Categories
SELANGOR

LZS Sumbang 200 Komputer Riba Kepada Mahasiswa Selangor

Zakat Selangor Sumbang Laptop pada Anak Yatim 01

SHAH ALAM 13 MAC : Seramai 200 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) menerima sumbangan bantuan komputer daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bernilai RM 2,000 setiap satu.

Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, pemberian bantuan itu melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM400,000.

“Pemberian komputer riba ini diharap mampu menjentik motivasi kepada para pelajar tajaan LZS yang lain, khususnya anak-anak asnaf untuk berusaha lebih gigih dalam pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Mesra Pelajar Tajaan Lembaga Zakat Selangor yang diadakan di Dewan Pro-Canselor Universiti Selangor (Unisel) di sini.

Ujarnya, para pelajar disaran untuk memanfaatkan penggunaan komputer riba tersebut untuk tujuan berfaedah demi menggapai kecemerlangan berterusan dalam pendidikan.

Zakat Selangor Sumbang Laptop pada Anak Yatim 02Bantuan ini hanya terbuka kepada asnaf kelahiran Selangor dan belajar di IPT yang berada di dalam negeri ini.

Sebelum ini, LZS memulakan pemberian komputer riba sejak 2004 kepada mereka yang cemerlang dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 ke atas dan ia dibuat berdasarkan permohonan dan memenuhi kriteria tertentu.

Walaubagaimanapun, bermula pada tahun ini mereka yang memperolehi PNGK 2.5 ke atas layak juga menerimanya.

Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, para pelajar yang sudah berjaya diharapkan mampu menjadi penyumbang pembayaran zakat di masa hadapan apabila sudah berkerjaya.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar, Pejabat Agihan LZS, Abdul Basith Hamid dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Unisel, Prof Madya Zainal Abidin Kidam.

Sehingga Disember 2012, LZS telah membiayai sejumlah 2,320 mahasiswa asnaf fakir dan miskin yang melanjutkan pengajian di IPTA dan IPTS seluruh negara bermula dari peringkat sijil hingga doktor falsafah.

Categories
SELANGOR

Yayasan Selangor Beri Biasiswa Kepada 50 Pelajar Pengajian Asas UNISEL

UNISEL Yayasan Selangor biasiswa 01

SHAH ALAM 30 JAN : Bagi memberi peluang pendidikan yang menyeluruh kepada pelajar Selangor, Yayasan Selangor (YS) memperuntukkan biasiswa sebanyak RM 623,000 untuk 50 pelajar pengajian asas (foundation) di Universiti Selangor (Unisel) bagi tahun 2013.

Jumlah pelajar yang menerima itu meningkat berbanding RM 273,000 untuk 39 pelajar yang menerima pada tahun lalu.

Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad berkata pelajar program asas Unisel bertuah kerana yuran pengajiannya terendah berbanding Institusi Pengajian Tinggi Swasta IPTS lain.

UNISEL Yayasan Selangor biasiswa 02Malah, IPTS lain tidak menawarkan biasiswa untuk pelajarnya, kata Anuar.

“Walaupun yurannya rendah tidak semestinya kualiti Unisel rendah.

?Jadi pelajar yang menerima biasiswa ini diharap dapat menggunakan peluang ini dengan sebaiknya,” kata Anuar selepas Majlis Penyerahan biasiswa YS kepada pelajar asas Unisel.

Hadir sama Pengurus Besar YS, Ilham Marzuki ; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Madya Zainal Abidin Kidam, Pengurus Kanan Pendidikan YS Zahura Zakry dan Pengurus Pembiayaan Pendidikan YS, Anizan Ibrahim.

Sementara itu, Ilham berkata peruntukkan kewangan untuk biasiswa itu diperolehi daripada projek usahasama perniagaan Kerajaan Negeri.

“Jangan sia-sia pemberian ini, ia bukan duit daripada cukai pendapatan tetapi duit dari kutipan sewa dan projek usahasama.

“Kita berjaya menutup segala ketirisan ketika dulu. Duit banyak tetapi bocor lebih banyak,” katanya.

Biasiswa itu diberikan kepada pelajar kursus pengajian asas antaranya ‘Foundation in Management, Foundation in Education (TESL), Foundation in Information Technology dan Foundation in Science’.

Untuk rekod, seramai 2,715 pelajar mengikuti pengajian peringkat asas di Unisel sejak 2007 hingga 2012.

Penerima biasiswa 2012, Muhammad Amy Ashraf Jamal, 22, berkata biasiswa itu dapat mengurangkan beban keluarganya seterusnya menjadi pendorong untuk beliau mencapai CGPA 4.00.

UNISEL Yayasan Selangor biasiswa 03Beliau yang mengikuti kursus pengajian asas pengurusan berharap dapat mengekalkan kecemerlangan itu supaya dapat melanjutkan pelajarannya ke peringkat lebih tinggi.

Selain itu, R.Kanageswari, 19, juga pelajar kursus pengurusan, teruja apabila dimaklumkan beliau terpilih menerima biasiswa itu.

Katanya, peluang yang diberikan itu akan digunakan sebaik-baiknya kerana bukan mudah untuk terpilih.

Penerima lain, Song Li Jing, 19, pelajar kursus sains dan bioteknologi berkata beliau bersyukur kerana terpilih.

“Sebagai anak sulung dari empat orang adik beradik dan keluarga yang kurang berkemampuan, saya sangat menghargainya. Pada mulanya saya terkejut kerana terpilih, tidak sangka saya layak,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Guru, Pelajar SAR Bantah Bajet 2013 Di Parlimen

KUALA LUMPUR 11 OKT : Kira-kira 2,000 guru dan pelajar dari Sekolah Agama Rakyat seluruh negara berhimpun di pintu pagar Parlimen hari ini bagi membantah pengabaian peruntukkan SAR dalam pembentangan Bajet 2013, baru-baru ini.

Mereka berhimpun seawal jam 9 pagi dengan membawa kain rentang yang tertulis ‘mana hak kami dalam Bajet 2013’, ‘kami pembayar cukai’ dan ‘kembalikan hak SAR dalam bajet’.

Turut bersama mereka, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali ; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Madya Zainal Abidin Kidam Universiti Selangor (UNISEL); Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman.

Turut serta Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Yunus Hairi dan Ronnie Liu.

Satu memorandum berhubung tuntutan peruntukkan dalam Bajet 2013 dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zainal selaku Pengerusi program berkata pihaknya kesal dengan pengabaian peruntukkan untuk pendidikan Islam oleh Kerajaan Pusat sejak lebih 50 tahun mentadbir negara.

Katanya, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan yang disediakan oleh Kerajaan Pusat juga tidak dinyatakan secara khusus mengenai Pendidikan Islam di negara ini.

“Perbelanjaan untuk Pendidikan Islam penting. Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jauh lagi sedikit berbanding ibu bapa yang mengeluarkan wang untuk pendidikan ini bagi anak-anak mereka.

“Kita meminta mereka memberi peruntukkan ‘normal bajet’ bukannya ‘one off’ bajet seperti yang biasa mereka berikan,” katanya kepada pemberita selepas bantahan itu.

Tambahnya lagi, Kerajaan Pusat seharusnya memberikan peruntukkan sewajarnya bukannya hanya dengan memberi ‘sedekah’.

Dianggarkan terdapat sebanyak 800,000 pelajar yang menghadiri SAR diseluruh negara.