Categories
SELANGOR

LZS: Jangan alpa lunas zakat pendapatan

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 1 SEP: Masyarakat beragama Islam diingatkan tidak alpa dalam melunaskan zakat pendapatan yang menjadi kewajipan setiap individu.

Ketua Sektor Dakwah dan Pemasaran Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohamed Syahril Zainol, berkata ia boleh dilaksanakan melalui potongan gaji atau secara atas talian kerana zakat berkenaan paling popular setakat ini, namun masih ramai yang tidak menyedari hakikat itu.

LZS_4226“Mereka boleh laksanakan dengan cara paling mudah iaitu potongan gaji bulanan tetapi ramai yang lalai untuk menunaikan kewajipan itu.

“Semua maklumat boleh diakses melalui laman sesawang LZS, jumlah minima zakat yang wajib untuk dilunaskan sama ada tertunggak atau semasa,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada masa sama, Syahril berkata, zakat yang terlupa untuk dilunaskan akan dikira sebagai qadak dan hukumnya wajib.

Katanya, ia perlu disegerakan kerana dituntut dalam Islam walaupun jumlah itu besar.

“Ini adalah masa depan di akhirat kerana tiada alasan untuk tidak membayar zakat. Kita kena yakin dengan janji Allah yang akan memberi pulangan rezeki dalam pelbagai bentuk jika kewajipan itu dilunaskan,” katanya.

-NFN-