kelapan pada 1994.

Sakaran, 91, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Gleaneagles di Kota Kinabalu pada pukul 5.30 pagi tadi setelah dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital itu akibat jangkitan Covid-19. Beliau dimasukkan ke hospital itu pada 18 Ogos.

-BERNAMA

Foto. Facebook Bernama
Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir dukacita tragedi banjir sekitar Gunung Jerai

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi banjir susulan fenomena kepala air berlaku di sekitar kawasan Gunung Jerai di Yan, Kedah, yang meragut empat nyawa setakat ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga empat mangsa terbabit dan berharap seluruh keluarga bersabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.

“Seri Paduka turut menzahirkan harapan dan berdoa agar tiga lagi mangsa yang dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun dapat ditemukan dan diselamatkan dengan segera,” kata Ahmad Fadil.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut merakamkan setinggi penghargaan kepada semua anggota agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa, termasuk penduduk terjejas akibat banjir berkenaan.

Seri Paduka turut menasihati penduduk di kawasan terbabit supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta berpindah ke pusat pemindahan dengan segera sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa tempatan.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menyeru kerajaan dan badan bukan kerajaan supaya menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terkesan akibat bencana berkenaan.

Fenomena kepala air yang mencetuskan banjir di sekitar Yan dilaporkan berlaku pada kira-kira 5 petang, Rabu lepas dan setakat ini telah meragut empat nyawa.

Menurut kenyataan itu, antara lokasi terbabit banjir adalah kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

Dilaporkan bagi daerah Yan yang terjejas akibat banjir dan fenomena kepala air itu, dua Pusat Pemindahan Sementara  (PPS) telah dibuka iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Yan manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi dibuka untuk menempatkan mangsa positif Covid-19 dan individu yang dikuarantin.

Kedua-dua penempatan berkenaan bagaimanapun dipantau rapi oleh semua agensi berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Semalam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dilapor berkata kerajaan negeri mengisytiharkan daerah Yan dan Kuala Muda sebagai Kawasan Bencana Tahap 1 berdasarkan Arahan Tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong isytihar darurat di Sarawak, gantung PRN hingga Februari 2022

KUCHING, 31 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh negeri itu mulai 2 Ogos ini sehingga 2 Februari tahun depan, sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Dalam satu warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai, Seri Paduka berpuas hati darurat besar iaitu wabak Covid-19 yang sedang berlaku telah menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam.

Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN itu.

Warta Kerajaan Persekutuan itu menyebut ordinan berkenaan akan terhenti berkuat kuasa pada 2 Ogos menurut Proklamasi Darurat yang dikeluarkan pada 11 Jan, di mana PRN Sarawak dikehendaki diadakan dalam 60 hari dari 2 Ogos mengikut Fasal (4) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak.

“Dan bahawasanya Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa dalam keadaan yang tersebut, beta boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat untuk menggantung pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri untuk menghalang daripada terus merebaknya wabak Covid-19 jika pilihan raya umum diadakan,” titah Seri Paduka dalam warta berkenaan.

Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang itu turut menyatakan perkara itu akan dibentangkan di Parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Batal Ordinan Darurat tanpa perkenan Agong hina institusi raja

SHAH ALAM, 29 JULAI: Pengumuman kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong pada Isnin lalu dianggap tindakan menghina institusi diraja.

Ketua pembangkang berkata pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat itu juga dilihat sebagai melanggar perlembagaan negara.

“Ini jelas menunjukkan kabinet diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk Takiyuddin melanggar perlembagaaan, menghina institusi diraja terutama Yang di-Pertuan Agong.

“Ini (pengumuman) juga mengelirukan dewan (Dewan Rakyat) dan rakyat serta tidak bercakap benar. Kita tuntut perdana menteri letak jawatan,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas membacakan kenyataan dikeluarkan Istana Negara di Parlimen hari ini.

Terdahulu Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara menerusi kenyataan berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.

Menurut Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda juga menzahirkan dukacita kerana perkara diperkenan dan dititahkan pada 24 Julai lalu kepada Takiyuddin dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun supaya pembatalan Ordinan Darurat dibentang serta dibahaskan di Parlimen tidak dilaksanakan.

Baginda juga menitahkan kenyataan menteri di Parlimen tidak tepat dan mengelirukan ahli dewan selain permohonan pembatalan yang dibuat pada 21 Julai lalu dilakukan secara tergesa-gesa.

Pada Isnin lalu, Takiyuddin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Beliau berkata kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Misbun

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Datin Latifah Sidek, isteri kepada legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek yang meninggal dunia semalam.

Istana Negara menerusi laman Instagram rasmi hari ini, memaklumkan Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarhamah dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan dalam suasana sedih serta pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” demikian menurut hantaran tersebut.

Menurut Istana Negara, Allahyarhamah mendirikan rumah tangga bersama Misbun pada 1987 dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu Misbun Syawal, Lia Murni, Misbun Ramdan, Lia Alifah, Lia Dewi Rubita dan Misbun Awalauddin.

Arwah sebelum ini dilaporkan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 10 Julai lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN: Muhyiddin usah berlengah buka Parlimen, undur jika tidak yakin

SHAH ALAM, 17 JUN: Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu melepaskan jawatan Perdana Menteri jika terus berlengah atau memberi alasan melewatkan sidang Parlimen, kata Pakatan Harapan (PAKATAN).

Majlis Presiden gabungan pembangkang itu berkata ia susulan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semalam bahawa sidang Parlimen perlu segera diadakan.

Katanya amat penting Parlimen dibuka semula sekarang agar semak imbang tata kelola dan perjalanan pentadbiran Putrajaya dapat dilakukan.

“Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara dapat dibahas, peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat dapat dibincang dan suara rintihan isi hati rakyat dapat didengar dengan jelas.

“Sekiranya Perdana Menteri terus berlengah atau memberi alasan melewatkan sidang Parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan Tuanku itu, malah memberi gambaran Perdana Menteri telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir.

“Jika Perdana Menteri tetap bertegas enggan menasihati Tuanku segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri,” kata majlis tersebut.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin selepas mempengerusi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat menyedari peranan Parlimen untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan Covid-19.

PAKATAN yang menjunjung kasih terhadap titah Agong turut menekankan bahawa Perdana Menteri perlu menjunjung titah dan menasihati Seri Paduka Baginda untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 diwartakan 14 Januari

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang berkuat kuasa mulai 11 Jan 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Ordinan setebal 12 muka surat yang mengandungi 18 perkara itu dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Kuantan semalam (14 Jan).

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, ordinan itu antara lain memperuntukan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam dalam persekutuan berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, tiada perincian dinyatakan berhubung jawatankuasa itu termasuk keahliannya.

Selain itu, juga dijelaskan peruntukan ordinan berkenaan mengatasi peruntukan undang-undang bertulis yang lain sekiranya terdapat sebarang percanggahan atau ketidakselarasan di antara peruntukan ordinan dengan mana-mana undang-undang bertulis lain.

Ordinan itu juga memperuntukkan kuasa tambahan kepada angkatan tentera yang mana segala kuasa polis di bawah Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) kini turut diberikan kepada anggota tentera.

Berhubung kuasa eksekutif dan perundangan pula, perdana menteri dan jemaah menteri hendaklah terus menjalankan kuasa eksekutif persekutuan dan diberikan kuasa membuat undang-undang subsidiari, manakala menteri besar atau ketua menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meneruskan kuasa eksekutif dan membuat undang-undang di peringkat negeri.

Pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil serta persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri juga tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.

Bagi memerangi wabak Covid-19, dalam tempoh darurat berkuat kuasa, Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana individu yang diberi kuasa oleh Seri Paduka boleh melantik seseorang untuk mengeluarkan arahan bagi rawatan, imunisasi, pengasingan, pemerhatian atau pengawasan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Selain itu, tiada tindakan guaman, pendakwaan atau apa-apa prosiding lain boleh diambil terhadap kerajaan atau penjawat awam yang melaksanakan tugas untuk mencegah dan membendung penularan pandemik Covid-19.

Ordinan itu juga menggariskan menjadi kesalahan bagi mana-mana individu yang gagal mematuhi arahan atau tatacara operasi piawai (SOP) dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Selain itu, ordinan itu juga membolehkan milikan sementara mana-mana tanah, bangunan, harta alih serta apa-apa sumber termasuk sumber manusia, kemudahan dan aset yang dianggap perlu demi kepentingan negara dengan pihak yang ingkar dengan arahan Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini boleh didenda hingga RM5 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,

Perincian ordinan itu boleh diakses menerusi portal rasmi Jabatan Peguam Negara di http://www.federalgazette.agc.gov.my.

Istana Negara pada Selasa (12 Jan) telah mengeluarkan kenyataan bahawa Al-Sultan Abdullah telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat pada hari sama menjelaskan bahawa jemaah menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Jan 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Perkara 150(1) itu antara lainnya memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam persekutuan sedang terancam.

Ancaman pandemik Covid-19 kini menjadi ancaman besar terhadap kehidupan ekonomi rakyat di negara ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Solat Jumaat hanya 30 jemaah di W.Persekutuan – Jawi

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Solat Jumaat di semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan dibenarkan sehingga 30 orang sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail berkata ketetapan berkenaan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam satu kenyataan beliau berkata sepertimana diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin kelmarin, solat fardu pula hanya dibenarkan dengan maksimum lima jemaah, yang terdiri daripada ahli jawatankuasa dan pegawai-pegawai masjid.

Selain itu, katanya laungan azan bagi solat fardu lima waktu hendaklah diteruskan seperti biasa, namun semua aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan perlu ditangguhkan buat sementara waktu.

“Aktiviti pengimarahan seperti kuliah, ceramah dan seumpamanya boleh dilaksanakan secara dalam talian atau FB Live yang dibuat di kediaman penceramah dan dikongsikan kepada ahli kariah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengurusan masjid untuk mematuhi dan memastikan tatacara operasi piawai diikuti termasuk mewujudkan kaunter di pintu masuk untuk memeriksa suhu badan, sanitasi dan merekod kehadiran jemaah.

Selain itu, beliau mengingatkan pengurusan masjid untuk kerap melakukan sanitasi di ruang solat dan kawasan sekitar dan memastikan petugas mencukupi untuk mengawal jemaah dari segi pematuhan SOP.

– BERNAMA