Categories
SELANGOR

Peruntukan RM24.76 juta tambah baik sektor penternakan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 28 MAC: Sejumlah RM24.76 juta diperuntukkan dalam mencapai sasaran penambahbaikan sektor penternakan seperti ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 bagi tempoh lima tahun (2016-2020).

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abd Talib berkata, ia merangkumi sembilan program dengan program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan Taman Translokasi menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM10 juta.

“Dalam tempoh berkenaan, beberapa kejayaan cemerlang turut dicapai seperti pengeluaran beberapa hasil utama telah meningkat walaupun persaingan menggunakan tanah dan pekerja dengan sektor ekonomi lain sentiasa sengit.

“Pengeluaran susu meningkat sebanyak 25 peratus daripada 4.55 juta liter pada 2013 kepada 5.67 liter pada 2017, manakala pengeluaran daging lembu atau kerbau juga meningkat sebanyak 13 peratus daripada 415 tan pada 2013 kepada 468 tan pada 2017.

“Selain itu, ladang penternakan ayam kampung komersial di Kuala Langat, Arisprop Holdings Sdn Bhd, iaitu pertama di Malaysia menggunakan sistem kandang dua tingkat, memenangi Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani Jaya Kebangsaan pada Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz berkenaan penambahbaikan jangka pendek dan jangka panjang dan pencapaian bagi sektor penternakan.

Pada sama, Zaidy berkata, dari segi kawalan dan pembasmian penyakit haiwan dan zoonotik, jumlah ladang ternakan disahkan sebagai Ladang Bebas Penyakit meningkat secara mendadak dengan bilangan ladang bebas penyakit Bruselosis bertambah daripada 21 ladang (2013) kepada 156 ladang pada 2018.

“Sementara itu, bilangan ladang bebas penyakit Tuberkulosis pula meningkat daripada 15 pada 2015 kepada 18 pada 2018.

“Pencapaian ini membuktikan peningkatan kesedaran penternak dalam mengawal dan membasmi penyakit zoonotik serta menunjukkan kerjasama erat jabatan dan penternak dalam memelihara kesihatan pengguna,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Geran RM3.3 juta untuk 54 projek pembangunan pertanian di Kuala Selangor

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA SELANGOR, 23 MAC: Sejumlah RM3.3 juta geran diberikan kepada 54 projek pembangunan pertanian, di daerah Kuala Selangor.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan dan Pertanian Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, ia membabitkan 1,576 peserta yang diluluskan Kerajaan Negeri untuk aktviti pertanian di bawah kendalian Jabatan Pertanian daerah Kuala Selangor.

“Antara aktiviti terbabit adalah padi, sayur-sayuran, buah-buahan, kelapa, herba, cendawan,fertigasi, kelulut dan industri asas tani.

“Oleh itu, dengan peruntukan ini diharapkkan kuantiti dan kualiti hasil dapat ditingkatkan,” katanya selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan dan Majlis Penyampaian Penyampaian Geran Pembangunan Projek Pertanian, di Pejabat Pertanian daerah Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Zaidy berkata, pertanian adalah perniagaan yang perlu terus dimartabatkan serta menggandakan usaha bagi membangunkannya.

“Ia bagi membolehkan pengusahanya memperolehi pendapatan yang tinggi. Melalui semangat berdikari tinggi, diperkukuhkan dengan pengalaman, kreativiti dan ketabahan, maka saya yakin pengusaha mampu mengatasi sebarang masalah atau cabaran perniagaan.

“Ia sekali gus memastikan projek dilaksanakan berdaya maju dan tidak mengalami kerugian,” katanya.

Categories
SELANGOR

RM6.6 juta bangun sektor ternakan dan industri asas ternak

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 23 MAC: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan pembangunan RM6.6 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor) bagi membangunkan sektor ternakan dan industri asas ternak di Selangor, pada tahun ini.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, sejumlah 37 lembu tenusu adalah serahan pertama dilakukan Kerajaan Negeri menerusi peruntukan itu.

“Kerajaan Negeri melalui DVS Selangor juga sudah merancang untuk mengagihkan bantuan kepada penternak ruminan (lembu, kambing dan bebiri) berjumlah RM835,000.

“Ia membabitkan 20 lembu tenusu, 47 lembu pedaging, 35 kambing pedaging, 90 bebiri, lima set bahan binaan kandang, lima mesin pericih rumput dan pelbagai jenis bantuan pemakanan ternakan,” katanya pada majlis penyerahan lembu Tenusu Bantuan Kerajaan Selangor, di Kampung Perepat, Sementa, Kapar, di sini.

Zaidy turut menyerahkan 37 lembu tenusu kepada sembilan penerima bantuan dari daerah Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sepang.

Sementara itu, Pengarah DVS Selangor, Dr Akma Ngah Hamid berkata, semua 37 lembu tenusu yang diserahkan kali ini adalah daripada baka Friesian Jersey.

“Setiap seekor baka ini berharga RM10,600 menjadikan keseluruhan lembu yang diagihkan bernilai RM392,200.

“Pembelian semua ternakan ini menggunakan peruntukan pembangunan di bawah projek Skim Penternakan Breedlot dan Program Merakyatkan Ekonomi kepada penternak ruminan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Palsu: Selangor nafi gangguan air

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 14 MAC : Kerajaan Selangor menafikan berlakunya gangguan air di kawasan Gombak sebagaimana tular di aplikasi Whatsapp, pagi ini.

Exco Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib menyarankan orang awam supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang tepat bagi mendapatkan sebarang info lanjut.

“Pengguna dinasihatkan merujuk laman rasmi www.syabas.com.my atau aplikasi mysyabas juga boleh menghubungi pusat panggilan 15300 untuk mengesahkan sebarang info gangguan,” katanya kepada SelangorKini.

Awal pagi ini, tular kenyataan yang mendedahkan gangguan bekalan air di kawasan Gombak ekoran kerja kecemasan dan pembaikan di loji rawatan, bermula 14 hingga 17 Mac ini.

Terdahulu, gangguan bekalan air Selangor pulih sepenuhnya semalam selepas kerja pembaikan paip pengaliran, di kawasan Lembah Klang selesai.

Dilaporkan, 563,663 akaun berdaftar di bawah pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor sebelum ini terjejas susulan masalah perkhidmatan SPLASH, di peringkat Persekutuan.

Categories
SELANGOR

Tempoh masa lebih singkat melalui jalan alternatif B20

OLEH SABIRAH AZIZ

SEPANG, 14 MAC: Jarak perjalanan ke Kota Warisan dan Bandar Baru Salak Tinggi akan menjadi lebih singkat apabila projek pembinaan laluan alternatif iaitu jalan sambungan B20 (missing link) yang menghubungkan Kota Warisan dan Salak Tinggi, siap sepenuhnya menjelang November 2020 kelak.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, pengguna tidak perlu lagi melalui jalan persekutuan FT29 dan FT32 apabila mempunyai pilihan lain.

“Sebagai contoh, pengguna dari Taman Ixora atau Salak Tinggi yang ingin ke Kota Warisan tidak perlu lagi melalui jalan utama, iaitu laluan sedia ada.

“Sebaliknya, mereka boleh melalui jalan B20 (apabila siap nanti) dengan tempoh perjalanan lebih singkat iaitu dari jangkaan masa 15 hingga 20 minit kepada lima hingga 10 minit sahaja.

“Selain itu, jalan ini dapat menghubungkan kawasan Kota Warisan, Taman Ixora, Ixora Hill Park, Taman Dahlia, Taman Seroja serta kemudahan awam seperti Stadium Sepang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah jalan sambungan B20 daerah Sepang, baru-baru ini.

Zaidy berkata, ia juga akan memberikan impak sosio-ekonomi kepada penduduk setempat dan industri sekitar Kota Warisan.

“Di samping itu, pengangkutan logistik untuk menampung keperluan industri juga menjadi lebih efektif kerana tempoh masa dan jarak perjalanan akan menjadi lebih singkat.

“Di sekitar Kota Warisan juga terdapat lot-lot industri yang belum dan telah dibangunkan. Justeru, dengan adanya kemudahan infrastruktur ini, ia secara tidak langsung dapat membangunkan sektor perindustrian di kawasan sekitar Kota Warisan dan Salak Tinggi,” katanya.

Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya Selangor telah meluluskan projek pembinaan jalan itu yang menghubungkan kawasan Kota Warisan dengan Salak Tinggi dalam usaha mengurangkan kesesakan lalulintas.

Sebanyak RM51 juta digunakan untuk membina laluan empat lorong dua hala itu yang dipisahkan oleh landasan Express Rail Link (ERL) berdekatan stesyen ERL Salak Tinggi secara berperingkat, bermula November 2017 dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kadar TOL pengusaha ikan sangkar Selangor terendah di Malaysia

OLEH: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 MAC: Kerajaan Negeri menolak dakwaan mengenakan kadar caj Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang tinggi kepada pengusaha ikan dalam sangkar (SKL) di negeri itu.

Exco Kemudahan, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, sebaliknya Kerajaan Negeri mengenakan caj yang terendah di negara ini.

Katanya, jumlah sebenar kadar bayaran TOL yang dipersetujui oleh Kerajaan Selangor hanyalah sebanyak RM0.40 semeter persegi.

“Kita sudah laksanakan beberapa pertemuan sebelum ini dan jumlah sebenar kadar bayaran TOL yang dipersetujui oleh Kerajaan Selangor hanyalah sebanyak RM0.40 semeter persegi setahun sekaligus merupakan termurah di Malaysia.

“Kadar caj ini sudah dipersetujui dan disahkan oleh Mesyuarat Mesyuarat Kerajaan Selangor KE 15/2016 pada 27 April 2016,” katanya kepada SelangorKini.

Zaidy berkata kadar bayaran itu juga termurah berbanding dengan kadar nilaian diberikan oleh Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) iaitu sebanyak RM4.00 semeter persegi setahun.

“Sebagai contoh, Pulau Pinang RM0.45 semeter persegi, Perak RM0.60 semeter persegi dan Johor RM0.50 semeter persegi,” katanya.

Terdahulu, Zaidy berharap supaya penternak ikan dalam sangkar dapat merujuk kepada pihak yang berautoriti bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan jelas agar tidak timbul salah faham.

Sebelum ini, penternak ikan dalam sangkar di Pulau Ketam mendakwa Kerajaan Negeri tidak endah dalam rundingan mengenai kadar caj TOL.

Mereka mendakwa caj 40 sen itu membebankan dan mahu Kerajaan Negeri menurunkan caj kepada 20 sen bagi semeter persegi.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Bekalan air keruh: Semak semula jika terdapat aduan

OLEH SABIRAH AZIZ

SEPANG, 12 MAC: Kerajaan Negeri akan menyemak semula aduan dan rungutan daripada segelintir penduduk di sekitar Puchong dan Shah Alam yang mendakwa masih menerima sumber bekalan air keruh.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, pihaknya akan melihat semula perkara berkenaan sekiranya terdapat pengguna yang terjejas akibat bekalan air keruh terbabit.

“Perkara ini bukan masalah besar kerana hampir keseluruhan kawasan yang terjejas bekalan air telah kembali pulih sepenuhnya hari ini.

“Saya jangkakan keadaan ini (air keruh) mungkin hanya mengambil masa singkat dan akan kembali seperti sedia kala memandangkan lima paip besar yang mempunyai masalah ke injap udara memerlukan masa bagi proses pemulihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis pecah tanah projek membina jalan sambungan Kota Warisan B20 (missing link) daerah Sepang, di sini.

Pada masa sama, Zaidy berkata, bekalan air di keseluruhan kawasan terjejas iaitu di Wilayah Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat pulih 100 peratus.

“Bagaimanapun, tiga kawasan di Wilayah Petaling masih dalam proses pemulihan iaitu di Taman Bukit Kuchai, Bandar Puchong Jaya dan Subang Jaya (SS12 hingga SS19),” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Jalan sambungan Kota Warisan (B20) bakal kurangkan tahap kesesakan kritikal

OLEH SABIRAH AZIZ

SEPANG, 12 MAC: Pembinaan jalan sambungan B20 (missing link) yang siap pada 2020 dijangka dapat mengurangkan tahap kesesakan kritikal di sekitar kawasan Kota Warisan yang kini pesat membangun.

Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir Rozita Mat Senapi berkata, kawasan itu kini rancak dengan pertumbuhan sektor industri, komersial dan penambahan penduduk, sejak 2010.

“Berdasarkan hasil kajian trafik (traffic impact assesment) yang dijalankan, kita menjangkakan pengguna akan mengalami peningkatan jumlah trafik di kawasan ini disebabkan pembangunan pesat kediaman, komersial dan industri.

“Jika semua pembangunan ini siap kelak, jumlah trafik juga dijangka meningkat sebanyak 43 peratus daripada jumlah sedia ada.

“Oleh itu, projek sambungan jalan ini dapat menyelesaikan masalah terbabit serta sebagai signifikan supaya aliran trafik dikurangkan tanpa perlu bergantung kepada satu laluan sahaja ekoran pengguna FT 29 mempunyai pilihan lain,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek membina jalan sambungan berkenaan, di sini, hari ini.

Rozita berkata, dijangkakan jalan FT 29 akan menjadi kritikal sebanyak 89 peratus mengikut kapasiti jalan terutama di simpang tiga yang menghubungkan jalan FT 29 dan FT 32 jika jalan sambungan B20 tiada, pada 2039 iaitu 20 tahun akan datang.

“Kontraktor Norwest Holding Sdn Bhd sudha memulakan kerja pembinaan pada November 2017 dan dijangka siap sepenuhnya pada November 2020 dengan tempoh pembinaan, selama 36 bulan.

“Skop kerja pembinaan juga adalah kompleks kerana merangkumi kerja pembinaan struktur jambatan merentasi Express Rail Link (ERL).

“Saya berharap apabila jalan ini siap, ia akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar kerana mempunyai jaringan perhubungan jalan lebih mudah dan menjimatkan masa,” katanya.

Categories
SELANGOR

RM51 juta bina jalan sambungan Kota Warisan (B20) daerah Sepang

OLEH SABIRAH AZIZ

SEPANG, 12 MAC: Sejumlah RM51 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi membina jalan sambungan B20 menghubungkan Kota Warisan dengan Salak Tinggi, di sini, yang dipisahkan oleh landasan Express Rail Link (ERL).

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, ia bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan persekutuan FT29 dan FT32 serta sebagai laluan alternatif kepada pengguna dari jalan FT29 yang ingin ke Salak Tinggi.

“Pembinaan jalan akan dibina adalah 4.5 kilometer iaitu empat lorong dan dua hala. Projek ini sudah bermula sejak November 2017 dan dijangka siap, pada November 2020.

“Skop kerja utama merangkumi kerja struktur seperti cerucuk, tiang jambatan merentasi ERL, menaik taraf jalan sedia ada dn kerja memecahkan batu dan sistem perparitan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek berkenaan, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor, Ir Rozita Mat Senapi dan Pegawai Daerah Sepang, Mohd Yazid Sairi.

Zaidy berkata, apabila jalan alternatif berkenaan siap sepenuhnya, maka pengguna akan mempunyai pilihan untuk ke Salak Tinggi, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Selain itu, jajaran baharu ini dapat memudahkan jaringan perhubungan penduduk setempat, sekali gus meningkatkan lagi industri dan komersial, di kawasan sekitar Kota Warisan.

“Diharapkan, semua pihak dapat memberikan kerjasama dengan memainkan peranan penting ketika proses pembinaan jalan ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kerja baik pulih dijangka siap 6 petang esok

OLEH SYAZWANI SUFIAN

BESTARI JAYA, 7 MAC: Kerosakan lima batang paip Sistem Mampatan Udara (Surge Supply System) bersaiz 1,100 di Loji Rawatan Air (LRA) SSP 3 dijangka siap diperbaiki pada jam 6 petang esok.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, kerja-kerja pembaikan kecemasan di Loji SSP3 sedang giat dijalankan bagi menyegerakan pemulihan bekalan air kepada 563,622 akaun di enam wilayah.

Katanya, insiden paip pecah itu berlaku semasa pihak Loji Rawatan Air SSP3 yang dikendalikan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) sedang menjalankan pengoperasian semula loji selepas kerja pembaikan kritikal rumah pam siap dilaksanakan semalam.

“Dua batang paip mengalami kerosakan teruk dan tiga lagi mengalami kerosakan kecil manakala punca berlaku letupan kecil pada paip masih dalam siasatan.

“Bagi membantu pelanggan yang terjejas, Pengursan Air Selangor telah mengaktifkan sembilan pusat khidmat setempat dan menambah kapasiti tanker kepada 96 buah dan 11 lori tangki jambo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Status Terkini Kerja Pembaikan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3), Jalan Bukit Badong, hari ini.

Selain itu, Zaidy berkata, Air Selangor turut membantu menawarkan senarai kontraktor untuk pilihan pihak SPLASH bagi melaksanakan kerja pemulihan dilaksanakan sejak semalam.

Tambahnya lagi, kerja pembaikan LRA SSP3 adalah bagi membaiki kerosakan pada injab Pam No 3.

“Masalah ini dikesan selepas Air Selangor mendapati berlaku penyusutan paras kolam imbangan Bukit Tadun dan menyebabkan pengurangan kadar pengepaman air bersih dari LRA SSP3 pada 26 Januari lalu,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kampung Melayu Sungai Buloh diisytihar Hab Floris Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 10 FEB: Kampung Melayu, Sungai Buloh diisytiharkan sebagai Hab Floris Selangor ekoran perkembangan pesat perusahaan terbabit, di kawasan terbabit.

Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, data Agrisgeoportal Jabatan Pertanian Selangor menunjukkan nilai pengeluaran hasil florikultur di Sungai Buloh bagi tahun 2017 mencecah RM4.86 juta daripada nilai hasil seluruh Selangor berjumlah RM13 juta.

“Mengikut data ini, Jabatan Pertanian Selangor mempunyai kawasan industri florikultur seluas 69 hektar dengan pembabitan 79 usahawan.

“Di bawah kawasan khidmat pengembangan pertanian Daerah Gombak/Petaling, keluasan kawasan industri florikultur ini adalah seluas 57.61 hektar dengan 47 usahawan dalam industri ini.

“Bagi Hab Bunga Florikultur Sungai Buloh khususnya, keluasan kawasan industri florikultur adalah seluas 25.15 hektar dengan pembabitan 32 usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Flori Selangor 2018 di Kampung Melayu Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Zaidy berkata, 40 peratus usahawan florikultur yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Selangor berada di kawasan Hab Bunga Kampung Melayu Sungai Buloh.

Katanya, industri itu dijangka terus berkembang apabila tanaman bunga-bungaan semakin mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat pengguna khususnya penggemar bunga-bungaan untuk dijadikan hadiah atau perhiasan di laman kediaman, taman awam, bangunan pejabat dan lokasi lain.

“Malah, bunga-bungaan turut dijadikan simbol istiadat keagamaan serta sebagai produk herba, produk kecantikan dan terapi kesihatan kepada manusia,”katanya.

Categories
SELANGOR

RM105 juta naik taraf jalan B48 Sepang

OLEH SABIRAH AZIZ

SEPANG, 9 FEB: Penduduk di Sepang bakal menikmati kemudahan infrastruktur jalan lebih selesa melalui projek menaik taraf jalan B48 dari Simpang Tiga Jenderam ke Pekan Sepang Lama yang menelan kos kira-kira RM105 juta.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, projek memasuki fasa tiga itu sudah bermula sejak 28 Disember lalu bagi menampung kapasiti kenderaan yang semakin bertambah dari simpang empat Bandar Enstek ke Pekan Sepang Lama.

“Projek ini membabitkan naik taraf jalan empat lorong dan dua hala sepanjang 10 kilometer dengan reka bentuk piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) jenis U5.

“Ia juga membabitkan pembinaan struktur di jambatan Sungai Chinchang dan pusingan U (underpass). Dengan kerjasama agensi Kerajaan Negeri, maka projek ini dijangka siap, pada November 2020,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek menaik taraf jalan B48 daerah Sepang, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan; ADN Sungai Pelek, Lai Nyuk Lan dan Timbalan Pengarah JKR Selangor, Ir Rozita Mat Senapi.

Zaidy berkata, terdapat dua pakej projek dinaik taraf iaitu pakej A di bawah kontraktor Tulane Sdn Bhd dengan kos RM54.5 juta, manakala pakej B di bawah kontraktor Jurumart Sdn Bhd dengan kos RM50.7 juta.

“Pelbagai kekangan dihadapi dalam melaksanakan projek ini membabitkan proses pengambilan balik tanah dan isu paya bakau. Bagaimanapun, pihak JKR Selangor berjaya menyelesaikan proses pengambilan balik tanah sebanyak 25 lot sebelum kerja pembinaan dilaksanakan.

“Selain itu, satu inisiatif akan dilaksanakan JKR Selangor dengan menyediakan skop penggantian pokok bakau, di kawasan terbabit,” katanya.