Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pendidikan robotik beri pelaburan modal insan berbaloi

SHAH ALAM, 29 APRIL: Pendidikan dalam bidang pengekodan dan robotik mampu memberi pelaburan modal insan berbaloi untuk manfaat jangka panjang negeri ini

Dato’ Menteri Besar berkata pendedahan berkaitan kecerdasan buatan dan data raya kepada pelajar berupaya melahirkan saintis serta teknokrat untuk mengisi kemajuan Selangor pada masa depan.

“Sesuai dengan dasar pendigitalan dan usaha Kerajaan Selangor melengkapkan prasarana digital serta capaian internet, saya yakin pendidikan dalam bidang ini akan memberi manfaat untuk negeri.

“Yayasan Selangor akan bekerjasama melaksana program pendidikan dan mudah-mudahan segala dirancang membuahkan hasil dalam usaha memberdaya insan seterusnya merealisasi wawasan negeri pintar,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis memeterai kerjasama program pendidikan sempena ulang tahun ke-50 Yayasan Selangor di kediaman Dato’ Menteri Besar di sini semalam.

Amirudin turut mengulangi harapan supaya Yayasan Selangor berfikir 100 tahun ke hadapan dan sentiasa berinovasi dalam melaksana program pendidikan.

“Sejak 50 tahun dulu, kita biasa dengar peranannya sebagai salah satu agensi Kerajaan Negeri yang menjadi wadah rakyat mendapatkan bantuan seperti biasiswa, pinjaman pelajaran serta kemasukan ke asrama.

“Justeru, kita menghargai peranan dilaksanakan selama ini malah mengakui ramai ahli profesional, korporat dan cerdik pandai dalam kalangan alumninya berjaya dilahirkan,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yayasan Selangor perkenal buku dasar tentu hala tuju pendidikan

SHAH ALAM, 29 APRIL: Yayasan Selangor memperkenal buku dasar bertunjangkan falsafah pendidikan negara yang menjadi teras utama dalam menentukan hala tuju dan objektif pendidikannya.

Pengarah kanan pendidikannya berkata Buku Dasar Pendidikan memperincikan semua polisi berkaitan bahagian hal ehwal pelajar, pembiayaan dan asrama pusat yayasan itu.

“Kita memang memiliki keupayaan untuk setiap tatacara operasi piawai (SOP), jadi buku ini menunjukkan kita memang sudah lama dalam bidang pendidikan.

“Malah, ia disusun mengikut buku dasar kebangsaan dengan segala proses kerja lebih teliti dan berintegriti,” kata Zahura Zakry.

Pelancaran buku berkenaan disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis memeterai kerjasama program pendidikan sempena ulang tahun ke-50 Yayasan Selangor di kediaman Dato’ Menteri Besar di sini semalam.

Zahura berkata setiap proses pembentukan dasar mendapat pengesahan badan tertentu dan buku mempunyai lebih 200 halaman meliputi tiga bahagian akan ditambah baik pada masa depan melibatkan sebarang dasar baharu, dasar sedia ada termasuk proses kerja.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Yayasan Selangor jalin kerjasama dengan 18 agensi, laksana program pendidikan

SHAH ALAM, 29 APRIL: Yayasan Selangor menjalin kerjasama dengan 18 agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksana pelbagai program pendidikan selaras wawasan negeri pintar 2025.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata kolaborasi itu sebagai hala tuju baharu untuk meningkatkan potensi diri, bakat dan tahap pencapaian pelajar tajaannya.

“Sebagai penggerak dalam program tersebut, kita membantu Kerajaan Selangor menyediakan modal insan berwibawa dan sesuai untuk kemajuan serta kemakmuran negeri.

“Diharap jalinan ini akan terus dipupuk dengan cetusan idea baharu selain mengenal pasti bentuk kerjasama lain yang berpotensi sekali gus memberi manfaat terhadap pembangunan pendidikan negeri, ” kata Eddie Ahmad Khodzali.

Beliau berkata demikian pada majlis memeterai kerjasama program pendidikan sempena ulang tahun ke-50 Yayasan Selangor di kediaman Dato’ Menteri Besar di sini semalam.

Eddie optimis prestasi dan perkhidmatan yayasan terbabit mampu dilonjakkan menerusi kerjasama berkenaan.

Agensi tersebut meliputi:

1. Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) – tajaan pelajar kolej tingkatan enam
2. Majlis Amanah Rakyat (Mara) – tajaan pelajar program Budi di Maktab Rendah Sains Mara
3. Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) – program pendidikan
4. Universiti Selangor (Unisel) – program pendidikan
5. Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) – program Halal Executive
6. Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) – penajaan pelajar
7. Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera – penajaan pelajar
8. Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) – program pendidikan pengekodan
9. Syarikat Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) – program pendidikan pengekodan
10. Maxis – program eKelas
11. Kolej Yayasan Saad (KYS) – tajaan pelajar
12. REAL Education – program pendidikan
13. Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) – program perakaunan profesional
14. TYMBA – kerjasama program perakaunan profesional (ACCA)
15. Almotahida Education Group Sdn Bhd – kerjasama program robotik
16. Exzellent Profis Sdn Bhd – kerjasama program ‘internship-skill enrichment’ pelajar tajaan
17. Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Selangor (GPMS) – kerjasama program pendidikan
18. Persatuan Alumni Asrama Yayasan Selangor (PAYS) – pendidikan digital sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Kerjasama pelbagai pihak dalam pendidikan majukan modal insan

SHAH ALAM, 29 APRIL: Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerjasama agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memajukan modal insan melalui pendidikan di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata sinergi pihak berkaitan menerusi perkongsian idea pintar mampu memaksimumkan kualiti pendidikan di negeri ini.

“Agenda memberdaya insan adalah suatu usaha berterusan dan ia tidak akan berjaya sekiranya tiada kerjasama pelbagai pihak.

“Kita menyedari betapa pentingnya membangunkan aspek pendidikan terutama dalam menuju wawasan Selangor negeri pintar 2025,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada majlis memeterai kerjasama program pendidikan sempena ulang tahun ke-50 Yayasan Selangor di kediaman Dato’ Menteri Besar di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor Eddie Ahmad Khodzali dan Pengarah Kanan Pendidikan Yayasan Selangor Zahura Zakry.

Sementara itu, Amirudin berkata cadangan beberapa program baharu pendidikan dengan kerjasama agensi berkaitan diyakini melonjakkan prestasi yayasan terbabit pada masa akan datang.

“Mereka (Yayasan Selangor) berani melakukan anjakan paradigma, berfikir luar kotak dan berkongsi sumber bagi memastikan objektif pembangunan pendidikan negeri dapat dipelbagaikan,” kata Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yayasan Selangor taja 350 pelajar susah, sedia manfaat khas

SHAH ALAM, 7 APRIL: Seramai 350 pelajar tingkatan satu di negeri ini layak ditempatkan ke sekolah tajaan Yayasan Selangor bagi sesi pembelajaran 2021.

Program melalui Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)-Yayasan Selangor menerima 1,314 permohonan sejak dibuka pada 1 Disember lalu.

Agensi pendidikan itu berkata program berkenaan menyasar pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana serta mematuhi syarat akademik KPM.

“Daripada 350 pelajar yang ditawarkan, seramai 91 orang ditempatkan di asrama pusat, asrama daerah (251) dan baki di sekolah harian (tanpa asrama),” kata yayasan berkenaan dalam kenyataan.

Yayasan Selangor menambah pelajar akan mendapat keistimewaan seperti biasiswa, kelas bimbingan, program kecemerlangan akademik dan pembangunan kendiri.

“Seorang guru penyelaras turut dilantik bagi memantau pencapaian pelajar di setiap sekolah tajaannya,” kata agensi itu lagi.

Sesi pendaftaran pelajar di dua asrama pusat di Klang dan Sabak Bernam dijalankan pada 2 dan 4 April lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB serah tawaran pembiayaan pendidikan RM40,000

GOMBAK, 10 MAC: Dato’ Menteri Besar menyampaikan pembiayaan pendidikan kepada seorang pelajar perakaunan negeri ini yang menduduki kedua terbaik dunia dalam peperiksaan Mengekalkan Rekod Kewangan (FA2).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tajaan berjumlah RM40,000 oleh Yayasan Selangor membolehkan pelajar semester akhir sijil Juruteknik Perakaunan Bertauliah (CAT), Putera Aiman Abdul Rashid, 19, melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.

“Sudah tentu kita turut bangga apabila anak Selangor menerima pengiktirafan dunia, kita akan beri sokongan dan mahu Aiman meneruskan cita-citanya.

“Kejayaan ini membuktikan anak Selangor dan Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia,” katanya selepas menyerahkan sumbangan di rumah keluarga Aiman di Sungai Tua, semalam.

Beliau berkata Selangor komited memperkasa aspek pendidikan yang menjadi penanda aras ke arah negeri pintar menjelang 2025.

“Selain pembiayaan Yayasan Selangor untuk pengajian di dalam negeri, kita juga menawarkan Program Selangor BITARA khusus untuk anak Selangor melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di universiti terkemuka luar negara,” katanya.

Sementara itu Putera Aiman terharu apabila menerima penghargaan yang disampaikan sendiri oleh Dato’ Menteri Besar.

“Kejayaan ini membuktikan sesiapa boleh berjaya jika berusaha. Jangan ada persepsi hanya pelajar sekolah berasrama penuh sahaja kerana kerana pelajar sekolah harian pun boleh berjaya,”katanya.

Pada 5 Februari media melaporkan dua pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) tersenarai antara 10 terbaik dunia dalam peperiksaan kelayakan profesional Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan CAT.

UiTM memaklumkan, pelajar semester lima program ACCA mendapat tempat pertama di Malaysia dan kesembilan dunia bagi peperiksaan audit and jaminan (AA) manakala Putera Aiman memperoleh tempat pertama dan kedua dunia bagi peperiksaan FA2.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anak Selangor dipelawa mohon hadiah masuk universiti, dapat RM1,000

SHAH ALAM, 28 FEB: Anak Selangor dalam kalangan keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah boleh memohon Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) berjumlah RM1,000 mulai esok.

Yayasan Selangor berkata pemohon mesti pelajar tahun pertama yang menerima tawaran pengajian sepenuh masa ijazah sarjana muda, diploma serta sijil kemahiran tahap empat di IPT awam dan swasta.

“Selain lahir di Selangor, mereka pemastautin di Selangor lebih setahun juga boleh memohon. Syarat lain adalah warganegara dan mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi hpipt.selangor.gov.my mulai 1 Mac sehingga 31 Mac,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Menurut yayasan, dokumen sokongan boleh dihantar ke Urus Setia HPIPT Bahagian Sumber Manusia, Tingkat 3 Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 40503 Shah Alam, Selangor.

Inisiatif HPIPT dilaksanakan sejak 2008 untuk meringankan beban pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah yang menerima tawaran melanjutkan pengajian di IPT awam dan swasta.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Yayasan Selangor lupus RM7.7 juta pinjaman pelajar

SHAH ALAM, 24 FEB: Yayasan Selangor selesai melupuskan pinjaman 762 pelajar tajaan mereka membabitkan kesan kewangan RM7.7 juta.

Keputusan itu diluluskan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor pada 7 Oktober tahun lalu.

  • Membabitkan pelajar tahun 1985 hingga 2012
  • Peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda di institusi pengajian awam dan swasta

Selain itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Portal Pusat Tuisyen Rakyat Selangor untuk membantu pelajar mengikuti pembelajaran digital.

Melalui peruntukan RM250,000, program yang dilancarkan pada 16 Januari memanfaatkan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia.

Portal tersebut memuatkan:

    • Video pembelajaran guru terlatih
    • Teknik menjawab soalan peperiksaan
    • Modul boleh dimuat turun dalam bentuk PDF

Dilaksanakan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), seramai 5,095 pelajar mendaftar selain 155 pendaftaran dari negeri lain setakat 7 Februari.

Pempengaruh media sosial Iman Troye turut terlibat dalam video promosi program tersebut.

Categories
AGENSI SELANGOR

SPM ketika pandemik, Yayasan Selangor pantau keselamatan pelajar

SHAH ALAM, 20 FEB: Yayasan Selangor memantau tahap kesihatan dan keselamatan pelajar tajaannya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai Isnin.

Pengarah Kanan Pendidikannya Zahura Zakry berkata perkara itu dititikberat bagi mengelak kejadian tidak diingini berikutan kes Covid-19 yang masih tinggi.

“Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada pembelajaran dan persediaan pelajar menghadapi SPM, namun kita berusaha sebaiknya membantu mereka termasuk aspek kerohanian.

“Kita berharap pelajar kekal fokus di sebalik cabaran yang mendatang dan mendoakan mereka terus cekal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seramai 779 pelajar tajaan Yayasan Selangor dari 60 sekolah seluruh negeri dan Kuala Lumpur bakal menduduki SPM bermula 22 Februari.

Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) turut berlangsung pada tarikh sama manakala Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 8 Mac.

Categories
AGENDA NASIONAL

Yayasan Selangor lupus pinjaman 762 pelajar

SHAH ALAM, 19 FEB: Yayasan Selangor selesai melupuskan pinjaman 762 pelajar tajaan mereka membabitkan kesan kewangan RM7.7 juta.

Dalam laporan kemajuan 20 inisiatif pakej berkenaan, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN). Keputusan itu diluluskan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor pada 7 Oktober tahun lalu.

– Membabitkan pelajar tahun
1985 hingga 2012
– Peringkat sijil, diploma dan
ijazah sarjana muda di institusi pengajian awam dan swasta

Selain itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Portal Pusat Tuisyen Rakyat Selangor untuk membantu pelajar mengikuti pembelajaran digital.

Melalui peruntukan RM250,000, program yang dilancarkan pada 16 Januari memanfaatkan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia.

Portal tersebut memuatkan:

– Video pembelajaran guru terlatih
– Teknik menjawab soalan peperiksaan
– Modul boleh dimuat turun dalam bentuk PDF

Dilaksanakan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), seramai 5,095 pelajar mendaftar selain 155 pendaftaran dari negeri lain setakat 7 Februari.

Pempengaruh media sosial Iman Troye turut terlibat dalam video promosi program tersebut.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lupus pinjaman Yayasan Selangor ringankan beban lebih 700 peminjam

SHAH ALAM, 26 JAN: Pelupusan baki pinjaman pelajaran Yayasan Selangor mampu meringankan beban 762 peminjam yang terjejas susulan penularan Covid-19.

Agensi berkata Kerajaan Negeri bertindak sedemikian selepas menyedari keadaan semasa pendapatan golongan terbabit ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kumpulan peminjam yang terima manfaat ini adalah sebahagian daripada graduan Institut Pengajian Tinggi (IPT) bawah Kerajaan Negeri dan lain-lain IPT awam atau swasta tajaan Yayasan Selangor di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

“Semua peminjam diminta hubungi kami untuk menyemak status pinjaman masing-masing. Bagaimanapun, mereka yang mampu diminta meneruskan bayaran balik mengikut jadual,” katanya dalam kenyataan.

Yayasan itu menjelaskan pelupusan dibuat selari dengan peruntukan yang termaktub dalam Dasar Pinjaman Pelajaran Yayasan Selangor yang sedang berkuat kuasa.

“Pelupusan ini tidak melibatkan sebarang peruntukan dari Kerajaan Negeri kerana yayasan ini beroperasi tanpa mendapat sebarang geran atau dana dari mana-mana pihak.

“Yayasan Selangor adalah sebuah syarikat berhad yang menjana dana sendiri melalui sumber yang dibenarkan dan memberi bantuan serta perkhidmatan pendidikan kepada rakyat negeri ini,” jelasnya.

Mereka yang ingin mengetahui status atau maklumat lanjut mengenai pinjaman masing-masing boleh hubungi Bahagian Pembiayaan Pendidikan melalui e-mel [email protected] atau hubungi 03-7669 1100 sambungan 115/125/145/162/212/238.

Pada 20 Januari lalu, Kerajaan Negeri melalui Pakej Kita Selangor melupuskan pinjaman (write-off) kepada 762 peminjam Yayasan Selangor dengan implikasi kewangan berjumlah RM7.177 juta.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peminjam Yayasan Selangor diminta semak status lupus pinjaman

SHAH ALAM, 25 JAN: Semua peminjam pelajaran Yayasan Selangor diminta menyemak status masing-masing susulan inisiatif pelupusan pinjaman yang diumumkan Kerajaan Negeri Selangor menerusi ‘Pakej Kita Selangor’ pada Rabu lepas (20 Jan).

Yayasan Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan peminjam yang akan menerima manfaat pelupusan baki pinjaman itu adalah sebahagian graduan tajaan peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di institut pengajian tinggi (IPT) di bawah kerajaan negeri selain IPT awam serta swasta.

Menurut kenyataan itu, inisiatif Kerajaan Negeri Selangor tersebut akan memberi manfaat kepada 762 peminjam dengan implikasi kewangan berjumlah RM7.17 juta.

Bagaimanapun, peminjam yang berkemampuan membayar balik pinjaman pelajaran diminta meneruskannya mengikut jadual supaya dana yayasan itu akan sentiasa mencukupi bagi membiayai bantuan pendidikan semasa dan kegunaan generasi akan datang.

Kenyataan itu menyebut pelupusan baki pinjaman tersebut diberikan kerana menyedari ketidakmampuan peminjam melunaskannya susulan penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang memberi kesan kepada pendapatan golongan terlibat.

“Ia juga akan dapat meringankan beban peminjam dan juga waris yang dibelenggu masalah kewangan akibat kesan pandemik.

“Mereka yang ingin mengetahui status atau maklumat lanjut berkenaan pinjaman masing-masing boleh menghubungi Bahagian Pembiayaan Pendidikan secara e-mel di alamat [email protected] atau menghubungi 03-7669 1100 sambungan 115/125/145/162/212/238,” menurut kenyataan itu.

Yayasan Selangor turut memaklumkan pelupusan pinjaman itu tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri kerana pihaknya beroperasi tanpa mendapat sebarang geran atau peruntukan daripada mana-mana pihak.

“Yayasan Selangor adalah sebuah syarikat berhad yang menjana dana sendiri melalui sumber-sumber yang dibenarkan dan memberikan bantuan serta perkhidmatan pendidikan kepada rakyat Selangor termasuk pemberian biasiswa, pembiayaan pinjaman pelajaran boleh ubah dan pelbagai program pendidikan lain,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA