Categories
AGENDA NASIONAL

Univeriti awam perlu patuh arahan kurangkan 20 peratus yuran pengajian

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Semua universti awam (UA) perlu mematuhi arahan mengurangkan yuran pengajian sebanyak 20 peratus kepada pelajar bagi semester pertama sesi 2021/2022.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata arahan itu telah dikeluarkan kepada semua UA terlibat sebelum ini.

“Langkah ini selaras dengan usaha KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) untuk terus mempertingkat usaha ke arah menjaga kebajikan mahasiswa khususnya di bawah inisiatif #KPTPrihatin,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata dalam keadaan pandemik COVID-19 yang banyak menjejaskan kehidupan masyarakat terutama dari segi ekonomi, kenaikan yuran tidak seharusnya berlaku.

Terdahulu, beberapa media melaporkan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya menggesa universiti itu memberi maklum balas berhubung isu kenaikan yuran pengajian kepada pelajar baharu sesi 2021/2022.

Ia susulan kenaikan yuran sebanyak 10 hingga 60 peratus yang dikenakan universiti itu dianggap tidak munasabah dalam situasi negara ketika ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 380,000 siswa dapat diskaun yuran pengajian

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Seramai 386,142 pelajar universiti awam (UA) menerima manfaat daripada inisiatif pengurangan yuran berjumlah RM185.7 juta yang dilaksanakan kerajaan bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan berkata pengurangan antara 10 hingga 35 peratus itu diberikan susulan Surat Edaran Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) bertarikh 22 Mac yang meminta pihak universiti memberikan kelonggaran dan pertimbangan sewajarnya terhadap tuntutan bayaran.

“Pengurangan itu meliputi yuran perkhidmatan, asrama, konvokesyen dan aktiviti kolej diberikan kepada pelajar semester kedua Sesi Akademik 2019/2020 sehingga hari ini, sebelum dilanjutkan kepada dua semester lagi bagi Sesi Akademik 2020/2021.

“Pengurangan yuran bagi semester kedua Sesi Akademik 2019/2020 untuk semua pelajar warganegara Malaysia melibatkan peruntukan sebanyak RM75 juta, dengan RM20 juta adalah peruntukan tambahan kerajaan dan RM55 juta menggunakan sumber dalaman UA,” menurut kenyataan itu.

Bagi semester pertama Sesi Akademik 2020/2021 pula, pengurangan yuran adalah sebanyak RM70.2 juta dan RM40.5 juta lagi untuk semester kedua Sesi Akademik 2020/2021.

“Langkah-langkah yang diambil ini memperlihatkan keprihatinan kerajaan dalam menangani beban kewangan dihadapi pelajar dan ibu bapa,” kata kenyataan itu lagi.

KPT berpandangan bahawa kadar pengurangan yuran yang dinyatakan adalah munasabah memandangkan 20 UA terlibat terpaksa menanggung kos operasi tinggi dengan menggunakan sumber peruntukan dalaman universiti.

-BERNAMA