Categories
AGENDA NASIONAL

Zahid diperintah bela diri 47 kes rasuah, pecah amanah

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah, pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, 69, terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, yang dimiliki Ahmad Zahid.

Mahkamah menetapkan 39 hari untuk mendengar kes pembelaan, bermula 26 hingga 28 April, 23 hingga 26 Mei, 27-30 Jun, 4-7 Julai, 22, 23, 29 dan 30 Ogos, 19-22, 26-29 Sept , 17-20 dan 31 Okt serta 1-3 dan 7-10 Nov.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang memegang jawatan timbalan perdana menteri dari 2015 hingga 2018, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi dan pendakwaan berpeluang menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Ahmad Zahid, Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO, dijadual memberi keterangan pada 26 April ini.

Dalam penghakimannya, Sequerah berkata pihak pendakwaan telah membuktikan semua unsur dalam kesemua pertuduhan dan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

“Pertamanya berkenaan dengan isu imuniti, selepas mempertimbangkan hujahan oleh kedua-dua pihak, saya mendapati tiada merit kepada soal imuniti,” katanya.

Sebelum ini, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ahmad Zahid, berhujah bahawa Ahmad Zahid telah membuat dua kenyataan pada 2 dan 3 Julai 2018, dan berkata dengan membuat pendedahan melalui dua kenyataan itu, Presiden UMNO itu sepatutnya mempunyai imuniti daripada pendakwaan.

Mengenai 12 pertuduhan CBT di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, hakim berkata selepas membuat penilaian maksimum terhadap keterangan pihak pendakwaan, beliau mendapati pendakwaan telah membuktikan unsur kesemua 12 pertuduhan dan telah berjaya membuat kes prima facie terhadap semua 12 pertuduhan.

“Oleh itu, saya memerintahkan tertuduh membela diri atas kesemua 12 pertuduhan,” katanya.

Bagi lapan pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hakim juga mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie bagi kesemua lapan pertuduhan tersebut.

“Saya juga mendapati ada unsur di bawah Seksyen 50(1) Akta SPRM terhadap tertuduh, oleh itu saya memerintahkan tertuduh membela diri atas kesemua lapan pertuduhan itu,” kata hakim itu.

Beliau turut memerintahkan Ahmad Zahid supaya membela diri atas kesemua 27 pertuduhan pengubahan wang haram bagi penemuan yang sama.

Bagi pertuduhan CBT, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016. Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zahid juga didakwa dengan lapan pertuduhan menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Ahmad Zahid juga berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Ahmad Zahid kelihatan tenang semasa hakim menyampaikan keputusannya.

Hakim berkata Ahmad Zahid mempunyai tiga pilihan untuk membela diri – memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi, atau memberikan keterangan tidak bersumpah dari tempat tertuduh, atau berdiam diri.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang juga mewakili Ahmad Zahid memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya akan memberi keterangan secara bersumpah.

Hisyam berkata pembelaan akan memanggil kira-kira 20 saksi untuk memberi keterangan.

“Yang Arif, pihak pendakwaan telah menawarkan kepada kami sebanyak 37 orang saksi. Kami memerlukan lebih banyak masa untuk menyediakan pembelaan, kami perlu menemu bual serta menyediakan kenyataan saksi.

“Oleh itu, kami tidak dapat memulakan pembelaan pada 28 Mac seperti yang ditetapkan sebelum ini. Bolehkah saya mencadangkan kepada mahkamah supaya memulakan perbicaraan pada 26 April ini,” kata peguam itu.

Permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran.

Ahmad Zahid juga menghadapi 40 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dakwaan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara, menjadikan jumlah pertuduhan terhadapnya kepada 87. Kes itu ditetapkan untuk sambungan perbicaraan pada 3 Feb.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Umno tarik balik sokongan, Zahid dakwa PN hilang majoriti

SHAH ALAM, 3 OGOS: Susulan isu antara kerajaan pusat dengan Istana Negara, Umno memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Presiden parti itu Datuk Seri Zahid Hamid juga menyebut nama-nama ahli parlimen yang menarik sokongan telah dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong, maka Majlis Kerja Tertinggi sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Muhyiddin selaku perdana menteri,” katanya.

“Surat akuan ahli-ahli parlimen Umno yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, sekali gus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan.”

Zahid tidak menyebut senarai wakil rakyat Umno dalam kenyataannya tetapi sebahagian daripada mereka turut hadir ketika beliau mengumumkan keputusan parti itu secara langsung di Facebook.

Sepuluh ahli parlimen yang berdiri di belakang Zahid tadi, antaranya, Datuk Najib Razak, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Azalina Said Othman, Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dalam kenyataannya, Zahid turut menggesa Muhyiddin bertanggungjawab atas “keingkaran kerajaan” beliau menurut titah Yang di-Pertuan Agong agar Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan dalam sidang Parlimen baru-baru ini.

Pada 29 Julai, Istana Negara mengeluarkan kenyataan Baginda menzahirkan rasa “amat dukacita” apabila ordinan tersebut telah dibatalkan oleh kabinet tanpa mendapat perkenan Baginda.

Sementara ahli parlimen parti berkenaan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan sebagai menteri tenaga dan sumber asli hari ini sebagai tanda sokongan terhadap keputusan Umno.

“Mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti, maka sebagai ahli Umno yang patuh dan setia kepada parti, saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai ahli jemaah menteri kerajaan persekutuan,” kata wakil rakyat Lenggong.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah tetapkan tarikh baharu bicara Zahid kes Yayasan Akalbudi

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Mahkamah Tinggi di sini akan menetapkan tarikh baharu bagi perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Timbalan Pendakwaraya Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan itu memberitahu Bernama menerusi mesej WhatsApp yang ditetapkan oleh mahkamah itu pada 19 Mei untuk pengurusan kes menetapkan tarikh perbicaraan baharu di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd Saad ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata pengurusan kes akan bermula 9.00 pagi.

Perbicaraan itu pada mulanya dijadual diteruskan pada 13 April tetapi ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Setakad ini, pihak pendakwaraya memanggil 43 saksi untuk memberi keterangan.

Zahid, 67, berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripada membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan berpuluh juta ringgit wang milik Yayasan Akalbudi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Zahid arah proses SST syarikat kenalan politik dipercepat

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengeluarkan arahan melalui minit mesyuarat agar proses pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) kepada syarikat milik kenalan politiknya, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) berkaitan pembekalan cip pasport, dipercepat.

Bekas Setiausaha Bahagian (SUB) Perolehan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Abd Aziz Md Nor, 62, berkata Ahmad Zahid telah mengeluarkan arahan tersebut kepadanya melalui minit bertarikh 13 Oktober 2015.

“Pada 22 Oktober 2015, saya telah menerima surat daripada Pejabat Timbalan Perdana Menteri (TPM) bertarikh 20 Oktober 2015 yang memanjangkan surat DTSB, yang mana kami telah mendapat arahan daripada Menteri Dalam Negeri ketika itu yang meminta agar (kami) percepatkan proses pengeluaran SST.

“Saya pasti ini adalah tulisan dan ‘initial’ Menteri Dalam Negeri ketika itu kerana saya kenal dan pernah menerima arahan melalui minit daripada menteri itu,” katanya yang membacakan penyataan saksi ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun.

Saksi pendakwaan ke-33 itu berkata demikian pada hari ke-15 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit dan rasuah berhubung pemberian kontrak pembekalan cip pasport kepada beberapa syarikat.

SST adalah surat rasmi yang merupakan ikatan kontrak antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat dan terma-termanya tidak boleh diubah selepas ditandatangani kedua-dua pihak.

Abd Aziz berkata Bahagian Perolehan KDN telah mengeluarkan SST yang ditandatangani Ketua Setiausaha KDN ketika itu, Datuk Seri Alwi Ibrahim, pada 15 Disember 2015.

“SST ini berkaitan dengan pembekalan cip pasport selama lima tahun yang bernilai RM318,750,000 dan tarikh permulaan kontrak ialah pada 1 Disember 2016 sehingga 30 November 2021,” katanya.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Yayasan Akalbudi tidak pernah bermesyuarat

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Yayasan Akalbudi yang ditubuhkan pada 1997, tidak pernah mengadakan mesyuarat tahunan atau memaklumkan tentang perbelanjaan yayasan itu selama 15 tahun.

Bekas Pengarah yayasan itu, Zulkifli Senteri, 68, berkata, sepanjang 15 tahun memegang jawatan itu sejak 1997 sehingga 2012, beliau juga tidak pernah dijemput menghadiri mesyuarat yayasan berkenaan dan tidak mengetahui lokasi sebenar pejabat yayasan itu.

“Tiada sebarang aktiviti dan mesyuarat yang melibatkan saya selain tidak pernah menerima elaun atau bayaran selama dilantik sebagai pengarah.

“Sepanjang menjadi pengarah, saya tidak pernah berbincang dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan pengasas yayasan itu tentang perbelanjaan (yayasan) yang hendak dibuat dan telah dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan saksi pada hari keempat perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan puluhan juta ringgit dana yayasan itu di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Zulkifli yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik) Universiti Binary berkata, beliau tidak dimaklumkan oleh Ahmad Zahid berkenaan sumber dana yang diperolehi untuk menampung kos aktiviti yayasan itu dan tidak tahu yayasan itu mempunyai dana berjumlah jutaan ringgit.

“Saya tidak pernah menandatangani sebarang dokumen atau surat berkaitan pentadbiran dan operasi Yayasan Akalbudi dan tidak pernah menandatangani sebarang dokumen atau cek milik yayasan itu,” katanya dan turut memaklumkan beliau juga tidak tahu akaun milik yayasan pernah diaudit atau tidak.

Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata, beliau tidak pernah terlibat dan tidak dimaklumkan oleh Ahmad Zahid tentang sebarang aktiviti berkaitan yayasan itu.

“Sepanjang tempoh itu juga saya tidak pernah dirujukkan dengan penyata akaun atau penyata kewangan Yayasan Akalbudi,” katanya.

Beliau juga berkata, Ahmad Zahid mengarahnya meletak jawatan serta merta sebagai pengarah pada 4 April 2012 dan tidak memaklumkan alasan peletakan jawatan itu.

“Surat ini (peletakan jawatan) bukan saya sediakan tetapi saya sahkan saya tandatangan surat ini di rumah saya di Bandar Baru Bangi, Selangor. Surat ini dibawa oleh pemandu Ahmad Zahid kepada saya dan selepas menandatangani surat saya menyerahkannya semula kepada pemandu itu.

“Saya hanya menerima arahan ini (peletakan jawatan) kerana pada pendapat saya, saya tidak ada sebarang penglibatan dan pengetahuan langsung tentang perjalanan dan aktiviti Yayasan Akalbudi,” katanya.

Disoal peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid, adakah saksi pernah menyumbang kepada yayasan tersebut sepanjang penubuhannya, Zulkifli berkata tidak pernah.

Saksi itu juga tidak tahu tentang sumbangan kepada yayasan tersebut adalah 100 peratus daripada Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid, 66, mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes rasuah Ahmad Zahid akan didengar di Mahkamah Tinggi

SHAH ALAM, 23 SEPT: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini diberitahu, 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan difailkan untuk didengar di Mahkamah Tinggi oleh pihak pembelaan.

Peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan demikian ketika prosiding pengurusan kes itu di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

“Pihak pembelaan dan pihak pendakwaan telah berbincang dan bersetuju supaya semua dokumen berkaitan kes diserahkan oleh pendakwaan kepada kami dalam masa sebulan lagi. Selepas itu, kami akan failkan kes ini dan membuat permohonan supaya kes didengar di Mahkamah Tinggi di sini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun pula memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa kerana terdapat lebih 500 dokumen sedang disediakan untuk diserahkan kepada pihak pembelaan.

Rozilah kemudian menetapkan 25 Oktober ini untuk pengurusan kes di mahkamah sama.

Terdahulu, Gan memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik permohonan bagi memindahkan 33 pertuduhan rasuah yang dihadapi Ahmad Zahid untuk didengar di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

“Pendakwaan menarik balik permohonan (memindahkan 33 pertuduhan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) memandangkan semakan semula kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (bagi memindahkan tujuh lagi pertuduhan rasuah ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) telah ditolak dan hakim memerintahkan supaya kesemua kes ini kekal untuk didengar di mahkamah ini,” katanya.

Pada 31 Julai lepas, pihak pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk memindahkan tujuh pertuduhan bagi dibicarakan bersama 33 lagi pertuduhan rasuah berhubung VLN yang dihadapinya di mahkamah sesyen di sini.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan semula itu pada 28 Ogos lepas kerana tidak menemui kekhilafan dalam perintah pemindahan kes ke Mahkamah Sesyen Shah Alam yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 104 Akta Mahkamah Rendah 1948.

Pada 26 Jun lepas, Ahmad Zahid didakwa atas tujuh pertuduhan menerima suapan daripada sebuah syarikat berjumlah S$4.24 juta membabitkan Sistem VLN, dua tahun lepas.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Ahmad Zahid didakwa telah menerima rasuah berjumlah S$4.24 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN.

Ahmad Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Manakala pada 27 Jun lepas, Ahmad Zahid didakwa dengan 33 lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung sistem sama.

Bagi 26 pertuduhan, presiden UMNO itu didakwa menerima suapan dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd berjumlah S$9,320,000 sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di KDN, telah melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di No 389, Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Julai 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di KDN Malaysia telah mendapat untuk dirinya satu benda berharga iaitu wang tunai S$150,000, RM325,000, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan dari syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama antara Jun 2015 dan April 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Bukti Hansard Parlimen isu Interpol Jho Low

Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]:

Terima kasih Tuan Yangdi-Pertua. Saya percaya kerjasama yang dijalin di antara pihak Polis Diraja Malaysia dengan Interpol bukan sahaja menumpukan persoalan gerakan militan ataupun gerakan-gerakan ideologi yang boleh mencetuskan ketegangan agama di rantau ini.

Akan tetapi juga kerjasama yang diwujudkan melibatkan aktiviti ataupun jenayah perdagangan dan juga kewangan di mana pihak Polis Diraja Malaysia boleh mendapatkan bantuan Interpol untuk menahan seseorang dan menyiasat bagi sesuatu kes yang telah banyak dinyatakan.

Saya telah membangkitkan perkara ini beberapa bulan yang lalu, di mana pihak Polis Diraja Malaysia perlu mendapatkan khidmat Interpol untuk locate ataupun mengenal pasti kedudukan Jho Low yang telah disebut dalam banyak laporan di peringkat antarabangsa, di mana beliau terlibat secara langsung dalam jenayah kewangan dan perdagangan.

Persoalan saya ialah di manakah kedudukan PDRM dalam perkara ini? Apakah PDRM akan mendapat bantuan Interpol untuk mengenal pasti kedudukan Jho Low dan mendapat kerjasama daripada pihak Interpol untuk menahan dan membawa balik Jho Low bagi tujuan penyiasatan di atas skandal kewangan yang terbesar dalam negara pada hari ini?

Jadi, saya pohon pandangan daripada Yang Amat Berhormat.

 

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi:

Walaupun soalan itu tidak kena mengena dengan soalan asal tetapi saya ingin menyebutkan bahawa kerjasama dengan Interpol bukan hanya terjalin erat, malah presiden baru Interpol adalah merupakan Naib Menteri MPS, Vice Minister of Public Security of China.

Mengenai kes itu, kita memang telah mengemukakan permintaan kepada Interpol untuk mencari di manakah orang yang telah dimaksudkan oleh Yang Berhormat Gombak.

Kita amat yakin bahawa pihak Interpol bertindak secara profesional dan PDRM masih belum memperoleh sebarang maklumat terperinci daripada pihak Interpol.

Namun, kita yakin apa yang telah dilakukan oleh beberapa pihak di peringkat antarabangsa, terutamanya agensi perisikan telah dimuktamadkan. Kita yakin kes itu telah tidak lagi relevan kecuali dibangkitkan oleh ahli-ahli politik yang tidak pernah berpuas hati mengenainya.

 

 

SUMBER: HANSARD DEWAN RAKYAT PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL KELIMA MESYUARAT KETIGA: Isnin, 23 Oktober 2017
Muka Surat: 8

Categories
NASIONAL

Mohamed Azmin bidas ‘U Turn’ Zahid Hamidi isu Jho Low

SHAH ALAM 24 OKT: Tindakan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi membuat pusingan “U” terhadap kenyataannya mengenai Malaysia meminta bantuan daripada Interpol untuk mengesan Low Taek Jho, atau Jho Low dibidas Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin di laman media sosial Twitter berkata cubaan Zahid memutarbelitkan fakta tidak berhasil.

Dalam tweet seterusnya, Mohamed Azmin juga bertanya sama ada Zahid “dimarahi” oleh “bosnya”.

Di Dewan Rakyat semalam, Zahid Hamidi berkata Polis Malaysia telah meminta bantuan Interpol untuk mengesan Low, yang dikenalpasti watak utama dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau menjawab soalan Mohamed Azmin, yang juga ahli Parlimen Gombak.

Bagaimanapun, Zahid Hamidi kemudian berkata ucapannya telah “dimanipulasi”, dan menjelaskan yang permintaan bantuan Interpol tidak lagi aktif kerana fail kes melibatkan Low sudah ditutup.

Penyiasat AS mendakwa bahawa Low adalah dalang penyelewengan wang daripada firma belaburan negara 1MDB. Lokasinya sekarang tidak diketahui.

Mohamed Azmin sebelum ini memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memaksa polis dan ketua polis negara menangkap Jho Low.

Bagaimanapun, ia ditolak oleh mahkamah awal bulan ini selepas membenarkan bantahan awal oleh Jabatan Peguam Negara yang mewakili polis.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Lantikan Menteri Tugas Khas Hishammuddin imbau kisah Anwar dipecat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 APRIL: Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution membayangkan wujudnya gelombang besar bakal berlaku membabitkan kepimpinan tertinggi Umno Barisan Nasional (BN).

Ia susulan pelantikan Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas, di Jabatan Perdana Menteri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Saifuddin berkata, situasi sama pernah berlaku ketika pentadbiran Tun Mahathir Mohamad yang melantik Tun Daim Zainuddin dalam kabinet yang akhirnya menyebabkan penyingkiran orang nombor dua dalam pentadbiran negara ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini mengingatkan saya pada tahun 1997 apabila negara mengalami krisis kewangan, Tun Mahathir melantik Tun Daim sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas.

“Tidak lama selepas itu, berlaku peristiwa terbesar dalam politik iaitu penyingkiran Anwar, jadi saya melihat perkembangan ini sama.

“Cuma yang membezakan waktu itu Tun Daim tidak lagi berada dalam kabinet tetapi Hishammuddin adalah sebagai Menteri Pertahanan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Bagaimanapun, Saifuddin tidak merujuk nama individu tertentu yang ‘diramal’ bakal mengalami situasi sama sebagaimana Anwar yang mencetuskan gelombang Reformasi 1998 selepas disingkirkan.

Namun wujud spekulasi, lantikan ini memberi kesan kepada kedudukan dan bidang kuasa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Terdahulu, Perdana Menteri dalam kenyataannya tengah hari ini memaklumkan lantikan Hishamuddin berkuatkuasa hari ini.

Pada masa sama, Hishammuddin turut menjalankan tugasnya sebagai Menteri Pertahanan.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Berhenti bohong Zahid, Muhyiddin

SHAH ALAM, 28 APR: Barisan Nasional (BN) tidak perlu berbohong kepada rakyat di Permatang Pauh dengan menabur janji manis demi memenangi pilihan raya kecil (PRK) parlimen itu.

Pengarah Pilihan Raya Wanita PKR, Haniza Talha berkata, BN sering mengkhianati rakyat dengan memberi janji kosong sejak pilihan raya umum (PRU) lalu.

hanizaKatanya, BN pernah berjanji untuk membina rumah mampu milik di seluruh Pulau Pinang dengan mendirikan papan iklan bagi menarik perhatian pengundi, namun tidak dilaksanakan sehingga kini.

“Mengapa kita perlu PRU atau PRK sebelum BN mula menjanjikan imbuhan kepada rakyat?

“Kerja menaik taraf dan pembangunan di negara ini perlu dilakukan berterusan bukan ketika pilihan raya sahaja untuk memenangi hati pengundi,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Haniza berkata, jawatankuasa pilihan raya perlu membatalkan penyertaan BN kerana ia adalah rasuah secara terang-terangan dan menyalahguna dana awam.

muhyiddin-zahid-300Sebelum ini, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penduduk Permatang Pauh bakal menerima peruntukan khas lebih RM5 juta jika BN menang dalam PRK Permatang Pauh.

Katanya, peruntukan itu akan digunakan bagi membaik pulih serta menaik taraf pelbagai kemudahan dan infrastruktur.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berjanji memperuntukkan RM400 juta kepada hospital Permatang Pauh.

Categories
NASIONAL

Zahid Hamidi diminta beri penjelasan koleksi jam jutaan ringgit

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 SEPT: Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dalam surat terbuka kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon penjelasan dakwaan memiliki koleksi jam tangan bernilai jutaan ringgit.

Menerusi tulisan baru beliau di blog peribadinya, chegubard.blogspot.com beliau menyatakan surat itu tidak ada kena mengena dengan tindakan Ahmad Zahid dalam kes akta hasutan.

samm“Diteliti koleksi gambar diperolehi media tempatan dan media negara jiran memperlihatkan jam mewah sangat bergaya.

“Oleh kerana minat saya cuba kenal pasti jenis jam itu dan dikenal pasti harganya,” katanya yang lebih dikenali Chegubard.

Beliau mengemukakan pautan berita memaparkan gambar Ahmad Zahid memperagakan jam tangan berkenaan di majlis dihadirinya.

“Hanya ingin bertanya benarkah benarkah model jam yang saya cuba padankan dengan Datuk Seri gayakan.

“Saya andaikan tak mungkin seorang Menteri menyokong usaha pemalsuan barangan dengan memakai barang tiruan. Maka jika benar modelnya maka jumlah koleksi jam tangan itu mencecah jutaan nilainya,” katanya.

Badrul Hisham mempersoalkan sumber Zahid memiliki koleksi itu sama ada dibeli atau dihadiahkan.

Sementara itu, Selangorkini berjaya menghubungi Zahid meminta respon isu itu namun beliau memaklumkan sedang menghadiri mesyuarat di Bukit Aman.

EZY

Categories
NASIONAL

Zahid perlu tunjuk komitmen wajar, bukan bermulut celupar

Oleh: LIZAWATI MADFA

KLANG, 30 JUN: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi dicabar untuk mengulangi semula kenyataannya berhubung insiden penemuan kepala lembu di hadapan rumah wakil rakyat DAP, RSN Rayer, di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan, berkata Zahid sepatutnya menunjukkan komitmen yang sewajarnya sebagai seorang menteri kabinet dan beragama Islam.

Katanya, kenyataan endah tak endah itu juga hanya menunjukkan Zahid yang sebenarnya bermulut celupar.

Zahid-Hamidi“Jika dia berani ulanglah semula di bulan Ramadhan yang mulia ini. Tunjukkan sama ada pemimpin Umno ini benar-benar celupar atau dia juga ada perasaan takut kepada Tuhan.

“Tetapi kalau rasa takut pun, janganlah bulan Ramadhan saja, takutlah pada Tuhan hari-hari,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Zahid yang menyifatkan insiden kepala lembu yang ditinggalkan di depan rumah Rayer sebagai balasan ke atas keceluparan mulutnya.

Zahid dipetik sebagai berkata, beliau bersimpati dengan Rayer tetapi itulah harga yang perlu dibayar kerana mulut celupar.

Manivanan Gowin 4aKenyataan Zahid itu bukan sahaja mengundang kemarahan pemimpin parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam, tetapi turut ditempelak rakan komponen Barisan Nasional (BN) sendiri.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Ti Lian Ker, berkata respon Zahid hanya akan menggalakkan keganasan dan menjadikan undang-undang Malaysia tidak berfungsi.

Sementara itu, GERAKAN pula mendesak Zahid melihat insiden itu secara serius kerana ia bukan perkara main-main kerana membabitkan keselamatan wakil rakyat.

Pada 28 Jun lalu, kepala lembu ditemui di hadapan rumah Rayer dan dipercayai mempunyai kaitan dengan ucapan kontroversinya sebelum ini yang menggelarkan beberapa pemimpin Umno sebagai celaka.

-NFN-