Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 3,000 mangsa banjir Sri Muda terima wang ihsan Yayasan Tzu-Chi

SHAH ALAM, 15 JAN: Lebih 3,000 mangsa banjir sekitar Taman Sri Muda dekat sini menerima bantuan wang ihsan RM1,000 daripada Yayasan Tzu-Chi Malaysia.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sio Kee Hong berkata sumbangan merupakan kesinambungan bantuan daripada pihaknya selepas operasi pembersihan pada 24 hingga 26 Disember lalu.

“Waktu itu (pembersihan) kita nampak mereka berdepan dugaan besar kerana hampir seluruh barangan rumah musnah dan rosak termasuk kereta motosikal tenggelam.

“Jadi hari ini kita beri bantuan wang tunai untuk mereka beli barangan keperluan. Ini dapat ringankan beban selain tanda kasih sayang masyarakat negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis serahan bantuan di SJKC Khe Beng, Seksyen 32 di sini, hari ini.

Kee Hong berkata pihaknya menyasarkan lebih 16,000 mangsa banjir menerima bantuan itu termasuk luar Selangor.

“Kita bermula dengan mangsa di Sri Muda. Selepas ini akan beri kepada penduduk Hulu Langat selain Pahang.

“Semua penerima dikenal pasti menerusi bancian dilakukan. Kita akan beri semua mangsa tanpa mengira agama atau bangsa kerana kita ikhlas untuk membantu,” katanya.

Tokoh konglomerat Tan Sri Vincent Tan turut meluangkan masa menjadi sukarelawan membersihkan rumah mangsa banjir sekitar Taman Sri Muda pada Disember lalu.

“Saya tidak mampu untuk tolong sepenuhnya tetapi cuba datang bantu apa yang perlu. Bila turun lihat keadaan rumah mereka saya sangat sedih,”katanya ketika ditemui.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.