Categories
AGENDA NASIONAL

Zahid diperintah bela diri 47 kes rasuah, pecah amanah

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah, pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, 69, terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, yang dimiliki Ahmad Zahid.

Mahkamah menetapkan 39 hari untuk mendengar kes pembelaan, bermula 26 hingga 28 April, 23 hingga 26 Mei, 27-30 Jun, 4-7 Julai, 22, 23, 29 dan 30 Ogos, 19-22, 26-29 Sept , 17-20 dan 31 Okt serta 1-3 dan 7-10 Nov.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang memegang jawatan timbalan perdana menteri dari 2015 hingga 2018, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi dan pendakwaan berpeluang menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Ahmad Zahid, Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO, dijadual memberi keterangan pada 26 April ini.

Dalam penghakimannya, Sequerah berkata pihak pendakwaan telah membuktikan semua unsur dalam kesemua pertuduhan dan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

“Pertamanya berkenaan dengan isu imuniti, selepas mempertimbangkan hujahan oleh kedua-dua pihak, saya mendapati tiada merit kepada soal imuniti,” katanya.

Sebelum ini, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ahmad Zahid, berhujah bahawa Ahmad Zahid telah membuat dua kenyataan pada 2 dan 3 Julai 2018, dan berkata dengan membuat pendedahan melalui dua kenyataan itu, Presiden UMNO itu sepatutnya mempunyai imuniti daripada pendakwaan.

Mengenai 12 pertuduhan CBT di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, hakim berkata selepas membuat penilaian maksimum terhadap keterangan pihak pendakwaan, beliau mendapati pendakwaan telah membuktikan unsur kesemua 12 pertuduhan dan telah berjaya membuat kes prima facie terhadap semua 12 pertuduhan.

“Oleh itu, saya memerintahkan tertuduh membela diri atas kesemua 12 pertuduhan,” katanya.

Bagi lapan pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hakim juga mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie bagi kesemua lapan pertuduhan tersebut.

“Saya juga mendapati ada unsur di bawah Seksyen 50(1) Akta SPRM terhadap tertuduh, oleh itu saya memerintahkan tertuduh membela diri atas kesemua lapan pertuduhan itu,” kata hakim itu.

Beliau turut memerintahkan Ahmad Zahid supaya membela diri atas kesemua 27 pertuduhan pengubahan wang haram bagi penemuan yang sama.

Bagi pertuduhan CBT, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016. Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zahid juga didakwa dengan lapan pertuduhan menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Ahmad Zahid juga berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Ahmad Zahid kelihatan tenang semasa hakim menyampaikan keputusannya.

Hakim berkata Ahmad Zahid mempunyai tiga pilihan untuk membela diri – memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi, atau memberikan keterangan tidak bersumpah dari tempat tertuduh, atau berdiam diri.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang juga mewakili Ahmad Zahid memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya akan memberi keterangan secara bersumpah.

Hisyam berkata pembelaan akan memanggil kira-kira 20 saksi untuk memberi keterangan.

“Yang Arif, pihak pendakwaan telah menawarkan kepada kami sebanyak 37 orang saksi. Kami memerlukan lebih banyak masa untuk menyediakan pembelaan, kami perlu menemu bual serta menyediakan kenyataan saksi.

“Oleh itu, kami tidak dapat memulakan pembelaan pada 28 Mac seperti yang ditetapkan sebelum ini. Bolehkah saya mencadangkan kepada mahkamah supaya memulakan perbicaraan pada 26 April ini,” kata peguam itu.

Permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran.

Ahmad Zahid juga menghadapi 40 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dakwaan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara, menjadikan jumlah pertuduhan terhadapnya kepada 87. Kes itu ditetapkan untuk sambungan perbicaraan pada 3 Feb.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Zahid arah proses SST syarikat kenalan politik dipercepat

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengeluarkan arahan melalui minit mesyuarat agar proses pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) kepada syarikat milik kenalan politiknya, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) berkaitan pembekalan cip pasport, dipercepat.

Bekas Setiausaha Bahagian (SUB) Perolehan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Abd Aziz Md Nor, 62, berkata Ahmad Zahid telah mengeluarkan arahan tersebut kepadanya melalui minit bertarikh 13 Oktober 2015.

“Pada 22 Oktober 2015, saya telah menerima surat daripada Pejabat Timbalan Perdana Menteri (TPM) bertarikh 20 Oktober 2015 yang memanjangkan surat DTSB, yang mana kami telah mendapat arahan daripada Menteri Dalam Negeri ketika itu yang meminta agar (kami) percepatkan proses pengeluaran SST.

“Saya pasti ini adalah tulisan dan ‘initial’ Menteri Dalam Negeri ketika itu kerana saya kenal dan pernah menerima arahan melalui minit daripada menteri itu,” katanya yang membacakan penyataan saksi ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun.

Saksi pendakwaan ke-33 itu berkata demikian pada hari ke-15 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit dan rasuah berhubung pemberian kontrak pembekalan cip pasport kepada beberapa syarikat.

SST adalah surat rasmi yang merupakan ikatan kontrak antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat dan terma-termanya tidak boleh diubah selepas ditandatangani kedua-dua pihak.

Abd Aziz berkata Bahagian Perolehan KDN telah mengeluarkan SST yang ditandatangani Ketua Setiausaha KDN ketika itu, Datuk Seri Alwi Ibrahim, pada 15 Disember 2015.

“SST ini berkaitan dengan pembekalan cip pasport selama lima tahun yang bernilai RM318,750,000 dan tarikh permulaan kontrak ialah pada 1 Disember 2016 sehingga 30 November 2021,” katanya.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli kimia: 16 cek Yayasan Akalbudi mempunyai tandatangan Zahid

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Seorang ahli kimia hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa 16 cek milik Yayasan Akalbudi yang digunakan untuk membuat beberapa pembayaran termasuk kegunaan peribadi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai tandatangan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Siti Nur Musliha Mohamad Noor, 41, daripada Jabatan Kimia Malaysia berkata 10 tandatangan itu menunjukkan persamaan ketara dengan ciri tandatangan Ahmad Zahid sebagai tandatangan spesimen ‘S’.

“Oleh kerana ciri-ciri yang terhad, saya berpendapat bahawa tandatangan yang dipertikaikan ini (10 cek) kemungkinan besar ditulis oleh penulis spesimen.

“Bagaimanapun, enam tandatangan dipertikai (pada cek) menunjukkan beberapa persamaan dalam ciri tulisan tangan sebagai tandatangan spesimen ‘S’,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fat.

Saksi pendakwaan ke-31 itu berkata demikian pada hari ke-15 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit dan rasuah berhubung kontrak pembekalan cip pasport kepada beberapa syarikat.

Siti Nur Musliha berkata beliau melihat 49 tandatangan yang dipertikaikan menggunakan peralatan ‘Video Spectral Comparator’ (VSC6000) yang dilengkapi dengan ‘Stereomicroscope’ bagi melihat struktur dan imej tandatangan itu dengan lebih jelas.

“Peralatan ini juga dapat membantu untuk melihat sama ada terdapat sebarang kesan pengubahsuaian atau tekapan pada tandatangan yang dipertikaikan.

“Dengan menggunakan peralatan itu, saya dapati imej beberapa tandatangan yang dipertikaikan menunjukkan ciri-ciri yang serupa dengan imej tandatangan kesan teraan dan menunjukkan ciri-ciri yang berbeza dengan imej tandatangan yang dihasilkan secara ditulis tangan,” katanya.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid bahawa dia tidak yakin untuk pastikan tandatangan itu adalah milik Ahmad Zahid, bagaimanapun, semasa pemeriksaan semula oleh Lee, Siti Nur Musliha berkata terdapat sedikit persamaan antara tandatangan (milik Ahmad Zahid) dengan spesimen tandatangan.

“Bagaimanapun, disebabkan struktur strok yang tidak jelas, ciri-ciri yang terhad, saya berpendapat terdapat kemungkinan tandatangan-tandatangan yang dipertikaikan ditulis oleh spesimen tandatangan (Ahmad Zahid) tetapi saya tidak dapat mengesahkannya,” katanya semasa menjawab soalan Lee.

Ahmad Zahid, 67, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Yayasan Akalbudi guna RM360,000 untuk tujuan politik

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM360,000 digunakan bagi kerja pendaftaran pengundi dengan kerjasama UMNO pada Ogos 2015 dan November 2016.

Pemilik bersama TS Consultancy & Resources, Jasni Majid, 65, berkata syarikatnya menerima dana dari pejabat Timbalan Perdana Menteri (TPM) ketika itu iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebanyak dua kali, pada 20 Ogos 2015 berjumlah RM100,000 dan 25 November 2016 berjumlah RM260,000.

Katanya, dana tersebut diterimanya melalui dua keping cek Affin Bank Berhad atas nama Yayasan Akalbudi kepada syarikatnya.

Jasni berkata pihak pejabat TPM telah memberikan dana kepada syarikatnya, untuk membantu menjalankan kerja pendaftaran pengundi kerana Unit Khas (Pengurusan Strategik) berada di bawah pejabat itu.

Katanya tujuan penubuhan syarikat itu (TS Consultancy & Resources) adalah untuk membantu pendaftaran pengundi di lapangan dengan kerjasama parti UMNO.

“Pendaftaran pengundi dilakukan di kawasan terpilih, iaitu tertumpu kepada kawasan yang dimenangi tipis oleh Parti Barisan Nasional pada pilihan raya umum sebelumnya, dan diutamakan kepada pengundi berbangsa Melayu,” kata saksi pendakwaan ke-16 itu.

Jasni berkata demikian semasa membaca penyataan saksi dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali, pada hari ke-10 perbicaraan kes Ahmad Zahid, yang berdepan dengan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

Sebelum ini saksi pendakwaan pertama, Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Pinny Asnan memberitahu mahkamah bahawa, objektif penubuhan Yayasan Akalbudi adalah untuk menerima dan mentadbir dana, bagi membasmi kemiskinan berkaitan dengan program pembasmian kemiskinan.

Katanya, berdasarkan ‘Memorandum and Articles of Association’ Yayasan Akalbudi yang ditandatangani oleh Ahmad Zahid pada 7 Mac 1997, ia ditubuhkan sebagai sebuah syarikat berhad bagi tujuan khairat.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid, Jasni bersetuju dengan cadangan Hamidi bahawa berdasarkan semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, jenis perniagaan TS Consultancy & Resources adalah perkhidmatan latihan dan kursus motivasi.

Saksi itu juga bersetuju tiada perkataan ‘pendaftaran pengundi’ pada lesen tersebut.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-17, Sabri Said, 48, yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai operasi di Unit Khas (Pengurusan Strategik), di pejabat TPM sejak April 2014 hingga Disember 2016 mengesahkan TS Consultancy & Resources, telah menerima dana (cek) dari Ahmad Zahid melalui Yayasan Akalbudi sebanyak dua kali, pada tahun 2015 dan 2016 berjumlah RM360,000.

“Pihak pejabat TPM ketika itu membantu memberikan dana kepada syarikat tersebut, bagi menjalankan tugasan pendaftaran pengundi kerana Unit Khas (Pengurusan Strategik) berada di bawah pejabat TPM,” katanya ketika membaca penyataan saksi dalam pemeriksaan utama oleh Mohd Afif.

Kepada soalan tambahan, Sabri menjelaskan penubuhan TS Consultancy & Resources adalah untuk melaksanakan tugasan Unit Khas (Pengurusan Strategik), kerana unit tersebut memerlukan tenaga kerja tambahan bagi membuat kerja lapangan, dalam melaksana pengurusan pendaftaran pengundi.

“Ketika itu, unit khas hanya mempunyai satu pegawai dan satu kerani yang diketuai Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar,” katanya yang kini merupakan pegawai penerangan di Jabatan Penerangan Pulau Pinang.

Mohd Afif : Apakah bidang tugas Unit Khas (Pengurusan Strategik) di pejabat TPM?

Sabri : Semasa penubuhan unit ini ia telah diberi mandat, untuk melaksana tugas-tugas berkaitan pendaftaran pengundi, seterusnya melihat dari aspek persempadanan dan kawasan pilihan raya, sama ada Parlimen atau DUN serta memantau pilihan raya.

Ahmad Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Duit Yayasan Akalbudi bayar cukai jalan, insurans kenderaan milik Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa cukai jalan dan insurans bagi 20 kenderaan milik bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjumlah RM107,509.55 dibayar menggunakan dana Yayasan Akalbudi, antara Januari dan September 2015.

Ejen Insurans syarikat Allianz General Insurance, Ahmad Izhan Abd Rashid, 40, berkata pembayaran itu diterima menerusi tiga keping cek Affin Bank milik Yayasan Akalbudi daripada pembantu peribadi Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan.

Saksi pendakwaan ke-14 itu menjelaskan, ketiga-tiga cek yang diterima adalah cek bertarikh 22 Januari 2015 bernilai RM24,980.55; cek bertarikh 15 April 2015 berjumlah RM43,645; dan cek bertarikh 22 September 2015 bernilai RM38,884.

“Cek ditulis atas nama saya kerana selepas saya mendepositkan cek tersebut saya akan mengeluarkan sejumlah wang bagi tujuan pembayaran cukai jalan kenderaan kerana pembayaran ini akan dibuat secara tunai kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Saya akan mengeluarkan sejumlah wang yang lain untuk dimasukkan ke dalam akaun semasa milik syarikat Maya Consultant Services (syarikat milik Ahmad Izhan) bagi tujuan pembayaran premium insurans kenderaan,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt.

Saksi itu berkata demikian pada hari kesembilan perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

Ahmad Izhan yang menjadi ejen insurans bagi Allianz General Insurance sejak 2006 berkata, bekas timbalan perdana menteri itu mengambil 39 polisi insurans kenderaan dengannya bagi 20 kenderaan termasuk 18 kenderaan mewah, antaranya jenis BMW X5, Mini Coopers S, BMW 320i (A), Mercedes Benz CLS350 dan motosikal BMW R1200 GS.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-13, Pengurus Allianz General Insurance cawangan Wisma Allianz, Jalan Gereja, Kuala Lumpur, Fang Suat Lim memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid mengambil empat jenis polisi insurans iaitu ‘private car policy’, ‘motorcycle policy’, ‘enhanced road warrior policy’ dan ‘bike warrior policy’.

Fang juga berkata penama bagi empat polisi insurans kenderaan tersebut adalah Ahmad Zahid, isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis serta tiga anak mereka, Nurulizwani, Datuk Nurulhidayah dan Ahmad Syafiq Hazieq.

Menurut Ahmad Izhan, setiap kali selepas memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan kenderaan, beliau akan ke rumah Ahmad Zahid di Country Heights, Kajang bagi menyerahkan semula polisi insurans serta cukai jalan kenderaan yang telah diperbaharui.

Ketika disoal balas peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid, Ahmad Izhan bersetuju dengan cadangan Hamidi bahawa dakwat untuk menandatangani ketiga-tiga cek dan dakwat untuk menulis butiran di ketiga-tiga dokumen berkenaan adalah berbeza.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Hamidi bahawa ketiga-tiga cek yang diterimanya itu merupakan ‘presigned cheques’.

Ketika pemeriksaan semula oleh Lee, saksi itu menjelaskan beliau mengetahui ketiga-tiga cek tersebut adalah ‘presigned cheques’ selepas diberitahu oleh Mazlina bahawa untuk mempercepatkan urusan, beliau akan meminta Ahmad Zahid menandatangani cek kosong terlebih dahulu dan Mazlina akan menulis butiran pada cek.

“Bayaran untuk insurans saya nak guna cepat, tak nak cukai jalan mati jadi saya ‘kejar’ Mejar Mazlina suruh dia percepat keluarkan cek. Dia (Mejar Mazlina) minta Datuk Seri (Ahmad Zahid) sign dulu (cek), ini untuk insurans lah, kalau untuk benda lain saya tidak tahu,” katanya.

Ahmad Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Yayasan Akalbudi miliki tujuh akaun simpanan tetap RM17.95 juta

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Yayasan Akalbudi, organisasi yang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan pengasasnya, mempunyai tujuh akaun simpanan tetap masih aktif berjumlah RM17.95 juta pada 2016.

Royasmin Mohd Roddy, 43, kerani Affin Bank cawangan Jalan Bunus di sini, berkata maklumat itu diperoleh ketika beliau diarahkan oleh pegawainya, Narimah Miswadi untuk menyediakan borang permohonan kiriman wang dari yayasan itu.

“Semasa saya menyediakan borang kiriman wang tersebut saya telah menyemak akaun-akaun Yayasan Akalbudi dan mendapati Yayasan Akalbudi mempunyai tujuh simpanan tetap yang masih aktif berjumlah RM17,953,191.04,” katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt.

Saksi pendakwaan ke-11 itu berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan hari keenam kes bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang menghadapi 47 pertuduhan jenayah melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Ketika merujuk kepada borang permohonan kiriman wang Affin Bank bertarikh 23 Jun 2016 itu, Royasmin yang berkhidmat dengan bank tersebut sejak 1996, mengesahkan bahawa ia adalah permohonan kiriman wang daripada Yayasan Akalbudi berjumlah RM17,953,185.21 kepada Messrs Lewis & Co.

“Berdasarkan kepada borang kiriman wang tersebut, saya juga ada menyediakan satu banker’s cheque (cek jurubank). Saya telah menyerahkan borang kiriman wang dan banker’s cheque yang masih belum ditandatangan kepada Puan Narimah Binti Miswadi untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Narimah yang merupakan saksi pendakwaan keenam dalam keterangannya sebelum ini berkata Ahmad Zahid mengarahnya mengeluarkan wang berjumlah RM17,953,185.21 dalam akaun simpanan tetap yayasan itu bagi membuat pembayaran kepada Messrs Lewis & Co iaitu pemegang amanah yayasan berkenaan semasa berjumpa dengan Ahmad Zahid pada 16 Jun 2016 di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya.

Ahmad Zahid, 66, mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-10, Naib Presiden Kanan Ambank Berhad (Ambank) yang bertanggungjawab terhadap pengurusan kad kredit dan kawalan penipuan, Yeoh Eng Leong, 58, berkata beliau tidak tahu sama ada Ahmad Zahid menandatangani 35 cek untuk membayar kad kreditnya kepada Ambank.

Semasa pemeriksaan balas peguam utama Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik, Yeoh berkata beliau tidak tahu sama tandatangan di 35 cek yang dibayar kepada bank dibuat menggunakan cap dan bukan tulisan tangan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Zahid, isteri miliki 18 kenderaan mewah

KUALA LUMPUR, 3 DIS: BMW 320i (A), AUDI Q7 dan Mercedes Benz CLS 350 merupakan antara 18 kenderaan mewah yang dimiliki bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis yang kebanyakannya menggunakan nombor pendaftaran 38.

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa pasangan itu memiliki 20 kenderaan keseluruhannya termasuk lapan kereta lain seperti tiga Toyota Vellfire, Lexus LX 460, Lexus, Toyota Land Cruiser, Honda Odyssey dan Chrysler Jeep Wrangler.

Mereka juga memiliki dua motosikal jenis Harley Davidson, dua Ducati, tiga BMW, satu Kawasaki dan satu Honda C100.

Perkara itu didedahkan oleh Penolong Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zaharudin Zainuddin, 48, ketika merujuk kepada dokumen maklumat kesemua kenderaan milik Ahmad Zahid dan isterinya yang membayar cukai jalan sebanyak RM35,726.80 setahun.

“Saya merujuk kepada dokumen maklumat kenderaan SAB 38 M (Lexus) dan saya mengesahkan nilai cukai jalan yang dikenakan ke atas kenderaan tersebut ialah RM5,900.80.

“Saya merujuk kepada dokumen maklumat kenderaan SAB 38 A (Toyota Land Cruiser) dan saya mengesahkan nilai cukai jalan yang dikenakan ke atas kenderaan tersebut ialah RM4,366.80,” kata saksi pendakwaan ke-10 itu.

Saksi itu juga membacakan satu persatu maklumat terperinci kenderaan dan insurans 19 kenderaan yang didaftarkan atas nama Ahmad Zahid dan isterinya manakala sebuah kenderaan lagi didaftarkan atas nama Datuk Juhari Janan yang ketika itu pegawai khas kepada Ahmad Zahid.

Zaharudin berkata demikian semasa membacakan penyataan saksi dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt pada hari keenam perbicaraan kes Ahmad Zahid, yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

Semasa ditanya Lee, adakah kenderaan-kenderaan yang dirujuk milik persendirian, Zaharudin menjawab: “Ya”.

Lee : Bagi dokuman maklumat terperinci kenderaan dan insurans yang kamu rujuk, adakah ia maklumat yang sudah dikemas kini sehingga hari siasatan?

Zaharudin: Ya.

Ahmad Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pihak pendakwaan akan buktikan Ahmad Zahid seleweng dana Akalbudi

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 47 pertuduhan jenayah akan membuktikan bekas timbalan perdana menteri itu telah menyelewengkan RM31 juta dana Yayasan Akalbudi dan bahawa tiada satu sen pun daripada wang itu telah digunakan untuk manfaat golongan miskin.

Dalam kenyataan pembukaan, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pihak pendakwaan juga akan membuktikan bahawa tertuduh telah menerima rasuah sebanyak RM17 juta dan RM4.25 juta lagi suapan dan juga telah menerima hasil daripada kegiatan haram berjumlah RM65 juta.

Raja Rozela berkata wang sebanyak RM31 juta itu telah diamanahkan kepada tertuduh atas kapasiti beliau sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu.

Katanya pihak pendakwaan akan membuka kesnya dengan pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), untuk membuktikan tertuduh telah menyelewengkan dana bernilai kira-kira RM31 juta milik Yayasan Akalbudi, sebuah pertubuhan amal diperbadankan yang ditubuhkan untuk membantu golongan miskin dan memerlukan.

“Jejak aliran wang yang dikemukakan di mahkamah akan mendedahkan tiada satu sen pun daripada RM31 juta itu telah digunakan untuk manfaat golongan miskin.

“Sebaliknya jejak aliran wang itu akan menunjukkan sejumlah besar amaun telah digunakan, antara lain, untuk membayar bil kad kredit peribadi, dan untuk membeli polisi insurans kenderaan bermotor dan cukai jalan bagi kenderaan milik persendirian,” katanya pada hari pertama perbicaraan kes Ahmad Zahid di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Raja Rozela memberitahu mahkamah, sekurang-kurangnya 20 saksi akan dipanggil untuk membuktikan pertuduhan CBT itu dengan disokong keterangan dokumen dan pihak pendakwaan juga akan bergantung pada andaian mengikut Seksyen 409B Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan rasuah, Raja Rozela berkata antara 2016 dan 2018, tertuduh ialah seorang pegawai badan awam yang memegang jawatan menteri di Kementerian Dalam Negeri.

“Sepanjang beliau berkhidmat, tertuduh didakwa menerima RM17 juta sebagai ganjaran bagi pemberian tiga kontrak penting kepada beberapa syarikat. Kontrak berkenaan telah dimeterai dengan Kementerian Dalam Negeri pada waktu itu. Pihak pendakwaan akan membentangkan keterangan bahawa tertuduh memainkan peranan penting dalam pemberian tiga kontrak itu.

“Pada atau kira-kira pada waktu yang sama, tertuduh turut menggunakan kedudukannya sebagai menteri apabila beliau didakwa menerima sebanyak RM4.25 juta lagi daripada seorang individu,” katanya.

TPR berkata pembayaran itu diterima sebagai suapan untuk mendorong tertuduh membantu mendapatkan projek MyEG yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Bagi pertuduhan itu, pihak pendakwaan akan memanggil kira-kira 15 saksi, dan akan bergantung pada andaian statutori di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, kata TPR.

Beliau selanjutnya berkata pertuduhan pengubah wang haram akan dibuktikan dengan menunjukkan bahawa tertuduh telah menerima beberapa cek bernilai kira-kira RM65 juta daripada individu yang dikenali dan tidak dikenali beliau.

“Bukti selanjutnya akan menunjukkan cek berkenaan telah dihantar atau menyebabkan ia dihantar kepada seorang peguam, bernama Encik Muralidharan daripada Tetuan Lewis & Co, yang akan mendepositkan cek berkenaan ke dalam Akaun Pelanggan firma itu.

“Sejumlah besar wang itu seterusnya digunakan untuk dimasukkan sebagai deposit tetap di bawah nama firma itu. Dua unit banglo bernilai RM5.9 juta turut dibeli dengan wang yang diterima,” katanya.

TPR menegaskan setiap urusan itu dilakukan dengan pengetahuan tertuduh.

Beliau berkata keterangan saksi dan keterangan dokumen akan dikemukakan untuk membuktikan bahawa tertuduh tahu dan ada sebab untuk mempercayai bahawa jutaan ringgit yang diterimanya adalah hasil daripada aktiviti haram.

“Dalam membuktikan setiap pertuduhan, pihak pendakwaan akan bergantung pada keterangan secara langsung, keadaan dan beberapa keping dokumen. Berdasarkan keterangan yang akan dikemukakan, kami akan meminta mahkamah untuk mendapati bahawa pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie melangkaui keraguan munasabah. Kami akan memenuhi keperluan,” katanya.

Perbicaraan akan bersambung pada 2.30 petang dengan pihak pendakwaan akan memanggil saksi pertama. Empat saksi dijangka memberi keterangan hari ini.

Raja Rozela dibantu TPR Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Gan Peng Kun, Lee Keng Fatt, Harris Ong Mohd Jeffery Ong, Nur Aishah Maulat Ahmad Zakiuddin dan Mohd Afif Ali, manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik mengetuai pasukan pembelaan.

Peguam lain dalam pasukan itu ialah Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Hamidi Md Noh, Datuk Rosal Azimin dan Haziq Dhiyauddin Razali

Pada 19 Oktober dan 14 Disember, 2018, serta 20 Februari tahun ini, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap sejumlah 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi CBT, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

-BERNAMA