Categories
RENCANA WAWANCARA

Dari bilik papan lapis ke restoran, ayam golek bawa limpahan rezeki

Oleh NAZLI IBRAHIM
Foto HAFIZ OTHMAN

TERIK matahari cukup terasa pada siang hari. Bahangnya sampai ke malam. Jika hujan, airnya menitik di celahan zink lalu membasahi lantai bilik kedai peniaga ayam golek Mohd Hazeli Hamdan.

Adakala rembesan hujan masuk ke bilik yang didiaminya bersama isteri dan dua anaknya di Kampung Tengah, Puchong. Sejuknya menggigit ke tulang.

Bilik kecil itu disewa peniaga berusia 49 tahun sejak 2016 bagi memudahkan beliau bersama isteri, Suhana Abdullah, 42, menjual ayam golek di ruang niaga yang hanya dipisahkan papan lapis.

Mujur anak lain bersekolah asrama. Hanya yang berusia setahun dan enam tahun tinggal bersama. Kalau tidak, sendat umpama sardin dalam tin.

Jualan pula ala kadar. Cuma dua hingga tiga ekor ayam terjual sehari. Sekadar lepas belanja harian sekeluarga.

Berkat kesabaran dan kegigihan, jualan bertambah sedikit demi sedikit. Setahun kemudian, perniagaan ayam golek Ana Corner milik mereka kian maju. Bahkan, saiz kedai lebih besar dan selesa.

Jualan pula antara 60 ke 70 ekor sehari. Selain itu, nasi campur dengan 70 pilihan lauk untuk pelanggan sama ada untuk dibawa pulang atau menjamu di kedai. Justeru, kedai mereka sentiasa penuh pelanggan terutama untuk makan tengah hari.

Mohd Hazeli kemudian melangkah setapak lagi membesarkan operasi dengan membuka cawangan baharu di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam.

Pelanggan menikmati pelbagai juadah terutama ayam golek disajikan restoran Ana Corner di Kampung Tengah, Puchong pada 9 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Jualan RM1,000 sehari

Sebenarnya, Mohd Hazeli mula berniaga dengan permulaan modal tidak sampai RM1,000. Dari bilik papan lapis, beliau perlahan-lahan menambah menu jualan.

Selain ayam golek, juadah dipelbagai dengan aneka jenis minuman, nasi, daging bakar dan lauk-pauk kampung. Khidmat penghantaran juga disediakan.

Beliau memperoleh jualan mencecah RM500 sehari. Kadang kala hampir RM1,000 sehari. Meski perniagaannya mendapat sambutan, Mohd Hazeli senantiasa beringat dengan mengasingkan hasil jualan untuk simpanan.

Mohd Hazeli tidak mahu melabur semua simpanannya, sebaliknya menyertai skim pinjaman Yayasan Hijrah Selangor bagi mengembangkan perniagaan. Mulanya beliau membuat pinjaman RM5,000 pada 2017 untuk menambah peralatan antaranya pengukus nasi dan perabot.

Dua tahun kemudian, Mohd Hazeli memberanikan diri menyewa tapak lebih besar, tidak jauh dari tempat asalnya berniaga berbekal wang simpanan.

“Saya sewa tapak tidak jauh dari kedai lama dan buat kedai makan. Lebih RM50,000 juga saya keluarkan modal untuk tapak dan buat kedai sahaja tidak termasuk beli peralatan seperti meja, kerusi dan lain-lain,” katanya kepada Selangorkini pada 9 Disember 2021.

Kedai makan Ana Corner yang menyediakan pilihan beraneka lauk-pauk lazat menjadi ‘umpan’ untuk pelanggan bertandang menikmati hidangan tengah hari.

Selepas berpindah ke kedai baharu pada 2019, beliau sekali lagi membuat pinjaman berjumlah RM20,000 bagi membeli peralatan di kedai baharu.

Pengusaha Ana Corner Mohd Hazeli Hamdan (kanan) melayan pelanggan di restorannya di Kampung Tengah, Puchong ketika tinjauan SelangorKini pada 9 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Petua niaga

Mohd Hazeli berkongsi antara cabarannya ialah memastikan kedai makannya perlu selalu dalam keadaan bersih dan menu yang disediakan pula harus menepati selera pelanggan.

“Dalam berniaga kena tahan tekanan dan jangan patah semangat. Biasalah orang berniaga keluar banyak modal tetapi kalau tidak boleh jual memang tertekan.

“Bila tidak tahan tekanan kadang kala suami isteri boleh bergaduh, putus asa, mahu berhenti berniaga dan bermacam lagi sebab itulah penting mengawal tekanan,” katanya.

Beliau juga bersyukur kerana Suhana bukan sahaja memahami keadaan, malah turut menjadi tulang belakang dalam perniagaannya.

Mohd Hazeli juga berkongsi tips kepada mereka yang ingin menceburi perniagaan supaya lebih realistik dengan fokus kepada matlamat jangka pendek terlebih dahulu.

“Kalau mahu mula berniaga, jangan fikir terus mahu besar. Ikut kemampuan modal, cukuplah kecil dahulu dengan satu atau dua menu atau produk yang kita pandai.

“Kalau terlalu banyak susah hendak bermula dan apabila susah hendak mula nanti kita langsung tidak bermula. Apabila sudah bermula barulah fikir tambah menu lain daripada tidak bermula langsung,” katanya.

Restoran Ana Corner di Kampung Tengah, Puchong yang menyediakan sajian istimewa ayam golek. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Categories
AGENDA NASIONAL

Syarat pinjam Hijrah dilonggar, golongan terkesan perlu ambil peluang niaga

SHAH ALAM, 28 NOV: Pemansuhan syarat peminjam skim Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) perlu ada 25 peratus daripada jumlah pinjaman dalam akaun membuka peluang lebih ramai menceburi perniagaan.

Wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin berkata rakyat negeri ini terutama yang terkesan akibat Covid-19 perlu menggunakan peluang tersebut bagi memulakan kehidupan baharu.

“Pengumuman pemansuhan syarat pinjaman Hijrah Belanjawan #Selangor2022 adalah langkah tepat. Ini bukti Kerajaan Selangor amat peduli nasib rakyat terutama ketika era pandemik.

“Saya minta penduduk Selangor menggunakan peluang ini untuk memohon pinjaman Hijrah bagi memulakan perniagaan,” katanya kepada SelangorKini.

Rozana yakin dengan pemansuhan itu mampu menarik ramai individu menggunakan platform pinjaman Hijrah pada masa akan datang.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 mengumumkan tujuh penambahbaikan dalam skim Hijrah dengan salah satu daripadanya adalah membatalkan syarat wajib peminjam mempunyai 25 peratus dari jumlah pinjaman dalam akaun.

Penambahbaikan lan yang akan dilaksanakan adalah:

  •  Peruntukan RM120 juta bagi pembiayaan kepada usahawan
  •  Skim pembiayaan baharu kepada usahawan berpotensi meningkatkan perniagaan ke tahap Industri Kecil Sederhana dengan tawaran pembiayaan sehingga RM100,000. Sasaran awal pembiayaan melibatkan RM10 juta
  • Mewujudkan skim pembiayaan i-AGRO yang memberi fokus kepada 2,000 usahawan tani dengan jumlah pembiayaan maksimum RM26,000. Sasaran pelaksanaan skim berjumlah RM52 juta
  • Mewujudkan Dataran Hijrah yang menjadi pusat perniagaan berpusat untuk semua perkhidmatan
  •  Meningkatkan jumlah minimum pinjaman dari RM5,000 ke RM10,000 bagi program Zero-to-Hero
  • Mengurangkan caj pengurusan peminjam dari lapan peratus kepada empat peratus untuk pinjaman RM 30,000 ke bawah.
Categories
AGENSI SELANGOR

Hijrah rancang tubuh bank pembangunan keusahawanan

SHAH ALAM, 22 SEPT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) sedang dalam perancangan menubuhkan sebuah bank pembangunan keusahawanan.

Pengarah eksekutifnya berkata idea menubuhkan bank berkenaan adalah cetusan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan pihaknya sedang berusaha merealisasikannya.

“Saya diberi amanat merangka satu gerakan untuk tujuan tersebut di Selangor di mana Hijrah sebahagian institusi perbankan.

“Kita masih dalam rangka perbincangan. Itu adalah matlamat dan cita-cita Dato’ Menteri Besar,” kata Dato’ Sri Mohamad Suparadi Md Noor menerusi bual bicara Usahawan Hijrah: Bangkit depani Covid-19 yang disiarkan di Media Selangor semalam.

Pada 29 Mac, Dato’ Menteri Besar berkata Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berjaya melahirkan seramai 57,211 usahawan sejak ditubuhkan enam tahun lepas.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka menerima manfaat Skim Pembiayaan Mikro Kredit, Skim Pembiayaan Zero to Hero, Skim Pembiayaan Go Digital dan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) melibatkan dana sejumlah RM554,540,500.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yayasan Hijrah lanjut tempoh bayaran balik pinjaman sehingga lima tahun

SHAH ALAM, 8 SEPT: Tempoh bayaran balik pinjaman Yayasan Hijrah Selangor (Yayasan Hijrah) dipanjangkan sehingga lima tahun berbanding enam bulan hingga tiga tahun sebelum ini.

Pegawai Promosinya Mohd Ridhwan Asmara berkata inisiatif itu mengelak usahawan terbeban dengan membuat pembiayaan semula pinjaman pada kadar lebih rendah daripada kebiasaan.

“Sebab itu penting untuk memanjangkan tempoh tersebut supaya jumlah bayaran dapat dikurangkan.

Pegawai Promosi Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) Mohd Ridhwan Asmara.

“Misalnya, sebelum ini usahawan membuat pinjaman RM5,000 dan secara konsisten membayar RM120 seminggu. Dengan lanjutan tempoh ini bayaran balik pinjaman mungkin boleh jadi serendah RM35,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Hijrah yang ditubuhkan enam tahun lalu bertujuan mengeluarkan modal mudah, cepat dan tidak membebankan peniaga kecil yang sering menghadapi isu kekangan modal.

Pada awal penubuhannya, Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Mikro Kredit dengan modal pusingan RM100 juta untuk mengupayakan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Inisiatif membantu usahawan ditambah baik menerusi program Zero To Hero yang melaksanakan konsep melatih dan memantau peserta dikendalikan syarikat peneraju terpilih.

Pada 10 Februari lepas, Kerajaan Negeri melancarkan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) bagi membantu individu yang baharu menjalankan perniagaan dengan tawaran pinjaman antara RM1,000 hingga RM5,000.

Turut dilancarkan Go Digital untuk membantu usahawan sedia ada beralih ke arah pendigitalan menerusi pinjaman pembelian alat telekomunikasi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Jom tempah juadah berbuka di Plats dan Grab Selangor

SHAH ALAM, 23 APRIL: Ketiadaan bazar Ramadan tahun ini bukan masalah bagi orang ramai untuk berbelanja mendapatkan juadah berbuka puasa pada setiap hari.

Ini kerana keadaan luar biasa dihadapi berikutan penularan wabak Covid-19 diatasi apabila Kerajaan Negeri memperkenalkan dua saluran e-dagang khas iaitu Platform Selangor (Plats) dan Grab Selangor untuk kemudahan semua membuat tempahan dalam talian.

Rakyat negeri ini boleh menempah pelbagai juadah menarik mulai esok dengan melayari http://www.plats.com.my/

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Yayasan Hijrah Selangor di talian 03-5519 1692.

Bagi memenuhi permintaan, 77 pusat pengumpulan disediakan meliputi 10 dewan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 67 restoran yang akan menyediakan juadah Ramadan di seluruh Selangor.

Categories
EXCO SELANGOR

Peminjam mikro kredit terjejas, boleh mohon tangguh bayaran

SHAH ALAM, 19 MAC: Usahawan mikro kredit terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan boleh mengemukakan surat memohon penangguhan bayaran pinjaman kepada Yayasan Hijrah Selangor, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan penangguhan itu dalam tempoh tertentu di samping bantuan kewangan kepada penjaja kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita juga mungkin akan menawarkan pengecualian bayaran sewa premis gerai di bawah seliaan PBT memandangkan peniagaaan terpaksa ditutup sepanjang tempoh perintah,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Bagi membantu peniaga kecil untuk mula terlibat dalam perniagaan, Rodziah berkata program latihan akan dilakukan secara dalam talian dan mereka yang berminat, boleh mendaftar di pautan tinyurl.com/latihan-Biz2020 atau berhubung dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri di talian 03-5544 7920.

Memahami situasi ini mana-mana pihak terutama penjaja kecil yang memerlukan bantuan boleh berhubung dengan wakil rakyat di kawasan masing-masing, katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Hijrah: Dana tambahan RM30 juta bantu usahawan

SHAH ALAM, 10 JAN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) akan membantu usahawan kecil menerusi peruntukan tambahan RM30 juta daripada Kerajaan Negeri, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Roslim Md Akhir berkata Hijrah menyasarkan 3,000 usahawan baharu pada tahun ini untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, setakat ini pihaknya menyalurkan RM487 juta sejak 2015 hingga hari ini bagi membantu 48,151 peserta dalam usaha melahirkan usahawan berjaya di Selangor.

“Fungsi Hijrah sebagai pemberi modal perniagaan sangat bermakna dalam mencapai hasrat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan sosio ekonomi Selangor.

“Kita akan meneruskan usaha membantu usahawan menerusi skim pinjaman mikrokredit bagi membolehkan golongan kelas menengah di Selangor ditambah,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, sehingga kini seramai 9,189 usahawan telah menyelesaikan pinjaman dan dijangka akan memohon pembiayaan semula.

Categories
SELANGOR

Hijrah serah pembiayaan RM991,000

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 APR: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menyerahkan pembiayaan pinjaman kepada 106 penerima membabitkan peruntukkan berjumlah RM991,000.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslim Md Akhir berkata, penerima itu terdiri daripada peminjam baharu dan pinjaman bermusim menjelang Ramadan dan Aidilfitri depan.

Katanya, pihaknya sentiasa komited membantu usahawan yang terdiri daripada peniaga kecil untuk terus menjana pendapatan dan melebarkan perniagaan.

“Bantuan ini menjadi suntikan dan motivasi kepada usahawan supaya lebih mampan, berdaya saing, inovatif dan kreatif.

“Dengan pembiayaan ini usahawan mencari peluang baharu atau mengembangkan perniagaan mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Bazar Usahawan Radia, di Bukit Jelutong, di sini.

Pada masa sama, Roslim berkata, Yayasan Hijrah Selangor sedia bekerjasama dengan pemaju perumahan atau agensi lain bagi menawarkan peluang dan ruang niaga kepada usahawannya.

Katanya, selain membuka peluang melebarkan perniagaan, usahawan turut dapat mempromosikan jenama tempatan.

“Seperti program Bazar Usahawan Radia di Bukit Jelutong ini, kita bekerjasama dengan dua pemaju gergasi iaitu Sime Darby Properties dan UEM Sunrise Berhad.

“Kami membawa usahawan Hijrah untuk berniaga di kawasan perumahan baharu dibuka ini dalam menarik pengunjung ke sini.

“Terima kasih kepada kedua-dua pihak kerana memberi peluang kepada usahawan kami mencipta pendapatan dan mempromosikan produk mereka,” katanya.

Hadir sama, EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha; Pengarah Wilayan Tengah 1 UEM Sunrise Berhad, Zulkifli Garib dan Ketua Operasi Kumpulan (Pembangunan Perbandaran) Sime Darby Properties, Dato’ Wan Hashimi Wan Ahmad Amin Jaffri.

Terdapat kira-kira 30 peniaga termasuk kenderaan saji menyertai program usahawan itu antaranya peniaga makanan, pakaian dan barangan spa dari jam 10 pagi hingga lima petang.

Turut diadakan bicara perniagaan ‘The Power of Entrepreneurism’ oleh Pengerusi GoHalal, Mohamed Hazil Mohamed Hussin.

Seramai 80 peserta menyertai perkongsian ilmu itu membincangkan teknik pemasaran digital dan terkini serta peluang ruang niaga serta pembiayaan modal.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bazar usahawan bersama pemaju perlu dicontohi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 APR: Kerjasama pemaju perumahan dengan Yayasan Hijrah Selangor menyediakan ruang perniagaan kepada usahawan di sesuatu projek pembangunan baharu adalah usaha boleh dicontohi semua pihak.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited melahirkan lebih ramai golongan usahawan khususnya yang tinggal di bandar untuk mencari peluang bagi menambah sumber pendapatan.

Katanya, peningkatan kos sara hidup tinggi di Lembah Klang menjadi faktor mencari sumber pendapatan tetap atau sampingan.

“Terima kasih pihak pemaju Radia, Sime Darby Properties dan UEM Sunrise Berhad kerana memberi peluang peniaga mempamerkan produk perniagaan mereka.

“Saya berharap inisiatif ini akan dapat dilaksanakan di kawasan lain juga bagi menarik pengunjung selain memberi manfaat kepada pihak pemaju,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian program Bazar Usahawan Radia di Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Haniza yakin dengan kemampuan Yayasan Hijrah Selangor melahirkan usahawan tempatan yang berjaya berdasarkan prestasi ditunjukkan sebelum ini.

“Hijrah adalah badan mikrokredit dengan prestasi membanggakan, membantu peniaga mendapatkan pembiayaan dengan syarat yang mudah.

“Dengan adanya program begini, ia adalah strategi baharu untuk terus berkembang dan menjana pendapatan usahawan kecil selain memberi nilai tambah kepada pemaju,” katanya.

Categories
SELANGOR

KoHijrah upaya usahawan dengan kendera saji

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 26 APR: Koperasi Hijrah Selangor Berhad (KoHIJRAH) mengambil inisiatif mengupayakan lagi usahawan dari kalangan penjaja atau kenderaan persendirian kepada konsep kendera saji.

Pengurus KoHIJRAH, Mohammad Syukri Ismail berkata, pihaknya menawarkan kendera saji yang terbahagi kepada dua pilihan iaitu Medium truck dan High truck jenis Toyota Dyna 3,000cc.

“Kedua kendera saji itu dijual pada harga bawah RM98,000 dan kita berharap dengan tawaran ini dapat membantu usahawan merealisasikan cita-cita menjadi usahwan food truck berjaya,” katanya dalam kenyataan.

Syukri berkata, KoHIJRAH yang beroperasi pada November tahun lalu di bawah seliaan Yayasan HIJRAH Selangor itu juga menawarkan Mobile Cart dengan kelengkapan empat unit dapur untuk membakar, mengoreng dan mencelup dengan harga RM 30,000.

“Ia juga dilengkapi dua singki bersama satu tangki air bersih dan satu tangki air kumbahan bagi menjaga kebersihan.

“Kita juga menawarkan unit lori pickup pasar malam jenis Daihatsu hijet pickup dijual dengan harga dibawah RM45,000,” katanya.

Syukri berkata, sehingga kini pihaknya sudah mengeluarkan tujuh unit mobile cart dan sembilan unit daihatsu hijet kepada usahawan.

Selain itu, KoHIJRAH juga menyediakan tiga tapak food truck untuk usahawan menjalankan perniagaan mereka antaranya tapak side walk food truck di Universiti Putra Malaysia (UPM) Kolej 11 dan 10 serta di Suria Jaya Mall dengan kadar sewaan tapak serendah RM12 sehari atau RM300 sebulan bermula jam 12.00 tengahhari hingga 11 malam.

CNI, HIJRAH meterai MOU bantu usahawan


CNI kukuhkan pasaran di Selangor dengan permetraian MOU bersama Yayasan Hijrah Selangor dengan memberi peluang pembiayaan kepada usahawan.