Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yawas yakin kerjasama dengan Unisel mampu perkasa golongan OKU

BESTARI JAYA, 2 MAC: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menyambut baik Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai bersama Universiti Selangor (Unisel) yang disifatkan mampu membantu pembangunan golongan orang kelainan upaya (OKU).

Pengurus Besarnya Gan Pei Nei berkata majlis itu juga merupakan tanda aras amat bermakna bagi yayasan itu dalam usaha membangunkan sistem pendidikan khas yang inklusif kepada anak istimewa.

“Usaha ini selaras dengan pelan strategik yang terkandung dalam dasar OKU 2016-2022 iaitu untuk meningkatkan pendedahan golongan tersebut kepada pendidikan.

“Melalui MoU ini juga, Unisel akan bekerjasama untuk membangunkan sijil ikhtisas Anak Istimewa Selangor (ANIS). Saya harap inisiatif ini berjalan lancar dan terima kasih kerana sudi bekerjasama dengan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani MoU antara Unisel dan Yawas di Unisel Bestari Jaya di sini semalam.

Turut hadir EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud serta Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Muhammad Redzuan Othman.

Sementara itu, Dr Muhammad Redzuan berkata pihaknya bersedia memberi perkhidmatan terbaik dan inklusif terutama kepada warga OKU serta berkeperluan khas.

“Kita sentiasa berusaha menyediakan persekitaran dan kemudahan yang mampu menyokong pelajar kelompok ini untuk bergerak bebas dan berdikari serta dapat menjalani kehidupan yang baik di Unisel,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Permohonan subsidi RM100 yuran taska dibuka, terhad dua anak bawah 4 tahun

SHAH ALAM, 31 JAN: Permohonan subsidi yuran taska atau pusat jagaan kanak-kanak berjumlah RM100 di bawah Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (Asuh Pintar) bagi sesi 2022 dibuka.

Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menerusi Facebook memaklumkan permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi https://asuhpintar.yawas.my  atau menghubungi talian 03-54818800.

Sementara itu, menerusi maklumat di laman web Yawas syarat kelayakan permohonan adalah

  • Warganegara Malaysia
  • Lahir serta menetap di Selangor atau tidak dilahirkan di Selangor tetapi menetap sekurang-kurangnya lima tahun
  • Pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah
  • Suami dan isteri bekerja
  • Anak berumur empat tahun ke bawah
  • Terhad kepada dua anak sahaja
  • Taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat
  • Ibu dan bapa pengundi berdaftar di Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Bantuan sekolah manfaat lebih 40,000 murid, ringan beban ibu bapa

SHAH ALAM, 13 DIS: Program bantuan masuk sekolah bagi anak Selangor memberi manfaat kepada 44,484 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan persekolahan merangkumi beg sekolah, alat tulis, bekas makanan, botol minuman, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

“Semoga bantuan ini memberi manfaat kepada anak-anak dan pada masa yang sama meringankan beban pada ibu-bapa menjelang permulaan sesi persekolahan tahun hadapan,” katanya menerusi Facebook.

Tawas yang diuruskan Yayasan Warisan Anak Selangor dilancarkan secara rasmi sempena sambutan Ambang Merdeka peringkat Selangor pada 30 Ogos 2008.

Program ini terbuka kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat. Permohonan juga perlu dilakukan sebelum anak berusia tiga tahun. Ahli Tawas menerima RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun kelak.

Categories
EXCO SELANGOR

Yawas, JPN kerjasama kongsi data warga emas, elak cicir bantuan

SHAH ALAM, 6 DIS: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menyelaraskan maklumat dan data ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, V Ganabatirau berkata kaedah itu bagi memastikan tiada golongan tercicir dan proses integrasi maklumat itu dilakukan dari semasa ke semasa.

“Yawas telah selesai melaksanakan pemurnian data-data SMUE dengan kerjasama JPN pada September 2021 dan proses ini akan dilakukan berdasarkan keperluan.

“Kemas kini pemilihan peserta untuk setiap program yang akan dijalankan berdasarkan pada setiap bulan kelahiran semasa,” katanya, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Kota Damansara Shatiri Mansor mengenai mekanisma yang diguna bagi memastikan peserta SMUE menerima baucar pada bulan kelahiran mereka pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Ganabatirau berkata setakat ini seramai 319,087 individu layak menerima baucar berkenaan dalam tempoh 2019 hingga 2021.

Katanya, jumlah itu merangkumi 35,291 penerima pada 2019, 145,359 penerima pada 2020 dan 138,437 pada tahun ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

Belanjawan #Selangor2022: Yawas harap tambahan peruntukan bantu anak istimewa

SHAH ALAM, 12 NOV: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) berharap peruntukan untuk memberdaya anak istimewa di negeri ini ditingkatkan dalam Belanjawan #Selangor2022.

Ketua Jabatan Anak Istimewa Selangor (AnIS) berkata tambahan dana membolehkan program sedia ada diteruskan meliputi bantuan khas AnIS, Didik AnIS, intervensi awal kanak-kanak dan seminar pembangunan.

Danial Al-Rahid Haron menjelaskan peruntukan RM3 juta disalurkan Kerajaan Negeri selama tiga tahun berturut-turut tidak mampu menampung permintaan golongan terbabit yang semakin meningkat.

“Kita faham kedudukan kewangan Kerajaan Negeri tetapi untuk memenuhi dan aspirasi orang kelainan upaya (OKU), kita rasa peruntukan itu perlu dinaikkan.

“Jadi, sebahagian lambakan permohonan yang tidak dapat diproses (tahun ini) diharap boleh diselesaikan dengan adanya peningkatan peruntukan tahun depan,” katanya ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Beliau menambah sekiranya tiada perhatian sepenuhnya diberikan terhadap anak istimewa dibimbangi akan membantutkan ekosistem pembelajaran golongan terbabit.

“Perbelanjaan mengurus anak istimewa lebih tinggi berbanding anak normal kerana mereka memerlukan makanan yang khusus selain menjalani terapi sehingga usia enam tahun supaya boleh ke sekolah biasa,” katanya.

Belanjawan #Selangor2022 dijadual dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 November ini.

Pembentangan itu boleh diikuti secara langsung menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yawas selesai agih bantuan RM500 kepada 1,200 OKU

SHAH ALAM, 11 NOV: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) selesai menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM600,000 kepada 1,200 orang kelainan upaya (OKU) di negeri ini akhir bulan lalu.

Ketua Jabatan Anak Istimewa Selangor (AnIS) Danial Al-Rahid Haron memaklumkan bantuan RM500 setiap seorang melalui Pakej Kita Selangor 2.0 disalur secara berperingkat sejak 5 Julai.

Menurutnya, sebahagian bayaran dikreditkan terus ke akaun bank penerima dan selebihnya secara tunai selepas dokumen lengkap dihantar pemohon.

“Kita menerima hampir 7,000 permohonan mendapatkan bantuan ini. Memandangkan peruntukan terhad, keutamaan diberikan kepada mereka yang menghantar borang awal selain memenuhi kriteria ditetapkan.

“Diharap bantuan sebegini membantu golongan berkenaan yang terkesan akibat Covid-19 kerana kita lihat kebanyakan mereka terpaksa bekerja sendiri seperti menjual tisu dan menjalankan khidmat urutan untuk meneruskan kehidupan,” katanya ketika dihubungi.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan RM600,000 bagi membantu golongan OKU yang terjejas sumber pendapatan, hilang pekerjaan tetap atau pengurangan gaji akibat wabak.

Syarat kelayakan termasuk warganegara, berusia 18 tahun ke atas dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 100,000 individu terima manfaat baucar Jom Shopping, bantuan khairat

SHAH ALAM, 21 SEPT: Lebih RM10 juta disalur Kerajaan Negeri menerusi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dari Januari 2021 hingga setakat ini.

Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei berkata jumlah itu merangkumi RM9,963,200 bagi Jom Shopping dan RM734,000 bagi khairat kematian.

“Lebih 100,000 individu menerima manfaat dari kedua-dua program ini yang mana 99,632 warga emas serta orang kelainan upaya (OKU) menerima baucar Jom Shopping RM100 pada bulan kelahiran mereka.

“Manakala 1,468 waris bagi warga emas serta OKU yang meninggal dunia menerima RM500 menerusi khairat kematian,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM20 juta bagi melaksanakan program Jom Shopping SMUE.

Sejumlah RM7.5 juta juga disediakan bagi melayakkan waris berdaftar dengan Yawas menerima bantuan RM500.

Orang ramai boleh melayari laman portal e-mesra.yawas.my untuk memohon bantuan skim berkenaan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yawas sedia tubuh lebih banyak pusat pendidikan anak istimewa

SHAH ALAM, 13 SEPT: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) bersedia menambah lokasi dan memperluaskan pengambilan kategori peserta Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Pusat Anis).

Pengurus besarnya berkata pihaknya akan melihat terlebih dahulu keberkesanan pelaksanaan projek perintis di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini yang beroperasi mulai 7 September lalu.

Gan Pei Nei berkata sebagai permulaan program itu terhad kepada kanak-kanak istimewa kategori satu dan dua dengan sasaran pengambilan 48 peserta menjelang penghujung tahun.

“Selain peruntukan kita juga perlu buat pertimbangan sama ada tenaga pengajar mencukupi, mereka perlu menerima latihan menerusi program Genius Kurnia di bawah Kementerian Pendidikan.

“Sekiranya lancar kita mungkin boleh perkenalkan di tempat lain dan terima peserta kategori tiga yang memerlukan tumpuan kerana lebih agresif,” katanya di sini hari ini.

Pada 21 Ogos, Kerajaan Selangor menubuhkan pusat sokongan pendidikan untuk kanak-kanak istimewa dalam lingkungan usia dua hingga enam tahun di negeri ini.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata perkhidmatan Pusat Anis meliputi saringan, pengesanan awal dan intervensi.

Pendaftaran masih dibuka sehingga Oktober dengan ibu bapa perlu mendaftar serta mengisi borang di www.anisselangor.com/intervensianis dan menyediakan dokumen diperlukan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pusat Anis bermula hari ini, lapan kanak-kanak ikuti kelas di IDCC

SHAH ALAM, 7 SEPT: Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Pusat Anis) mula beroperasi dengan lapan kanak-kanak mulai mengikuti kelas bersama ibu bapa mereka di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei berkata kesemua kanak-kanak itu adalah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah di mana tiada yuran dikenakan kepada mereka.

“Pusat Anis telah bermula pada hari ini dengan sesi pentaksiran bersama ibu bapa dan anak istimewa mereka. Pada minggu ini kita adakan sesi pentaksiran, minggu kedua penilaian dan minggu ketiga kita akan mulakan terapi.

“Bilangan peserta yang diambil ketika ini adalah minima bagi setiap sesi kerana kita masih berada dalam situasi pandemik di mana ada tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu diikuti,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pei Nei berkata pendaftaran masih lagi dibuka iaitu sehingga Oktober dengan ibu bapa perlu mendaftar serta mengisi borang di www.anisselangor.com/intervensianis dan menyediakan dokumen yang diperlukan.

“Pusat Anis yang menawarkan perkhidmatan intervensi awal ini akan beroperasi Isnin hingga Khamis dan mempunyai tiga sesi iaitu 8.30 pagi hingga 10.30 pagi, 11 pagi hingga 1 tengah hari dan 2.30 petang hingga 4.30 petang.

“Setiap peserta akan menjalani sesi sebanyak seminggu sekali dan tempoh masa bagi setiap sesi ialah selama dua jam. Tempoh masa yang diperuntukkan kepada pemohon yang berjaya untuk menjalani sesi intervensi awal ialah selama 12 bulan sahaja,” katanya.

Menurut Pei Nei yuran pengajian Pusat Anis ini adalah percuma kepada keluarga yang berpendapatan RM5,000 ke bawah.

Manakala, bagi yang berpendapatan RM5,001 hingga RM6,000 dikenakan bayaran RM50; RM6,001 hingga RM8,000 pula RM70 dan RM8,001 hingga RM10,000 ialah RM90.

Jelas beliau, bagi mereka yang mempunyai lebih seorang anak istimewa dan berpendapatan RM5,001 hingga RM8,000 diskaun sebanyak 50 peratus diberikan, manakala bagi pendapatan RM8,001 hingga RM10,000 diskaun sebanyak 30 peratus.

Pada 21 Ogos, Kerajaan Selangor menubuhkan pusat sokongan pendidikan untuk kanak-kanak istimewa dalam lingkungan usia dua hingga enam tahun di negeri ini.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata perkhidmatan Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Pusat Anis) meliputi saringan, pengesanan awal dan intervensi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita 18 tahun ke atas dipelawa sertai kursus asuhan kanak-kanak percuma

SHAH ALAM, 1 SEPT: Wanita berusia 18 tahun ke atas yang ingin menceburi bidang pengasuhan dan penjagaan kanak-kanak dipelawa menyertai kursus percuma anjuran Kerajaan Negeri.

Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) berkata peserta terpilih program Intensif Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK) akan menyertai kursus dalam talian bermula 24 hingga 26 September selain menerima bantuan pelan internet bernilai RM50.

“Permohonan dibuka pada 27 Ogos hingga 12 September, pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang https://e-kipk.yawas.my/permohonan/,” katanya di Facebook hari ini.

Kerajaan Negeri memperkenalkan KIPK pada 2013 untuk mendedahkan wanita di negeri ini mengenai ilmu pengasuhan.

Melalui ilmu itu, mereka boleh meningkatkan kemahiran untuk menjana pendapatan dalam pengasuhan anak-anak kecil di rumah.

KIPK telah berjaya melahirkan lebih 1,000 peserta sejak diperkenalkan sembilan tahun lalu.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Semak penerima KISS, elak individu tidak layak terima manfaat

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri menyemak semula senarai penerima Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) bagi memastikan individu layak mendapat manfaat, kata EXCO kebajikan masyarakat.

V Ganabatirau berkata semakan semula senarai penerima bagi memastikan 25,000 kuota hanya diisi oleh individu yang memenuhi kriteria ditetapkan.

“Jumlah penerima KISS setakat 5 Ogos lalu adalah seramai 20,371 iaitu 19,368 penerima KISS manakala 1,363 penerima KISS Ibu Tunggal (KISS-IT),” katanya ketika ucapan penggulungan pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Ganabatirau berkata berhubung pengemaskinian maklumat ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) seperti nombor telefon hanya boleh dibuat di peringkat pejabat Pusat Khidmat DUN sahaja.

“Pengemaskinian maklumat selain nombor telefon perlu dibuat di peringkatYayasan Warisan Anak Selangor (Yawas)  bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan, penukaran maklumat tanpa pantauan, kecuaian kemasukan data dan lain-lain.

“Kemasukan dan pengemaskinian maklumat bagi ahli yang telah meninggal dunia perlu dibuat di peringkat Yawas bagi memastikan maklumat adalah benar dan tiada sebarang tuntutan dibuat secara berasingan oleh waris tanpa melalui pejabat DUN,” katanya.