INFO 12 : Kerajaan Negeri Cadang Penyelesaian Hutang Pembeli Rumah PKNS


Sinopsis

Info 12 Untuk 05102012

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 5 OKTOBER 2012 :

Kerajaan Negeri Cadang Penyelesaian Hutang Pembeli Rumah PKNS,
Isu Tanah YBK Selangor Rujuk Peguam,
Umno-BN Amal Pengurusan Ekonomi Silap Mata,
MBPJ Ambil Tindakan Terhadap Restoran Gagal Patuhi Peraturan.

Categories
SELANGOR

Isu Tanah YBK Selangor Rujuk Peguam

SHAH ALAM, 3 OKT : Kerajaan Negeri Selangor akan berbincang dengan Peguam Negeri sama ada untuk membuat rayuan berhubung isu tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) seluas 318.8 hektar di Serendah, Hulu Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri menerima keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam secara terbuka kerana ia hanya melibatkan satu tanah sahaja.

Beliau berkata, mahkamah juga hanya membuat keputusan mengenai proses pengambil alihan tanah tersebut.

“Rayuan itu belum diputuskan lagi kerana saya belum berbincang dengan peguam tentang tatacara keputusan yang dibuat oleh mahkamah secara bertulis.

“Kita biasanya menerima keputusan mahkamah dan jika perlu kita akan buat rayuan kerana tanah-tanah yang tidak dibayar premium tidak dipersoalkan dalam pengambilan semula tanah oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan YBK mendapat kembali hak 318.8 hektar tanah di Serendah, Hulu Selangor selepas tindakan Kerajaan Negeri memulangkan cukai tanah dan merampas tanah tersebut sebelum ini tidak sah di sisi undang-undang.

Categories
SELANGOR

Isu YBK : PM Cuba Kelirukan Rakyat

SHAH ALAM,15 MAC : Tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa Kerajaan Negeri Selangor menjadi punca Yayasan Basmi Kemiskinan(YBK) gagal melaksanakan Pelan Tranformasi Lima Tahun (2012-2016) amat tidak bertanggungjawab dan cuba menggelirukan rakyat Selangor.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin, dalam kenyataan medianya berkata, Perdana Menteri sedia maklum tindakan ini adalah jalan terakhir yang terpaksa diambil kerajaan negeri selepas banyak peluang diberikan kepada pengurusan YBK kerana tidak membayar cukai tanah dan melanggar syarat-syarat tanah yang ditetapkan.

“Kerajaan negeri perlu bertindak adil kepada semua pihak hatta melibatkan anak syarikat milikan penuh atau agensi di bawahnya. YBK yang diberikan tanah secara percuma sepatutnya melunaskan tunggakan cukai tanah dan menggunakan tanah-tanah yang diberikan itu untuk program kebajikan bukan membangunkan dengan projek pembangunan untuk keuntungan kroni-kroni.

“Inilah sikap jijik pemimpin UMNO yang tidak pernah mengaku salah sebaliknya menuding jari kepada orang lain. Perdana Menteri sepatutnya meminta maaf kepada rakyat Selangor kerana tindak tanduk YBK yang merugikan harta rakyat,” tegas Faekah.

Tambah Faekah, kerajaan negeri mendedahkan senarai syarikat  yang mendapat manfaat daripada projek pembangunan tanah yang diberikan kepada YBK dan akibatnya, kerajaan negeri telah disaman tetapi kemudian ditarik balik oleh YBK. Jika dakwaan ini salah, sudah tentu YBK tiada alasan menarik semula saman ini.

Perdana Menteri sepatutnya menjadi seorang yang jujur seperti mana yang dituntut dalam Islam. Beliau tidak boleh berterusan menggunakan taktik menipu rakyat semata-mata untuk menang pilihanraya.

Menurut Faekah lagi, kerajaan negeri telah membantu banyak badan bukan kerajaan (NGO) dengan mendermakan dana atau bantuan lain dan akan sentiasa menyokong usaha-usaha murni mereka. Banyak NGO ini yang berjaya membantu golongan memerlukan dan mempunyai aset jutaan ringgit walaupun tidak mendapat bantuan kerajaan negeri.

“Ini amat berbeza sekali dengan YBK yang mendapat banyak bantuan termasuk pemberian tanah percuma tetapi tiada impak besar kepada golongan sasar sebaliknya golongan kaya yang mendapat faedah. Inilah natijahnya apabila badan kebajikan diuruskan orang politik yang berselindung disebalik kerja-kerja kebajikan,” ujar beliau.